Monday, December 11, 2023

Peribahasa Melayu (Bahagian 2)

Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, peribahasa didefinisikan sebagai bidalan, pepatah, ayat atau kelompok kata yg tetap susunannya dan mempunyai maksud tertentu.

Manakala apabila merujuk pada Kamus Dewan Edisi Keempat pula, peribahasa ialah ayat atau kelompok kata yang mem­punyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu, bidal, pepatah. 

Antara contoh peribahasa Melayu yang masih segar digunakan sehingga kini. 












Sunday, December 10, 2023

Peribahasa Melayu (Bahagian 1)

Mencipta gambar Artificial Intelligence (AI) dengan menggunakan Bing Creator merupakan salah satu yang boleh dikatakan terbaik bagi aku. Pelbagai laman sesawang dan aplikasi pernah aku cuba, dan buat masa ini Bing Creator adalah yang terbaik.

Dalam aku menelusuri dan mendalami Bing Creator maka terpancar ilham untuk mencipta gambar-gambar yang merujuk kepada peribahasa Melayu. Lantaran ini terjadilah gambar-gambar di bawah ini yang mungkin dapat memberikan manfaat kepada semua yang mencari bahan untuk peribahasa Melayu.









Ini baru bahagian satu, kalau rajin nanti aku buat bahagian seterusnya. 


Tuesday, December 5, 2023

E-Madani : Kenapa Tak Layak?


Entahlah.. Aku pun tak tahu. Aku kategori apa sebenarnya. Entah B40, M40 jauh lagi untuk capai T20. Bukan kaya pun. Gaji tak besar mana. Dari BRIM, BSH dan entah apa-apa lagi, tak pernah dapat. Bantuan anak sekolah pernah juga merasa dulu.

Sedang ramai duk mendaftar untuk mendapat RM100 e-madani, aku pun sama lorat isi permohonan juga. Akhirnya kecewa, tak berjaya. Takpelah. Mungkin bukan rezeki. Yang peliknya, bos aku pun layak, aku yang kuli pulak tak layak.. Haha..

Malas aku nak mohon dan rayu lagi.. Biarlah ia pergi dari minda aku ni. Baru je berangan nak beli baju kerja baharu. Haha.. Tak kesampaian. 

Kisah Si Burung Gagak


Alang-alang sudah dapat tangkap gambar gagak, sini aku kongsikan sedikit beberapa maklumat mengenai burung gagak termasuk apa yang terkandung dalam Al-Quran. 

Gagak adalah seekor haiwan yang tergolong dalam kumpulan burung, dimasukkan dalam filum cordata, kelas aves, order passeriformes, keluarga corvidae dan genus corvus dalam taksonomi saintifik. Terdapat kira-kira 40 spesies gagak di seluruh dunia, dengan setiap spesies biasanya ditemui di kawasan tertentu. Sebagai contoh, Corvus benneti dan Corvus orru adalah spesies asli Australia, sementara Corvus levaillantii tersebar di China, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, Bhutan dan Thailand. Di Malaysia, spesies biasa adalah Corvus enca, dikenali dengan paruh kecil dan kurus serta dikenali sebagai "slender-billed crow."

Gagak adalah haiwan maserba atau omnivor dengan diet yang berubah mengikut kawasan. Mereka cenderung menjadi perakus (scavenger) dan opportunis, memanfaatkan peluang dan sumber makanan yang tersedia. Gagak di kawasan bandar sering menggunakan tempat pembuangan sampah untuk mendapatkan makanan. Dengan sifat adaptasi yang tinggi, gagak memperlihatkan daya survival dan daya tahan yang kuat terhadap pelbagai persekitaran. Sumber : Si Gagak Yang Mati 

Terdapat kisah burung gagak dalam ayat Al-Quran di surah Al-Ma'ida pada ayat ke-31 yang bermaksud :

"Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: "Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?". Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal."

Ayat ini menyatakan Habil adalah manusia pertama yang meninggal dunia. Kematian si gagak akibat berkelahi dan dikebumikan oleh sesama gagak dijadikan hikmah Allah untuk mengajarkan cara yang baik dalam mengurus jenazah. Tindakan menguburkan jenazah menjadi amalan, termasuk dalam Islam di mana menjadi fardu kifayah bagi orang Islam untuk mengebumikan sesama muslim yang telah meninggal dunia.

