Wednesday, December 14, 2016

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.


Musim cuti ini, ramai sungguh orang yang melawat ke Melaka. Sehingga sesak jalan dibuatnya. Terima kasihlah kepada seluruh rakyat dari dalam dan luar negara yang menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan anda.

Bagi yang masih berada di Melaka hingga ke hujung minggu ini, apa kata, luangkan sedikit masa untuk bertandang ke Muzium Istana Kesultanan Melaka bagi menyaksikan persembahan Maulud Diba'i yang dibawa khas dari kumpulan Maulid Ar-Rahman.

Program ini akan diadakan pada ketentuan berikut :

Tarikh : 16 Disember 2016 (Jumaat)
Masa : 3.00 petang
Tempat : Muzium Istana Kesultanan Melaka

JUMPA ANDA SEMUA DI SANA... 

Monday, June 20, 2016

MEMBANTU PELAJAR PT3 MENDAPATKAN MAKLUMAT DI MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Hari Sabtu lepas baru-baru ini, banyak muzium-muzium di Malaysia "diserang" oleh pelajar-pelajar tingkatan 3 (PT3) bagi membuat kajian berkaitan Bangunan Bersejarah di Malaysia. Tidak terlepas juga muzium tempat aku bertugas. Begitu ramai pelajar-pelajar datang untuk mendapatkan maklumat. Meriah sungguh muzium pada hari itu.

Aku yang sememangnya bercuti pada hujung minggu mengambil keputusan untuk datang ke muzium bagi membantu para pelajar mendapatkan maklumat dengan lebih baik. Bukan apa, masa tu duduk rumah pun tiada apa benda nak buat, jadi baiklah aku membantu para pelajar tu. Lagi pun, aku memang suka nak berkongsi ilmu dengan orang ramai, lebih-lebih lagi pasal muzium tempat aku bertugas.

Harap-harap dapat membantu mereka mendapatkan maklumat

Ramai pelajarnya.. Penat berdiri, aku duduk pula

Pada catatan-catatan yang lepas, aku ada juga menulis berkaitan Muzium Istana Kesultanan Melaka yang boleh dijadikan rujukan seperti :


Dan hari ini aku ingin menambah sedikit maklumat berkaitan Muzium Istana Kesultanan Melaka untuk rujukan kepada para pelajar yang memerlukan maklumat ini.

*****

Muzium Istana Kesultanan Melaka merupakan replika istana di zaman Sultan Mansur Syah (1456 – 1477). Senibinanya adalah berdasarkan catatan-catatan di buku sejarah Melayu dan juga pandangan daripada Persatuan Sejarah negeri Melaka dan Persatuan Pelukis Melaka ketika itu.



Penubuhan muzium ini adalah idea yang lahir daripada Kerajaan Negeri Melaka yang pada ketika itu di ketuai oleh mantan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Rahim bin Tamby Chik. Ia telah dibina oleh Perbadanan Kemajuan negeri Melaka (PKNM) dan kemudiannya diserahkan kepada Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) untuk diuruskan.

Pembinaan muzium ini mengambil masa selama 2 tahun bermula 27 Oktober 1984 dan siap sepenuhnya pada 15 April 1986, dan pada 17 Julai 1986 muzium ini telah dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Kos keseluruhan pembinaan muzium ini adalah sebanyak RM 1.4 juta.

Terdapat kerja-kerja penambahbaikan yang telah dilakukan pada tahun 2000 melibatkan kerja-kerja mengantikan keseluruhan kepingan atap, disamping menambah lapisan aluminium foil di bahagian bawah atap.

Selain itu beberapa bahan mula dipamerkan di bahagian 6 anjung dengan diorama-diorama pedagang dan nobat. Juga penambahbaikan dilakukan ke atas diorama balairong seri melibatkan singgahsana sultan dan tempat duduk para pembesar dan bilik beradu sultan.

Pada tahun tersebut juga nama muzium ini ditukar dari Muzium Budaya kepada Muzium Istana Kesultanan Melaka.

