Wednesday, May 21, 2025

Masjid Agung Melaka: Saksi Bisu Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah "masjid" merujuk kepada sebuah bangunan yang berfungsi sebagai tempat umat Islam melaksanakan ibadah kepada Allah, khususnya solat. Selain daripada fungsi utamanya sebagai tempat solat berjemaah, masjid turut memainkan peranan penting sebagai pusat aktiviti keagamaan, sosial, pendidikan dan kemasyarakatan dalam sesebuah komuniti Islam.

Perkataan "agung" pula ditakrifkan sebagai besar, mulia, tinggi martabatnya atau amat dihormati. Dalam konteks lain, ia turut membawa makna hebat atau luar biasa. Perkataan ini sering kali digunakan untuk merujuk kepada sesuatu yang mempunyai nilai simbolik, berprestij serta mencerminkan ketinggian darjat atau kedudukan sesuatu entiti.

Institusi masjid bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Hal ini dapat dilihat menerusi catatan dalam Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) yang antara lainnya menggambarkan keberadaan masjid sebagai tempat ibadah bagi golongan pemerintah. Antara catatan yang signifikan ialah penyertaan raja dan para pembesar dalam solat tarawih, solat jenazah Sultan Muhammad Syah di masjid serta pembangunan masjid pada era pemerintahan Sultan Mansur Syah dan Sultan Alauddin Riayat Syah.

Masjid Agung Melaka di dalam teks Portugis dirujuk sebagai The Great Mosque boleh ditafsirkan sebagai sebuah institusi keagamaan yang besar serta mempunyai kedudukan yang penting. Dalam Suma Oriental, Tome Pires mencatatkan bahawa Sultan Mansur Syah telah mendirikan sebuah masjid yang indah yang tapaknya didirikan kubu A' Famosa (Yang Termasyhur)Masjid ini digambarkan sebagai struktur paling mengagumkan di wilayah Melaka.

Jika catatan tersebut dijadikan rujukan yang sahih, maka dapat dirumuskan bahawa Masjid Agung Melaka telah dibina sekurang-kurangnya tiga dekad sebelum kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511, iaitu sewaktu pemerintahan Sultan Mansur Syah (1456–1477).

Masjid Agung Melaka dikatakan dibina menggunakan pelbagai bahan binaan seperti bongkah batu, kayu dan atap yang diperbuat daripada jerami daun kelapa. Dari segi struktur, masjid ini dipercayai kukuh dan tersergam indah. Lokasinya pula amat strategik, terletak berhampiran dengan istana di atas bukit, muara sungai dan jambatan yang menghubungkan kedua-dua bahagian kota Melaka. 

Serangan Portugis terhadap Melaka pada 25 Julai 1511 (hari St. James) menunjukkan bahawa Masjid Agung merupakan antara struktur penting yang menjadi sasaran utama penjajah. Portugis telah menawan jambatan yang menghubungkan pusat pemerintahan Melaka dan kawasan seberang dengan membina kubu di kedua-dua hujung jambatan. Strategi ini bertujuan untuk memisahkan pasukan tentera Kesultanan Melaka dan menyekat bantuan dari kawasan Upeh (kini Jalan Jonker membawa ke Tengkera). 

Serangan ini menyaksikan pertempuran hebat antara tentera Portugis dan tentera Kesultanan Melayu Melaka yang mempertahankan masjid dan kubu berhampiran. Masjid akhirnya berjaya ditawan oleh Portugis setelah mereka mara dari arah pantai.

Setelah berjaya menguasai kawasan strategik, Albuquerque mengarahkan pembakaran masjid dan istana sebagai sebahagian daripada usaha menundukkan kerajaan Melaka. Namun begitu, akibat keletihan dan kekurangan bekalan makanan, pasukan Portugis terpaksa berundur ke kapal yang kemudiannya memberi ruang kepada tentera Kesultanan Melaka untuk memperkukuh pertahanan dan menguasai semula kawasan tersebut.

Pada 10 Ogos 1511 di hari Jumaat (sesetengah sumber menyatakan 8 Ogos 1511), serangan kedua Portugis dilancarkan pada waktu subuh dengan tumpuan utama terhadap jambatan utama dan Masjid Agung. Masjid dipertahankan oleh Sultan dan menantunya bersama 3,000 orang, namun akhirnya jatuh ke tangan Portugis selepas benteng kayu (palisad) dimusnahkan. 

Arahan Albuquerque untuk membunuh semua penduduk yang ditemui telah menyebabkan pertumpahan darah besar-besaran. Serangan ini menandakan berakhirnya pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka dengan Sultan dan para pengikutnya berundur. Masjid dan jambatan kekal sebagai lokasi strategik dalam pertempuran tersebut.

Bagi memperkukuh penguasaan mereka, Portugis telah membina kubu A' Famosa di tapak bekas Masjid Agung. Pembinaan ini menggunakan batu-batan dari Pulau Upeh dan kubur-kubur lama sultan Melaka. A' Famosa siap sepenuhnya pada Januari 1512. Tindakan ini bukan sahaja bersifat strategik, tetapi juga simbolik bagi menggantikan institusi keagamaan umat Islam dengan struktur ketenteraan penjajah.

Tome Pires mencatatkan Kubu A' Famosa ini dibina dengan kukuh, mempunyai dua perigi air tawar di dalam menara dan dua atau tiga lagi di bahagian benteng. Sebelah kubu ini menghadap laut, manakala sebelah lagi menghadap sungai. Dinding kubu sangat tebal. Menara utamanya berketinggian 5 tingkat.