Burung gagak juga merupakan antara haiwan yang boleh dibunuh sepertimana yang diriwayatkan oleh Aisyah R.anha, nabi Muhammad SAW bersabda :

“Lima haiwan fasiq dan boleh dibunuh di tanah haram iaitu: tikus, kala jengking, burung helang, burung gagak, dan anjing gila atau ganas.”

Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim. 

Burung gagak boleh dibunuh kerana ia merupakan haiwan perosak dan membawa mudarat dan bahaya kepada manusia. Perkataan "fasiq" pada haiwan adalah dengan maksud dicabut kehormatan pada sebahagian haiwan disebabkan sifatnya yang membawa kemudaratan, kehinaan dan kemusnahan kepada manusia. Sumber : Haiwan Yang Harus Untuk Dibunuh Dalam Islam 

Sekian sahaja perkongsian. Moga bermanfaat. 


Sunday, December 3, 2023

Matahari Terbenam di Pantai Puteri

Menangkap gambar keindahan alam merupakan antara kesukaan aku. Suka sekadar suka kerana aku sukakan keindahan, kebersihan dan sesuatu yang menarik dipandang.

Mengambil gambar tayum temayum atau matahari terbenam merupakan antara kegemaran ku. Dalam bidang fotografi ia disebut sebagai masa keemasan atau golden hour.

Boleh dikatakan setiap hari aku akan memerhati langit. Melihat keindahan kejadian yang diciptakan Allah SWT sambil mengucapkan Maha Suci Allah. Setiap hari gambaran terbaharu terpapar di langit melambangkan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.



Gambar ini aku rakamkan di Pantai Puteri, Melaka. Rasanya penulisan dalam blog ini banyak juga gambar-gambar dan kisah Pantai Puteri yang aku muat naik kerana ia sangat berhampiran dengan kampung aku iaitu berdekatan rumah bonda ku. 

Lagipun, anak saudara aku berniaga makanan di pantai ini justeru kerap juga aku ke sini melepak di kedainya bersama keluarga. Ada kalanya siap dengan khemah sekali aku dirikan untuk healing tepi pantai

Saturday, December 2, 2023

Nelayan Pantai Turun Menjaring Ikan


Keluar pagi balik petang
ada kala sampai malam 
cari rezeki bawa pulang 
untuk orang yang tersayang 
Oooo.. Bersabarlah. 

Lirik lagu Nyanyian Serambi yang dinyanyikan oleh Papa Rock Ramli Sarip bagai selari dengan kehidupan nelayan pantai yang mencari rezeki di pinggiran laut. Rezeki mereka diumpamakan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kalau tidak kais maka tiadalah rezeki.

Namun, rezeki adalah kurniaan Allah SWT. Jika Dia berkehendak untuk memberi lebih rezeki, tidak mustahil sekali kais boleh makan berhari-hari. Yang penting perlu berusaha selebihnya biarlah Allah SWT Yang menentukan takat mana rezeki yang bakal diterima.

Pokoknya ialah usaha. Usaha tangga kejayaan!

Gambar di atas diambil di Pantai Puteri, Melaka semasa nelayan pantai menurunkan jaring. Sekarang musim ikan cencaru. Saiz sedang-sedang. Dibuat bakar dicicah dengan kicap yang diperah limau bercampur cili dan bawang, perghhh... Memang padu. 

Monday, November 20, 2023

Pasang Filem Penapis Haba (Tinted Film) Baharu

Sekarang cuaca agak panas. Walaupun sudah masuk musim hujan, sekiranya cuaca panas, bahangnya amat terasa. Jika naik kereta, pendingin udara perlu dibuka ke angka 2 barulah terasa dingin. Jika tidak, seperti berada di dalam ketuhar gelombanglah jawabnya.




Sebenarnya baru juga lagi aku memasang filem penapis haba di kereta. Tapi disebabkan terkantoi dengan JPJ semasa sekatan jalan raya di Jalan Tengkera, aku terpaksa mengoyakkannya sebelum dibuat pemeriksaan di JPJ. Jadi, bahagian hadapan dan kiri dan kanan kereta aku terpaksa aku korbankan, sekiranya tak, saman atau kompaun akan dikenakan.

