Tuesday, February 27, 2024

Kucing Kaki Kencing

Nak marah, tapi kena sabar. Ya, sebenarnya aku sudah banyak bersabar. Masuk hari ini sudah beberapa kali seekor kucing telah duduk dan mencakar tempat duduk motosikal aku. Bukan setakat cakar, tetapi siap kencing lagi di atas tempat duduk.

Gambar sekadar hiasan 


Bukan kencing di motor saja, pernah sekali tu dengan kasut kerja aku di kencingnya. Aduh, naya betullah. Sejak kejadian tu, aku letak kasut kerja di tempat yang tinggi sedikit. 

Semalam dia kencing, hari ni pun kencing lagi. Nak marah, binatang... Dia bukan tahu pun. Aku sendiri tak pasti sama ada kucing ini bertuan atau tidak. Memang hampir setiap pagi dia akan duduk di atas tempat duduk motosikal aku atau di atas tembok pagar. 

Kalau nak ikutkan marah, nak saja aku melampiaskan perasan ini di dalam group whatsapp taman sepertimana yang biasa dibuat oleh jiran lain yang memarahi jiran yang tidak menjaga kucing sehingga menganggu rumah jiran lain.

Buat masa ini, aku bersabar saja. Pagi-pagi lihat saja tempat duduk kena kencing, aku basuh sajalah. Bak kata Allahyarham P. Ramlee "Haiya aci.. taik punya hal mahu bergaduh ka? Kasi cuci sajalah..."

Cuma di sini aku mahu memberi sedikit nasihat, jagalah binatang peliharaan kita dengan baik dan sempurna. Jangan menyusahkan orang lain atau jiran. Bagus bela binatang peliharaan ni, cuma ia mungkin membawa kita ke syurga, atau ke neraka.

Thursday, February 22, 2024

Gadis Berkerusi Roda


Pagi tadi sempat membaca komen-komen daripada rakan-rakan bloggers di dalam blog post ini. Salah seorang daripadanya telah membuat satu permintaan untuk membuat gambar AI (Artificial Intelligence) atau di dalam Bahasa Malaysia, Kepintaran Buatan.

Jadi, tidak mahu menghampakan permintaannya, aku pun tunaikan. Diharap ia menepati kehendak dan citarasa blogger LadyBird

Permintaannya ialah untuk menghasilkan gambar AI seorang gadis cantik bercermin mata yang sedang merenung jauh ke hadapan. Nah! Inilah hasilnya.






Ada sesiapa nak buat permintaan lagi? 

Friday, February 16, 2024

Akibat Tidak Menghafal Doa Qunut

Gambar sekadar hiasan 


"Qunut pendek ke qunut panjang?".

"Qunut pendek macam mana? Qunut panjang macam mana?"

"Qunut pendek bacaannya, qunut!, qunut panjang pula, bacaannya qunuuuuuuttttt...."

Inilah antara ungkapan tentang doa qunut yang menjadi bahan gurauan sejak dahulu hingga kini. Berulang-ulang tidak ditelan zaman. Baik yang muda, mahupun berusia masih menjadikan ia sebagai senda gurauan. 

Perihal doa qunut amat terkesan pada diri aku. Ia tersimpan rapi dalam lipatan sejarah hidupku. Walaupun perit dan memalukan namun aku bersyukur dan amat berterima kasih.

Aku amat berterima kasih kepada seorang ustazah yang membuka jalan untuk aku menghafal doa qunut. Andai tidak silap, nama ustazah tersebut adalah Zakiah. Ya betul, ustazah Zakiah namanya. 

Beliaulah mengajar aku mata pelajaran Pendidikan Islam. Namun aku terlupa, pada darjah berapa beliau mengajarku. Yang pastinya, ia berlaku ketika aku bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Lereh, Melaka. 

Masih aku teringat, ustazah Zakiah mengajar kami sekelas untuk menghafal doa qunut. Ustazah memberikan masa beberapa hari untuk setiap murid menghafal doa tersebut. 

Ustazah Zakiah merupakan seorang cikgu yang garang. Aku antara murid yang takut kepadanya, apatah lagi, subjek Pendidikan Islam antara kelemahan aku. Bukan aku seorang sahaja yang takut kepadanya, murid-murid  lain pun mempunyai perasaan yang serupa. 

