Sunday, May 11, 2025

Hari Ibu: Pengajaran Dari Seekor Ibu Gajah

Di sebatang jalan sunyi yang membelah hutan, seekor ibu gajah berdiri kaku. Anaknya yang masih kecil, yang baru mengenal dunia terbaring tidak bernyawa di bawah treler yang besar. Tidak ada raungan. Hanya air mata yang perlahan menitis dari mata seekor ibu yang kehilangan segalanya.


Dia tidak pergi. Dia tetap di sisi. Menunggu. Menanti. Setia.

Hari ini kita menyambut Hari Ibu dan dari alam, kita menerima satu peringatan yang sangat dalam bahawa kasih ibu tidak punya batas, tidak mengenal bahasa dan tidak memerlukan pujian. Ia hidup dalam diam, dalam kesetiaan, dalam keberanian untuk tetap ada saat semua orang telah berlalu pergi.

Saturday, May 10, 2025

Keunikan Geologi Tanjung Balau: Menyingkap Rahsia Alam yang Tersembunyi

Minggu lalu, aku berpeluang ke Tanjung Balau untuk menghadiri mesyuarat di KEJORA. Aku menginap semalaman di sana dan keesokan harinya menghadiri mesyuarat seperti dijadualkan. Selesai mesyuarat, aku meluangkan masa melawat Muzium Nelayan  seterusnya ke Tapak Geologi di Pantai Tanjung Balau yang terletak di belakang muzium tersebut.

Mengikut pembacaan aku pada papan tanda yang terdapat di Tapak Geologi tersebut dapatlah aku rungkaikan geologi ialah kajian saintifik mengenai bumi, termasuk struktur, komposisi dan proses yang membentuk serta mengubahnya. Ia turut melibatkan kajian tentang kehidupan lampau seperti haiwan dan tumbuhan yang pernah wujud di bumi. Geologi membantu kita memahami perubahan bahan, bentuk permukaan dan kehidupan sepanjang sejarah bumi.

Tanjung Balau dikenali sebagai lokasi penting dalam bidang geologi kerana menyimpan pelbagai jenis batuan purba. Kawasan ini mempunyai batu metasedimen berusia berjuta-juta tahun yang merekodkan sejarah pergerakan kerak bumi di Semenanjung Malaysia. Antara batuan utama yang ditemui ialah metakuarzit, filit dan sabak yang berusia sekitar 300 juta tahun.

Batuan di Tanjung Balau dipercayai telah terbentuk hasil daripada sekurang-kurangnya tiga peristiwa utama melibatkan tekanan dan pergerakan kerak bumi. Peristiwa ini menghasilkan struktur batuan yang kompleks dan unik. Selain itu, kawasan ini turut menampilkan ciri tiupan angin kuat atau “wind stress-features” pada batuan berusia kira-kira 4,500 tahun yang menunjukkan kawasan tersebut pernah mengalami iklim separa kering. Kesemua unsur ini menjadikan Tanjung Balau tapak kajian penting bagi ahli geologi serta pengunjung yang ingin memahami sejarah perubahan bumi dan keunikan geologi tempatan.

Di bawah ini antara gambar-gambar batuan yang sempat aku ambil.









Thursday, May 8, 2025

Penemuan Serpihan Seramik Societe Ceramique di Pulau Melaka

Pada tahun 2021, satu kerja ekskavasi penyelamatan artifak telah dijalankan di kawasan tambak laut Pulau Melaka selama kira-kira dua bulan. Ekskavasi ini dilaksanakan oleh saya bersama beberapa orang lagi kakitangan daripada Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) sebagai langkah awal bagi menyelamatkan tinggalan sejarah yang mungkin tertanam di kawasan tersebut sebelum projek pembangunan dijalankan.

Mencari bukti sejarah melalui sumber utama, artifak

Kawasan tambak laut ini mempunyai potensi tinggi dari sudut arkeologi memandangkan lokasinya yang berhampiran dengan kawasan pesisir pantai dan laluan perdagangan lama Melaka yang menghubungkan perdagangan Timur dan Barat.

