Saturday, July 31, 2021

SELAMAT HARI PAHLAWAN 2021



Bukan hanya sekarang sahaja para pahlawan mempertahankan negara. Pahlawan-pahlawan telah berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Mereka sangat berani dan sanggup mati untuk mempertahankan negara. Penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun silih berganti menjadikan Tanah Melayu sebagai destinasi mengembangkan apa yang dikatakan "Gold, Glory and Gospel".

Walaupun sedikit sebanyak penjajah berjaya menguasai Tanah Melayu, tetapi ia bukanlah suatu yang mudah. Tentangan demi tentangan hebat mereka terima dari penduduk tempatan dari Semenanjung hinggalah ke sabah dan Sarawak. Kemerdekaan yang kita kecapi sekarang adalah hasil dari perjuangan mereka. 

Terima kasih buat pejuang-pejuang negara. Jasa kalian tidak dapat dibalas oleh kami, Allah SWT sahaja yang dapat memberikan balasan yang baik untuk kalin. Bersemadilah dengan aman.

Friday, July 30, 2021

GAMBAR-GAMBAR YANG TAK INGIN KITA LIHAT

Saya mempunyai lebih 40 bloglist yang kebiasaannya memang wajib saya lawati setiap kali melakukan aktiviti blogwalking. Setiap kali melawat blog rakan-rakan, sudah pastinya saya akan meninggalkan komen bagi meninggalkan jejak agar diketahui oleh blogger tersebut bahawa kita telah melawat blognya.

Namun satu perkara yang sangat tidak disukai ketika hendak menerbitkan komen ialah terpaksa menekan butang "I am not a robot". Itu mungkin tidak seberapa, lagi menyakitkan hati apabila perlu memilih-milih gambar yang telah ditetapkan. Aduh, rumit sungguh! Apa yang tidak bagusnya apabila kita silap tekan gambar dan perlu memilih sekali lagi. AArrggghhh.. Sakit kepala. Kalau satu dua blog saja kita nak komen tak mengapalah juga, tapi lebih 40 blog masih menanti kunjungan. 

Gambar-gambar ini pula bukanlah mudah untuk dikenalpasti. Andai ada blogger yang sudah berusia, mata pun tak berapa nampak mungkin memberikan kesukaran untuk mengenalpasti gambar. Malah ada gambar yang mengelirukan dan ada juga yang kurang jelas. Apa perlunya ini semua? Mahu menyusahkan pengguna sahaja. Tak tahulah mengapa blog memerlukan ini semua sebagai pengesahan.

Berikut antara gambar-gambar yang pastinya tidak mahu dilihat oleh para bloggers apabila mahu menerbitkan komen :

Bas

Basikal

Bot

Kenderaan

Pokok Palma

Lampu Isyarat

Garisan Lintasan Pejalan Kaki

Meter Parkir Kereta

Tangga

Teksi

Traktor

Apa pandangan rakan-rakan?

Thursday, July 29, 2021

MELAKA MELALUI CATATAN PORTUGIS

Buku Portuguese Documents On Malacca terbitan Arkib Negara Malaysia dan Suma Oriental yang ditulis oleh Tome Pires merupakan salah satu bahan bacaan yang saya anggap sebagai kitab rujukan bagi menyelami dan mendapatkan fakta-fakta yang menarik perihal Melaka berdasarkan pandangan penulis Portugis. Walaupun ada yang beranggapan kemungkinan fakta-fakta tersebut berpihak kepada mereka yang menang iaitu Portugis, namun inilah antara dokumen bertulis yang ada bagi menyatakan perihal Melaka pada zaman penjajahan Portugis. 

Saya mentelaah buku ini bagi mencari fakta-fakta yang menyatakan Melaka sebagai sebuah kuasa yang besar lagi hebat. Ya ada, walaupun dokumen-dokumen ini dicatat penjajah, namun masih terdapat fakta yang membuktikan Melaka merupakan sebuah empayar yang hebat pada suatu masa dahulu.

Buku-buku ini mengandungi catatan dan dokumen yang ditulis oleh penulis-penulis Portugis seperti Joao De Barros, Damiao De Goes, Diogo Do Couto, Fernao Lopes De Castanheda, Gaspar Correia dan beberapa nama lagi. Terlalu banyak fakta-fakta yang menarik mengenai Melaka, dan ini antara yang saya mahu kongsikan :

"Barang siapa yang dapat menguasai Melaka, maka dia sedang mencekik leher Venice."

