Sunday, June 16, 2024

Selamat Hari Raya Aidiladha 1445 Hijrah



Selamat Hari Raya Aidiladha 1445 Hijrah kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Hari yang mulia ini memberi penghormatan kepada pengorbanan Nabi Ibrahim yang menunjukkan ketabahan dan kepatuhan kepada Allah SWT. 

Semoga semangat pengorbanan ini menginspirasi kita untuk mengejar kebaikan, keadilan dan kasih sayang dalam hidup kita.

Sambutlah Hari Raya Aidiladha dengan penuh kegembiraan dan bersama-sama mengeratkan silaturrahim di antara keluarga, sahabat dan masyarakat kita.

Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha, semoga Allah merahmati kita semua dan memberi kebahagiaan di hari yang istimewa ini.

Maaf zahir dan batin dari saya Fairus bin Haji Mamat dan keluarga.

Monday, June 10, 2024

Satira Politikus



Yang dijanji turun telah pun naik,
Yang berguling di jalan raya, telah pun naik,
jadi menteri!
Yang berkhemah di dataran pun telah naik,
juga jadi menteri!
Yang berbaju kuning bak bunga matahari telah pun menjadi bunga tahi ayam,
macam taik!
busuk!

10 Jun 2024
Ayer Keroh, Melaka 

Wednesday, June 5, 2024

WW : Free Palestine





Koleksi Buku Antologi Puisi



Dalam diam tak diam, sudah empat buah buku antologi puisi telah diterbitkan, hasil kolaborasi dengan penulis-penulis dari Melaka dan luar Melaka. Terbitan terkini bertajuk Meracik Mentari, memperlihatkan dedikasi dan minat aku yang mendalam terhadap seni penulisan.

Mungkin ada yang menganggap, "Ala... setakat buku puisi sahaja..." 

Namun, apabila kita membaca puisi-puisi lama, kita dapat menangkap gambaran keadaan pada masa lalu. Kita mengenali budaya, sejarah dan warisan. Memahami perasaan individu pada zamannya, serta memahami kritikan dan pandangan yang pelbagai mengenai kehidupan masa silam.

Jika kita tidak menulis sekarang pada masa akan datang, generasi anak cucu mungkin akan berkata bahawa orang Melayu tidak menulis, tiada dokumentasi. Situasi ini mengingatkan kita betapa sukarnya mencari dokumen-dokumen dari zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu. Kepada siapa kita hendak menyalahkan apabila tiada rujukan? Mengharapkan Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Tuhfat Al-Nafis dan lain-lain yang terhad tidak mencukupi.

Oleh itu, kita perlu menulis dan menerbitkan karya kita. Sekurang-kurangnya, usaha ini akan menambah koleksi untuk diri sendiri dan mewariskan dokumentasi kepada generasi akan datang. Jika ia hanya untuk kepuasan sendiri sekalipun, kita tidak mengganggu kehidupan orang lain.

Insyaallah, buku antologi puisi yang ke-5 bakal menyusul. 

WW : All Eyes on Palestine


Monday, June 3, 2024

Nak Jadi Guru? Ikut Pesanan Abdullah Munsyi



Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi @ Munshi Abdullah di dalam Hikayat Abdullah ada mencatatkan lima perkara yang perlu ada pada seseorang yang ingin menjadi guru. Lima perkara tersebut ialah :

1. Hendaklah ada pengetahuan.

2. Hendaklah jangan ia membesarkan dirinya sebab pengetahuannya itu.

3. Hendaklah ada ia sabar daripada kesalahan dan kebodohan orang lain, serta menanggung kesusahan.

4. hendaklah diketahuinya tiap-tiap perkataan yang diajarkannya itu dari mana asalnya, dan bagaimana memakai ia.

5. Hendaklah ia rajin serta usaha.