Showing posts with label masjid. Show all posts
Showing posts with label masjid. Show all posts

Wednesday, May 21, 2025

Masjid Agung Melaka: Saksi Bisu Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah "masjid" merujuk kepada sebuah bangunan yang berfungsi sebagai tempat umat Islam melaksanakan ibadah kepada Allah, khususnya solat. Selain daripada fungsi utamanya sebagai tempat solat berjemaah, masjid turut memainkan peranan penting sebagai pusat aktiviti keagamaan, sosial, pendidikan dan kemasyarakatan dalam sesebuah komuniti Islam.

Perkataan "agung" pula ditakrifkan sebagai besar, mulia, tinggi martabatnya atau amat dihormati. Dalam konteks lain, ia turut membawa makna hebat atau luar biasa. Perkataan ini sering kali digunakan untuk merujuk kepada sesuatu yang mempunyai nilai simbolik, berprestij serta mencerminkan ketinggian darjat atau kedudukan sesuatu entiti.

Institusi masjid bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Hal ini dapat dilihat menerusi catatan dalam Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) yang antara lainnya menggambarkan keberadaan masjid sebagai tempat ibadah bagi golongan pemerintah. Antara catatan yang signifikan ialah keberangkatan raja dan para pembesar dalam solat tarawih, solat jenazah Sultan Muhammad Syah di masjid serta pembangunan masjid pada era pemerintahan Sultan Mansur Syah dan Sultan Alauddin Riayat Syah.

Masjid Agung Melaka di dalam teks Portugis dirujuk sebagai The Great Mosque boleh ditafsirkan sebagai sebuah institusi keagamaan yang besar serta mempunyai kedudukan yang penting. Dalam Suma Oriental, Tome Pires mencatatkan bahawa Sultan Mansur Syah telah mendirikan sebuah masjid yang indah yang tapaknya didirikan kubu A' Famosa (Yang Termasyhur)Masjid ini digambarkan sebagai struktur paling mengagumkan di wilayah Melaka.

Jika catatan tersebut dijadikan rujukan yang sahih, maka dapat dirumuskan bahawa Masjid Agung Melaka telah dibina sekurang-kurangnya tiga dekad sebelum kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511, iaitu sewaktu pemerintahan Sultan Mansur Syah (1456–1477).

Masjid Agung Melaka dikatakan dibina menggunakan pelbagai bahan binaan seperti bongkah batu, kayu dan atap yang diperbuat daripada jerami daun kelapa. Dari segi struktur, masjid ini dipercayai kukuh dan tersergam indah. Lokasinya pula amat strategik, terletak berhampiran dengan istana di atas bukit, muara sungai dan jambatan yang menghubungkan kedua-dua bahagian kota Melaka. 

Serangan Portugis terhadap Melaka pada 25 Julai 1511 (hari St. James) menunjukkan bahawa Masjid Agung merupakan antara struktur penting yang menjadi sasaran utama penjajah. Portugis telah menawan jambatan yang menghubungkan pusat pemerintahan Melaka dan kawasan seberang dengan membina kubu di kedua-dua hujung jambatan. Strategi ini bertujuan untuk memisahkan pasukan tentera Kesultanan Melaka dan menyekat bantuan dari kawasan Upeh (kini Jalan Jonker membawa ke Tengkera). 

Serangan ini menyaksikan pertempuran hebat antara tentera Portugis dan tentera Kesultanan Melayu Melaka yang mempertahankan masjid dan kubu berhampiran. Masjid akhirnya berjaya ditawan oleh Portugis setelah mereka mara dari arah pantai.

Setelah berjaya menguasai kawasan strategik, Albuquerque mengarahkan pembakaran masjid dan istana sebagai sebahagian daripada usaha menundukkan kerajaan Melaka. Namun begitu, akibat keletihan dan kekurangan bekalan makanan, pasukan Portugis terpaksa berundur ke kapal yang kemudiannya memberi ruang kepada tentera Kesultanan Melaka untuk memperkukuh pertahanan dan menguasai semula kawasan tersebut.

Pada 10 Ogos 1511 di hari Jumaat (sesetengah sumber menyatakan 8 Ogos 1511), serangan kedua Portugis dilancarkan pada waktu subuh dengan tumpuan utama terhadap jambatan utama dan Masjid Agung. Masjid dipertahankan oleh Sultan dan menantunya bersama 3,000 orang, namun akhirnya jatuh ke tangan Portugis selepas benteng kayu (palisad) dimusnahkan. 

