Thursday, November 28, 2024

Melaka Lama : Gambaran Orang Melaka dan Sumatera


Gambar ini diambil dari peta Eropah, Afrika dan Asia yang dilakarkan oleh seseorang yang tidak dikenali (anonymous) pada sekitar tahun 1614.



Di penjuru kanan atas peta ini memaparkan gambar seorang Ethiopia, Ghana, Parsi, Turki, Molukus, Jawa, penduduk Sumatera dan Melaka dan Cina.

Di bahagian bawah tengah terdapat tulisan: Tabula Geograph. in qua Europae, Africae Asiaeq et circulacentium insularum orae maritime accuratè describuntur et ad intelligentia navigationum Indicaru accommodantur.


Incolae Sumatra et Malacca bermaksud penduduk atau penghuni Sumatera dan Melaka. Aku tak pasti, adakah ini gambaran sebenar oleh pelukis peta ini? Sebab jika diamati dari aspek pakaian dan hiasan kepala, tidak sama seperti zaman sekarang mahupun zaman dahulu. Atau mungkin ini sekadar imiginasi pelukis.

Berkisar kepada mengapa penduduk Sumatera dan Melaka diletakkan bersama, mungkin kerana lokasi yang berdekatan. Atau mungkin juga kerana penulis masih menganggap Sumatera merupakan sebahagian daripada Melaka, kerana semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka, Empayar Melaka merangkumi sebahagian wilayah di utara Sumatera.

Gambaran penduduk Melaka ini tak ubah seperti Gambaran orang Melaka oleh Jan Huygen van Linschoten. Namun, gambaran ini menimbulkan keraguan, kerana ia amat berbeza daripada gambaran yang telah dibuat oleh De Eredia (1613) yang mengambarkan orang Melaka memakai "head-band, vest, sarong and kris and hold a long spear" iaitu pengikat kepala, pakaian tanpa lengan, kain sarung dan keris dan memegang lembing.


Kenali De Eredia di sini > KLIK <

Tuesday, November 26, 2024

Comedian by Maurizio Cattelan

Baru-baru ni, dunia seni kecoh dengan satu karya yang betul-betul lain macam. Karya seni bertajuk Comedian hasil tangan artis Itali, Maurizio Cattelan, berjaya mencipta sejarah bila terjual dengan harga AS$6.24 juta kat lelongan Sotheby’s Auction di New York. Pembeli karya ni adalah Justin Sun, seorang usahawan terkenal dan pengasas dalam dunia cryptocurrency.

Tapi, apa sebenarnya yang buatkan karya ni jadi kontroversi dan menarik perhatian ramai? Percaya atau tak, Comedian ni sebenarnya hanyalah sebiji pisang yang dilekatkan pada dinding guna pita pelekat. Ya, pisang biasa je! Tapi nilainya berjuta-juta dolar. Hebat, kan?

Sejak ia mula dipamerkan di Art Basel Miami Beach tahun 2019, Comedian terus jadi bahan perbualan. Ada yang rasa karya ni satu jenaka besar dalam dunia seni moden. Nilai karya bukan lagi pada bahan fizikal tapi pada idea yang tercipta. Ada juga yang kata, ini tanda seni dah terlalu dikomersialkan.

Tapi, kalau kita tengok dari sudut lain, karya ni sebenarnya mencabar kita untuk berfikir tentang seni kontemporari. Pisang dalam karya ni tak kekal, lama-lama ia akan busuk dan rosak. Mungkin mesej Cattelan adalah tentang ketidakkekalan, ketidaktentuan dan keunikan hidup manusia. Sama macam seni, hidup ni pun sementara.

Justin Sun, pemenang bidaan Comedian, bukanlah nama asing dalam dunia teknologi. Sebagai pengasas cryptocurrency TRON, Sun memang selalu jadi perhatian. Dengan pembelian karya ni, dia bukan saja dapat pisang di dinding tapi juga mencetuskan perbincangan global tentang seni, nilai dan teknologi.

Justin Sun kata pembelian tu adalah tanda sokongan dia pada seni kontemporari dan kebebasan ekspresi. Dia cakap, “Karya seni ni lebih daripada sekadar pisang di dinding, ia adalah simbol kreativiti manusia.”

