Saturday, December 31, 2022

Baru atau Baharu, Manakah yang Betul?

Masih ramai yang menggunakan Selamat Tahun Baru, sedangkan penggunaan yang sebenarnya ialah Selamat Tahun Baharu. Sekiranya kita sukar untuk membandingkan bagaimana hendak menggunakan baru dan baharu, cuba kita tukarkan ia dalam bahasa Inggeris :

"Baru : just"
"Baharu : new"

Perkataan baru digunakan dalam konteks masa atau waktu contohnya "Saya baru saja tiba." atau "Bapa saya baru sahaja meninggal dunia."

Manakala perkataan baharu merujuk kepada kata sifat kepada kata nama, contohnya "Saya membeli kereta baharu." atau "isteri saya menghadiahkan jam tangan baharu.".

Kedua-dua perkataan ini turut boleh digunakan dalam satu ayat, di mana kita boleh melihat peranan perkataan tersebut : "Saya baru sahaja membeli kereta baharu."
 
Mari sama-sama kita biasakan yang betul, betulkan yang biasa, alah bisa tegal biasa. Apa-apa pun di kesempatan ini aku ingin ucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua dengan harapan tahun 2023 bakal memberi sinar kebahagiaan buat kita semua.




Monday, December 26, 2022

Tiga (3) Saranan Bagi Rombongan Sekolah Sebelum Mengunjungi Muzium

Alhamdulillah, selepas penurunan pandemik covid-19, dilihat sektor pelancongan kembali rancak.  Hal ini dapat meningkatkan kembali sektor ekonomi yang memberikan manfaat kepada semua pengusaha-pengusaha berasaskan pelancongan. Begitu juga dengan institusi muzium. Telah ramai pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi muzium.

Tidak ketinggalan kepada rombongan-rombongan murid sekolah. Telah banyak rombongan sekolah menjadikan muzium sebagai destinasi lawatan. Syabas diucapkan. Satu pilihan yang bijak, sememangnya muzium wajib menjadi sebuah institusi yang amat rapat dengan pelajar. Di dalam muzium mempunyai segala bidang keilmuan yang membolehkan para pelajar menimba khazanah ilmu yang tidak ternilai dan sukar diperolehi di tempat lain.

Justeru, sebelum guru-guru merancang untuk mengadakan rombongan sekolah ke muzium, disarankan guru-guru melakukan perkara ini :

1. SURVEI

Jangan terus terjah sahaja, seeloknya guru yang bertanggungjawab mengatur rombongan sekolah membuat servei atau tinjauan terlebih dahulu muzium mana yang hendak dikunjungi. Sebenarnya bukan sedikit muzium yang terdapat di Malaysia ini, di Melaka sahaja mempunyai 21 buah muzium tidak termasuk galeri. Justeru, pemilihan muzium yang hendak dikunjungi adalah perlu bagi memastikan objektif rombongan serta apa yang ingin diperolehi daripada rombongan dapat dicapai.

2. RANCANG AKTIVITI

Usah dibiarkan murid-murid yang menyertai rombongan terkapai-kapai tidak tahu hendak buat apa ketika berada di dalam muzium. Guru yang bertanggungjawab perlu merancang aktiviti yang boleh dibuat semasa melawat ke muzium antaranya menjawab kuiz, aktiviti berkumpulan dan sebagainya. Guru boleh mendapatkan kebenaran bersurat terlebih dahulu daripada pihak muzium, dan kelazimannya tiada halangan daripada pihak muzium kerana muzium itu sendiri merupakan institusi pendidikan yang menggalakkan aktiviti-aktiviti sedemikian dilakukan di dalam muzium. Pastikan murid-murid mendapat ilmu daripada muzium walaupun hanya sedikit sahaja yang dapat mereka fahami.

3. MOHON PENGURANGAN HARGA (DISKAUN)

Sebenarnya pihak muzium tidaklah begitu kejam. Apabila terdapat rombongan terutamanya murid-murid sekolah dalam jumlah yang ramai, insyaallah kelazimannya boleh mendapat pengurangan harga. Namun, terlebih dahulu sebelum rombongan diadakan, guru yang bertanggungjawab perlu mengutuskan surat permohonan pengurangan harga ke pihak muzium yang ingin dilawati. 

Semoga dengan adanya rombongan murid-murid ke muzium mendapat ilmu dan manfaat kepada mereka bagi mengenali dan mengetahui hal-hal berkaitan sejarah, kebudayaan dan warisan negara. Kalau tak ke muzium ke mana lagi? Takkan nak bawa mereka ke taman tema sahaja. 

Meh le kunjungi muzium. Orang muzium sedia menanti

Oleh :
Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kurator
Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)

Wednesday, December 21, 2022

Meriam Si Jagur di Jakarta Ada Kaitan Dengan Melaka?

Pada 19 Disember 2022 aku berkesempatan ke Muzium Sejarah Jakarta.  Aku ke sana untuk menghadiri mesyuarat dan lawatan tapak berkait cadangan untuk menubuhkan Galeri Melaka @ Jakarta.
 