Arahan Albuquerque untuk membunuh semua penduduk yang ditemui telah menyebabkan pertumpahan darah besar-besaran. Serangan ini menandakan berakhirnya pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka di situ dengan Sultan dan para pengikutnya berundur. Masjid dan jambatan kekal sebagai lokasi strategik dalam pertempuran tersebut.

Bagi memperkukuh penguasaan mereka, Portugis telah membina kubu A' Famosa di tapak bekas Masjid Agung. Pembinaan ini menggunakan batu-batan dari Pulau Upeh dan kubur-kubur lama sultan Melaka. A' Famosa siap sepenuhnya pada Januari 1514. Tindakan ini bukan sahaja bersifat strategik, tetapi juga simbolik bagi menggantikan institusi keagamaan umat Islam dengan struktur ketenteraan penjajah.

Tome Pires mencatatkan Kubu A' Famosa ini dibina dengan kukuh, mempunyai dua perigi air tawar di dalam menara dan dua atau tiga lagi di bahagian benteng. Sebelah kubu ini menghadap laut, manakala sebelah lagi menghadap sungai. Dinding kubu sangat tebal. Menara utamanya berketinggian 5 tingkat.

Menurut Fernao Lopes de Castanheda pula, kubu ini siap dibina pada awal Januari 1512 di tapak bekas Masjid Agung. Ia dikelilingi tembok batu setebal lapan kaki  dan mengikut bentuk muka bumi. Di salah satu sudut, terdapat menara empat tingkat berwarna merah gelap yang menghadap laut. Semasa air pasang kapal tanpa muatan seberat 200 tan boleh berlabuh di sebelah menara ini. Di bahagian menghadap bukit, setiap sudut tembok mempunyai dua menara dengan meriam untuk pertahanan. Di dalam kubu pula terdapat dua perigi dengan air minuman yang bersih. 

Manuel Godinho de Erédia memberikan gambaran tentang kubu A' Famosa  berbentuk segi empat dan setiap sisinya sepanjang 10 fathoms. Tingginya pula 40 fathoms. Di sebelah timur terdapat satu kawasan bulat yang dikelilingi dinding batu dan mortar. Di tengah-tengah kawasan itu ada sebuah perigi. Jadi, jika berlaku kekacauan atau peperangan, orang ramai bersama bekalan mereka boleh berlindung di dalam kawasan berdinding itu. Kubu ini mempunyai menara setinggi bukit.

Jadi di manakah lokasi Masjid Agung Melaka?

Gambar 1 merupakan lakaran Kota Melaka zaman pemerintahan Portugis yang dilakarkan oleh Gaspar Correira dalam catatannya Lendas de India bertarikh 1550-an Gambar 2 pula menunjukkan pandangan jarak dekat Kubu A' Famosa di mana di tapak inilah lokasi Masjid Agung Melaka. 

Gambar 1 : Kota Melaka zaman Portugis

Gambar 2 : Pandangan dekat Kubu A' Famosa

Gambar 3 pula menunjukkan pelan lantai Kubu A' Famosa yang dilakarkan oleh Manuel Godinho de Erédia bertajuk Planta da Fortaleza de Malaca dalam catatannya Declaraçam de Malaca e da India Meridional com Cathay pada tahun 1613. Berikut adalah ruang-ruang yang terdapat di dalam kubu A' Famosa seperti tercatat dalam pelan ini :

i. Fortaleza - Kubu utama 
ii. Almazem - Setor penyimpanan
iii. Tronco - Barak/ kediaman 
iv. Poco - Perigi
v. Salvarte - Pondok pengawal
vi. Porta - Pintu
 
Gambar 3 : Pelan lantai Kubu A' Famosa

Di gambar 4 ini adalah pelan Kota Melaka zaman Belanda yang dilakar pada tahun 1656 oleh pelukis pelan yang tidak diketahui (anonymous) bertajuk Plan van alle de bolwerken ofte punten, ooock alle andere principale plaetsen en Packhuysen binnen de stadt en fortresse Malacca enz.. Dapat dilihat Kubu A' Famosa bertanda huruf 'K' yang ditulis sebagai 't oud fort (Kota Lama) yang merujuk sebagai Kubu A' Famosa. Di sebelahnya terdapat Een Packhuys (gudang) bertanda 'S' merupakan binaan tambahan baharu di zaman Belanda.