Bagi aku Comedian ni lebih daripada sekadar jenaka mahal. Ia buat kita fikir, apa sebenarnya yang buat sesuatu tu layak digelar seni? Adakah sebab ideanya? Populariti? Atau sebab kontroversi yang dicetuskan?

Maurizio Cattelan mungkin tengah gelak sekarang, bukan saja sebab karyanya berjaya tapi sebab dia berjaya ajak kita semua untuk berdebat dan berfikir. Akhirnya, bukankah itu tujuan sebenar seni?

Apa pendapat korang tentang karya macam ni? Patut tak ia dihargai atau cuma sekadar jenaka mahal? Aku nak tahu pandangan korang.

Ada siapa nak beli? RM1 juta je... 


Saturday, November 23, 2024

Menonton Perlawanan Piala Malaysia : Melaka FC vs Terengganu FC


Malam ni ada perlawanan bola sepak Piala Malaysia antara Melaka FC dan Terengganu FC. Aku bawa anak aku, Muhammad Firas Faiq, yang akan jadi pengiring pemain dalam perlawanan malam ni. Mungkin satu pengalaman yang tak boleh dilupakan olehnya.

Aku dah beli tiket awal sebab Firas perlu hadir awal jam 6.30 petang. Perlawanan ni dijadualkan bermula jam 9 malam. Tadi sekarang aku sudah berada di Masjid Cina Negeri Melaka yang berdekatan dengan Stadium Hang Jebat. Bola, bola juga, solat jangan lupa.

Malam ni, aku tak sabar nak tengok Melaka FC berlawan dengan Terengganu FC. Harap-harap Melaka FC dapat bagi yang terbaik dan semoga perlawanan ni penuh dengan aksi menarik. Firas pun mesti bangga dapat jadi sebahagian daripada acara besar ni. Walau hakikatnya, atas kertas, Terengganu FC dilihat mempunyai kelebihan berbanding Melaka FC. 

Harap-harap Melaka FC memperoleh kemenangan. Anak buah aku Nizarruddin Jazi pun bermain di Melaka FC. Semoga kemenangan buat Melaka FC. Menang agak mustahil tapi tiada yang mustahil. 

Thursday, November 21, 2024

Melaka Lama : Durian Hanya Terdapat di Melaka?


Gambar di atas ini dihasilkan pada tahun 1596, menunjukkan tiga jenis tumbuhan-tumbuhan yang biasa terdapat di Asia Selatan dan Asia Tenggara. Kat sebelah kiri, terdapat pelbagai pucuk buluh setebal paha atau kaki manusia. Di tengah-tengah tu, kita boleh nampak "pokok akar," nampak seperti pokok bakau yang memang banyak kat barat daya India dan kawasan tropika lain. Kat sebelah kanan pula, ada pokok durian dengan sebiji durian elok terletak atas tanah.

Teks bawah gambar tu tertulis:

“Buluh India, tumbuh setebal paha atau kaki manusia.”

“Pokok ajaib, akarnya tumbuh terbalik dari dahan ke tanah. Amat luas sehinggakan satu pasukan tentera pun boleh berteduh dibawahnya.”

“Buah yang orang panggil durian, dipuji sebab rasa dan baunya yang sedap. Hanya tumbuh kat MELAKA.”

Wah.. Buah Durian hanya tumbuh di Melaka? Biar betul. Tapi itulah gambaran yang diberikan oleh Baptista van Doetecum, pelukis karya ini. Zaman dahulu, Melaka ni besar, tak seperti sekarang. Dulu hampir seluruh Tanah Melayu dan utara Sumatera adalah sebahagian daripada Empayar Melaka. Jadi tidak hairanlah, Baptista menyebutnya Melaka. Mungkin buah tersebut di temui di Raub, Tangkak atau mana-mana bahagian di utara Sumatera, dia hanya menyebut Melaka sahaja. 