Apa yang uniknya, bangunan Muzium Sejarah Jakarta dikenali sebagai Stadthuys sama seperti bangunan Stadthuys yang menempatkan Muzium Sejarah Melaka. Kedua-duanya adalah bangunan tinggalan penjajah Belanda. Cuma bangunan Stadthuys di Jakarta berwarna putih manakala bangunan Stadthuys di Melaka berwarna merah. Namun, warna asal bangunan Stadthuys di Melaka sebenarnya berwarna putih, dicat oleh Inggeris pada sekitar 1930-an dengan warna merah. 

Di hadapan Muzium Sejarah Jakarta terdapat sebuah dataran yang luas yang sering dipenuhi oleh orang ramai lebih-lebih lagi semasa cuti hujung minggu. Dataran ini dikenali sebagai Dataran Fatahillah. Di sekeliling dataran ini mempunyai beberapa buah muzium dan juga monumen bersejarah.

Antara yang tertarik di hati aku ialah berkenaan sebuah meriam lama yang dikenali sebagai Meriam Si Jagur. Meriam ini berdekatan dengan Dataran Fatahillah dan Kantor Pos. Semasa bermesyuarat bersama pegawai Muzium Sejarah Jakarta, salah seorang daripada kakitangannya menyatakan bahawa meriam ini pernah berada di Melaka.

Meriam ini memiliki ukuran panjang 3.85 meter manakala beratnya ialah 3.5 tan. Diletakkan di atas struktur batu dan dipagari dengan pagar besi yang rendah. Walaubagaimanapun, tiada sebarang papan penerangan yang ditempatkan pada monumen meriam ini. 


MILIK SIAPAKAH MERIAM SI JAGUR?

Meriam ini bukan milik Melaka tetapi pernah berada di Melaka selama puluhan tahun. Meriam ini sebenarnya dibuat oleh bangsa Portugis di Macau. Terdapat catatan menyatakan ia dibuat oleh Manuel Taveres Baccaro pada sekitar abad ke-15. Ia dibawa dan digunakan di Melaka semasa penjajahan Portugis di Melaka.

BAGAIMANA MERIAM INI BERADA DI JAKARTA?

Pada abad ke-16, Belanda telah menguasai Melaka daripada tangan Portugis. Meriam Si Jagur buatan Portugis ini telah dirampas oleh pihak Belanda dan dibawa ke Batavia (sekarang Jakarta) iaitu pusat pentadbiran Belanda di Nusantara. Nama Si Jagur digunakan berkemungkinan diambil sempena nama tempat asal meriam ini ditempatkan iaitu di St. Jago De Barra, iaitu di Macau.


SIMBOL JARI DI MERIAM SI JAGUR

Jika diperhatikan pada pangkal meriam ini jelas menunjukkan isyarat lucah.Tak pasti mengapa ia diperbuat begitu, tiada fakta yang khusus ditemui. Di Indonesia, hanya mitos ditemukan sehingga terdapat kisah-kisah pemujaan terhadap meriam tersebut bagi tujuan kesuburan wanita. Malah terdapat peristiwa menyatakan sekiranya terdapat wanita mandul, apabila mengadakan aktiviti pemujaan atau membayar niat maka akan berpeluang untuk menimbang cahaya mata.

Namun sebenarnya, pada pandangan masyarakat Portugis dan beberapa negara barat, simbol berkenaan merupakan simbol bernasib baik (good luck). Berbeza dengan pemikiran rakyat di Indonesia, Malaysia bahkan di negara Asia Tenggara yang menyamakan ia sebagai alat sulit kaum wanita.

Monday, December 19, 2022

Keindahan Hutan Pinus, Cikole, Lembang, Bandung Indonesia

Sampai sahaja Jakarta semalam, terus bertolak ke Bandung untuk melihat barang-barang galeri Melaka yang telah telah ditempatkan di dua buah setor iaitu di Bandung dan Subang, Indonesia. Aku ke Indonesia ini bukanlah melancong semata, tetapi ada tugasan jabatan.

Galeri Melaka di Jakarta perlu ditempatkan di lokasi baharu kerana di bangunan lama telah tamat tempoh sewaannya dan tidak lagi diperbaharui. Jadinya, kami ke Jakarta bagi memulakan perbincangan untuk menempatkan Galeri Melaka di sebuah ruang yang terdapat di dalam Muzium Sejarah Jakarta. 

Perkara ini secara dasarnya telah dipersetujui dan tindakan selanjutnya akan menyusul. Kedua-dua pihak akan bekerjasama memberikan ruang bagi pengisian galeri di mana akan terdapat ruang galeri Muzium Sejarah Jakarta di Muzium Melaka manakala terdapat Galeri Melaka di Muzium Sejarah Jakarta. 

Berbalik kepada pergi ke Bandung, aku dan 3 orang lagi wakil jabatan telah singgah minum di Restoran Lima Segi. Restoran ini berdekatan dengan hutan pokok pines atau di Indonesia dikenali sebagai pinus. 

Kawasannya sungguh cantik dan menarik. Kehijauan membuatkan jiwa terasa tenang walaupun telah lebih 3 jam perjalanan yang sedikit memenatkan. Apabila tiba lewat petang, kabus mula menyelubungi segenap kawasan tersebut sehingga jarak penglihatan agak terbatas. Cuaca sejuknya mengalahkan Cameron Highlands.