Sepanjang tempoh ekskavasi, pelbagai jenis serpihan artifak telah ditemui, termasuk tembikar, seramik (akhir Ming - awal Qing), syiling zaman Kesultanan Melayu Melaka dan lain-lain jumpaan. 

Antara penemuan yang lain ialah satu serpihan seramik yang mengandungi cap bertulis “Societe Ceramique – Maastricht – Made in Holland” bersama imej seekor singa. Penemuan ini menimbulkan minat untuk mengetahui lebih lanjut tentang asal usul serpihan ini serta kaitannya dengan sejarah perdagangan Melaka.


Societe Ceramique ialah sebuah syarikat pengeluar seramik yang terletak di Maastricht, Belanda dan yang beroperasi sejak abad ke-19. Syarikat ini terkenal dengan penghasilan barangan seperti pinggan, mangkuk, teko dan barangan dapur lain yang berkualiti tinggi.


Produk mereka bukan sahaja digunakan di Eropah, tetapi turut dieksport ke pelbagai negara termasuk Asia Tenggara. Cap rasmi syarikat ini sering memaparkan nama syarikat bersama imej singa iaitu lambang negara Belanda yang juga menjadi identiti yang mudah dikenali dalam kalangan pengumpul artifak seramik.

Pada tahun 1958, Societe Ceramique telah bergabung dengan sebuah lagi syarikat Belanda terkenal, De Sphinx. Selepas penggabungan tersebut, cap asal Societe Ceramique tidak lagi digunakan. Oleh itu, penemuan serpihan seramik yang masih memaparkan cap ini menunjukkan bahawa ia merupakan produk yang dihasilkan sebelum tahun 1958. Ini menjadikan serpihan tersebut sebagai artifak antik yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi.

Penemuan ini membuktikan bahawa kawasan Pulau Melaka suatu ketika dahulu telah terlibat secara langsung dalam jaringan perdagangan antarabangsa. Kehadiran seramik dari Eropah, khususnya dari Belanda, menunjukkan bahawa Melaka bukan sahaja menjadi tumpuan pedagang dari Asia, malah turut menerima kunjungan pedagang dari benua Eropah. 

Ekskavasi seperti ini penting dalam usaha kita untuk mengenal pasti, melindungi dan memulihara warisan sejarah negara. Penemuan serpihan seramik Societe Ceramique ini menjadi bukti fizikal kepada hubungan perdagangan antarabangsa yang pernah berlaku di Melaka dan memberikan kita ruang untuk meneroka lebih jauh kaitan antara artifak dan sejarah pelabuhan Melaka yang terkenal suatu ketika dahulu.

* Pulau Melaka terdapat beberapa nama lama seperti Pulau Jawa dan Ilha Das Naus, kini setelah ditambak menjadi Pulau Melaka (Pelan lama ada tertulis Pulo Malacca). Tidak jauh dari pulau ini, terdapat sebuah lagi pulau yang penting iaitu Pulau Upeh yang turut terkenal dengan panggilan Ilha das Pedras. Di antara kedua-dua pulau ini, terdapatnya pelabuhan lama Melaka di mana kapal-kapal dagang berlabuh di situ sebelum kapal-kapal lebih kecil mengangkut barang dari kapal dan memasuki muara sungai. 

Saturday, May 3, 2025

Racun dalam Perang: Senjata Rahsia Tentera Melaka


Dalam ketenteraan Kesultanan Melayu Melaka, penggunaan racun merupakan salah satu strategi perang yang bijak dan berkesan. Tentera Melayu tidak berperang secara tersusun seperti tentera Eropah. Sebaliknya, mereka lebih suka menyerang secara mengejut secara berkumpulan, terutamanya di kawasan sempit seperti jalan kecil, hutan atau semak.

Untuk menjadikan serangan lebih kuat, mereka menyapu racun pada senjata seperti keris, lembing, sumpit dan anak panah. Racun ini sangat berbahaya dan boleh membunuh musuh walaupun hanya terkena luka kecil. Ini membantu mereka menyerang secara senyap dan pantas. Keris yang disapu racun boleh menyebabkan kematian cepat, menjadikannya senjata yang sangat ditakuti.