Baptista van Doetecum ni sebenarnya seorang pengukir terkenal dari Belanda pada abad ke-16. Dia ni hebat dalam menghasilkan ukiran yang cantik seperti peta, landskap dan seni bina. Pendek kata, Baptista ni orang yang banyak sumbang kepada seni ukiran di Eropah dan membantu perkenalkan seni landskap dalam bentuk cetakan. Kalau zaman sekarang, dia dikira macam artis grafik yang super detail dan kreatif.

Wednesday, November 20, 2024

WW : Arca @ Balai Seni Negara


 

Pengalaman Unik Lawatan Ship Tour Genting Dream Cruise di Melaka

Pada 18 November 2024, aku berpeluang menyertai satu lawatan istimewa ke atas kapal mewah Genting Dream Cruise yang berlabuh di Melaka. Untuk pengetahuan korang, kapal ini mula berlabuh di Melaka kira-kira dua minggu yang lalu dan kini setiap hari Isnin ia akan berlabuh di sini sebagai sebahagian daripada pelayaran dari Singapura ke Melaka. Menariknya, ramai pelancong asing yang mengambil pakej pelayaran ini, menjadikan Melaka sebagai salah satu destinasi percutian mereka.

Bayangkan sebuah kapal setinggi 19 Tingkat. Ya, memang betul, aku sempat tengok nombor-nombor di lif yang ada sampai ke tingkat 19. Kapal ini memang gah dan megah. Sepanjang berada di atas kapal ini, aku terpegun dengan pelbagai kemudahan yang disediakan. Memang rasa macam berada di sebuah bandar kecil yang terapung. 

Kami para jemputan diberi peluang untuk merasai pengalaman di dalam kapal, termasuk menikmati hidangan makanan halal. Makanan dia memang sedap dan variasi. Selain itu, kapal ini dilengkapi dengan pelbagai hiburan seperti pentas persembahan, restoran-restoran mewah, kolam mandi, pusat membeli-belah dan macam-macam lagi. Tapi, ada satu bahagian yang agak eksklusif iaitu kasino. Kasino ini tidak dibenarkan beroperasi ketika kapal berada di perairan Melaka. Kasino hanya aktif bila kapal berada di perairan antarabangsa.  

Melaka kini semakin popular sebagai destinasi persinggahan kapal-kapal mewah seperti Genting Dream Cruise ini. Aku rasa ini satu peluang yang sangat baik untuk mempromosikan negeri Melaka kepada pelancong luar. Seronok betul dapat tengok sendiri kemewahan dalam kapal ini sambil menikmati suasana unik di atas laut.  

Bagi yang belum pernah merasai pengalaman sebegini, aku memang sarankan korang cuba kalau ada peluang. Genting Dream Cruise ini bukan sekadar kapal biasa, tapi sebuah pengalaman yang luar biasa. Siapa sangka Melaka kini menjadi salah satu destinasi kapal mewah yang terkenal?

Bot perantara yang mengambil dan menghantar pelancong dari kapal ke terminal jeti ICQS Melaka

Ketika kapal perantara menghampiri Genting Dream Cruise

Ada tempat shopping juga dalam kapal ni

Kolam renang pun ada

Kuih muih 

Beraneka sayur-sayuran

Sampai senak perut makan

Macam-macam ada 

Masa untuk mencekik

Jadi le dapat merasa. Nak ikut berlayar betul-betul tak tahu bila boleh dapat 

Ambil gambar mana yang sempat je. Banyak berjalan ship tour dan mendengar informasi yang disampaikan oleh kru kapal. 

Monday, November 18, 2024

Kopi dan Kek


Melangkah masuk ke Stadthuys Cafe, yang terletak di dalam bangunan Muzium Sejarah Melaka iaitu di bangunan Stadthuys membawa aku ke suasana yang penuh nostalgia. Ruangannya yang klasik dengan sentuhan kolonial membuatkan aku terasa seperti berada di zaman lampau, namun tetap selesa dan mesra. Bau harum kopi menyapa deria sebaik sahaja aku melangkah masuk. Suasana kafe ini memang tenang, sesuai untuk bersantai sambil menikmati hidangan ringan.

Kafe ni sebenarnya berada dekat saja dengan pejabat aku. Kalau aku toleh ke tingkap, kelihatan kafe ini di aras bawah pejabat aku.