Hutan Pinus ini terletak di kawasan pelancongan popular di Bandung iaitu Tangkuban Perahu. Agak ramai pelancong di sini dan jalan rayanya begitu sesak dengan kereta dan bas. Insyaallah, suatu hari nanti, jika ada rezeki, teringin untuk membawa keluarga bercuti di sini

Kehijauan hutan pokok pines yang mendamaikan jiwa

Pokok-pokok pines yang tinggi melangit

Terdapat juga ruang untuk berkhemah serta glamping

Bergambar kenangan tanda sudah sampai.

Konsep restoran yang menarik. Santai sambil meningkmati pemandangan alam ciptaan Allah SWT






Perlukah Letak Sebegitu Terperinci?


Baru-baru ini aku telah mengeluarkan dua buah entri tentang dunia permuziuman di mana ia merupakan bidang pekerjaan aku. Mungkin tidak seperti bidang pekerjaan yang lain, muzium merupakan antara pusat pendidikan dan penyelidikan yang mana ramai pelajar, pengkaji dan penyelidik membuat rujukan. 

Aku juga merupakan antara individu yang kerap didatangi oleh para penyelidik bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan. Bahkan aku gemar 'melayan' mereka kerana memang tugas aku untuk berbuat demikian. Dan aku membantu mereka sebaik mungkin kerana aku memiliki semangat (passion) dalam bidang yang aku ceburi ini.

Jadinya, mengapa aku letakkan keterangan diri aku di dalam kedua-dua entri berkenaan dengan maklumat nama, jawatan, bahagian dan jabatan? Tujuannya tak lain tak bukan bagi membolehkan sekiranya terdapat mana-mana individu ingin mengambil dan memetik penulisan tersebut bagi membuat tugasan mereka sama ada assignment, penyelidikan dan sebagainya. 

Aku sekadar ingin menyatakan bahawa entri tersebut ditulis oleh seseorang yang mempunyai kredibiliti untuk menulis entri itu di mana sememangnya aku bekerja dalam bidang permuziuman. Jadi, bagi individu yang ingin memetik penulisan atau entri tersebut tidak perlu ragu-ragu kerana ia ditulis oleh the right person. Niat aku sekadar membantu, jika penulisan tersebut dirasakan boleh membantu dalam menyiapkan tugasan kalian, silalah ambil.

Semoga penulisan-penulisan entri aku berkaitan bidang permuziuman boleh dimanfaatkan orang mereka yang memerlukannya. 

😊😊😊

Idea Menarik Menceriakan Alat Pemadam Api

Dalam jam 1.30 pagi (18.12.22) aku telah bertolak dari Melaka ke KLIA2 untuk ke Jakarta. Waktu boarding adalah pada jam 6.15 pagi dan kapal terbang berlepas pada jam 6.55 pagi. Di dalam penerbangan memang tak buat apa pun, sebab sudah mengantuk sangat sebab lama berjaga. Jadinya, aku hanya tidur sepanjang penerbangan. Cuma terjaga sebentar apabila pramugari menghantar makanan. Setelah makan, aku kembali sambung tidur. 

Tiba di Soekarno-Hatta Internasional Airport, Jakarta menghampiri jam 8.00 pagi. Apabila keluar dari kapal terbang, aku tertarik dengan keindahan lapangan terbang ini yang menonjolkan unsur-unsur seni dan kreatif. 

Antara yang aku tertarik ialah hasil seni yang menggabungkan lukisan dan alat pemadam api yang diletakkan di dinding-dinding lapangan terbang ini. Berikut beberapa gambar yang sempat aku rakamkan.














Nak jugak masuk frame


Sunday, December 18, 2022

Lima (5) Sebab Kenapa Anda Perlu Mengunjungi Muzium

Adalah kelaziman masyarakat kita di Malaysia ini menganggap muzium adalah membosankan. Tidak mengikut zaman. Hanya mempamerkan barang-barang lama. Bangunannya pun bangunan lama dan menyeramkan. Pernyataan ini mungkin disebabkan segelintir individu telah lama tidak mengunjungi muzium sedangkan terdapat beberapa perubahan, tarikan dan lain-lain perihal yang dirasakan masyarakat perlu kembali mengunjungi muzium.

Berikut merupakan antara sebab musabab kenapa kita perlu mengunjungi muzium :

1. HARGA MURAH

Jika hendak dibandingkan dengan pusat hiburan keluarga yang lain seperti taman tema, panggung wayang dan lain-lain pusat tarikan pelancong, muzium adalah sebuah pusat di mana bayaran tiketnya adalah murah. Bukan sahaja murah, bahkan terdapat juga muzium yang tidak dikenakan bayaran. Mengambil contoh muzium-muzium yang terdapat di Melaka, harga tiketnya serendah RM3.00 dan yang tertinggi adalah RM10.00. Jika hendak dilawati seisi keluarga pun, ia tetap berbaloi.