Tome Pires

"Kota Melaka dihuni oleh pedagang-pedagang yang sangat kaya-raya yang menerima manfaat daripada aktiviti perdagangan."

Fernao Lopes De Castanheda

"Kota Melaka mempunyai pelabuhan yang terkaya dengan jumlah dagangan terbesar dengan kehadiran kapal-kapal dan perdagangan dari seluruh dunia." 

Duarte Barbosa

"Melaka dikenali sebagai kota yang terkaya di dunia kerana para pedagang di sana adalah terdiri daripada orang-orang kaya. Kekayaan mereka diukur dalam bahar emas. Satu bahar emas bersamaan empat quintal. Sebahagian pedagang memiliki kekayaan mencecah sepuluh atau dua belas bahar."
 
Damiao De Goes

"Sultan dan penduduk asal Melaka adalah beragama Islam. Terdapat istana-istana yang indah di Melaka. Warna kulit orang-orang Melayu adalah coklat gelap. Bahasa mereka menyenangkan dan mudah dipelajari. Mereka sopan, gagah dan mempunyai penampilan diri yang rapi. Mereka juga sangat sukakan muzik dan mereka hidup dalam keadaan gembira. Tentera Melaka merupakan tentera yang berani dan sanggup mengorbankan diri dalam peperangan."

Damiao De Goes 

"Orang-orang Melayu berpegang pada Al-Quran daripada ajaran Muhammad dan mereka begitu taat. Mereka mempunyai masjid-masjid. Mereka tinggal di rumah yang besar di luar kota yang mempunyai kebun, taman-taman serta tangki-tangki air dan kehidupan mereka sungguh menyenangkan."

Duarte Barbosa 

"Di dalam kota mereka menemui lebih daripada tiga ribu pucuk meriam besar dan kecil yang diperbuat daripada besi dan tembaga. Salah satu daripadanya adalah sebuah meriam yang sangat berat yang diberikan oleh Raja Calicut kepada Sultan Melaka."

Damiao De Goes

"Sebaik saja jong (Portugis) itu melintasi beting pasir dan berlabuh berhampiran jambatan. meriam-meriam tentera Islam mula menembak ke arahnya. Sebahagian daripada peluru-peluru meriam yang diperbuat daripada bijih timah menembusi di kedua-dua belah jong tersebutyang menyebabkan berlakunya korban jiwa yang besar di kalangan tentera-tentera Portugis."

Joao De Barros

"Dalam gudang-gudang milik Sultan dijumpai sejumlah besar tembaga, keluli, besi, bijih timah, belerang, ubat bedil, serbuk peluru, senjata-senjata, dan peluru-peluru yang lain serta selimut-selimut kapal (kain penutup kapal) dalam jumlah yang banyak. Segala-galanya telah diambil untuk raja kita (Raja Portugal) berserta hasil-hasil rampasan barang-barang yang diambil dari kota berjumlah lebih dua ribu cruzado."

Damiao De Goes

"Disebabkan tentera Portugis telah mendapat risikan awal, mereka dapat mengelak daripada perangkap-perangkap sehinga dapat sampai di kubu-kubu ketika pertempuran sedang hebat berlangsung. Tentera-tentera Islam sangat ramai dan mereka lengkap bersenjata dengan senapang-senapang, anak-anak panah beracun, meriam-meriam logam yang kecil, busur bersilang, lembing dan tobak-tombak yang panjang yang diperbuat daripada buluh dengan mata besi yang kelihatan seperti nyalaan api."

Gaspar Correira

"Sultan memiliki dua puluh ribu orang tentera yang lengkap disediakan bekalan makanan, peluru dan senjata api serta anak-anak panah beracun yang dilepaskan melalui sumpit. Di luar kubu-kubu dan persisiran pantai terdapat lubang-lubang yang diisi serbuk api dan ranjau-ranjau yang tersembunyi ditutupi jerami. Di situ juga terdapat dua puluh ekor gajah yang berperanan sebagai kubu dan sememang dilatih untuk berperang."

Gaspar Correira

Demikianlah beberapa fakta yang dapat saya perolehi daripada catatan-catatan Portugis. Namun, sebenarnya banyak lagi. Tidak dapat dijelaskan satu-persatu. Di sini sahaja sudah pastinya dapat dirasai betapa hebatnya empayar Melaka pada suatu masa dahulu. Sayangnya ia dimusnahkan oleh penjajah yang silih berganti dimulai Portugal, Belanda, Inggeris, Jepun dan Inggeris semula sehinggalah negara mengecapi kemerdekaan. 