Aku memesan secawan hazelnut coffee dan sepotong kek. Kopinya enak dengan aroma yang memikat, cukup untuk membuatkan aku menikmati keenakan di setiap hirupan. Manakala keknya, dengan gabungan rasa manis coklat yang lembut, benar-benar melengkapi situasi santai ini. Memang terasa seperti satu kombinasi sempurna untuk melupakan sejenak kesibukan bekerja.

Sambil menikmati kopi dan kek, dapat melihat para pelancong dari dalam dan luar negara turut melepak di kafe ini. Orang ramai boleh berkunjung ke kafe ini, bukan sekadar menikmati makanan dan minuman, tetapi juga menyerap suasana bersejarah Melaka. Bagi aku, ini adalah salah satu cara terbaik untuk menghargai keindahan dan warisan kita.

Tapi gambar ini bukan gambar hari ini. Ia berlaku pada beberapa minggu yang lalu. Cuma hari ni baru berkesempatan untuk membuat post di blog. 

Kalau sesiapa yang berkunjung ke Melaka, singgahlah ke kafe ini dan jangan lupa juga untuk melawat ke Muzium Sejarah Melaka. 

Sunday, November 10, 2024

Kelapa Pandan Belakang Rumah Berbuah Lagi

Alhamdulillah, sebatang pokok kelapa pandan yang aku tanam di belakang rumah kira-kira empat tahun lepas dah mula menunjukkan hasil. Masa mula-mula tanam tu, tak terfikir pun ia akan cepat berbuah, tapi sekarang dah masuk tandan keempat. Setiap kali berbuah, aku rasa macam satu kepuasan sebab apa yang kita usahakan sendiri, akhirnya menjadi.


Kelapa pandan ni memang istimewa, lain dari kelapa biasa. Airnya bukan saja banyak, tapi rasa dia manis dan wangi, cukup menyegarkan tekak. Ditambah lagi dengan isi yang lembut dan sedikit lemak, memang puas hati bila dapat buat air kelapa sendiri, tambah pula bila musim panas terik. Bila rasa kelapa ni, macam ada satu rasa homemade yang tak sama dengan kelapa beli.

Sekarang, aku nampak dah ada dua tandan lagi yang sedang berbuah dan makin membesar. Seronok betul tengok buah-buah kelapa ni bertambah satu persatu. Rasa seronok setiap kali tengok pokok ni berbuah. InsyaAllah, kalau terus membesar elok macam ni, mungkin tak lama lagi dah boleh petik lagi.

Bila ada pokok sendiri ni, terasa lagi nikmat rezeki dari alam. Dapatlah aku berkongsi dengan keluarga dan jiran-jiran buah kelapa pandan segar dari belakang rumah sendiri. Mudah-mudahan, pokok ni terus subur dan memberi rezeki buat kami sekeluarga.

Saturday, November 9, 2024

Selamat Hari Lahir Muhammad Fahim

Muhammad Fahim ketika berusia 3 tahun. 


Syukur Alhamdulillah, pada tarikh 8 November, genap 16 tahun usia anak sulung ayah, Muhammad Fahim. Rasa macam baru semalam ayah dukung Fahim yang kecil, sekarang dah besar panjang, dah jadi remaja. Ayah senang tengok Fahim membesar dengan baik dan sihat walafiat. 

Doa ayah tak pernah putus, semoga Fahim terus jadi anak yang soleh, sentiasa ingat Allah dalam setiap langkah. Jaga solat, hormati orang tua dan berbuat baik dengan semua orang. Dunia ni tempat kita berusaha dan insyaAllah, bila kita ikhlas dan sabar, Allah akan beri yang terbaik untuk kita, bukan saja di dunia, tapi juga di akhirat.

Moga segala cita-cita Fahim tercapai. Ayah sentiasa ada untuk menyokong Fahim dalam setiap impian. Teruslah jadi diri sendiri, bawa kebaikan dan manfaat pada orang sekeliling. Selamat hari lahir sayang, moga tahun-tahun mendatang bawa kebahagiaan dan rahmat yang tak terhingga buatmu.