Menurut Fernao Lopes de Castanheda pula, kubu ini siap dibina pada awal Januari 1512 di tapak bekas Masjid Agung. Ia dikelilingi tembok batu setebal lapan kaki  dan mengikut bentuk muka bumi. Di salah satu sudut, terdapat menara empat tingkat berwarna merah gelap yang menghadap laut. Semasa air pasang kapal tanpa muatan seberat 200 tan boleh berlabuh di sebelah menara ini. Di bahagian menghadap bukit, setiap sudut tembok mempunyai dua menara dengan meriam untuk pertahanan. Di dalam kubu pula terdapat dua perigi dengan air minuman yang bersih. 

Manuel Godinho de Erédia memberikan gambaran tentang kubu A' Famosa  berbentuk segi empat dan setiap sisinya sepanjang 10 fathoms. Tingginya pula 40 fathoms. Di sebelah timur terdapat satu kawasan bulat yang dikelilingi dinding batu dan mortar. Di tengah-tengah kawasan itu ada sebuah perigi. Jadi, jika berlaku kekacauan atau peperangan, orang ramai bersama bekalan mereka boleh berlindung di dalam kawasan berdinding itu. Kubu ini mempunyai menara setinggi bukit.

Jadi di manakah lokasi Masjid Agung Melaka?

Gambar 1 merupakan lakaran Kota Melaka zaman pemerintahan Portugis yang dilakarkan oleh Gaspar Correira dalam catatannya Lendas de India bertarikh 1550. Gambar 2 pula menunjukkan pandangan jarak dekat Kubu A' Famosa di mana di tapak inilah lokasi Masjid Agung Melaka. 

Gambar 1 : Kota Melaka zaman Portugis

Gambar 2 : Pandangan dekat Kubu A' Famosa

Gambar 3 pula menunjukkan pelan lantai Kubu A' Famosa yang dilakarkan oleh Manuel Godinho de Erédia bertajuk Planta da Fortaleza de Malaca dalam catatannya Declaraçam de Malaca e da India Meridional com Cathay pada tahun 1604. Berikut adalah ruang-ruang yang terdapat di dalam kubu A' Famosa seperti tercatat dalam pelan ini :

i. Fortaleza - Kubu utama 
ii. Almazem - Setor penyimpanan
iii. Tronco - Barak/ kediaman 
iv. Poco - Perigi
v. Salvarte - Pondok pengawal
vi. Porta - Pintu
 
Gambar 3 : Pelan lantai Kubu A' Famosa

Di gambar 4 ini adalah pelan Kota Melaka zaman Belanda yang dilakar pada tahun 1656 oleh pelukis pelan yang tidak diketahui (anonymous) bertajuk Plan van alle de bolwerken ofte punten, ooock alle andere principale plaetsen en Packhuysen binnen de stadt en fortresse Malacca enz.. Dapat dilihat Kubu A' Famosa bertanda huruf 'K' yang ditulis sebagai 't oud fort (Kota Lama) yang merujuk sebagai Kubu A' Famosa. Di sebelahnya terdapat Een Packhuys (gudang) bertanda 'S' merupakan binaan tambahan baharu di zaman Belanda. 

Apabila dibuat tindihan gambar pelan kubu A' Famosa ke atas pelan zaman Belanda ini (rujuk gambar 5), jelas di situlah merupakan kedudukan kubu A' Famosa. Perlu dijelaskan sekali lagi, A' Famosa didirikan oleh Portugis betul-betul di tapak Masjid Agung Melaka.

Gambar 4 : Pelan Kota Melaka zaman Belanda (VOC) 

Gambar 5 : Tindihan pelan lantai Kubu A Famosa ke atas pelan zaman Belanda

Berdasarkan Google Maps iaitu gambaran terkini (rujuk gambar 6) kawasan yang diyakini tapak kubu A' Famosa seterusnya menjawab persoalan di manakah kedudukan Masjid Agung Melaka. Kewujudan Surau Warisan Dunia hadapan Bastion Middleburg sebenarnya merupakan simbolik pada kewujudan Masjid Agung Melaka di kawasan itu. 

Gambar 6 : Anggaran kedudukan Kubu A Famosa ke atas Google maps zaman kini

Justeru, berdasarkan analisis kedudukan A' Famosa yang didokumentasikan melalui catatan, pelan dan lakaran oleh penulis-penulis Portugis, Belanda dan lain-lain dapat dirumuskan bahawa tapak Masjid Agung Melaka adalah di antara Bastion Middleburg dan Galeri Warisan Kota Melaka yang wujud pada hari ini. Gambar-gambar 7 - 9 merupakan lokasi sebenar Masjid Agung Melaka. 

Gambar 7 : Lokasi Masjid Agung Melaka

Gambar 8 : Lokasi Masjid Agung Melaka

Gambar 9 : Lokasi Masjid Agung Melaka


Rujukan :

Mons. Manuel Teixeira. The Portuguese Missions in Malacca and Singapore (1511-1958). Volume I - Malacca. 1986

Mons. Manuel Teixeira. The Portuguese Missions in Malacca and Singapore (1511-1958). Volume II - Malacca. 1986

A. Samad Ahmad. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).1997

Universiti Malaya. Albuquerque Caesar Timur - Teks-teks Pilihan daripada Afonso de Albuquerque dan Anaknya. 1995

Luis Filipe F. Reis Thomaz. Early Portuguese Malaccca. 2000

Armando Cortesao (ed.). The Suma Oriental of Tome Pires: An Account of The East From the Red Sea to China - Written in Malaccca and India 1512 - 1515. 2005

Mohd Jamil Mukmin. Melaka Pusat Penyebaran Islam di Nusantara. 2004

Hasanudin Yusof. Teknologi Kesultanan Melaka: Membongkar Keagungannya Berdasarkan Catatan Portugis. 2020

No comments:

Post a Comment

Sila lah komen. Segala komen adalah dihargai.