Monday, July 26, 2021

CUBAAN MENANGKAP GAMBAR BINTANG DI ANGKASA

Nampak tak bintang? Jangan sampai juling mata. hehe

Ada sesiapa nampak bintang-bintang yang berkelipan pada gambar di atas? Kalau ada yang rabun, pasti tidak akan nampak. Inilah kali pertama saya cuba mengambil gambar bintang di langit pada waktu malam yang gelap. Sekiranya ada cahaya galaksi berwarna kebiru-biruan lagi cantik rasanya. Saya guna kamera telefon bimbit sahaja. Kurang jelaslah jawabnya.

Sebenarnya masih belajar lagi cara nak ambil gambar bintang-bintang di langit. Tapi memang boleh ambil gambar bintang-bintang dengan telefon bimbit. Saya lihat di dalam kumpulan Facebook yang berkisar fotografi, ramai yang mengambil gambar bintang-bintang dengan cantik hanya menggunakan telefon bimbit. Gambar bulan pun ada yang merakam dengan telefon bimbit, cantik pula tu. Saya puas cuba beberapa kali nak ambil gambar bulan, tapi hasilnya kurang memuaskan.

Saya belajar pun hanya berpandukan pada sifu-sifu di Facebook dan YouTube. Bukan belajar sangat pun, belajar yang asas-asas saja. Belajar kerana minat dan bukan untuk jadi profesional. Cukup sekadar untuk melihat gambar yang diambil, cantik dari pandangan mata sendiri tu dah cukup baik. Saya juga minat melihat gambar-gambar yang cantik. 

Saturday, July 24, 2021

TERIMA HADIAH DARI BLOGGER SYAZNI RAHIM


Bukanlah niat hendak menunjuk-nunjuk yang saya telah menunaikan solat, namun sebenarnya ingin menghargai pemberian oleh blogger iaitu SYAZNI RAHIM yang telah menghadiahkan saya sehelai sejadah yang sangat cantik, lembut dan gebu. Hadiah ini saya terima sempena dipilih sebagai antara pengomen tertinggi di dalam blog beliau bagi bulan Jun 2021.

Terima kasih Syazni Rahim atas pemberian ini. Saya amat menghargainya. Saya ada beberapa helai sejadah di rumah, akan tetapi sengaja saya gunakan sejadah pemberian blogger Syazni Rahim ini agar sekiranya ada pahala atas solat saya, diharapkan pahala ini dapat dikongsikan sekali dengan Syazni Rahim yang menghadiahkan sejadah ini. Amin..

*****

Esok 25 Julai 2021 (Ahad) saya akan mengadakan Shocking Sale produk Sambal Bilis Pedas di Shopee bermula jam 1.00  hingga 2.00 pagi dan bagi Sambal Petai Bilis Pedas bermula jam 1.00 petang hingga 2.00 petang. Bagi yang berminat untuk mencubanya, boleh dapatkan di sini :




Jangan lupa juga untuk follow kedai Shopee saya untuk mendapatkan diskaun sebanyak RM1.00 lagi. 

Terima kasih.

Wednesday, July 21, 2021

WW : SENJA NAN MERAH


BENIH BUNGA TELANG DARI CIK NOR

Bermula dari pertanyaan saya tentang dimanakah untuk memperolehi benih pokok bunga telang pada entri CIK NOR, lantas Cik Nor menghubungi saya untuk meminta butiran untuk pengeposan benih bunga telang kepada saya. Terima kasih Cik Nor kerana mengirimkan benih ini.

Apabila menerima benih bunga telang ini, tanpa membuang masa saya terus mengenainya di bekas semaian. Alhamdulillah, tak sampai berapa hari benihnya kian membesar. Sudah 5,6 benih telah tumbuh menjadi anak pokok. Sihat-sihat nampaknya.

Benih pokok bunga telang mula membesar


Gambar anak pokok bunga telang di atas telah saya muat naik ke Facebook, rupa-rupanya ada yang berminat. Ada yang nak beli. Tapi saya maklumkan bahawa saya tidak jual, sekiranya mahu boleh datang ambil di rumah saya.