Bangunan yang bertanda huruf 'L' ialah Heer Gouverneurs Huys (rumah Gabenor) iaitu tapak Stadthuys sekarang. Struktur yang bertanda 'B' pula merupakan Bastion Middleburg.

Apabila dibuat tindihan gambar pelan kubu A' Famosa ke atas pelan zaman Belanda ini (rujuk gambar 5), jelas di situlah merupakan kedudukan kubu A' Famosa. Perlu dijelaskan sekali lagi, A' Famosa didirikan oleh Portugis betul-betul di tapak Masjid Agung Melaka.

Gambar 4 : Pelan Kota Melaka zaman Belanda (VOC) 

Gambar 5 : Tindihan pelan lantai Kubu A' Famosa ke atas pelan zaman Belanda

Berdasarkan Google Maps iaitu gambaran terkini (rujuk gambar 6) kawasan yang diyakini tapak kubu A' Famosa seterusnya menjawab persoalan di manakah kedudukan Masjid Agung Melaka. Kewujudan Surau Warisan Dunia di hadapan Bastion Middleburg sebenarnya merupakan simbolik pada kewujudan Masjid Agung Melaka di sekitar kawasan itu. 

Gambar 6 : Anggaran kedudukan Kubu A' Famosa ke atas Google Maps zaman kini

Justeru, berdasarkan analisis kedudukan A' Famosa yang didokumentasikan melalui catatan, pelan dan lakaran oleh penulis-penulis Portugis, Belanda dan lain-lain dapat dirumuskan bahawa tapak Masjid Agung Melaka adalah terletak berdekatan kawasan parkir di bangunan Muzium Sejarah dan Etnografi (Stadthuys) dan di hadapannya terdapat Bastion Middleburg dan Galeri Warisan Kota Melaka yang wujud pada hari ini. Gambar-gambar 7 - 11 merupakan lokasi sebenar Masjid Agung Melaka.

Gambar 7 : Kawasan lereng bukit ini termasuk di bawahnya adalah tapak Masjid Agung Melaka

Gambar 8 : Lokasi Masjid Agung Melaka, di kawasan parkir Stadthuys

Gambar 9 : Lokasi tapak Masjid Agung Melaka

Gambar 10 : Lokasi tapak Masjid Agung Melaka, berdekatan Stadthuys

Gambar 11 : Sebahagian tapak Masjid Agung Melaka.

Gambar 11 : Lokasi tapak masjid Agung Melaka yang didirikan A' Famosa di sini

Rujukan :

Mons. Manuel Teixeira. The Portuguese Missions in Malacca and Singapore (1511-1958). Volume I - Malacca. 1986

Mons. Manuel Teixeira. The Portuguese Missions in Malacca and Singapore (1511-1958). Volume II - Malacca. 1986

A. Samad Ahmad. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).1997

Universiti Malaya. Albuquerque Caesar Timur - Teks-teks Pilihan daripada Afonso de Albuquerque dan Anaknya. 1995

Luis Filipe F. Reis Thomaz. Early Portuguese Malacca. 2000

Armando Cortesao (ed.). The Suma Oriental of Tome Pires: An Account of The East From the Red Sea to China - Written in Malaccca and India 1512 - 1515. 2005

Mohd Jamil Mukmin. Melaka Pusat Penyebaran Islam di Nusantara. 2004

Hasanudin Yusof. Teknologi Kesultanan Melaka: Membongkar Keagungannya Berdasarkan Catatan Portugis. 2020

Tuesday, January 28, 2025

Menghayati Ceramah Israk Mikraj

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Surah Al-Isra’ : 1

Alhamdulillah.. Malam tadi berkesempatan untuk hadir mendengar ceramah di masjid kawasan aku iaitu Masjid Al-Aminin. Ceramah agama tentang peristiwa Israk Mikraj. Penceramahnya ialah PU Yeop atau nama sebenarnya Ustaz Mohd Zainudin Mohamed Zaini.

Yang kiri tu ustaz, kanan pula baru nak start 

Menarik cara penyampaian PU Yeop. Berilmu, suara yang lunak lagi jelas sambil menyelitkan sedikit gurauan. Mungkin tidak mahu para pendengar bosan atau mengantuk.