Teringat dulu, buat puisi untuk Muhammad Fahim

Thursday, November 7, 2024

Melaka Lama : Pemandangan Melaka Dari Laut (Gezicht op Malakka vanaf zee)


Pernahkah korang terbayang pemandangan Melaka pada tahun 1764, dari tengah laut? Menariknya, seorang pelukis Belanda bernama Jan Keldermans atau nama sebenarnya, Jan van Mansdale telah mengambarkan dalam satu lukisan yang bersejarah. Lukisan ini bertajuk Gezicht op Malakka vanaf zee dalam bahasa Belanda atau Pemandangan Melaka dari Laut. Lukisan ini membawa kembali ke zaman di mana Melaka berada di bawah pengaruh Belanda.

Lukisan ini menggambarkan suasana bandar pelabuhan yang tenang dengan deretan rumah, pokok-pokok hijau hijau dan pokok kelapa. Di tengah lukisan, ada sebuah perahu kecil berlayar dengan bendera Belanda berkibar, seolah-olah sedang dalam perjalanan ke kota yang megah ini. Di sebelah kanan, kelihatan sebuah kubu yang kukuh, juga dihiasi bendera Belanda yang berkibar tinggi yang menunjukan simbol kekuasaan pada masa itu.

Karya yang dihasilkan pada tahun 1764 ini bukan sekadar lakaran biasa. Ia dilukis di atas kertas menggunakan warna air dengan sapuan berus. Sentuhan warna air ini memberikan gambaran dan nostalgia, seolah-olah kita sendiri sedang berdiri di tepi kapal sambil mengintai kota Melaka dari jauh.

Lukisan ini bukan hanya karya seni tetapi juga sejarah visual yang penuh makna.

Menara Taming Sari : Pengalaman Yang Tak Pernah Dilupakan

Kalau sebut je Menara Taming Sari, mesti ada banyak kenangan dalam kepala aku. Dulu, aku pernah naik menara ni banyak kali, sampai tak ingat dah berapa kali. Tapi entah kenapa, dah lama jugak aku tak jejakkan kaki ke sana. Mungkin sebab dah rasa macam biasa je naik. Cuma hujung bulan lepas aku sertai Treasure Hunt yang dianjurkan oleh Menara Taming Sari. Padahal, kalau fikir balik, pengalaman naik menara ni memang best.


Menara Taming Sari ni lain sikit daripada yang lain. Dengan lif kaca yang bawa kita terus naik ke atas, pemandangan dari puncak tu memang menarik. Dari atas, kita boleh nampak hampir keseluruhan Melaka dari bangunan-bangunan bersejarah sampai ke pelabuhan, bukit-bukau, Selat Melaka dan banyak lagi. 

Kalau kali pertama naik dulu aku menggelabah jugak. Menara berputar, ketinggiannya lagi, rasa macam nak terbang je. Tapi bila dah beberapa kali naik, rasa tu hilang. Sebaliknya, tiap kali naik, aku rasa lebih seronok dan rasa kagum tengok Melaka dari atas. Nak tengok Melaka dari perspektif yang lain memang best

Walaupun dah banyak kali naik, aku rasa macam takkan pernah bosan untuk naik lagi. Ada satu keistimewaan bila berada di atas tu iaitu pemandangan luas dan menarik. Mungkin lepas ni, aku akan naik lagi. Siapa tahu, mungkin ada kenangan baru yang menanti.

Wednesday, November 6, 2024

Seni Peragaan Karya


Gambar ni aku ambil ketika mengadakan lawatan kerja ke Balai Seni Negara pada 21 Ogos lalu. Bagi aku peragaan karya seni ni agak menarik. Ringkas dan bermakna. 

Bila melihat karya ni, bagi pandangan aku, seni peragaan kadang-kadang buat kita tengok dunia dengan cara yang tak disangka. Bayangkan sebuah peragaan karya seni yang guna barang-barang lama seperti basikal tua dan perabot yang dah rosak tapi semua tersusun menarik dan penuh makna. Ada cerita tentang waktu, perubahan dan kenangan dalam setiap benda tu.