Masih ada baki biji benih yang belum saya semai. Saya hanya menyemai kira-kira 20 biji benih sahaja. Selebihnya saya simpan dahulu. Bila yang telah disemai mula membesar, boleh semai yang lain pula. Saya pun diberi biji benih secara percuma, jadi anak pokoknya nanti saya nak beri secara percuma juga kepada sesiapa yang menginginkannya.

Dahulunya saya kurang mengenali kegunaan bunga telang sehinggalah saya mula bekerja di muzium dan membuat sedikit kajian berkaitan kuih muih tradisional. Ternyata kuih muih tradisional ini banyak menggunakan bunga telang sebagai pewarna biru asli. Bukan hanya kaum Melayu, kaum lain seperti Baba Nyonya, Chetti dan masyarakat Portugis juga banyak menggunakan bunga telang sebagai pewarna asli dalam masakan.

Antara khasiat lain bunga telang, bolehlah rujuk di laman INI yang banyak menyenaraikan khasiat bunga telang. 

Sekali lagi, terima kasih saya ucapkan kepada Cik Nor atas pemberian biji benih ini. Saya amat menghargainya. Tak sabar rasanya nak lihat pokok ini membesar dan berbunga.




Tuesday, July 20, 2021

SYAIR RAYA KECUNDANG

Dinihari ini takbir berkumandang,
hajat di hati ingin bertandang,
namun hampa tidak diundang,
di rumah saja sejadah dibentang.

Dinihari ini takbir ku dendang,
berteman keluarga dua tiga orang,
berdayu-dayu namun lantang,
itu tandanya kita dah menang.

Dinihari ini rendang dihidang,
berlawan dengan ketupat dan lemang,
suami isteri mata bertentang,
mengenang kampung mata berlinang.

Dinihari ini masih mengenang,
entah bila pandemik kan hilang,
buat semua anak-anak dagang,
bersabarlah, kemenangan pasti menjelang.

Dinihari ini berdoa dengan tenang,
agar covid segera pulang,
moga sinar gilang gemilang,
di masa depan kian mendatang.

Nukilan : FaiMamat
10 Zulhijjah 1442 / 20 Julai 2021





Monday, July 19, 2021

SALAM AIDILADHA1442 HIJRAH


Kepada rakan-rakan blogger yang mengenali diri saya terutama yang rajin singgah ke blog saya ini, ingin saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha, maaf zahir dan batin. Kepada yang menjalani ibadah korban, selamat berkorban. Semoga pengorbanan kalian diterima Allah SWT dan mendapat keberkatan di dunia dan akhirat.

Di musim-musim pandemik ini, jagalah diri. Andai kata pergi menziarah tu, pastikan gunakan pelitup hidung dan muka, guna pensanitasi tangan dan kerap cuci tangan. Jaga diri, insyaallah Allah akan jaga kita.

Selamat Hari Raya... 

Sunday, July 18, 2021

35 TAHUN MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA

Semalam 17 Julai 2021 merupakan ulang tahun ke-35 penubuhan Muzium Istana Kesultanan Melaka. Saya mengambil inisiatif untuk mengarang sebuah artikel berkaitan muzium tersebut untuk dimuatnaik ke laman Facebook Muzium & Galeri Melaka. Saya bertugas di Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi memang berperanan untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat tentang institusi permuziuman serta maklumat berkaitan sejarah, kebudayaan dan warisan khususnya di Melaka.

Artikel ini sedikit bersifat ilmiah, jadi luangkanlah sedikit masa untuk membacanya. Selamat membaca. Jangan lupa juga untuk LIKE  Facebook Muzium & Galeri Melaka.

*****

1986 merupakan merupakan tahun Kerajaan Negeri Melaka di zaman YAB Tan Sri Abdul Rahim bin Tamby Chik sebagai Ketua Menteri Melaka telah melaksanakan beberapa projek mega dan muzium merupakan salah satu projek dibangunkan antaranya ialah projek Istana Kesultanan Melayu Melaka. Muzium ini dibina di lereng Bukit Melaka (kini Bukit St. Paul) iaitu bersebelahan dengan Kawasan perkuburan Belanda dan pintu gerbang Santiago (Porta Da Santiago).

Bangunan muzium ini ini telah dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM). Pembinaan bangunan ini mengambil masa dua tahun iaitu bermula 27 Oktober 1984 dan siap sepenuhnya pada 15 April 1986. Keseluruhan kos pembinaan adalah sebanyak RM1.4 juta.