Setelah beberapa bulan, akhirnya hari ini aku memutuskan untuk memasang semula filem penapis haba yang baharu untuk keseluruhan cermin kereta. Sepatutnya buat yang hadapan sahaja, tapi memandangkan sebelah belakang juga sudah tidak berapa menarik angkara anak-anak bermain menyebabkan filem penapis haba bergarit-garit barangkali terkena benda tajam.

Selepas menukar dua biji tayar, aku terus ke kedai Filem Penapis Haba yang terletak di Klebang, Melaka yang berdekatan dengan rumah aku. Tukar tayar RM300.00, memasang filem penapis haba pula RM350.00. Jadinya jumlah kerugian aku hari ini ialah RM650.00. Takpelah, sekali sekala memanjakan kereta buruk aku yang telah berkhidmat kira-kira 15 tahun. 

Sunday, November 19, 2023

Tukar Tayar Kereta Baharu

Hari ini dapat meluangkan masa untuk ke kedai tayar untuk menukar tayar yang baharu. Asyik tertangguh sahaja kerana sekarang ini banyak program di tempat kerja hingga ke hujung minggu. Maklumlah, tahun hadapan merupakan Tahun Melawat Melaka, jadi banyak tugasan dan program yang perlu dilaksanakan.



Tayar pun sudah botak. Terdapat juga sedikit kebocoran kecil. Dalam empat ke lima hari perlu mengepam semula tayar. Jadi, sebelum ia rosak di tengah jalan, elok rasanya ditukar untuk mengelakkan dari perkara yang tidak diingini berlaku.

Sebelum keluar untuk ke kedai tayar, aku membuat carian dahulu di Google untuk mendapatkan kedai yang berhampiran. 

Aku memutuskan untuk menukar dua biji tayar di bahagian belakang. Dua biji tayar di hadapan masih dalam keadaan baik kerana baru juga ditukarkan tidak lama dahulu. 

Aku mengambil keputusan untuk ke kedai Ijan Tyre Service Center yang terletak Di Pulau Gadong, Melaka, tidak jauh dari kediaman aku. Kedai orang Melayu yang aku lihat banyak review yang baik di Google dari para pelanggannya.

Harga bagi dua biji tayar berserta imbangan (balancing) adalah RM300.00 sahaja. Ok lah tu. Tayar biasa-biasa sahaja. Janji kereta boleh berjalan dengan lancar dan selamat. 

Sunday, October 8, 2023

Tandas KLIA1 Bersih dan Servis Terbaik!

Semasa aku menulis post ini, aku sedang berada di Jakarta, Indonesia. Sekarang sudah jam 2.00 pagi waktu di sini. Pergi ke Jakarta macam biasa, kerana urusan kerja. Tahun ni sahaja dah 3 kali passport aku telah mempunyai cap imigresen Indonesia.



Sebab tak tahu nak cerita apa, aku nak kongsikan pengalaman menggunakan tandas di KLIA1. Tandasnya bersih, berkelas dunia. Sentiasa terdapat pekerja yang membersihkannya.

Yang bestnya, selepas keluar tandas, pekerja akan menunjukkan arah untuk membasuh tangan. Bukan itu sahaja, sabun pun ditekannya kemudian ditunjukkan tempat mengeringkan jari. Fuh! Dilayan seperti seorang raja sedangkan hanya menggunakan tandas.

Selepas keluar tandas, aku bercerita tentang hal ini dengan rakan sekerja. Secara berseloroh aku katakan padanya, nasib baik dia tak masuk sekali dalam tandas untuk cebokkan. 😆😆😆

Link Dadu Monopoly Go! Percuma



Bagi pemain-pemain Monopoly Go! yang telah kehabisan dadu, boleh cuba tebus dadu percuma di sini. Setiap satu link mempunyai 25 biji dadu. Selamat mencuba. 

25 biji dadu :

25 biji dadu :

25 biji dadu :

25 biji dadu :

25 biji dadu :

Selain itu boleh dapatkan dadu lagi di SINI

Jangan risau, ini bukan scam. Aku sendiri sudah tebus dadu di links ini. 