Setelah tiba pada hari ustazah Zakiah menguji hafalan doa qunut oleh semua murid, terasa menggigil satu badan aku kerana masih tidak menghafal doa tersebut. Satu persatu murid diminta melafazkan doa qunut. Ramai yang dapat menghafal, dan yang pastinya aku antara murid yang tidak dapat menghafal doa qunut. 

Maka, terjadinya satu kaedah denda yang dikenakan kepada aku dan murid-murid lain senasib. Apa dendanya? Dendanya ialah kami perlu merangkak mengelilingi sebuah blok sekolah sambil diekori oleh ustazah. Sambil merangkak, perlu membaca doa qunut. 

Walaupun bloknya tidak besar, tetapi melibatkan beberapa buah bilik darjah dan bilik cikgu. Saat itu, betapa malunya diri ini hanya tuhan saja yang tahu. Perasaan marah kepada diri sendiri pun ada kerana gagal untuk menghafal doa qunut. 

Malu. Malu kerana murid-murid lain melihat dari tingkap nako sambil tersenyum dan tersengih dengan ekspresi muka yang sinis. Cikgu-cikgu yang turut melihat, juga menggelengkan kepala. 

Hari bersilih ganti, minggu bertukar minggu, akhirnya aku berjaya menghafal doa qunut. Alhamdulillah... Tidak lagi dikenakan denda yang tidak terjangkau dek akal iaitu merangkak sambil membaca doa qunut. Serik. Cukuplah sekali didenda merangkak. 

Walaupun ia merupakan satu denda yang amat memalukan, namun aku amat berterima kasih kepada Ustazah Zakiah. Dengan didikan Ustazah Zakiah lah aku mampu menghafal doa qunut. Barangkali, jika tidak didenda sebegitu rupa, kemungkinan lagi lambat aku untuk menghafal doa qunut. 

Terima kasih ustazah. Jasa baktimu akanku kenang selama-selamanya. Semoga ilmu yang bermanfaat yang telah dicurahkan menjadi bekalan yang baik di akhirat nanti. 

Murid RMT Nikmati Makanan di Tepi Longkang

Gambar sekadar hiasan 


Mengimbau kenangan lalu di zaman persekolahan, masih terngiang-ngiang detik bersama rakan-rakan ketika makan di kantin sekolah. Apabila bunyi loceng menandakan waktu rehat bermula, hati mula berasa tidak sabar untuk ke kantin bagi menikmati juadah yang disediakan oleh makcik kantin.

Saat cikgu membenarkan murid keluar berehat, kami berlari sepantas pelari pecut menuju ke kantin sekolah. Perlu segera ke kantin untuk mendapatkan makanan kerana risau kehabisan makanan yang disediakan. Takut diambil oleh murid lain. 

Aku merupakan murid RMT iaitu murid yang menerima Rancangan Makanan Tambahan. Ia adalah makanan percuma bagi keluarga yang berpendapatan rendah seperti aku. 

Pernah beberapa kali aku tidak dapat menikmati makanan RMT yang disediakan kerana telah kehabisan. Ia diambil oleh murid lain yang tidak layak mendapat RMT. Sepatutnya mereka tidak boleh mengambil makanan itu. 

Kebiasaannya apabila aku dan murid-murid RMT lain lambat dilepaskan oleh cikgu untuk keluar rehat, tiba saja di kantin akan kelihatan murid-murid yang tidak mendapat RMT telah memegang pinggan seperti menandakan makanan tersebut adalah milik mereka. Kononnya jika makanan tersebut tidak diambil oleh murid RMT, maka mereka akan memakannya. Situasi ini memang kerap berlaku. Ia sangat mengecewakan. 

Ada kalanya, geram juga perasaan melihat perangai murid-murid lain yang mengambil hak murid-murid RMT. Nak ditegur, risau bergaduh. Nak ditegur, tiada keberanian. Nak ditegur, kawan sendiri juga. Redha sajalah. 

Walaupun masih bersekolah rendah, tapi otak aku ligat berfikir, mengapa tidak ada cikgu yang mengawal makanan untuk murid RMT? Banyak kali aku tidak dapat makan makanan RMT kerana kehabisan atau diambil oleh murid yang tidak sepatutnya. Sekiranya ada kawalan, pasti situasi ini tidak akan berlaku. 

Berbekalkan wang saku sebanyak lima puluh sen terpaksa aku melupakan niat untuk mendapatkan makanan percuma sebaliknya perlu membeli di kantin. Nilai lima puluh sen zaman 80-an dulu masih boleh dapat lagi sepinggan mee goreng atau nasi lemak dan secawan air sirap. 