Pada 17 Julai 1986 Muzium Istana Kesultanan Melaka telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan mula dibuka kepada lawatan orang ramai. Pada awal penubuhan muzium ini ia dinamakan sebagai Muzium Budaya. Pada tahun 1988, muzium ini telah dinaiktaraf keseluruhan ruang pameran dengan menelan belanja sebanyak RM3.08 juta.

Muzium Istana Kesultanan Melaka merupakan replika Istana Kesultanan Melayu di Zaman Sultan Mansur Syah (1456-1477). Rekabentuk bangunan istana ini adalah berpandukan kepada penelitian Buku Sejarah Melayu dan juga berdasarkan pandangan Persatuan Pelukis Melaka serta Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka.

Bangunan yang berkeluasan 240 kaki panjang dan 40 kaki lebar ini mempunyai keunikkan tersendiri dari segi senibinanya kerana menggunakan sistem pasak dan tanggam. Manakala struktur bangunan menggunakan kayu-kayu tempatan seperti atap yang diperbuat daripada Kayu Berlian yang dibawa dari Sarawak, tiang seri menggunakan Kayu Cengal serta lantai menggunakan Kayu Resak. Di permukaan dindingnya pula dihiasi dengan ukiran-ukiran yang indah-indah antaranya ukiran Ketam Buri.

Bangunan ini dibina dengan enam anjung yang dijadikan galeri pameran dan sebuah anjung utama sebagai laluan naik ke istana. Pada zaman Sultan Mansur Syah, anjung-anjung ini digunakan sebagai tempat tetamu yang datang bertemu dengan Sultan.

Institusi Kesultanan Melayu yang telah wujud di negara ini sejak lebih lima kurun yang lalu merupakan teras sistem berkerajaan dan masih kukuh dipertahankan sebagai lambang kepada tunggak kedaulatan dan keunggulan nusa dan bangsa.

Perkembangan dan pergolakan sejarah yang dirakamkan di negara ini boleh dikatakan sentiasa bergerak seiring atau dikaitkan dengan istana dan institusi kesultanan. Kesultanan Melayu juga boleh boleh disifatkan sebagai nadi dalam pembentukan tamadun, kebudayaan, sikap, norma dan sistem nilai bangsa Melayu.

Sesungguhnya terdapat perubahan yang ketara dalam sistem pemerintahan demokrasi yang dipraktikkan oleh kerajaan sekarang tetapi kedudukan dan fungsi Raja-Raja Melayu masih terus dikekalkan sebagai payung negara, sumber inspirasi kesetiaan dan perpaduan rakyat dan lambang kedaulatan negara.

Kesultanan Melayu mempunyai ciri-ciri keunikan dan dan keistimewaan tersendiri yang jauh berbeza dengan sistem pemerintahan beraja di negara-negara lain. Berdasarkan kepada hakikat inilah, kedaulatannya diletakkan di puncak pemerintahan demokrasi dan pentadbiran negara apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Walaupun baru 35 tahun Muzium Istana Kesultanan Melaka ini bertapak di lereng Bukit Melaka namun ia jelas mengambarkan kehebatan Kesultanan Melayu Melaka yang pernah wujud di sekitar bukit ini pada abad ke-15. Muzium ini memaparkan beberapa aspek penting yang perlu diketahui mengenai Kesultanan Melayu dan kaitannya dengan kesinambungan perkembangan sejarah negara. Bahan yang dipamer merupakan hakikat sejarah yang diharap dapat memberi gambaran terhadap kegemilangan takhta pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka.

Semoga pameran ini dapat memberi kesedaran kepada generasi kini dan akan datang berhubung akar umbi sejarah dan ketamadunan bangsa Melayu serta menyedari betapa pentingnya mereka memelihara kedaulatan Kesultananan Melayu yang telah sekian lama bertakhta memayungi negara ini.

Muzium ini boleh dilawati dengan tiket berharga RM6.00 (dewasa) dan RM3.00 (kanak-kanak). Bagi bukan warganegara pula tiket adalah berharga RM12.00 (dewasa) dan RM6.00 (kanak-kanak). Namun buat masa ini, rangkaian muzium di bawah pentadbiran Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) masih lagi ditutup sehinggalah mendapat arahan pembukaan semula oleh pihak berkuasa.

