Monday, April 21, 2025

Telur Rebus Separuh Masak Yang Sempurna

Pagi tadi aku buat telur rebus separuh masak yang dimasak sempurna. Sempurna sangatlah kan... Aku guna cara yang sangat mudah yang tular di media sosial. Mula-mula, aku didihkan air dalam periuk. Bila air dah betul-betul mendidih, aku terus tutup api dan masukkan telur. Aku biarkan telur terendam dalam air panas tu selama 4 minit.

Sempurna bukan? 😄

Bila cukup 4 minit, aku angkat telur dan kupas. Hasilnya memang menjadi. Putih telur masak elok, sedikit kental tapi tak keras. Bahagian kuning pula kekal cair macam yang selalu kita makan dekat kedai makan. Cara ni memang berkesan kalau nak telur separuh masak yang sekata tanpa pecah.

Untuk tambah rasa, aku campurkan kicap, serbuk lada hitam dan madu atas telur tu. Rasa manis, masin dan pedas bergaul sekali, memang sedap le. Kebelakangan ni suka pula madu, makan telur separuh masak letak madu, makan roti sapu madu, air kopi O pun taruk madu. 

Saturday, April 19, 2025

Pisang 40 Hari di Belakang Rumah Berbuah Lagi


Pokok pisang 40 hari yang aku tanam di belakang rumah berbuah lagi. Setiap kali nampak tandan baru keluar, rasa seronok. Sebenarnya aku pun dah tak ingat berapa kali pokok pisang belakang rumah ni berbuah. Sudah banyak kali sampai dah tak terkira.

     Baca juga :

Sekarang masih ada lebih kurang enam atau tujuh batang pokok lagi yang sedang membesar. Ada yang baru naik, ada yang dah mula nampak tanda-tanda nak berbuah. Walaupun ruang tak besar mana, tengok pokok-pokok ni membesar buat aku rasa puas. Tak perlu baja mahal, cukup jaga biasa-biasa saja, alhamdulillah pokok tetap subur.

     Baca juga :

Tanam pisang ni memang banyak kelebihannya. Selain dapat hasil sendiri, dapat juga berkongsi dengan jiran-jiran. Rasa puas bila tengok apa yang kita tanam sendiri membuahkan hasil. Harapnya pokok-pokok yang tengah membesar ni pun akan terus berbuah dengan sempurna. 

Monday, April 14, 2025

Tun Abdullah Ahmad Badawi Meninggal Dunia


Negara kehilangan seorang tokoh besar yang pernah menerajui Malaysia sebagai Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi di tarikh 14 April 2025. 

Dengan penuh rasa dukacita, saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Tun Abdullah. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Tun Abdullah dikenang sebagai seorang pemimpin yang tenang, berhemah dan berpegang kepada prinsip Islam Hadhari dalam pentadbirannya. Sumbangan beliau dalam memperkukuh pentadbiran awam dan memperjuangkan integriti serta perpaduan nasional akan sentiasa terpahat dalam lipatan sejarah negara.

Al-Fatihah.

Tot's Blog Giveaway

Hari ini aku terpanggil untuk menyertai satu giveaway yang dianjurkan oleh rakan blogger melalui TOT's Blog Giveaway. Bukan kerana ingin memburu hadiah, tetapi lebih kepada menyatakan sokongan terhadap usaha murni rakan blogger yang terus aktif dan konsisten dalam dunia penulisan blog ini.

Klik gambar untuk sertai

Aku percaya setiap usaha yang baik wajar diberikan sokongan dan inilah salah satu cara kecil aku menunjukkan sokongan tersebut. Maka, aku menyertai bukan kerana hadiah semata-mata, tetapi atas dasar sokongan dan persahabatan dalam komuniti blogger.

Maklumat Giveaway:
  • Nama: TOT's Blog Giveaway
  • Tarikh: 14 April – 28 April 2025
  • Penganjur: TOT’s Blog
Cara Penyertaan:
  • Follow blog penganjur
  • Tulis satu entri dan backlink ke post giveaway
  • Tinggalkan komen beserta link penyertaan

Jadi, entri ini ditulis bagi memenuhi syarat penyertaan dan sebagai tanda sokongan ikhlas dari seorang rakan blogger. Semoga giveaway ini berjalan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari para blogger yang lain.