Tengok je tengah-tengah peragaan karya seni ni, ada basikal tua yang jadi tumpuan. Basikal ni boleh jadi simbol perjalanan hidup kita di mana barang yang dulu penting, lama-lama jadi lusuh dan mungkin ditinggalkan. Sekelilingnya ada perabot dan peralatan lama yang warnanya dah pudar. Benda-benda ni, walaupun dah lama tak digunakan, masih ada nilai nostalgia. 

Tekstur pada setiap objek memang unik dengan dengan gabungan logam yang berkarat, kayu yang usang. Ia seperti sebuah pesanan halus dari artis seni untuk kita fikirkan tentang perubahan bukan cuma pada objek, tapi dalam hidup kita sendiri.

Seni ni bukan sekadar hiasan, ia bawa mesej mendalam. Setiap benda macam kita, akan berubah dengan waktu. Benda-benda yang dulu penting mungkin akan dilupakan dan zaman pula akan terus berubah.

Pendek kata, peragaan ni ingatkan kita yang semua benda dalam hidup ni sementara. Setiap benda yang lapuk, setiap kenangan, semua tu adalah pengingat yang waktu takkan tunggu kita. Melalui seni ni, kita diajak untuk hargai setiap detik dan kenangan segala yang pernah membentuk diri kita.

Tuesday, November 5, 2024

Meraikan Perjalanan 33 Tahun Saudara Nasir Endin

Hari ini, aku ingin berkongsi sedikit kisah tentang seorang individu yang telah memberi sumbangan besar dalam dunia pekerjaan, khususnya di Muzium Sejarah Melaka. Nama beliau, saudara Nasir bin Endin, seorang Pembantu Operasi yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi selama 33 tahun. Tugas utama beliau sebagai pengawas muzium memastikan segala-galanya berjalan lancar dan pengunjung menikmati suasana yang terbaik.

Mengimbas jari buat kali terakhir

Hari ini juga adalah hari yang agak berat bagi kami semua, kerana saudara Nasir, akan memulakan fasa baharu dalam hidupnya iaitu bersara selepas 33 tahun berkhidmat. Beliau akan menutup buku kerjaya sebagai seorang pengawas muzium pada usia 56 tahun. 33 tahun yang bukan sekejap dan sangat berharga.

Saudara Nasir bukan sekadar seorang pengawas muzium. Beliau adalah seorang yang sentiasa ada untuk memberi bantuan, menjaga kebersihan dan mengawasi muzium. Setiap hari beliau bekerja dengan penuh kesungguhan bagi memastikan setiap sudut muzium dijaga dengan teliti. Sikapnya yang sabar dan komited membuatkan beliau sangat dihormati oleh rakan sekerja. 

Hari terakhir beliau bertugas di Muzium Sejarah Melaka terasa amat bermakna, tetapi pada masa yang sama, juga berat untuk berpisah. Kami semua sudah banyak berkongsi kenangan bersama beliau sepanjang tahun-tahun ini. Saudara Nasir telah menjadi sebahagian daripada keluarga besar muzium ini.

Kami di sini ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara Nasir atas segala jasa dan pengorbanan beliau selama ini. Semoga kehidupan selepas bersara ini penuh dengan kebahagiaan, kesihatan yang baik dan masa yang lebih banyak untuk dinikmati bersama keluarga. Terima kasih atas 33 tahun khidmat yang penuh dedikasi.

Bergambar bersama buat kenang-kenangan

Selamat menikmati hari-hari yang lebih santai dan bermakna, saudara Nasir. Kenangan bersama akan sentiasa kami hargai.

Pesona Senja di Sawah


Ada sesuatu pesona tentang pemandangan sawah di waktu senja. Pemandangannya sederhana tetapi cukup menenangkan, seolah-olah terapi semulajadi bagi jiwa yang letih. Ketika matahari mula terbenam, langit bertukar menjadi kanvas yang dipenuhi dengan warna-warna hangat yang memancar indah. Bayangkan kita berdiri di tepi sawah, diiringi angin lembut yang menyapa wajah, sambil menyaksikan matahari perlahan-lahan hilang di ufuk barat.