Tapak Muzium Budaya (Muzium Istana Kesultanan Melaka)

Kerja-kerja pembinaan bermula 1984

Majlis perasmian oleh Tun M pada 17 Julai 1986

Tun M meninjau dari tingkat atas

Lawatan presiden Palestin, Yaseer Arafat pada tahun 1986

Antara pakar rujuk pembinaan Muzium Budaya

Muzium Budaya pada tahun 1986

SEGMEN RENEW BLOGLIST 2021

Sekarang nak menulis masih belum ada idea untuk menulis. Kebetulan rakan blogger ada membuat segmen, jadi saya turut meluangkan masa untuk menyertainya. Untung-untung nanti blog saya tersenarai dalam bloglist blogger Ika S nanti.



Kepada yang berminat untuk sertai, sila klik pada gambar di atas untuk maklumat lanjut dan syarat-syarat yang perlu diikuti. 

Buat Ika S, semoga segmen kamu ini mendapat penyertaan yang menggalakkan. Apa lagi, jom sama-sama kita memeriahkan segmen ini.

Saturday, July 17, 2021

GIVEAWAY ROAD TO 3M MAMAPP

Sudah beberapa hari giveaway ini bermain-main di entri rakan-rakan bloggers, jadi hari ini baru berkesempatan untuk saya menyertainya. Sebagai tanda sokongan, saya meluangkan sedikit masa untuk menyertai giveaway yang dianjurkan oleh mamapp ni. Pada rakan-rakan yang masih belum menyertai, jom kita memeriahkan lagi giveaway ini.



Kepada yang berminat untuk sertai giveaway ini, sila klik pada gambar di atas untuk maklumat lanjut serta syarat-syarat penyertaan. Tahniah juga buat mamapp kerana menghampiri 3 juta pageview. Blog saya baru je 1 juta ++ pageview, jauh kena tinggal. Haha.

Hadiah-hadiahnya pun menarik. Apa lagi... Jom sertai.

LAMPU TIDUR UKEER DARI BLOGGER ANIES

Apabila terlihat keunikan dan kecantikan lampu tidur yang boleh diukir nama di halaman blog blogger ANIES, teringin pula membelinya. Lalu bersempena ulang tahun kelahiran anak kedua saya Ainnur Afiah pada bulan Jun yang lalu, saya telah menghadiahkan lampu tidur tersebut kepadanya.



Anak saya ni sejak PKP lalu, saya tinggalkan di rumah emak saya. Dia dan abangnya temankan emak saya yang tinggal seorang di rumah kampung. Jadi, saya alamatkan terus ke rumah sana untuk membuat kejutan kepada dia.

Terima kasih Blogger ANIES, lampu tidur UKEER telah selamat sampai dan tiada cacat celanya. Tidak pecah atau rosak. Memang seperti di gambar, cantik. Lampunya pun terang bila dibuka dalam gelap,  juga menimbulkan suasana romantik.



Jadi, bagi yang merancang untuk memberi hadiah kepada seseorang, bolehlah untuk memilih membeli lampu tidur ni atau boleh saja beli untuk diri sendiri. Saya menyokong produk ini.

Wednesday, July 14, 2021

TERIMA HADIAH TOP 10 PENGOMEN BULAN JUN BLOG AKO TETAP AKO


Sejak kembali berblog, tak sangka pula pelbagai hadiah telah saya terima dari kenalan-kenalan blogger. Dulu saya menulis blog sekadar menulis, tetapi sekarang sudah berubah. Kalau menulis saja tiada orang baca, tidak guna juga. Dengan saling komen dan singgah ke blog kenalan blogger memungkinkan blog kita turut disinggahi dan ditinggalkan komen. Jadi, blog kita tidaklah sepi bagai seorang perindu. Hehe..

Tetapi risau juga apabila selalu komen blog orang, takut kerap jadi penerima hadiah top 10 pengomen tegar. Macam nak sangat hadiah pula. Aduh, malulah saya. Tapi kalau tak singgah komen nanti, rakan-rakan blogger ternanti-nanti pula komen dari saya. Hahaha..

Apa-apa pun saya anggap saja semua pemberian ini sebagai rezeki dari Allah SWT. Terima kasih tidak terhingga kepada blogger Ako atas pemberian ini dan saya amat menghargainya.