Wednesday, October 4, 2023

WW : Balai Seni Lukis Melaka


Link Dadu Monopoly Go!



Mula-mula anak-anak bermain permainan Monopoly Go!, akhirnya aku pula yang terjebak. Ikutkan, memang tiada permainan langsung dalam telefon bimbit aku, setelah menukar telefon, inilah permainan pertama yang aku muat turun. Bolehlah layan, sambil-sambil membuang masa mengisi masa terluang.

Yang tak seronoknya apabila bermain permainan ini dan kehabisan balingan dadu. Memang kena tunggu satu jam jawabnya untuk mendapatkan kembali bilangan dadu. 

Bagi yang tak sabar sangat nak dadu, sebenarnya ada cara. Ia bukan scam, cuma kadangkala kita terlambat kerana sudah ramai yang claim dadu atau kita telah pun claim dadu dalam jangka masa yang singkat. 

Untuk claim dadu percuma Monopoly Go! dan tanpa bayaran bolehlah cuba klik pada pautan-pautan ini. Selamat mencuba...

25 biji dadu :


30 biji dadu :

Ingat... Bermain jangan sampai leka! Santai-santai saja.

Dapatkan juga link dadu di SINI

Monday, October 2, 2023

Rindu Nak Duduki Semula Rumah



Dalam beberapa hari lagi sudah menghampiri dua bulan musibah kebakaran rumah terjadi kepada aku. Aku redha akan ketentuan Allah SWT. Hampir dua bulan juga aku duduk menyewa rumah yang terletak di dalam kawasan perumahan aku.

Tidak pasti bilakah episod tuntutan insurans kebakaran akan berakhir. Kini, hal tuntutan berada di fasa akhir. Sebenarnya pihak insurans telah pun menawarkan sejumlah bayaran, tetapi harga yang ditawarkan agak rendah berbanding sebut harga membaikpulih yang telah diberikan oleh beberapa kontraktor yang aku berikan. Aku dan isteri sedang berusaha untuk mendapatkan bayaran yang setimpal.

Sekarang ini, kerja-kerja membaikpulih rumah sedang berjalan. Aku mengeluarkan tabungan dan menggunakan sumbangan yang diterima. Ini tidak menganggu proses tuntutan insurans kerana laporan dari pihak bomba dan adjuster insurans telah pun selesai. Lagipun apabila lulus tuntutan insurans nanti, pihak insurans akan terus transfer wang ke akaun aku.

Sebenarnya banyak ingin aku kongsikan hal tuntutan insurans kebakaran. Tapi mungkin bukan sekarang. Apabila semuanya sudah selesai, akan aku kongsikan pengalaman aku perihal menuntut insurans kebakaran rumah.

Sunday, October 1, 2023

Pantun Buat Manchester United



Ikan tenggiri, sayur bendi, 
nasi dihidang beralas palas, 
laman sendiri menjadi badi, 
salam kosong satu dari Crystal Palace.

Burung tiong di balik kayu, 
menari-nari bersama tempua, 
wahai penyokong fanatik M.U,
marilah-mari masuk ke gua.

Pergi pekan membeli paku, 
diketuk tukul dibuat perahu, 
usah dikenang benda dah berlaku, 
penyokong M.U menangis siapa yang tahu. 

Air kelapa sama dirasa, 
enak airnya sampai termangu, 
buat apa membazir masa, 
Melaka United, Manchester United sama-sama dungu. 

Saturday, September 30, 2023

Menikmati Secawan Hazelnut Latte di Stadthuys Cafe



Di satu pagi yang cerah lagi mendamaikan di negeri Melaka yang bersejarah, aku memutuskan untuk mengunjungi  Stadthuys Cafe yang terletak di Muzium Sejarah dan Etnografi setelah menghadiri mesyuarat. Muzium ini tempat terletak pejabat aku di dalamnya. Bangunan muzium ini dikenali sebagai Stadthuys (Dewan Bandaran) dan lebih dikenali sebagai Rumah Merah. 