Selain digunakan pada senjata, racun juga disapu pada kayu tajam yang dipasang dalam perangkap di hadapan kubu. Perangkap ini digali untuk menjatuhkan musuh ke dalam lubang yang dipenuhi kayu beracun. Jika musuh jatuh ke dalamnya, mereka akan cedera parah atau mati. Ini menunjukkan bahawa tentera Melayu sangat bijak menggunakan alam semula jadi untuk mempertahankan kawasan mereka.

Racun ini biasanya diperoleh daripada tumbuhan yang ada di sekitar mereka. Selain mencederakan musuh, racun juga menimbulkan rasa takut kerana kecederaannya sangat menyakitkan dan sukar sembuh.

Walaupun pada awalnya kubu-kubu pertahanan Melaka hanya dibuat daripada tanah dan tidak begitu kuat, penggunaan perangkap beracun telah membantu memperkukuh pertahanan. Apabila tentera Melaka mula belajar daripada orang luar dan mula menggunakan senjata api seperti senapang dan meriam, penggunaan racun tetap diteruskan sebagai senjata rahsia.

Mengikut catatan beberapa sumber Portugis, kesan racun menyebabkan luka yang sukar sembuh dan membengkak seperti ketumbuhan. Mangsa yang tidak dirawat lukanya akan mati, manakala yang terselamat tetap menderita. Ada juga menjadi seperti orang gila dan menggigit diri sendiri, menunjukkan racun itu turut memberi kesan kepada minda. Penggunaan racun menjadikan pertempuran lebih kejam dan menyeksakan.

Kesimpulannya, penggunaan racun oleh tentera Kesultanan Melayu Melaka adalah bukti kebijaksanaan mereka dalam strategi perang. Ia membolehkan mereka menyerang dan mempertahankan diri dengan berkesan walaupun berhadapan dengan musuh yang lebih moden.

Rujukan :

J. V. MILLS. Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, Vol. 8, No. 1 (109), EREDIA'S DESCRIPTION OF MALACA, MERIDIONAL INDIA, AND CATHAY (April, 1930), pp. 1-288

Hasanuddin Yusof. Teknologi Kesultanan Melaka. 2017

Thursday, May 1, 2025

Selamat Hari Pekerja 2025: Pekerja Kesuma Bangsa

Selamat menyambut Hari Pekerja 2025 kepada seluruh warga kerja tanah air yang menjadi nadi dan tulang belakang kemajuan negara. Pada hari yang penuh makna ini, marilah kita sama-sama mengangkat penghargaan setinggi-tingginya kepada setiap insan yang gigih berbakti dalam pelbagai bidang, dari sawah ke kilang, dari pejabat ke lautan dan anda semua adalah wira negara yang sebenar. Tema tahun ini, “Pekerja Kesuma Bangsa”, mengangkat martabat pekerja sebagai insan mulia yang menyemai harapan, menyulam kejayaan dan membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang.


Pekerja bukan sekadar menjalankan tugas, tetapi mencurahkan tenaga, masa dan jiwa demi kelangsungan hidup masyarakat dan kemajuan negara. Kecekalan, kesungguhan dan semangat juang yang ditunjukkan oleh para pekerja menjadi asas kepada kestabilan ekonomi dan keharmonian sosial. Dalam menghadapi cabaran zaman seperti kemajuan teknologi, perubahan iklim dan ketidaktentuan global, pekerja tetap teguh berdiri, cekal mengadaptasi dan terus menyumbang demi negara tercinta. Inilah semangat sebenar "kesuma bangsa", indah dari segi budi, gagah dari segi jasa.

Marilah kita memperkukuh solidariti, meningkatkan kecekapan dan menuntut hak secara bijaksana demi kesejahteraan bersama. Semoga Hari Pekerja ini bukan sahaja menjadi simbol penghargaan, tetapi juga pemangkin kepada pembaharuan yang lebih adil dan progresif dalam dunia pekerjaan. 

Selamat Hari Pekerja 2025, semoga terus melangkah dengan gagah, demi Malaysia yang lebih maju, adil dan berperikemanusiaan.