Apabila buka bungkusan pos dan lihat pada hadiah ni, saya teringat akan filem P. Ramlee iaitu Ali Baba Bujang Lapok, di mana seniwati Sarimah yang memegang watak sebagai Marjina menghadiahkan uncang berisi wang emas kepada apek untuk menjahit anggota badan Kassim Baba. Jadi, selepas ini bolehlah saya gunakan uncang ini untuk menyimpan koleksi dinar dan jongkong emas saya pula. 

Sekali lagi, terima kasih kepada blogger Ako. Uncang yang comel, cantik dan yang lebih menarik, nama saya turut dicetak di uncang ini. Terima kasih. πŸ™πŸΌπŸ™πŸΌπŸ™πŸΌ


Tuesday, July 13, 2021

MINAT AMBIL GAMBAR

Saya minat mengambil gambar tapi bukanlah seorang profesional. Saya suka gambar kerana gambar ada seninya yang tersendiri, namun saya bukanlah orang seni, cuma meminati seni.

Pelbagai aplikasi yang terdapat di telefon pintar, membolehkan saya mengedit gambar-gambar yang saya ambil untuk dilihat lebih menarik dari pandangan mata saya. Tak pastilah dari pandangan mata orang lain, mungkin tak berapa cantik.

Gambar-gambar ini saya simpan. Kalau berkesempatan nanti, terasa ingin juga dicetak untuk dijadikan koleksi yang boleh dijadikan kenangan pada masa akan datang. 

Muhammad Firman merajuksl sambil duduk di sebalik dinding

Pokok betik yang tertanam di hadapan rumah emak saya

Beting buat sarang di atas dahan pokok buah nangka di belakang rumah emak saya

Kuih tat yang dibuat oleh emak dan kakak saya untuk menyambut Aidiladha

Daun pokok jambu di belakang rumah saya sesudah hujan

Pemandangan senja di belakang rumah saya

Ainnur Afiah, anak perempuan yang saya tinggalkan bersama abangnya di rumah emak bermula PKP lalu

Gambar langit dan awan merupakan antara yang saya gemar ambil

Saja suka-suka mengedit gambar yang diambil di sebalik tingkap rumah

Nanti-nanti jika berkesempatan akan saya letakkan lagi gambar-gambar terkini. Juga saya akan menerangkan aplikasi-aplikasi yang saya gunakan untuk mengedit gambar.

Saturday, July 10, 2021

HADIAH HARI LAHIR YANG TERAWAL

Tahun ini genap usia saya mencecah 40 tahun dalam beberapa belas hari saja lagi. Alhamdulillah, Allah SWT memberi peluang untuk saya terus bernafas di usia begini untuk terus menjalani kehidupan di muka bumi yang fana ini.

Hari ini juga dikejutkan oleh isteri kesayangan yang telah menghadiahkan sebuah komputer riba. Terawal dari tarikh yang sebenar hari lahir saya. Mungkin isteri saya tak nak menyimpan lagi kerana dia membelinya di Shopee. 

Saya ni jenis tahu pakai saja komputer, pasal spesifikasi saya kurang mahir. Komputer riba yang dihadiahkan ini isteri saya maklumkan mempunyai spesifikasi yang terkini. Modelnya HP Pavilion Aero.
 


Alhamdulillah, bolehlah saya gunakan untuk membuat tugasan bekerja dari rumah. Sebelum ini saya gunakan komputer terpakai yang saya beli dengan kawan. 

Buat isteri kesayangan, terima kasih banyak-banyak atas pemberian ini. Ia sangat dihargai.

 

Tuesday, July 6, 2021

LAWATAN MAYA @ MUZIUM SEJARAH & ETNOGRAFI

Musim-musim PKP ini tidak banyak yang dapat dilakukan. Tidak boleh rentas daerah, negeri, malah banyak sektor yang ditutup termasuklah muzium. Muzium Melaka antara yang menerima kesan daripada pandemik covid-19.

Sebelum ini, Muzium Melaka merupakan muzium teramai pelawat berbanding muzium-muzium lain di Malaysia. Dengan jumlah pelawat menghampiri 1,000,000 pengunjung setahun, pandemik covid-19 sedikit sebanyak telah mengurangkan kedatangan pelawat ke muzium. 

Selain itu, program-program permuziuman pun tidak dapat dilakukan. Kerja-kerja cari gali yang baru saya laksanakan pun terpaksa ditangguhkan dan macam-macam lagi perancangan tahunan tidak dapat dilaksanakan.