Baca juga: 
 
Semoga semua jemaah yang hadir di Masjid mahupun yang menonton ceramah secara langsung di Facebook mendapat manfaat dari apa yang telah disampaikan. 

Tuesday, September 17, 2024

Keindahan Rumah Kayu di Melaka



Dalam salah satu aktiviti mingguan Gerobok Rezeki Masjid Al-Aminin, aku berpeluang menjelajah kariah Batang Tiga, Melaka untuk mengagihkan sumbangan barang-barang keperluan kepada penduduk setempat. Semasa perjalanan, mataku terpukau dengan sebuah rumah kayu yang terletak di tengah-tengah kehijauan alam.

Rumah itu sudah kelihatan usang dengan dinding kayu asli, menyerlahkan aura tradisional yang begitu mendamaikan. Di sekelilingnya, pokok-pokok besar menghiasi lanskap, melindungi rumah dari terik matahari. Suasana di situ amat menenangkan. Bayu lembut meniup dedaunan pokok, menambahkan kesejukan yang terasa hingga ke dalam jiwa.

Melangkah lebih dekat, aku dapat merasakan betapa aman dan tenteramnya kawasan ini. Jauh dari hiruk-pikuk bandar, rumah kampung ini seolah-olah menyimpan kenangan dan ketenangan hidup orang dulu-dulu. Udara bersih, bunyi alam yang mengiringi, semuanya mencipta suasana yang begitu harmoni.

Pengalaman ini mengingatkan aku akan pentingnya menjaga dan memelihara rumah-rumah tradisional serta nilai-nilai kehidupan di kampung. Sesungguhnya, rumah kayu seperti ini bukan sahaja mengekalkan warisan, malah menjadi lambang ketenangan yang sukar didapati di mana-mana tempat lain.

Kembara di kariah Batang Tiga tidak hanya memberi peluang untuk membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga untuk menghargai keindahan alam dan warisan budaya yang masih terpelihara.

Tuesday, October 18, 2022

Peranan Masjid Kepada Masyarakat Yang Mungkin Kita Tidak Tahu

Dulu-dulu sering juga kedengaran bahawa terdapat individu muslim yang kesempitan hidup pergi ke rumah ibadat agama lain yang menawarkan sumbangan sama ada berbentuk kewangan atau barangan keperluan. Sejauhmana kebenarannya, wallahua'lam. Moga ia hanyalah sekadar khabar angin yang tidak berasas. Sekiranya benar, maka ia merupakan satu tamparan hebat buat institusi masjid.

Namun sebenarnya, telah banyak masjid di dalam negara kita ini memberikan sumbangan kepada mereka-mereka yang memerlukan. Cuma barangkali kita kurang perasan kerana berkemungkinan pihak masjid tidak mewar-warkan secara meluas contohnya di media sosial.

Alhamdulillah.. di masjid kawasan kejiranan aku cukup prihatin dengan masyarakat sekitar atau lebih tepat lagi ahli kariah. Pihak masjid mempunyai data ahli kariah yang telah dikumpulkan dan dari data tersebut pihak masjid dapat mengenalpasti siapa yang perlu dibantu.

Awalnya dahulu, di masjid menyediakan gerobok rezeki di mana barang-barang keperluan yang disumbangkan oleh orang ramai ditempatkan di satu rak di masjid. Mereka yang memerlukan boleh mengambilnya dalam kadar yang diperlukan. Namun, kaedah tersebut kurang mendapat sambutan. Terdapat makanan yang rosak akibat melepasi tarikh luput. 

Justeru, pihak masjid telah mengambil inisiatif untuk menghantar sendiri barangan keperluan kepada golongan sasaran. Program ini dinamakan Ziarah Kasih Gerobok Rezeki Masjid Al-Aminin. Ia mula diperkenalkan pada era Covid-19 fasa kedua dan sehingga kini ia terus dilaksanakan.

Penghantaran sumbangan dari rumah ke rumah telah dilaksanakan pada setiap minggu. Pada awal pelaksanaan dahulu, setiap minggu hampir 20 rumah dilawati dan diberikan sumbangan berupa barangan keperluan. Kini, hanya 10 buah rumah saja dilawati setiap minggu. 

Walaupun hanya 10 rumah sahaja setiap minggu, namun boleh dikatakan setiap 2 ke 3 bulan mereka akan kembali menerima sumbangan kerana kaedah penggiliran dibuat setelah kesemua penerima telah dilakukan. Selagi ada penginfaq, selagi itu program ini akan berjalan. Alhamdulillah, pada ketika ini, sumbangan dari penginfaq amat menggalakkan.