Aku memesan secawan hazelnut latte panas, yang harumnya begitu menggoda. Ketika aku duduk di dalam kafe, dengan jelas aku melihat bangunan bersejarah Stadthuys yang indah dan pohon-pohon yang hijau di sekitar courtyard

Ketika menghirup  hazelnut latte, rasanya begitu nikmat, dengan sentuhan kacang hazelnut yang lazat dan berkrim yang lembut. Suasana kafe yang tenang dan pemandangan yang indah membuatkan saat sebegini begitu sempurna.

Aku menikmati hazelnut latte tersebut sambil menyingkap hal sejarah Melaka yang kaya dan bagaimana tempat ini telah menyaksikan begitu banyak peristiwa bersejarah. Ini merupakan pagi yang damai dan penuh kenikmatan di Stadthuys Cafe.

Gambar Hitam Putih | Black and White Pictures (Monokrom | Monochrome)











Gambar hitam putih juga disebut sebagai gambar monokrom atau gambar dua warna. Ia adalah sejenis gambar atau foto yang hanya menggunakan dua warna iaitu hitam dan putih tanpa terdapat warna-warna lain. 

Gambar ini sering digunakan untuk menciptakan kesan retro atau estetika klasik dan dapat menghasilkan kontras yang kuat antara elemen-elemen dalam gambar. Teknik fotografi hitam putih atau monokrom masih digunakan sebagai bentuk seni yang unik

Bagaimana Mengekalkan Kedai Makan Terus Bertahan

Zaman sekarang tidak susah untuk mencari alasan kegagalan. Cuma tuding jari kepada pihak-pihak tertentu sebagai punca kegagalan. Salah orang itu, salah orang ini, salah kerajaan dan salah sesiapa saja tanpa mahu muhasabah diri sendiri. 

Tidakkah kita tahu bahawa satu jari yang ditunjuk, terdapat empat jari lagi yang menuding ke arah diri sendiri. Justeru, muhasabah diri sendiri adalah penting. Cari kelemahan, mana salah, mana silapnya, mengapa orang lain berniaga makanan boleh bertahan dari generasi ke generasi berpuluh tahun lamanya tapi kita baru satu, dua tahun berniaga sudah gagal. 

Sejak 1969 kedai Mee Bodo Tengkera masih kekal relevan hingga kini. Apa rahsianya? 


Untuk menjadikan kedai makan berjaya dan bertahan lama, terdapat beberapa pesanan penting yang perlu dipertimbangkan. Pesanan atau tips ini mungkin boleh diambil perhatian bagi mereka yang ingin menceburi bidang kedai makan atau restoran. 

1. Makanan Berkualiti

Pastikan makanan yang disajikan adalah berkualiti tinggi dan mempunyai rasa yang enak. Jika pelanggan suka dengan makanan anda, mereka akan kembali.

2. Perkhidmatan Pelanggan

Memberikan perkhidmatan pelanggan yang cekap dan mesra sangat penting. Pastikan kakitangan anda bersikap sopan, pantas dan sentiasa prihatin terhadap keperluan pelanggan.

3. Pengiklanan dan Pemasaran

Promosikan kedai makan anda melalui pelbagai saluran pengiklanan, termasuk media sosial, laman web atau lain-lain pengiklanan tempatan. Berikan tumpuan kepada strategi pemasaran yang sesuai dengan sasaran pelanggan anda.

4. Kebersihan dan Kesihatan

Pastikan premis kedai sentiasa bersih dan patuh kepada standard kesihatan dan keselamatan makanan. Keselamatan pelanggan adalah keutamaan.

5. Inovasi Menu

Selain menu tetap, pertimbangkan untuk menyajikan hidangan atau promosi khas yang berubah-ubah untuk menarik pelanggan baharu dan mengekalkan pelanggan sedia ada.

6. Analisis Perniagaan

Pantau prestasi kedai secara berkala dan gunakan data untuk membuat keputusan pintar dalam pengurusan perniagaan anda.

7. Staf yang Berkualiti

Pastikan bahawa staf anda mempunyai kemahiran dan pengalaman yang mencukupi dalam industri makanan.

8. Harga yang Berpatutan

Tetapkan harga yang munasabah yang mencerminkan kualiti hidangan anda dan berpatutan dengan pasaran tempatan.