Teruskan berkarya dan menyebarkan kebaikan melalui blog.

Sunday, April 13, 2025

Busana Melayu Warnai Hujung Minggu di Muzium Melaka

Bermula hujung minggu ini, kakitangan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) yang bertugas di bahagian hadapan telah mula mengenakan “uniform” baharu yang berkonsepkan busana tradisional Melayu. 



Pakaian ini diperkenalkan sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkasakan elemen warisan budaya dalam persekitaran muzium, di samping memberi wajah segar kepada kakitangan yang menjadi barisan hadapan menerima kedatangan pengunjung. 

Kakitangan lelaki mengenakan baju berkotak merah dengan samping dan tanjak, manakala wanita pula tampil anggun dengan baju kurung sedondon. 

Aku sendiri sempat menyertai sesi fotografi khas bersama rakan-rakan sekerja di Muzium Sejarah Melaka (Stadthuys) yang mengenakan busana baharu ini. Walaupun aku tidak memakai pakaian tema yang sama, aku tetap rasa bangga menjadi sebahagian daripada pasukan PERZIM yang komited dalam memartabatkan budaya.

Sesi ini bukan sekadar untuk merakam gambar sebagai dokumentasi, malah turut menjadi kenangan manis yang menggambarkan semangat kerja berpasukan dan penghargaan terhadap nilai-nilai tradisi yang masih kekal relevan.

Apa yang lebih menarik, semasa sesi fotografi dijalankan di kawasan muzium, beberapa pelancong yang kebetulan berada di sekitar turut teruja melihat penampilan kakitangan kami. Mereka tidak melepaskan peluang untuk turut serta bergambar bersama dan ada yang menyatakan rasa kagum terhadap usaha kami menampilkan identiti Melayu dalam suasana kerja.



Reaksi spontan para pelawat ini menunjukkan bahawa busana tradisional bukan sahaja menyerlahkan imej profesionalisme berteraskan budaya, tetapi juga mampu menjadi tarikan pelancongan yang memberi pengalaman lebih bermakna kepada pengunjung muzium.

Dengan adanya perubahan ini, aku berharap semangat untuk menghargai dan memelihara warisan budaya terus disemai dalam kalangan warga PERZIM dan juga masyarakat. Busana ini bukan sekadar pakaian kerja, tetapi simbol jati diri dan kecintaan terhadap budaya bangsa.

Saturday, April 12, 2025

Semerah Padi: Dari Mulut Orang Lama ke Papan Tanda Rasmi

Kampung aku, Pengkalan Perigi, terletak di Tanjung Keling, Melaka. Dalam kampung ni, ada satu kawasan kecil, kurang dari 10 buah rumah yang duduknya agak ke dalam sikit. Orang kampung dan juga orang dari kampung berdekatan dah lama panggil tempat ni sebagai Semerah Padi.

Nama ni bukan nama baru, dah lebih 50 tahun orang sebut. Tapi selama ni, nama Semerah Padi cuma disebut dari mulut ke mulut je. Tak pernah ada dalam peta, tak pernah ada papan tanda, tapi tetap kekal dalam ingatan orang kampung, termasuk aku.


Akhirnya, pada 12 Februari 2025, satu perkara yang sangat bermakna berlaku. Pihak berkuasa tempatan datang dan pasang papan tanda rasmi tertulis:

“Lorong Semerah Padi, 76400 Melaka”, siap dengan tulisan Jawi sekali.

Aku rasa bangga. Nama yang dulu hanya disebut-sebut akhirnya diiktiraf secara rasmi. Papan tanda ni bukan sekadar papan tanda, tapi lambang kenangan, sejarah dan kisah kampung aku yang hidup semula.

Baca juga :

Sekarang, bila orang lalu kawasan ni, mereka dah tahu, inilah Lorong Semerah Padi, tempat aku membesar, tempat penuh dengan cerita lama yang tak pernah hilang dari ingatan.

Friday, April 11, 2025

Terima Kiriman Dari Ketua Menteri Melaka

Kiriman apa?