Apa peranan aku? Sebenarnya aku tiada apa-apa jawatan di masjid. Cuma aku secara sukarela menawarkan diri untuk mengambil gambar dan video serta mengeditnya untuk diwar-warkan kepada masyarakat khususnya di dalam kariah kami. Aku pun bukanlah seorang profesional dalam pembikinan video, cuma minat dan berbekalkan sedikit bakat yang terpendam. Semoga dengan video ini menjadi sebab kepada lebih ramai masyarakat berbuat kebaikan dan kebajikan.

Akhir kata, sama-samalah kita mengejar untuk membuat kebaikan dari apa yang termampu kita lakukan. Mohon juga kepada rakan-rakan untuk subscribe, like dan share video kami ini agar lebih ramai lagi masyarakat mengetahui peranan masjid dalam masyarakat.

Klik video YouTube Gerobok Rezeki Masjid Al-Aminin di SINI.

Anda ingin turut menyumbang?

Sunday, October 2, 2022

Kisah Masjid Selat Melaka Yang Mungkin Orang Tak Tahu

Masjid Selat Melaka merupakan sebuah masjid terapung yang terletak di Pulau Melaka. Pulau Melaka pula merupakan sebuah pulau buatan manusia yang telah ditambak. Pulau ini terletak di Selat Melaka, lantaran itu dinamakan sebagai Masjid Selat Melaka.

Masjid Selat Melaka


Pada asalnya, di kawasan Pulau Melaka ini terletak sebuah pulau kecil yang dikenali sebagai Pulau Jawa. Pulau Jawa telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Terdapat catatan menyatakan bahawa di sekitar Pulau Jawa merupakan kawasan kapal-kapal berlabuh sebelum masuk ke pelabuhan Melaka. 

Selat Melaka merupakan selat terpanjang dan tersibuk di dunia. Ia merupakan selat yang menghubungkan jalan laut antara dunia Timur dan Barat.  Apabila berada di tepi pantai Selat Melaka, dengan jelas kelihatan kapal-kapal dagangan melalui selat ini. Aku sendiri pernah ke tengah laut untuk memancing melihat betapa banyaknya kapal-kapal besar di Selat Melaka. Ada kapal kargo, ada juga kapal minyak dan gas.

Namun, bukan pasal Selat Melaka yang aku ingin ceritakan. Aku nak bercerita pasal Masjid Selat Melaka. Sekiranya kalian mengetahui bahawa Masjid Selat Melaka, merupakan masjid yang agak unik dari segi seni bina dan lokasinya. Disebabkan itu, ramai pelancong dari luar negara datang mengunjungi masjid ini. 

Masjid ini memang biasa aku kunjungi, sebab ia merupakan masjid di mana aku menunaikan solat Jumaat. Memang ramai pelancong luar yang datang ke sini, walaupun pada hari Jumaat. Ada saja pelancong dari China, Korea dan mat-mat Saleh yang datang untuk melihat keindahannya. 

Yang amat aku kagum adalah pada pengawal keselamatannya. Beberapa kali aku perhatikan pengawalan keselamatan Masjid Selat Melaka agak fasih berbahasa Inggeris. Pelawat-pelawat luar negara yang hadir diberikan penerangan tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di dalam masjid. Semasa khutbah dan solat Jumaat dilaksanakan, pelawat tidak dibenarkan masuk dan perlu menunggu di luar sehingga selesai solat barulah dibenar masuk. 

Masjid Selat Melaka juga merupakan kawasan tumpuan untuk penggemar fotografi untuk menangkap gambar. Suasana dan pemandangan matahari terbenam juga agak indah di sini. Jika di "Google" memang terlalu banyak gambar-gambar yang menarik memaparkan Masjid Selat Melaka.

Jadi, apa lagi... Jika berkesempatan ke Melaka jangan lupa singgah ke masjid ini. Di sekitar masjid ini juga mempunyai tempat rehat dan rawat yang sesuai dijadikan perhentian sementara meneruskan perjalanan atau aktiviti.