Antara keunikan bangunan muzium ini ialah ia diperbuat daripada kayu-kayan tempatan seperti resak, cengal, nyatoh dan berlian yang mempunyai ketahanan dan lasak. Ia juga dibina dengan menggunakan sistem pasak dan tanggam.

Walaupun bangunan ini merupakan sebuah replika namun ia tetap tertakluk di dalam Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya Negeri Melaka 1988. Bangunan ini juga diwartakan sebagai bangunan warisan negeri Melaka.

Konsep pembinaan bangunan ini ialah diadaptasi dari gambaran istana Sultan Mansur Syah yang tercatat di dalam buku Sejarah Melayu dengan bantuan pakar rujuk dari Persatuan Sejarah negeri Melaka dan Persatuan pelukis Melaka. Dengan adanya gambaran istana tersebut maka terbinanya muzium ini. Lantas, kebanyakkan bangunan-bangunan kerajaan negeri Melaka seterusnya turut menggunakan senibina menyerupainya. Tidak hanya kepada bangunan kerajaan, malah terdapat juga bangunan-bangunan lain milik swasta seperti hotel yang mencontohi seni bina ini dan ianya seperti ikon bangunan negeri Melaka.

Keluasan kawasan tapak muzium ini adalah 0.7 hektar. Keluasan sebenar muzium ini adalah 67.2 meter panjang 18.5 meter tinggi dan lebarnya 12 meter. Jumlah pelawat yang boleh memasuki muzium ini dalam satu-satu masa adalah seramai 100 hingga 150 orang.

Wednesday, June 8, 2016

SELAMAT BERPUASA RAMADHAN 1437 HIJRAH

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Dagang Pak Malau dagang berlipat,
dagang hamba mahu berteman,
3 hari dah puasa macam dah lewat,
saja nak ucap Salam Ramadhan.


==================
PUASA YANG SIA-SIA (hanya dapat lapar dan dahaga)
==================

Rasullullah S.A.W. bersabda :

"Berapa banyak orang BERPUASA yang tidak mendapat apa-apa KECUALI LAPAR dan DAHAGA saja." (HR. Ibnu Majah) dan Syaikh Albani berkata :

Bagaimana  yang dikatakan puasa yang SIA-SIA itu?

1. Tidak SOLAT fardhu.

2. Mendedahkan AURAT.

3. Tidak menjaga MATA - elakkan menonton televisyen kerana pasti akan terlihat pelakon atau model iklan yang mendedahkan aurat.

4. Tidak menjaga LIDAH - mengumpat, bercakap bohong, menyebar fitnah.

5. Tidak menjaga TELINGA - mendengar perbualan orang yang sedang mengumpat.

6. Menyakiti hati IBU BAPA.

7. Melakukan MAKSIAT.

Justeru.., sama-samalah kita menjaga puasa masing-masing agar ia tidak menjadi puasa yang sia-sia.

Friday, May 20, 2016

TINGGALAN SEJARAH DI PULAU UPEH, MELAKA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Ilha De Pedras.. Inilah nama yang diberikan oleh orang Portugis kepada Pulau Upeh. Ilha De Pedras adalah bermaksud Pulau Berbatu. Mungkin kerana terdapat banyak batu-batu laterit di pulau tersebut maka nama itu diberikan kepada Pulau Upeh.

Pulau Upeh (Ilha De Pedras)


Pulau Upeh tidaklah sehebat pulau-pulau lain di Malaysia seperti Pulau Langkawi, Pulau Perhentian, Pulau Pangkor dan yang lain-lainnya. Namun, pulau ini menyimpan seribu satu sejarah bagi negeri Melaka sejak lebih 500 tahun yang lalu.

Pernah suatu ketika dahulu pulau ini dimajukan dengan adanya chalet-chalet untuk penginapan para pelancong, namun kini chalet-chalet tersebut tidak lagi dibangunkan dan terbiar usang.