9. Penglibatan dalam Komuniti

Terlibat dengan komuniti tempatan dengan menyokong acara-acara tempatan dan menjadi sebahagian daripada komuniti.

10. Pelanggan Tetap

Cipta program loyalti untuk menggalakkan pelanggan tetap dengan memberikan ganjaran atau diskaun kepada mereka yang sering datang.

Ingatlah bahawa perniagaan makanan adalah industri yang kompetitif, jadi anda perlu sentiasa berusaha keras dan fleksibel untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.

Thursday, September 28, 2023

Salam Maulidur Rasul 1445 Hijrah


Selawat dan salam buat nabi junjungan nabi Muhammad SAW. Semoga kita semua tergolong di kalangan orang yang akan menerima syafaat
.

Hari ini merupakan hari istimewa di mana kita merayakan tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW. yang membawa petunjuk kepada umat manusia. Semoga keberkatan, kebahagiaan dan keamanan sentiasa bersama kita.

Maulidur Rasul ialah masa untuk merenungkan ajaran-ajaran Nabi Muhammad SAW. Marilah kita sama-sama berusaha mengikuti jejaknya dalam segala aspek kehidupan untuk menjadikan dunia yang lebih baik dan harmoni.

Pada hari yang bersejarah ini, mari kita meningkatkan kecintaan dan penghargaan kita terhadap Nabi Muhammad SAW. dengan lebih mendalam memahami ajarannya. Semoga kita semua menjadi teladan dalam mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan harian.

Selamat menyambut Maulidur Rasul 1445 Hijrah, semoga kita sentiasa dalam lindungan Allah SWT.

Sunday, September 17, 2023

Baliklah Fairus... Dah Malam

Aku penjaga masa.. Waktu bekerja, aku sangat menjaga masa. Tak suka datang lewat kecuali ada hal-hal yang tak dapat dielakkan. Dalam diari seharian aku pun tiada istilah minum pagi jam 10 dan melepak lama di kedai. Kalau nak sarapan pagi, di rumah sahaja atau di kedai sebelum waktu bekerja bermula. Ada kalanya terlajak juga, tapi tidak terlalu lama.

Apabila balik kerja pun sama. Jam 5.00 petang, keluar pejabat dan imbas perakam waktu. Tak suka balik lambat, kerana bagi aku bertugas perlu pada waktu bekerja, selebihnya adalah bersama keluarga. Kita bekerja pun untuk menampung keluarga. Tapi ada kalanya sengaja balik lambat kerana terpaksa menunggu juga untuk ambil anak yang balik sekolah agama jam 6.15 petang.

Ada kalanya hujung minggu pun bekerja juga sekiranya ada program yang perlu diuruskan atau untuk dihadiri. Tak pun diperlukan untuk memantau "anak-anak buah" yang bekerja. 

Beberapa hari ini banyak kerja di pejabat, namun tetap balik jam 5.00. Bagi aku, esok masih ada untuk meneruskan tugasan kerana tidak dikehendaki disiapkan segera.

Namun, Jumaat lalu aku mendapat tugasan yang baru diterima dan perlu diselesaikan segera. Justeru, terpaksa merelakan diri untuk tunggu dan menyiapkan kerja sehingga selesai. Buat kerja seorang sahaja. Syukur tak berapa lama sangat untuk menyiapkan tugasan, selepas Maghrib tugasan pun selesai.

Kebetulan pejabat aku terletak di dalam muzium. Muzium telah ditutup, apabila aku memadamkan lampu pejabat, jadi gelap suasananya. Hanya lampu di luar bangunan yang samar-samar menjadi panduan untuk melangkah, lantas lampu di telefon bimbit dinyalakan. 

Terdapat lampu peti pameran tidak dipadam. Barangkali kakitangan terlupa memadam suis. 


Lama tak balik malam. Rasa seram juga apabila berlalu dari satu ruang ke ruang di dalam muzium. Dengan patung-patung ya lagi. Eh! Jangan buat pasal lah.. 😅


Selamat Hari Malaysia!



Hari Malaysia adalah satu lagi hari bersejarah yang memperingati penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Ini adalah hari di mana Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung untuk membentuk sebuah negara yang kuat dan bersatu. Namun kemudian Singapura keluar dari Malaysia. 