2. BERILMU DAN BERMANFAAT

Muzium adalah gedung ilmu. Ya, sudah pastinya muzium menyajikan ilmu yang bermanfaat untuk para pelawat. Dengan mengunjungi muzium, masyarakat dapat mengetahui sejarah, warisan dan kebudayaan khususnya di sesuatu negeri atau tempat. Ia amat sesuai dikunjungi oleh pelajar sekolah bagi mempelajari segala khazanah ilmu yang terkandung di dalam muzium.

3. HIBURAN

Siapa kata muzium tidak menghiburkan? Kini, di sesetengah muzium telah mula mengetengahkan kaedah interaktif dalam pameran. Pameran interaktif ini memberi peluang bagi pelawat untuk berinteraksi secara fizikal atau maya dengan bahan yang dipamerkan. Ini dilakukan bagi menarik lebih ramai generasi muda mengunjungi muzium. Antara pameran berbentuk interaktif yang dipamerkan seperti menggunakan objek 3 dimensi (3D), realiti maya (virtual reality), tayangan 5 dimensi (5D), skrin sentuh (touch screen) dan pelbagai lagi media interaktif.

4. CARA BERKESAN UNTUK BELAJAR

Khusus buat para pelajar tidak kira dari peringkat sekolah rendah hingga ke universiti. Bagi mempelajari subjek-subjek seperti sejarah, warisan dan kebudayaan, institusi muzium merupakan tempat wajib untuk dikunjungi. Selain belajar melalui pembacaan di buku-buku, pelajar boleh merujuk silang tentang perkara yang dipelajari dengan mendapatkan fakta sampingan di muzium. Dengan melihat dan menelaah sendiri apa yang dipamerkan di muzium, membolehkan pelajar lebih memahami apa yang dipelajari.

5. OOTD MUSEUM

Contoh OOTD @ Muzium


Siapa kata dekat muzium tidak menarik? Sebenarnya di muziumlah terdapatnya ruang-ruang yang menarik untuk bergambar dan dijadikan kenangan terindah. Di muzium terdapatnya diorama-diorama yang menarik contohnya diorama nostalgia seperti warung lama, perabut lama dan lain-lain yang mengambarkan zaman dahulu (old school). Terdapat juga galeri seni lukis dan pengunjung boleh OOTD bersama karya-karya seni bagi menghasilkan gambar yang kelihatan 'mewah'. Bangunan-bangunan muzium yang kebiasaannya merupakan bangunan tinggalan penjajah juga merupakan 'angle' yang terbaik untuk OOTD.

Oleh :
Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kurator
Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)

Saturday, December 17, 2022

Empat (4) Fungsi Utama Muzium

Bermesra bersama artifak


APA ITU MUZIUM?

Saban tahun Majlis Muzium Antarabangsa atau lebih dikenali sebagai International Council of Museum (ICOM) mengkaji dan mengemaskini definisi muzium selari dengan fungsi muzium yang kini dilihat bukan lagi sebuah organisasi yang statik, tetapi ia merupakan organisasi serta bidang yang dinamik. Ini adalah selaras dengan fungsi permuziuman itu sendiri yang memiliki bidang-bidang kepakaran yang tertentu, bukan sahaja sekadar mempamerkan artifak dan bahan-bahan lama yang bersejarah, malah lebih daripada itu.

Menurut definisi yang sering digunakan oleh mana-mana organisasi permuziuman di dunia, muzium didefinisikan sebagai "institusi bersifat tetap, tidak berorientasikan keuntungan, terbuka kepada umum dengan peranannya memperoleh, memulihara, menyelidik dan mempamerkan bukti-bukti peninggalan manusia dan persekitarannya untuk tujuan pendidikan dan hiburan."

APA TUGAS KAKITANGAN MUZIUM?

Kecuali tugasan pentadbiran dan kewangan, tugas-tugas kakitangan muzium adalah berbeza dengan jabatan-jabatan lain. Terdapat tiga (3) jawatan di muzium yang tiada di jabatan lain iaitu Kurator (S41), Penolong Kurator (S29) dan Pembantu Muzium (S19). Sekiranya disamakan dengan jawatan pentadbiran, jawatan-jawatan ini adalah mempunyai tingkatan pangkat seperti Pegawai Tadbir (N41), Penolong Pegawai Tadbir (N29) dan Pembantu Tadbir (N19).

Di sini ingin diperjelaskan perihal empat (4) tugas-tugas kakitangan muzium iaitu bersamaan dengan fungsi muzium itu sendiri iaitu memperoleh, memulihara, menyelidik dan mempamer. Berikut adalah huraiannya :

A. MEMPEROLEH

Bahan utama yang menyebabkan kewujudan sesebuah muzium ialah ARTIFAK dan bahan bersejarah. Apa itu artifak? Menurut definisi yang digunapakai oleh Jabatan Muzium Malaysia (JMM), artifak adalah peralatan atau barang-barang buatan manusia peninggalan pada zaman dahulu. Usia bahan yang ditakrifkan sebagai artifak adalah antara 50 tahun dan ke atas. Selain artifak, fosil dan lain-lain bahan bersejarah turut dipamerkan di dalam muzium.