Chalet yang terbiar usang

Bangunan utama chalet yang tidak lagi dimajukan

Dijemput untuk bersama-sama mengadakan lawatan kerja ke Pulau Upeh amat menerujakan kerana umurku sudah 35 tahun, tapi inilah kali pertama aku ke Pulau Upeh. Keterujuaan aku nak ke Pulau Upeh kerana aku tahu di sana terdapat tinggalan sejarah yang amat besarnya pada negeri Melaka.

Untuk ke Pulau Upeh, aku menaiki bot di Jeti Nelayan Klebang, Melaka. Laluan masuk ke jeti ini melalui jalan taman perumahan bersebelah Masjid Klebang Besar, Melaka. Aku sendiri sebenarnya tidak tahu adanya jeti di situ, mujur aku bertanya pada seorang petugas di stesyen minyak Petron, dan dia menunjukkan jalannya.

Gambar di Jeti Nelayan Klebang

Perjalanan dari jeti ke pulau tidaklah jauh sangat. Hanya memakan masa 5 minit sahaja. Aku ingatkan lama sangatlah, rupa-rupanya sekejab saja. Sempat juga aku bertanya tambangnya, hanya RM 25.00 seorang pergi dan balik ke Pulau Upeh. Kalau nak memancing di laut pula, bayaran RM 450.00 dikenakan untuk sebuah bot. 

Menuju ke Pulau Upeh

Pulau Upeh adalah tempat di mana batu-batu laterit diambil untuk membina Kota Melaka (Fortaleza De Malacca) yang didirikan oleh orang Portugis semasa penjajahannya di Melaka pada tahun 1511. Terdapat banyak kesan-kesan tinggalan pengambilan batu-batu laterit di pulau itu yang dapat dilihat. Selama ini aku hanya dapat melihatnya melalui gambar sahaja, kini aku dapat lihatnya dengan lebih dekat lagi.

Antara kesan-kesan tinggalannya adalah seperti gambar di bawah. Kalau dilihat, memang nampak cantik saja kesan ketukan / pahatan pada batu-batu laterit ini. Aku dapat gambarkan bahawa betapa jerih dan peritnya buruh-buruh paksa tempatan yang dipaksa untuk mengetuk / memahat batu-batu ini kemudian dibawa ke daratan untuk membina Kota Melaka (Fortaleza) 














Kini Kota Melaka  tiada lagi, yang tinggal hanya pintu gerbang Santiago (Porta De Santiago) akibat dimusnahkan oleh British oleh William Farquhar (residen British di Melaka) pada tahun 1807. Namun, Sir Stamford Raffles dan Lord Minto menghalang pemusnahan kota itu, malangnya ia telah berlaku, hanya pintu gerbang Santiago sahaja yang dapat diselamatkan dan dapat dilihat sehingga kini.

Sempat juga aku merayau-rayau di pulau ini. Boleh dikatakan satu pulau aku berpusing kerana pulau ini tidaklah besar. Dalam memerhati persekitaran pulau ini, aku dapat melihat dua buah kubur yang aku tidak pasti sangat sejarahnya iaitu kubur Datuk Agus dan kubur Datok Panglima Lam Ma Yong Sakti.

Batu nisan Datuk Agus

Batu nisan Datok Panglima Lam Ma Yong Sakti

Aku ke pulau Upeh ni dari pukul 9.00 pagi hingga 10.30 pagi. Kiranya banyak juga kawasan yang aku dapat terokai. Nasib baiklah ini adalah lawatan kerja, kalaulah dengan kawan-kawan, mahunya aku bawa batang pancing. Nampak macam banyak saja ikan-ikan di sana. 

Mungkin satu hari nanti aku ke sana lagi, tapi kali ini untuk memancing. Huh, sudah lama sangat tak memancing.