Friday, March 25, 2022

Berseronoklah Dengan Apa Jua Pekerjaan Yang Kita Lakukan


Ada kalanya bekerja di pejabat yang dingin, sejuk bak air batu yang enak dicampurkan bersama sirap Bandung. Teringat air Bandung, tak sangka tak lama lagi Ramadan bakal muncul kembali. Alhamdulillah. Namun, ada kalanya bekerja di luar pejabat, berjemur di bawah terik matahari. Bekerja umpama buruh kasar, kerja berat, anggota badan berpeluh dan kotor.

Itu semua tak pernah menjadi satu masalah bagiku. Aku tak pernah mengeluh. Sebagai seorang yang sukakan cabaran dan boleh bertugas dan bekerja dalam apa jua keadaan, aku seronok melalui semua ini. Semakin banyak aku melakukan sesuatu, semakin banyak juga aku dapat menimba ilmu, pengetahuan dan pengalaman.

Aku sedar, hidup ini hanya sementara, jadi selagi mata belum tertutup dan badan belum dikafankan maka aku harus mencari sebanyak mana ilmu dan pengalaman untuk aku rasai. Apabila kita mempunyai ilmu dan pengalaman, kita tidak kekok untuk menyampaikan maklumat tentang apa yang kita tahu kepada sesiapa sahaja.

Gambar di atas ini merupakan kerja-kerja kajian struktur bangunan Masjid Lama Belimbing Dalam. Ini adalah bengkel kajian, jadi bagi kajian struktur yang melibatkan kerja-kerja ekskavasi arkeologi tidak dilaksanakan secara menyeluruh, hanya tiga petak ekskavasi dibuka. Namun, lain-lain kajian antaranya lukisan terukur (measured drawing) dilaksanakan sehingga selesai oleh pihak lain.

Thursday, October 7, 2021

Gereja St. Paul Asalnya Adalah Sebuah Masjid?


Gereja St. Paul di Bukit Melaka.... Beberapa penyelidik menyatakan bahawa dahulunya ia merupakan sebuah masjid di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Berkemungkinan juga! Posisinya juga menghadap ke arah kiblat. Adakah itu suratan atau kebetulan?

Umum mengetahui, sebelum Portugis menakluk Melaka, Melaka merupakan antara sebuah empayar yang telah masyhur, mempunyai pelabuhan dagangan Timur dan Barat. Mempunyai perundangan tersendiri (Hukum Kanun Melaka & Undang-undang Laut Melaka) dan ditadbir dengan sistem kesultanan yang bersistematik dibantu oleh pembesar-pembesar seperti Bendahara, Temenggong, Laksamana dan lain-lainnya yang mempunyai peranan dan tugasan ditetapkan.

Melaka telah mempunyai kota yang hebat. Catatan Portugis sendiri menyatakan beberapa gambaran tentang kota Melaka yang dibina dari kayu dan batu. Ada juga dibina dengan batu semata dan ada juga kayu sahaja. Terdapat juga masjid-masjid di sekitar kawasan istana dan kota.

Kota Melaka setelah ditakluki Portugis, mereka membina A' Famosa seterusnya membina Fortaleza De Malaca (Kota Melaka). Apabila Belanda berjaya menakluki Melaka, kota ini tidak dimusnahkan malah dinaiktaraf dan dipertingkatkan pertahanannya. Cuma semasa pemerintahan Inggeris, mereka telah memusnahkan keseluruhan kota dan yang tinggal hanya pintu gerbang Santiago (Porta Da Santiago).

Sedikit persoalan, adakah pihak Portugis benar-benar membina tembok kubu kota yang mengelilingi Bukit Melaka atau sekadar menaiktaraf tembok sedia ada? Penggunaan batu laterit (juga dikenali sebagai batu merah, batu lada atau batu besi) yang sering dikaitkan sebagai bahan binaan utama bangunan Portugis sebenarnya telah lama digunakan oleh masyarakat Melaka.

Batu laterit dan masyarakat Melaka sebenarnya sudah lebih dahulu dari Portugis mengenal batu laterit kerana di Melaka memang terdapat banyak batu ini sama ada di daratan, pantai dan pulau-pulau. Penggunaan batu laterit di Melaka boleh dilihat pada asas/tembok rumah, perigi malah batu nisan dan tembok kubur.

Berbalik pada gereja St. Paul yang dikaitkan sebagai sebuah masjid. Berkemungkinan asalnya ia merupakan sebuah masjid yang dikatakan telah bertapak sejak zaman kesultanan Melayu Melaka kemudian dijadikan sebagai gereja oleh Portugis dan Belanda dengan pemusnahan dan penambahan pada struktur-struktur tertentu.