Di dalam dunia pemuziuman, terdapat beberapa kaedah dalam memperoleh atau mengumpul artifak. Kelazimannya bahagian atau unit yang terlibat di dalam perolehan artifak adalah sama ada Bahagian Pengurusan Koleksi, Bahagian Pengurusan Artifak atau lain-lain istilah yang bersesuaian. Kaedah-kaedah perolehan yang biasa digunapakai oleh institusi muzium ialah :

i. SUMBANGAN

Masyarakat yang mempunyai artifak dan bahan-bahan bersejarah adalah digalakkan untuk menyumbangkannya kepada pihak muzium. Ini adalah bertujuan, artifak tersebut dapat dipamerkan seterusnya memberikan manfaat dalam bentuk pendidikan dan pemahaman kepada masyarakat. 

Masyarakat yang menyumbangkan artifak atau bahan bersejarah kepada muzium merupakan satu langkah yang sewajarnya diberi kepujian. Ini adalah kerana kesanggupan dan kepercayaan yang diberikan kepada pihak muzium untuk menjaga seterusnya mempamerkan bahan tersebut bakal memberikan suatu sudut pandang yang berbeza dari aspek sejarah, kebudayaan atau warisan berdasarkan bahan yang disumbangkan. 

Adalah berkemungkinan bahan tersebut tiada dalam simpanan atau pameran di muzium, justeru ia amat bermakna jika masyarakat dapat menyumbangkan bahan, lebih-lebih lagi ia merupakan bahan yang bersejarah dan unik.

Kelazimannya, apabila seseorang telah menyumbangkan artifak kepada pihak muzium, sebagai galang gantinya mereka akan menerima beberapa manfaat. Manfaat ini bergantung kepada pihak pengurusan muzium masing-masing. Sebagai contoh manfaat yang diberi ialah memberikan pas masuk percuma ke muzium kepada penyumbang, memberi imbuhan secara 'one off', memberi sijil penghargaan, pengecualian cukai dan lain-lain yang difikirkan perlu.

ii. PEMBELIAN

Bagi meningkatkan koleksi artifak dan bahan bersejarah di muzium adalah dengan kaedah pembelian. Kebiasaannya organisasi muzium telah menetapkan belanjawan tahunan bagi pembelian artifak dan bahan bersejarah. Lazimnya harga artifak tidaklah murah, justeru institusi muzium menetapkan belanjawan pembelian artifak menjangkau ratusan ribu ringgit setahun, malah bagi muzium-muzium yang besar, menetapkan perolehan melalui pembelian artifak melepasi jutaan ringgit. 

Pembelian seperti ini harus dilakukan bagi menambah koleksi artifak di muzium agar ia dapat dipamerkan bagi manfaat orang ramai khususnya bagi tujuan pendidikan seterusnya memperkayakan ilmu-ilmu berkaitan sejarah, kebudayaan dan warisan untuk tatapan generasi kini dan akan datang.

iii. JUMPAAN

Artifak jumpaan adalah berkait rapat dengan disiplin arkeologi. Kerja-kerja pengorekan, cari gali atau istilahnya ekskavasi arkeologi merupakan salah satu sub-bidang dalam dunia permuziuman. Apabila kerja-kerja ekskavasi dijalankan, kebiasaannya akan menemui bahan-bahan bersejarah seperti artifak atau fosil. 

Jumpaan-jumpaan ini adalah penting bagi pembuktian sejarah, budaya dan warisan di sesebuah tapak yang digali. Seterusnya ia disimpan atau pamerkan di muzium bagi tujuan pendidikan, penyelidikan serta apa-apa tujuan lain dalam mengetengahkan khazanah warisan negara.

B. MEMULIHARA

Apabila memperoleh sesuatu artifak atau bahan bersejarah, proses seterusnya adalah memulihara. Di dalam dunia permuziuman, memulihara disebut sebagai konservasi artifak. Artifak yang baru diperoleh perlu menjalani proses konservasi bergantung kepada keadaan artifak tersebut. Sekiranya arifak tersebut sekadar kotor dan berhabuk, pembersihan secara fizikal perlu dilakukan bagi menghilangkan segala kotoran yang terlekat pada artifak tersebut. 

Sekiranya terdapat kerosakan-kerosakan dan kekotoran tertentu yang sukar dibersihkan secara fizikal, proses pembaikan secara penggunaan bahan kimia atau lain-lain kaedah yang difikirkan perlu diambil bagi menyelamatkan jangka hayat artifak tersebut. Tidak hanya pada artifak yang baru diperoleh, artifak yang terdapat di ruang pameran dan kawasan repositori juga perlu melalui proses konservasi.

Konservasi artifak terbahagi kepada dua iaitu konservasi preventif dan konservasi kuratif. Konservasi preventif adalah bertindak untuk mencegah atau menghalang artifak supaya tidak mudah rosak akibat persekitaran seperti suhu, cahaya, kelembapan dan serangga perosak seperti fungus, serangga serta pencemaran udara.

Konservasi kuratif pula merupakan tindakan secara terus yang diambil terhadap artifak yang telah mengalami deteriorasi. Tindakan ini diambil bagi memberhenti atau merencatkan proses deteriorasi terus berlaku terhadap artifak.