Hari ni aku terima satu kad raya yang boleh tahan special dari Ketua Menteri Melaka sendiri, YAB. Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh. Walaupun Syawal dah masuk minggu kedua, kad ni baru sampai ke tangan aku. Tapi tak kisahlah, orang kata, ingatan tu yang penting. Kad dia nampak eksklusif, siap dengan pantun dan ucapan penuh adat Melayu, memang rasa dihargai.

Paling kelakar, siap ada pesanan “Jangan lupa ‘follow’ dan ‘tag’ dak Rauf!”, gaya santai tapi penuh maksud. Nampak usaha beliau nak dekat dengan rakyat, tak kira umur atau latar belakang. Terus teringat masa aku rakam video Ketua Menteri masak dalam Festival Masakan Warisan Melaka 2024 hari tu, aku post kat TikTok, tak sangka boleh cecah hampir 40 ribu views! Memang sempoi dan sporting orangnya.

Terima kasih Datuk Seri atas kad raya ni. Walaupun sampai lambat, tetap buat hati rasa seronok. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin. 

Tuesday, April 8, 2025

Menjejak Melaka 1951: Cerita Sebuah Pelan Lama

Sila klik gambar untuk tumbesaran sempurna

Baru-baru ni, aku terjumpa satu pelan lama bandar Melaka. Dari pandangan pertama lagi, aku dah boleh agak ini bukan peta biasa. Reka bentuknya klasik, jenis yang biasa kita nampak dalam buku sejarah. Tajuk asal pelan ni ialah “Map in Malacca Town in 1951”, maksudnya pelan ni dibuat lebih 70 tahun lepas, masa Melaka masih di bawah pentadbiran British. Bila aku tengok lebih dekat, zaman Melaka dipenuhi bangunan kolonial, jalan kecil dan suasana klasik yang kita susah nak jumpa sekarang.

Sebenarnya aku jumpa pelan ni kat Google masa tengah cari bahan rujukan untuk siapkan penerangan baharu bagi salah satu pameran di muzium. Kebetulan pula peta ni muncul dan terus menarik perhatian aku. Jadi aku fikir, elok juga aku simpan dalam blog ni, boleh rujuk balik bila-bila nanti kalau nak guna dalam kerja atau sekadar nak tengok balik sejarah susun atur bandar Melaka. Kadang-kadang benda yang kita jumpa secara tak sengaja ni lah yang paling berguna untuk masa depan.

Antara benda paling menarik yang aku perasan ialah jalan-jalan utama yang ditanda dengan warna merah terang. Nampak sangat jalan-jalan ni memang penting pada waktu tu, antaranya Jalan Kubu, Jalan Bendahara, Jalan Bukit Cina, Jalan Laksamana dan Jalan Gajah Berang. Aku boleh bayangkan macam mana orang dulu guna jalan-jalan ni untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain. Sungai Melaka yang berliku tu pun dilukis dengan sangat jelas, menunjukkan betapa pentingnya sungai tu sebagai laluan utama pada masa dulu.

Pelan ni bukan sekadar tunjuk jalan tapi ia penuh dengan info tentang bangunan dan tempat penting. Aku nampak nama-nama tempat yang masih wujud sampai hari ni macam Stadthuys, Gereja St. Paul, masjid lama dekat Jalan Mosque dan kuil di kawasan Temple Street. Ada juga pejabat-pejabat kerajaan lama macam balai polis, pejabat tanah, rumah rehat dan sekolah. Menariknya, bank klasik macam Hongkong & Shanghai Banking Corporation pun ada, jelas menunjukkan Melaka memang pusat ekonomi yang penting masa tu.

Bagi aku, pelan lama ni bukan sekadar koleksi sejarah tapi dia macam sebuah kenangan masa silam. Bila aku tengok pelan ni, aku rasa lebih faham bagaimana bandar Melaka dibentuk dan dibangunkan dulu. Kalau kita jenis yang suka sejarah atau sekadar nak tahu asal-usul kawasan yang kita selalu lalu, peta macam ni memang best untuk diterokai. Ia bukan saja menarik, tapi buat kita lebih hargai bandar yang kita diami ni.