Saturday, May 17, 2025

Fairus Meninggal Dunia 1981 - 2025

Pada petang 15 Mei 2025, lebih kurang jam 6, aku terima berita sedih dari group whatsapp. Seorang rakan sebaya aku, Mohd Saiful Fairus, telah meninggal dunia di Hospital Putrajaya. Nama kami sama. Rasa terkejut, sedih dan pilu sangat masa tu.

Bersemadilah duhai sahabat di alam baqa

Arwah sebenarnya sudah lama sakit dan terlantar di Hospital Putrajaya. Aku tahu keadaannya tidak begitu baik sejak beberapa waktu lalu, tapi tak sangka Allah lebih sayangkan dia. 

Nak kata kami rapat, memang rapat juga. Kami sekolah sama dari sekolah menengah sampai ke tingkatan 6. Selalu dapat kelas yang sama. Lepas habis sekolah, kami kerja di kilang yang sama pula. Masa tu, aku selalu tumpangkan dia naik motor ke tempat kerja. Banyak masa kami habiskan bersama. 

Pada 16 Mei 2025, aku bersama empat orang rakan sebaya dari Melaka pergi ke Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan untuk ziarah jenazah. Kami sampai lepas solat jenazah selesai. Tapi syukur, kami masih sempat bantu angkat jenazah masuk ke dalam van jenazah.

Waktu tengok jenazah kawan sendiri yang dulu sama-sama membesar, rasa sebak sangat. Terasa cepatnya masa berlalu. Dulu sama-sama hidup, kini dia dah pergi selamanya.

Pemergian arwah juga buat kami lima orang sahabat lama bertemu semula walaupun semuanya duduk berdekatan di dalam negeri Melaka tapi jarang juga bertemu. Walau dalam suasana sedih, kami bersyukur dapat beri penghormatan terakhir untuk kawan kami.

Mewakili rakan-rakan group whatsapp menyampaikan sumbangan kepada anak tunggalnya 

Al-Fatihah buat Mohd Saiful Fairus. Ya Allah, Kau ampunkanlah segala dosanya, Kau luaskan kuburnya, Kau tempatkan dia bersama orang-orang yang beriman dan Kau jadikanlah kuburnya sebagai taman-taman syurga. 

* Sebak aku menaip entri ini.

No comments:

Post a Comment

Sila lah komen. Segala komen adalah dihargai.