Selama enam dekad ini, Malaysia telah mencapai banyak pencapaian besar dalam pelbagai bidang. Dari segi ekonomi, Malaysia telah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dengan pertumbuhan ekonomi yang mantap dan peluang pekerjaan yang berkualiti.

Selain itu, Malaysia juga terkenal dengan kepelbagaian budaya, makanan yang lazat dan warisan sejarah yang kaya. Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai etnik dan agama menjadikan negara ini unik dalam aspek perpaduan dan keharmonian.

Selamat Hari Malaysia ke-60 tahun. Semoga Malaysia terus maju dan berjaya dalam tahun-tahun yang akan datang.

(ps. Terlewat sehari pula ucapan Selamat Hari Malaysia) 

Wednesday, September 13, 2023

WW : Keretapi Tanah Melayu


Mi Sup Tengkera Melaka!

Mi Sup Tengkera merupakan antara kedai makan yang popular di Melaka sejak sekian lama. Terkenang kembali zaman persekolahan dulu, masa 'main motor', kerap juga ke kedai ini bersama rakan-rakan.



Kedai Mi Sup Tengkera ini mempunyai persamaan dengan kedai Mee Bodo. Jarak kedua-dua kedai ini kira-kira 200 meter sahaja. Dan kedua-dua kedai ini adalah perniagaan keluarga mereka. Mee Bodo di sebelah pagi, Mi Sup Tengkera pula di sebelah petang. Buka setiap hari kecuali hari Khamis. 

Di kedai Mi Sup Tengkera terdapat hanya hidangan mi sup, kuetiau sup dan mihun sup. Lain-lain makanan tiada. Hidangannya pun ringkas, ada mi, kuetiau atau mihun, sedikit sayur sawi, hirisan cili dan racikan isi ayam. Namun ada yang istimewa di situ iaitu popia, goreng dan basah. Namun selalu sahaja cepat habis. Datang lambat masa balik kerja, memang habislah jawabnya. 

Kedainya sentiasa ramai orang, namun layanannya cepat. Tak perlu tunggu lama. Apabila sudah memesan makanan, tak sampai satu minit sudah sampai. Makan pun sekejap sahaja. Ada orang boleh makan sehingga dua mangkuk, tapi aku cukuplah satu mangkuk sahaja. 

Jika nak dibandingkan antara Mi Sup Tengkera dan Bodo, secara jujurnya aku lebih suka Mee Bodo. Apabila lalu sahaja di Jalan Tengkera, secara automatik fikiran sudah terbayang nak makan Mee Bodo.

Jadi, kepada sesiapa yang datang ke Melaka jangan lupa untuk merasai makanan di kedua-dua kedai ini. Sekali cuba pasti nak lagi. 😀👍🏼

Tuesday, September 12, 2023

Roti Canai Roti Terbaik Dunia!!!


Syabas dan tahniah buat Roti Canai Malaysia kerana telah diiktiraf sebagai roti terbaik dunia oleh TasteAtlas bagi kedudukan terkini September 2023 dengan mata sebanyak 4.9. Kedudukan ini sedikit sebanyak mungkin dapat menaikkan nama Malaysia serata dunia melalui kulinari yang sememangnya menjadi subjek tular zaman kini.

Berikut merupakan kedudukan 10 terbaik roti dunia menurut laman sesawang TasteAtlas :

1. Roti canai, Malaysia
2. Pan de bono, Colombia
3. Butter garlic naan, India
4. Nan-e barbari, Iran
5. Pão de queijo, Brazil
6. Baguette, France
7. Naan (collectively), India
8. Piadina Romagnola, Italy
9. Marraqueta, Chile
10. Pan de yuca, Colombia

Memang tidak dinafikan bahawa roti canai amat popular di Malaysia. Bukan sahaja oleh rakyat Malaysia, malah orang asing juga gemar menikmati hidangan ini. Aku sebagai salah seorang yang berkebolehan menebar roti canai juga amat berbangga dengan pencapaian yang dikecapi oleh roti canai.