Walaubagaimanapun dapatkan-dapatan mengenai masjid ini merupakan hipotesis dari para penyelidik dan masih belum dapat kesahihan yang sebenar, namun kemungkinan tetap ada. Semoga suatu hari nanti ada penyelidik yang berjaya menghasilkan satu penyelidikan yang dapat menjawab segala persoalan ini.

Tuesday, May 18, 2021

A FAMOSA ADALAH MASJID?



Menara jam ini didirikan pada tahun 1886 hasil sumbangan Tan Jiak Kim sebagai penghormatan kepada mendiang ayahnya Tan Beng Swee. 

Di sini dahulu terdirinya A' Famosa yang dibina Alfonso de Albuquerque bermula pada Ogos 1511 dan siap pada Januari 1512. Cepat siapnya bukan? Mana tidaknya, seramai 1500 buruh (hamba raja) dipaksa untuk menyiapkan kubu yang mempunyai menara 5 tingkat ini. 

Sebelum terbina A' Famosa, dahulu terdapat sebuah masjid yang dipercayai Masjid Agong Melaka. Menurut catatan Tome Pires di dalam Suma Oriental, kubu A' Famosa dibina di atas runtuhan Masjid Agong Melaka (the great mosque). 

"...the famous fortress which was built on the side of the great mosque, with wall of great width and a tower of five storey. He states that on one side the sea washes against it, and on the other the river."

Terdapat juga catatan mengenai A' Famosa dalam Portuguese Document on Malacca yang memerihalkan :

"At the foot of the hill, in a comparatively short time he built a noble fortress. Do that the hill should not overlook it the keep was built height of a five-storey building with a spire covered with lead. It had apartments commensurate with its majesty. It was so imposing and was situated in a place so remote (from Portugal) that it deserved the name A' Famosa which was given to it." (183)

"The plunder was brought to Afonso D' Albuquerque who by now was already engaged in building a fortress where the mosque once stood which he named Famosa. In order to built it, he made use of the stones from the numerous tombs of important persons of the state.... " (393)

Namun apabila terlihat pada menara jam ini, terbayang di benak fikiran adakah ini simbolik kepada kewujudan menara A' Famosa yang dibina Portugis atau mungkin simbolik kepada menara Masjid Agong Melaka yang dipercayai tapaknya di situ.

Menurut penyelidikan yang dibuat oleh Institut Alam & Tamadun Melayu (ATMA UKM), kebarangkalian A' Famosa itu dahulu merupakan masjid yang telah diubahsuai. Mungkin disebabkan itu Alfonso de Albuquerque hanya memerlukan 5 bulan untuk menyiapkan pembinaannya. 

Ini dapat dibuktikan melalui hipotesis :

1. A' Famosa mempunyai sebuah ruang kelihatan seperti mihrab masjid.

2. Kedudukan A' Famosa menghadap ke arah kiblat.

Bagi mengukuhkan hipotesis ini maka kajian melalui kaedah ekskavasi arkeologi perlu dilaksanakan bagi menelusuri kembali jajaran-jajaran lama kota zaman kesultanan Melayu Melaka. Jika ini dapat dilaksanakan dan ditemui, ia merupakan satu kejayaan besar bagi sejarah Melaka yang sememangnya sudah terkenal seantero dunia.

* Setelah dibuat penelitian terkini, lokasi A' Famosa boleh dibaca pada artikel ini : Masjid Agung Melaka: Saksi Bisu Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka

Monday, March 1, 2021

MAHKOTA MASJID WARISAN MELAKA

Apabila ke negeri Melaka, pastinya terjumpa reka bentuk masjid-masjid yang unik. Keunikan ini terserlah baik dari aspek seni bina bumbung, menara, ukiran dan sebagainya.

Antara reka bentuk yang paling unik ialah mahkota yang terdapat di bumbung masjid. Mahkota dikenali dengan beberapa nama seperti mahkota atap, som atau hiasan kemuncak. Pembinaan mahkota masjid terutama pada masjid-masjid lama adalah diperbuat daripada karang laut dan dicampurkan dengan putih telur (penganti simen) kemudian diukir dalam bentuk bertingkat-tingkat seperti stupa.