Di dalam bidang pemuziuman, kakitangan yang melaksanakan kerja-kerja konservasi dikenali sebagai konsevator yang mempunyai kemahiran menggunakan bahan-bahan mekanikal dan kimia bagi proses konservasi. Setiap muzium kebiasaannya mempunyai Bahagian Konservasi bagi menempatkan kakitangan di sebuah lap untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.

Bagi artifak dan bahan bersejarah yang telah rosak yang perlu dibaiki, kaedah restorasi boleh digunapakai. Restorasi merupakan kaedah di mana artifak dirawat bagi mengembalikan artifak seperti sediakala dengan menggunakan material yang sama atau hampir sama dengan bahan asal artifak tersebut.

C. MENYELIDIK

Menyelidik merupakan salah satu aspek penting dalam bidang permuziuman. Setiap muzium yang mempamerkan artifak harus mempunyai keterangan atau maklumat yang perlu disampaikan. Bagi menyampaikan maklumat tersebut, penyelidikan dibuat bagi mengetahui sesuatu artifak atau bahan bersejarah. 

Penyelidikan berkaitan artifak ini lazimnya dilaksanakan oleh kurator yang mempunyai disiplin ilmu tertentu sama ada artifak tersebut berkait dengan sejarah, kebudayaan, warisan atau sebagainya. Justeru, kurator memainkan peranan yang penting untuk membuat penyelidikan bagi memastikan maklumat yang bakal disampaikan adalah benar dan tepat. 

Selain kurator yang menjalankan penyelidikan, pihak muzium turut mendapatkan bantuan daripada para penyelidik khususnya daripada instituti pengajian yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu. Boleh juga mendapatkan bantuan daripada penyelidik-penyelidik persendirian atau individu-individu yang mempunyai kemahiran dalam satu-satu bidang yang hendak diselidiki.

D. MEMPAMERKAN

Seterusnya, artifak dan bahan bersejarah perlu dipamerkan. Ia adalah bertujuan agar ia boleh dilihat atau disaksikan oleh orang ramai yang mengunjungi muzium. Ini adalah salah satu proses pendidikan muzium di mana para pelawat memperoleh ilmu, maklumat dan hiburan dari artifak yang dilihat seterusnya memberi manfaat khususnya dalam mengenali sejarah, budaya dan warisan negara. 

Dahulu, artifak dan bahan bersejarah dipamerkan secara konvensional di mana hanya dipamerkan di dalam peti pameran dan terdapat penerangan berkaitan bahan tersebut. Namun kini, penggunaan teknologi moden sering digunakan dalam aspek mempamerkan artifak sama ada dalam bentuk 3D, Virtual Reality (VR), Audio Tour dan lain-lain kaedah bersifat interaktif yang mana antara lainnya bagi menarik golongan muda untuk mengunjungi muzium.

Tuntasnya, itulah antara empat (4) fungsi utama muzium yang menggerakkan institusi permuziuman khususnya di negara kita ini bagi menyebarluaskan pendidikan muzium kepada masyarakat. Walaubagaimanapun terdapat juga lain-lain tugas, peranan atau fungsi tertakluk kepada sesuatu muzium seperti zoologi yang berperanan menjalankan penyelidikan dan kerja-kerja berkaitan hidupan haiwan meliputi taksidermi iaitu pengawetan haiwan dan sebagainya. 

Turut terpakai dalam alam permuziuman ialah konservasi bangunan. Muzium kelazimannya menggunakan bangunan-bangunan lama era kolonial. Oleh itu, penjagaan bangunan muzium adalah amat berbeza berbanding penjagaan bangunan baharu. Bangunan muzium dibaikpulih mengikut kaedah konservasi dengan diawasi oleh konservator bertauliah. Ini dilakukan agar fasad bangunan dan lain-lain hiasan luaran serta dalaman dibaikpulih dengan sempurna dengan mengekalkan seni bina asalnya. Sepertimana kaedah konservasi, pengekalan bahan asal adalah penting dalam membaiki sesuatu kerosakan, sekiranya tiada, bahan hampir sama perlu digunakan bagi mengekalkan rupa asal bangunan tersebut.

Justeru, masyarakat perlu memahami fungsi kewujudan muzium dan peranannya kepada masyarakat. Muzium perlu dijadikan destinasi utama apabila melancong ke sesebuah negeri atau negara kerana ia bukan hanya memberikan hiburan malah terdapat banyak khazanah ilmu yang bermanfaat terdapat di dalamnya. Bukan sahaja berkaitan sejarah, terdapat banyak disiplin ilmu yang terdapat di muzium antaranya kebudayaan, warisan, seni bina, permuziuman dan lain-lain lagi.

Oleh :
Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kurator
Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)

Thursday, December 15, 2022

Terima Hadiah Jam Samsung Fit2


Tak pastilah sama ada aku yang bertuah atau isteri aku yang bertuah. Sebenarnya jam tangan Samsung Fit2 ini telah dimenangi oleh isteri aku sempena cabutan bertuah Takaful Malaysia. Kemudian dihadiahkan kepada aku. Kebetulan, isteri aku telah mempunyai jam tangan seumpama, jadinya yang ini diberikan kepada aku. Mula-mula mengharapkan memenangi sebuah motorsikal, tapi dapat jam. Takpelah, syukur Alhamdulillah.