Banyak kenangan aku bersama roti canai sejak zaman sekolah menengah lagi aku telah mahir menebar roti canai. Aku membantu abang ipar aku di kedainya. Kedainya dulu pun ramai juga pelanggannya kerana terletak di lokasi perindustrian. Jadi ramai pekerja pelabuhan dan kilang menjamu selera di kedainya.

Dahulu, seingat aku roti canai kosong dijual dengan harga RM0.40 sahaja. Murah! 

Roti canai dinikmati tak kira bangsa dan agama. Semua masyarakat menyukai roti canai. Makanan yang menyatukan. Menyatukan rakyat Malaysia.

Zaman dahulu, roti canai tidak banyak pilihan, hanya roti kosong dan roti telur. Jika memesan roti telur, secara automatik akan terdapat cili dan bawang di dalamnya. Jika tidak mahu cili dan bawang, perlu maklumkan dahulu kepada peniaga. Sekarang jika memesan roti telur, hanya ada telur sahaja, jika hendak tambah cili dan bawang perlu maklumkan dan ia dicas lain harga. Seterusnya wujud pula roti sardin. 

Zaman sekarang sudah banyak variasi roti canai. Sudah pelbagai antaranya roti bawang, roti pisang, roti tisu, roti sarang burung dan pelbagai lagi sehingga terdapat menu yang pelik-pelik. Jelas kini roti canai bergerak seiring perkembangan zaman.

Cukuplah sahaja coretan aku berkaitan roti canai. Majukan roti canai untuk Malaysia!!!
 

Saturday, September 9, 2023

Terima Kasih Semua



Bagi yang pernah terbaca post aku bulan lalu pasti perasan tentang kebakaran yang berlaku pada rumah aku yang terjadi pada 6 Ogos 2023. Satu musibah dan ujian daripada Allah SWT yang tidak mungkin dapat aku lupakan sepanjang hidup.

Selepas kejadian itu berlaku, pelbagai pihak tampil membantu termasuk orang perseorangan. Bantuan dari segi kewangan boleh dikatakan banyak juga yang aku perolehi . Aku sangat terharu dengan hati budi dan keikhlasan orang-orang yang membantu. Antara sumbangan dalam bentuk kewangan yang diterima ialah dari :

1. Adik beradik
2. Saudara mara 
3. Jiran tetangga 
4. Persatuan Penduduk Taman Pasir Emas 
5. Penduduk Kampung & Khariah Batang Tiga 
6. Masjid Al-Aminin, Klebang 
7. Sekolah, guru, ibu dan bapa murid (sekolah kebangsaan dan sekolah agama) 
8. Rakan-rakan sekerja dan rakan sekerja isteri 
9. Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) 
10. Kerajaan Negeri Melaka melalui JAPERUN 
11. Ahli Parlimen Tangga Batu
12. Rakan-rakan AKRAB MELAKA 
13. Kelab Sukan dan Kebajikan PERZIM 
14. Lain-lain lagi termasuk orang perseorangan. 

Mungkin ada lagi yang aku terlepas pandang. Sengaja aku catatkan penyumbang-penyumbang ini agar suatu hari nanti akan aku balas kembali kebaikan yang telah mereka dilakukan terhadap diri aku dan keluarga. 

Bukan sahaja bantuan dari aspek kewangan, jiran tetangga dah ahli keluarga turut bergotong-royong mengangkat barang-barang yang masih boleh digunakan untuk ditempatkan di rumah sebelah yang aku sewa untuk meletakkan barang-barang. 

Kebetulan di kiri dan kanan aku rumah masih belum dihuni oleh pemiliknya. Jadi, aku sewa untuk meletakkan barang-barang. Untuk menginap pula, aku menyewa sebuah lagi rumah di dalam taman perumahan aku. Sebenarnya rumah itu dibuat homestay, tapi pemiliknya berbesar hati menyewakannya kepada aku dengan harga sewaan bulanan dengan harga 'mampu bayar'.

Terima kasih semua! Sangat besar pengorbanan kalian dalam memberi sumbangan kepada aku dan keluarga. Semoga Allah SWT sahaja yang dapat membalas jasa dan kebaikan yang telah kalian curahkan. Insya-Allah, setelah selesai semuanya, aku berhasrat untuk membuat kenduri doa selamat.

TERIMA KASIH SEMUA...