Seusai mendapat makanan, biasanya aku bersama rakan-rakan akan mencari 'port' terbaik untuk menikmati makanan. Bukan di meja makan, tetapi di tepi longkang berdekatan kaki lima kantin sekolah. 

Kami duduk di atas lantai sambil kaki di dalam longkang. Bukan longkang besar pun, cuma longkang kecil yang mengalirkan air hujan. Longkang pun tidak kotor dan tidak berair. Jika longkang tersebut berair akibat hujan barulah kami tidak menikmati makanan di situ.

Itulah nikmat, berselera kami menjamu selera di tepi longkang. Sambil makan bergurau senda. Ya, pada zahirnya sudah pasti tempat itu tempat itu tidak bersih. Tapi apa nak dikatakan, kami kan budak-budak. 

Thursday, February 8, 2024

Salam Isra' Mi'raj



Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Al-Isra : 1

Assalamualaikum WBT. 

Salam Isra' Mi'raj diucapkan kepada semua. Semua peristiwa Isra' Mi'raj ini meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT dan yakin serta bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW. adalah pesuruh Allah SWT. 

Tuesday, February 6, 2024

Review Hotel : Shahzan Hotel, Kuantan, Pahang

Kira-kira jam di tangan menunjukkan angka 2.30 petang, aku selamat sampai di bandar Kuantan, Pahang Darul Makmur. Aku bertolak dari Melaka kira-kira jam 9.30 pagi. Aku menaiki kenderaan jabatan, sebuah Proton Perdana yang dibawa oleh pemandu jabatan.

Tujuan aku ke Kuantan, Pahang bukanlah untuk bercuti. Tetapi untuk mengikuti sebuah program iaitu kolukium anjuran Muzium Pahang. Kolukium ini diadakan selama dua hari bermula 7 hingga 8 Februari 2024. Jadi, aku datang awal sehari memandangkan Melaka dan Pahang bukanlah dekat.

Kali ini Muzium Pahang mengadakan kolukium bertajuk "Daulat Tuanku : Kepimpinan Tradisional Dalam Institusi Kesultanan Melayu". Melihat kepada senarai tajuk dan para pembentang, ia bakal menjadi sebuah kolukium yang penuh berilmu dan bermanfaat bagi aku secara peribadi.

Tidak mahu aku mengulas lebih lanjut mengenai kolukium ini. Mungkin setelah selesai nanti baru boleh aku membuat post yang baharu untuk menceritakan hal kolukium tersebut.

Hari ini aku sekadar untuk mengulas hal penginapan hotel yang aku duduki di Kuantan iaitu Hotel Shahzan. Ketika menulis post ini, aku sedang berbaring di atas katil sambil menaip di telefon bimbit.

Hotel ini dikategorikan sebagai hotel 3 bintang. Biliknya tidak besar tapi tidak juga terlalu kecil. Bolehlah buat untuk menumpang tidur semalam dua. Cuma bilik airnya agak kecil. 

Mungiin hotel ini merupakan hotel lama, nampak kesan-kesan keuzuran pada perabot-perabot di dalamnya. Jubin atau seramik di dalam bilik air juga tidak kelihatan kemas. Dari aspek kebersihan, jika diberi markah skala 5, aku memberinya pada skala 3 kerana terdapat kesan kotoran yang tidak dibersihkan di celah-celah katil dan perabot.

Penghawa dingin pula agak mengecewakan. Kurang dingin. Aku fikirkan baru masuk dan buka jadi kurang sejuk, tapi apabila sudah lama berada di dalam bilik, masih kurang sejuk.

Namun, aku tidaklah mahu komen yang buruk-buruk sangat. Janji ia selamat dan boleh tidur dengan selesa, ia sudah cukup baik bagiku. Untuk tinggal sebentar untuk mengikuti acara mungkin agak berbaloi, namun jika hendak berbulan madu atau bercuti bersama keluarga, ini bukan pilihan aku.

Katil bujang memuatkan aku dan pemandu jabatan 



Pemandangan di luar. Tempat kolukium bawah situ sahaja. Boleh berjalan kaki 

Bilik air yang sedikit kecil. Nak angkat gambar keseluruhan pun payah 


Ada televisyen dan perabot yang ringkas 

Kolam mandi juga ada.