Nak kata isteri aku orang yang bertuah, ya juga. Sebelum-sebelum ini isteri aku pernah memenangi telefon bimbit Samsung dari Pasaraya AEON Melaka. Pada Ramadan yang lepas, menang hadiah pertama sebanyak RM 1,000.00 yang diadakan oleh salah sebuah butik tudung di Melaka. 

Yang peliknya, isteri aku seperti mempunyai gesa yang dia akan menang. Haha.. aku sekadar menumpang tuah saja. Baru-baru ni, dia sertai pembelian Lotus secara dalam talian pula. Harap-haraplah menang juga. Kalau menang, memang hairan bin ajaib le.. Haha...

Wednesday, December 14, 2022

Sambar Lagi Baju UNIQLO

Sudahlah selesa dipakai, murah pula tu. Apa lagi... masuk saja waktu rehat tengah hari, aku menapak ke Dataran Pahlawan Melaka Megamall. Tidak lain, tidak bukan, aku terus menuju ke butik UNIQLO.



Tempoh hari telah aku beli 2 helai baju UNIQLO. Kali ini aku beli 2 helai lagi yang berlainan warna. Satu warna kelabu gelap dan satu lagi warna hijau gelap. Bolehlah bawa keluar rumah dan buat baju basahan. Baju-baju lain sudah tidak muat. Tak pastilah sama ada baju itu yang mengecil atau badan aku yang bertambah berisi. Hehe...

Sebenarnya banyak juga baju-baju kemeja lengan panjang yang cantik-cantik di butik UNIQLO ni. Sesuai juga dipakai ke tempat kerja. Tapi harganya boleh tahan juga. Takpe, kumpul duit dulu, nanti dah nak masuk tahun baharu, boleh beli untuk dipakai tahun hadapan. 😀👍🏼

Monday, December 12, 2022

Dapat Hadiah Giveaway Dari AiniHalim


Baru-baru ini dapat kiriman bungkusan. Ia tiba di pejabat pentadbiran tempat aku bekerja. Jadi aku pergi ke pejabat tersebut untuk mengambilnya. Dalam fikiran tertanya-tanya, bungkusan apakah itu. Rasanya telah lama aku tak membeli barangan secara dalam talian. Dulu-dulu rajin jugalah memberi secara dalam talian melalui Shoppee

Oh, ya! Baru teringat. Bulan Oktober dahulu ada menyertai giveaway dari blogger AiniHalim dan telah dimaklumkan bahawa aku merupakan antara pemenang bertuahnya. Jadi aku syak, bungkusan itu adalah hadiah giveaway tersebut.

Setibanya di rumah, aku pun membuka bungkusan tersebut bersama-sama anak-anak. Mereka yang teruja seolah-olah bungkusan tersebut miliknya. Apabila sudah dibuka, tada.... terdapat sepasang sudu dan garfu serta pensanitasi tangan.

Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada AiniHalim atas pemberian ini. Ia sangat dihargai. Semoga terus sukses dalam dunia blog. 


Tuesday, December 6, 2022

Kembali ke Tanah Seberang

Apabila tiba hujung minggu, aku suka untuk berkemas-kemas di belakang rumah, menyapu daun-daun kering yang berguguran, mencantas dahan-dahan yang menjalar tak tentu hala, membaja pokok dan sebagainya. Itulah cara aku mengeluarkan peluh. Tidak seperti dahulu. Suka bersukan, jogging, bermain bola sepak dan segala macam jenis sukan. Kini, nak dibuat semua itu, sudah tidak larat. Berbasikal santai-santai masih bolehlah juga.

Usai berkebun sekangkang kera di belakang rumah, aku mencapai telefon bimbit yang aku charge sambil melayari YouTube yang memainkan lagu-lagu irama rock kapak. Satu persatu pesanan melalui aplikasi Whatsapp aku baca. Dalam aku scroll pesanan, aku terhenti di satu pesanan dari salah seorang bos di jabatan aku.

"Standby passport, nanti pergi Jakarta". Huh, masaklah. Baru lagi balik dari Sarawak tempoh hari, ni nak ke seberang pula. Apa lagi ayat yang aku mahu susun baik-baik untuk memberitahu isteriku. Takkan nak buat seperti tips sebegini lagi. Haha...

Sebenarnya, aku dah maklumkan pun pada "mem" besar. Macam biasalah, dah muncung macam hari tu juga. Aduhai. Payah betullah. Sudahpun 2 kali aku maklumkan, tapi tetap dingin je tindak balas daripadanya. Tapi takpe, nanti-nanti oklah tu. 😅😅😅


Passport telah dalam proses renew. Sudah tamat tempoh Ogos 2022 lalu. Oh ya, untuk apa aku ke Jakarta? Bolehlah kalian jengok di entri INI

Sunday, December 4, 2022

Kek Lapis Warisan Sarawak

Masih lagi berkisar mengenai pemergian aku ke Sarawak tempoh hari. Bukan apa, gambar banyak sangat dalam telefon bimbit ni. Aku pula tak suka menyimpan gambar-gambar di dalam telefon bimbit. Rasa semak saja. Jadi sebelum aku buang gambar ini, elok kiranya aku membuat entri di blog. Bolehlah juga menjadi kenang-kenangan. Kadangkala aku gemar juga membaca blog aku sendiri untuk mengimbau kembali kenangan lalu.