Mahkota yang terdapat di masjid-masjid lama di dalam negeri Melaka dikatakan mempunyai pengaruh Hindu-Buddha, sebagai contoh, penggunaan motif bunga teratai. Selain itu, dalam pembinaan masjid lama terdapat motif-motif haiwan atau anggota-anggota haiwan namun telah diabstrakkan agar tidak kelihatan jelas seperti haiwan. Antara contohnya ialah motif naga yang dijadikan motif sulur bayung agar ia selari dengan ajaran dan kesenian islam. Terdapat juga motif-motif lain seperti geometri dan awan larat.

Menara Masjid Parit Melana

Walaupun dikatakan mempunyai pengaruh Hindu-Buddha, ianya hanya sekadar perlambangan sahaja yang mengambarkan keharmonian dan kesejahteraan kehidupan masyarakat majmuk pada ketika itu yang disematkan dalam keindahan seni bina. Ia tidak pernah diniat untuk diagung-agung atau dijadikan simbol penyembahan, sebaliknya hanyalah kesenian semata-mata. 

Terdapat empat ciri utama yang terdapat pada mahkota masjid lama Melaka iaitu :

1. Terletak di bahagian yang paling tinggi.

2. Asasnya berbentuk segi empat sama.

3. Mempunyai hiasan-hiasan di setiap sudut.

4. Bertingkat-tingkat antara 2-4 tingkat.

Namun kini, masjid-masjid baharu di Melaka tidak lagi mengunakan reka bentuk lama pada bahagian mahkota. Kini kebanyakkan masjid dibina kubah dan diletakkan simbol bulan dan bintang. Selain itu terdapat juga rekaan kontemporari yang melambangkan agama Islam. 

Rujukan : Warisan Ketara Seni Islam Tempatan : Mahkota Atap Masjid Tradisional Melaka (Ros Mahwati Ahmad Zakaria, Siti Nor Azhani Mohd Tohar & Rabiah Abdul Rahman)

Saturday, October 24, 2020

SISA-SISA MASJID BELIMBING DALAM, DURIAN TUNGGAL

 







Friday, July 1, 2011

TAK KUSYUK KERANA TELEFON BIMBIT

Masjid adalah tempat masyarakat Islam menunaikan solat dan pelbagai aktiviti keagamaan. Masjid juga kini dijadikan tempat mengakad nikah bagi pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga. Begitu juga pada hari Jumaat, masjid menjadi pusat tumpuan ramai kerana ingin mendirikan solat Jumaat dan yang pastinya hari Jumaatlah masjid dapat menerima pengunjung yang ramai setiap minggu.

Dalam menghadirkan diri untuk menunaikan solat Jumaat, kita hendaklah peka dan tidak lupa untuk memastikan kita memadamkan telefon bimbit atau menukarnya kepada mod senyap. Ini adalah kerana ia akan menganggu jemaah lain. Sekiranya telefon tersebut berbunyi pada waktu khutbah, ia boleh dimaafkan lagi, tetapi sekiranya ia berbunyi semasa jemaah sedang bersolat, bukankah ia menganggu jemaah lain untuk bersolat. Mungkin juga sesetengah jemaah tidak dapat kekusyukan dalam mendirikan solat dek kerana gangguan bunyi nada telefon bimbit.



Ada masjid di mana bilalnya yang akan mengingatkan makmumnya untuk mematikan telefon bimbit sebelum solat Jumaat, tetapi ada juga yang tidak berbuat demikian. Jadinya, kita sendiri mahu ingat dan tidak lupa untuk mematikan telefon bimbit semasa masuk ke dalam masjid. Bukan apa, takut kita terpaksa menanggung dosa kepada makmum yang tak kusyuk melakukan solat kerana gangguan nada dering telefon bimbit.

Sama-samalah kita saling ingat mengingati kerana perkara ini terlalu kerap berlaku. Bukan sekali sekala saja. Kalau kita ke masjid untuk menunaikan solat, boleh kata setiap minggu ada gangguan bunyi nada dering telefon bimbit. Kalau deringnya biasa-biasa tidak mengapa, kena pula nada dering lagu yang kita suka. Memang tak kusyuklah jawabnya.

Oleh itu, saya menyeru pada diri sendiri dan semua pembaca agar sentiasa ingat dan peka. Kalau nak pergi masjid untuk tunaikan solat Jumaat atau apa-apa solat sekalipun, matikanlah telefon bimbit anda terlebih dahulu. Anda mampu mengubahnya.