Langit mula diselubungi warna merah jambu dan oren yang lembut, mencipta suasana yang penuh keajaiban. Cahaya senja memantul di permukaan sawah yang masih basah, menghasilkan kilauan seperti cermin besar yang memantulkan keindahan alam semesta. Garis-garis pematang sawah membingkai pemandangan dengan kemas, menambah kedalaman pada setiap inci yang kelihatan.

Di latar belakang, siluet pohon-pokok yang merimbun menambah kesan dramatik pada pemandangan ini. Pohon-pohon tersebut memberikan kontras yang sangat memukau antara langit berwarna hangat dengan hamparan hijau di bawahnya. Suasana seperti ini memang tak ternilai, hanya sawah dan cahaya senja yang mampu mencipta detik yang damai dan menenangkan sebegini.

Tak perlu pergi jauh untuk menikmati ketenangan ini. Apabila tiba waktu dan tempat yang sesuai, keindahan senja di sawah ada untuk dinikmati, mengisi hati dan minda dengan rasa tenang seiring dengan tenggelamnya matahari.

Monday, November 4, 2024

Happy Birthday to me, Giveaway for you!

Syarat-syarat untuk menyertai giveaway ini :

1. Buat 1 entry bertajuk "Happy Birthday to me, Giveaway for you!"
and link balik ke entry Mummy Ayu. 

2. Tinggalkan link korang kat bahagian komen entry di blog Mummy Ayu. 

Apa lagi, jom sertai.

*****

Selamat Hari Lahir, Mummy Ayu

Di hari yang istimewa ini, saya nak ucapkan selamat bertambah usia buat Mummy Ayu yang sentiasa ceria dan penuh inspirasi. Terima kasih kerana tak pernah jemu berkongsi cerita-cerita menarik untuk kami semua.

Semoga Mummy Ayu sentiasa diberkati dengan kesihatan yang baik, dilimpahi rezeki dan dipermudahkan urusan dalam setiap langkah. Moga setiap impian yang tersimpan akan tercapai dan segala usaha Mummy Ayu dipermudahkan.

Akhir kata, selamat menyambut hari lahir dengan penuh kegembiraan bersama keluarga tersayang. Semoga hari ini dan setiap hari yang mendatang membawa lebih banyak kebahagiaan, kasih sayang dan memori indah buat Mummy Ayu sekeluarga. Happy Birthday, Mummy Ayu.

Senja Yang Tenang di Sawah


Senja adalah waktu yang penuh pesona, saat di mana alam menampilkan keindahan terindahnya sebelum tenggelam dalam malam. Di pinggir sawah, keindahan senja terasa lebih mendalam, seolah-olah setiap sudutnya diselimuti ketenangan yang mendamaikan jiwa. Cahaya jingga keemasan perlahan memudar di ufuk barat, meninggalkan kilauan yang samar di permukaan air sawah yang tenang. Dalam kegelapan yang mula menyelimuti, bintang-bintang mulai bermunculan satu per satu, seolah-olah memberi salam selamat malam.

Siluet pokok-pokok kelapa yang tegak berdiri di tepi sawah turut menyumbang pada keindahan pemandangan ini. Bayangan batang dan daun kelapa tampak anggun, mencipta bingkai sempurna untuk senja yang memukau. Setiap hembusan angin membawa aroma tanah basah yang segar, seakan-akan menyampaikan sapaan lembut dari alam. Bunyi cengkerik dan gemercik air dari parit-parit kecil di sawah menyatu dalam irama yang harmoni, mencipta melodi alam yang hanya dapat dinikmati di sini, di tengah keheningan yang jarang ditemukan di tempat lain.

Saat berada di sini, seakan-akan waktu terhenti sejenak. Kehidupan sehari-hari yang penuh kesibukan terasa begitu jauh, digantikan oleh rasa tenteram yang mendalam. Rasanya, ingin berlama-lama menikmati setiap detik yang berlalu, meresapi ketenangan yang ada, seolah-olah alam sedang berbisik agar kita meluangkan lebih banyak masa untuk menghargai keindahannya. Betapa indahnya saat ini, sebuah anugerah yang hanya dapat dirasakan bagi mereka yang meluangkan waktu untuk menikmatinya.