Namun begitu, ia bukan bererti pihak kami harus berpeluk tubuh melihat sahaja pandemik ini datang dan pergi. Aktiviti dan program bersifat norma baharu khususnya melibatkan aktiviti dalam talian telah diatur bagi memastikan institusi permuziuman khususnya di negeri Melaka terus berjalan seiring dengan perkembangan semasa.

Terbaru, Muzium Melaka telah memperkenalkan program Lawatan Maya. Buat kali pertama ini akan melibatkan lawatan ke Muzium Sejarah & Etnografi. Sesi lawatan maya ini dijalankan secara dalam talian menggunakan platform Google Meet.



Muzium Sejarah & Etnografi merupakan muzium utama negeri Melaka. Memaparkan artifak dan bahan sejarah sejak dari zaman kesultanan Melayu Melaka hinggalah ke zaman penjajahan Portugis, Belanda, Jepun dan British. Jika ke Melaka, tidak sempurna lawatan sekiranya tidak ke muzium ini.

Bayaran yang dikenakan adalah sangat murah iaitu RM5.00 sahaja. Sekiranya sekeluarga nak mengikutinya di dalam satu komputer atau telefon pintar tetap dengan harga RM5.00. Murah kan? Seisi keluarga boleh tengok.

Justeru, di kesempatan ini, suka saya mempromosikan program lawatan maya ini yang akan dilaksanakan pada ketentuan yang dinyatakan di dalam poster di atas. Semoga ramai yang akan mengikuti lawatan maya ini yang tentunya akan memberikan ilmu dan maklumat yang bermanfaat.

Jika berminat, sila daftar di sini πŸ‘‰πŸΌ KLIK

Saturday, July 3, 2021

GIVEAWAY AKU DAN KAMU

Sehari dua ni apabila berjalan-jalan di blog rakan blogger, terlihat satu giveaway yang dianjurkan oleh blogger As Samsudin. Jadi, bola sudah ada kelapangan ni, saya rasa elok kiranya saya sertai juga. Lagi pun saya kekurangan idea untuk menulis. 



Jadi, marilah sama-sama kita memeriahkan giveaway ini. Dikhabarkan, giveaway ini diadakan sempena ulangtahun perkahwinan As Samsudin dan suaminya Aliff iaitu jatuh pada bulan Julai ini. 

Jika ingin sertai, sila klik di gambar di atas untuk mengetahui syarat-syarat yang telah ditetapkan. Jangan risau, mudah saja syarat-syaratnya.

Buat As Samsudin dan suami #asaliff saya ingin merakamkan selamat ulang tahun perkahwinan kalian berdua, semoga 'masjid" yang didirikan ini terus kukuh dan kekal hingga ke akhirnya. Segala kesenangan, kepayahan, keseronokan dan kesedihan perlulah dikongsi bersama dan jadikan ia sebagai ujian dalam berumahtangga. 

Thursday, July 1, 2021

CUCUKAN PERTAMA

Alhamdulillah. Setelah menunggu agak lama juga, akhirnya dapat cucukan pertama vaksin. Pada hari ini bertarikh 1 Julai 2021 saya dicucuk dengan vaksin Sinovac.



Sebenarnya saya ni bukanlah takut dicucuk dengan jarum, tapi hari ni sebelum dicucuk saya rasa seram sejuk sahaja.  Perut pun rasa kecut saja. Dengan cerita-cerita pasal vaksin, collapse selepas vaksin, meninggal dunia, masuk cip dalam tubuh, bermain-main pada pemikiran. Rasa risau pula.

Tapi semua itu dapat diatasi apabila saya telah tiba di pusat vaksinasi. Tiba di pusat vaksinasi sudah tidak merasa apa-apa lagi. Mungkin pada awalnya saya telah berfikiran yang bukan-bukan, mungkin itulah yang menyebabkan sedikit risau.

Pada yang belum divaksin, jangan risau. Tiada apa-apa pun. Suntikannya pun tidak sakit. Pada saat saya menulis ini, tiada kesan sampingan yang saya alami. Semuanya baik-baik sahaja.



Sebenarnya tadi ada juga niat nak bergambar pada plakad "saya telah divaksinasi" tapi apakan daya, bateri telefon habis. πŸ˜†πŸ˜†πŸ˜† Balik naik Grab pun pinjam pinjam telefon seseorang untuk menempah Grab. 🀦🏻‍♂️