Tuesday, May 17, 2016

SELAMAT HARI MUZIUM 2016

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Apabila tiba bulan Mei, pelbagai hari yang disambut sama ada Hari Guru, Hari Jururawat dan pelbagai lagi. Tapi mungkin masih ada yang tidak mengetahui bahawa pada setiap 18 Mei adalah merupakan Hari Muzium Antarabangsa yang disambut oleh sekelian warga muzium seluruh dunia.


Dan kebanyakkan muzium-muzium yang berbayar akan memberikan kemasukan percuma atau diskaun pada 18 Mei. Jadi inilah peluang bagi mereka yang ingin melawat muzium pada tarikh tersebut.

Pada tahun ini, sambutan Hari Muzium Peringkat Kebangsaan dibuat di negeri Kedah. Berkampunglah warga muzium seluruh negara di sana dengan pelbagai program dan aktiviti menarik diadakan di sana. Namun, aku aku tidak sertai ke Kedah kerana peserta-peserta memang dipilih oleh Big Bos, kalau semua pergi kosong pula muzium-muzium di sini.

Akhir kata "Ingat 18 Mei, Ingat Hari Muzium"

* Sepatutnya post ini disiarkan esok, tapi takpelah.. Ucap awal-awal pun ok kan...

Monday, April 18, 2016

DI SENJA MAGHRIB

I
Di suatu senja seketika dahulu,
anak-anak pulang ke rumah sebelum Maghrib berkumandang,
tapi ada kalanya terlalai, terlupa akan waktunya,
takut dan resah mula menyelubungi,
cuba menutup salah, lalu menyelinap masuk laluan belakang,
tanpa suara, tanpa bunyi,
namun, ibu bapa lebih mengerti,
mulalah episod bersejarah,
tiada rotan, tali pinggang, segenggam daun kelapa menjadi penyedap tubuh badan,
berbirat, melelas, itu biasa,
rutin bagi yang tak dengar kata,
tak pula melawan,
sendiri redha akan kesilapan.

II
Di suatu senja seketika ini,
azan Maghrib berkumandang,
anak-anak tidak lagi pulang,
masih berkeliaran entah di mana,
ada yang masih terpekik, terlolong, gembira bermain,
tiada ada perasaan peduli,
ibu bapa turut alpa,
mengumpamakan anak sebagai si Luncai,
biarkan... biarkan...
Solat ke mana? mengaji ke mana? belajar ke mana?
biarkan... biarkan...

III
Di suatu senja di seketika kini,
tiada siapa lagi yang ambil pusing,
tiada siapa lagi yang ambil peduli,
Maghrib bukan lagi waktu mendidik, mendisiplin,
masing-masing punya agenda tersendiri,
Maghrib itulah masa menjamu di restoran,
Maghrib itulah masa membeli belah,
Maghrib itulah masa bermain atas nama riadah keluarga,
Maghrib itulah segalanya untuk leka.
Sayang sekali... Mungkin inilah seiring kemajuan. 
Budaya Maghrib kian dilupakan.

Fairus Mamat
10 April 2016
Bukit Katil, Melaka

Tuesday, January 12, 2016

BERCINTA DI SEKOLAH!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Alkisahnya, malam hari tu, aku buka beg sekolah anakku ,Muhammad Fahim untuk menyemak samaada ada kerja sekolah atau tidak. Semak punya semak, ternampaklah sekeping kertas yang tertulis seperti di bawah.


Huh!! Dahsyat juga anak aku ni. Baru beberapa hari masuk ke darjah 2, sudah ada yang minat pada dia. Budak perempuan sekarang pun begitu berani. Berani meluahkan perasaan, tapi tak pasti dia betul-betul faham atau tidak apa yang dituliskan itu.

Dengan segera aku bertanya pada dia untuk mendapatkan penjelasan. Dia kata, dia pun tak tahu kertas tu ada dalam begnya. Tetiba saja ada, katanya lagi.

Aku sudah brainwash dia awal-awal. Kalau nak berkawan boleh, tapi jangan nak bercinta dalam sekolah. Perlu belajar dulu sampai berjaya baru boleh ada makwe.