Jadi kali ini aku nak cerita pasal kek lapis Sarawak. Rasanya tak sah kalau tak pulang ke semenanjung tanpa membawa ole-ole kek lapis Sarawak. Seperti biasa, sudah beberapa kali aku ke Sarawak dan membeli Kek Lapis Warisan yang terletak di Kuching, Sarawak. Rasanya oklah., Sedap. Aku jarang mengatakan tak sedap pada makanan kecuali yang betul-betul tak sedap saja akan aku katakan tak sedap. 

Sebenarnya, banyak pilihan untuk beli kek lapis Sarawak. Berdekatan Waterfront pun banyak kedai-kedai yang menjualnya. Harganya pun sedikit lebih kurang sahaja. Rasanya pun sedap. 

Cuma di Kek Lapis Warisan ni, kita berpeluang untuk melihat bagaimana kek lapis dibuat. Kita boleh lihat pembuatannya di dapur sambil terdapat orang yang memberi penerangan berkenaan kek lapis Sarawak. 

Untuk kali ini, tidak banyak yang aku beli. Hanya 10 pek sahaja dan dapat percuma 1 pek. Sedap. Macam-macam rasa ada. Syabas orang Sarawak kerana mempunyai produk negeri yang popular dan dikenali ramai.







Saturday, December 3, 2022

Beg Sandang Arnold Palmer

Semasa nak ke Sarawak hari tu, tercari-cari jugalah beg yang sesuai untuk digunakan. Biasanya aku meminjam dari adik-beradik aku yang punya beg bagasi. Tapi, sampai bila harus aku terus meminjam.  Ya lah, aku dan keluarga bukan kerap pun bercuti. Sekali sekala sahaja. Jadi, untuk membeli beg yang besar dan mahal agak bercinta jugalah.

Namun, ada satu hari tu. Dalam dua ke tiga hari lagi untuk bertolak ke Sarawak, aku ke Dataran Pahlawan Melaka Megamall. Saja nak tengok-tengok, tapi akhirnya aku terpikat dengan sebuah beg berjenama Arnold Palmer. Beg sandang. Besar dan banyak ruang boleh digunakan untuk sumbat segala macam barangan.

Jadi, aku pun belilah. Harga yang dipaparkan adalah RM399.00 tetapi ada diskaun sehingga harga yang perlu dibayar hanya RM200++. Tanpa terus berfikir jauh, aku terus membelinya. Dan akhirnya aku miliki sebuah beg yang agak mahal yang pernah aku beli. Haha.

Apabila menggunakan beg ini ke Sarawak, agak selesa juga. Banyak baju yang boleh diletakkan. Tidak penuh pun beg ini masa aku bawa. Cuma semasa balik saja yang penuh. Siap boleh angkut sekali satu kotak kek lapis Sarawak yang berisi 11 kek lapis masuk ke dalam beg. Senang sedikit, tak perlu nak bimbit guna tangan.

Semoga dengan kehadiran beg ini, aku akan rajin bercuti bersama keluarga. Haha.. Kalau tak, memang duk berhabuklah di atas almari.



Thursday, December 1, 2022

T-shirt UNIQLO Murah

Tengah hari tadi, sesudah makan berlaukkan asam pedas pari dan siput sedut, aku melapangkan masa untuk ke Dataran Pahlawan Melaka Megamall yang hanya sekangkang kera dari pejabat aku. Sebenarnya, walaupun pusat membeli belah tersebut amat dekat namun aku jarang mengunjunginya. Dulu-dulu rajinlah juga.

Niat hati nak tengok-tengok saja, kalau-kalau ada yang berkenan di hati. Aku juga sudah terpengaruh dengan kata-kata bos Sumber Manusia di tempat kerja yang menjadi teman sebilik semasa lawatan kerja di Sarawak tempoh hari. Dia menyatakan bahawa dia suka memakai pakaian jenama UNIQLO kerana selesa dipakai.

Aku apa lagi, tempat yang dituju ialah butik UNIQLO. Cantik jugalah pakaian-pakaiannya. Cuma nampak sesuai untuk generasi kini. Kita yang dah 4 siri ni kalau pakai nampak macam orang mudalah. 

Jadi, aku terminat pula dengan sejenis t-shirt ni. Alaaa.., t-shirt kosong saja. Tiada sebarang cap pun. Harganya pun murah. Bolehlah pakai bawa pergi keluar rumah. Aku ni biasa pakai baju jersi je. Haha.. 



Tak pastilah, harga ini merupakan harga sebenar atau harga offer. Hanya RM19.90 sehelai. Jadi aku beli 2 helai. Satu warna oren dan 1 warna biru.