Monday, March 29, 2021

JUMPAAN ARTIFAK DI PULAU MELAKA DAN KOTA SYAHBANDAR

Negeri Melaka dikenali sebagai negeri bersejarah sejak sekian lama. Tidak hanya bersejarah, negeri ini juga telah mendapat pengiktirafan dari UNESCO sebagai tapak warisan dunia.

Sebagai warga Melaka, secara peribadi aku sangat bangga dilahirkan di tanah bertuah ini. Bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan sejarah, budaya dan warisan membuatkan aku lebih menyanjungi negeri ini kerana kesultanan Melayu Melaka dahulu masyhur seantero dunia.

Boleh dikatakan tiada kawasan di Melaka tiada sejarah. Lebih-lebih lagi di kota Melaka yang dahulunya merupakan kawasan pentadbiran kesultanan Melayu Melaka dan kemudiannya Portugis, Belanda dan Inggeris turut mentadbir negeri di lokasi yang sama iaitu di Bukit Melaka yang kini dikenali sebagai bukit St. Paul.

Kesultanan Melayu Melaka dahulu sangat gah. Sayangnya, disebabkan Melaka mengalami zaman penjajahan yang begitu lama, hampir tidak kelihatan bekas bangunan atau monumen yang bercirikan kesultanan Melayu Melaka. Hanya yang ada ialah replika Istana Kesultanan Melaka.

Walaupun sejarah kesultanan Melayu Melaka kurang dapat dibuktikan dalam bentuk monumen, namun banyak penulisan dari dalam negara dan juga catatan dari China, Portugis, Belanda, Inggeris dan lain-lain ada menyebut mengenai kemasyhuran Melaka pada sekitar abad ke-13 hingga zaman kejatuhan Melaka. Tidak hanya catatan, pembuktian kehebatan kesultanan Melayu Melaka juga boleh dilihat dari artifak-artifak yang berkaitan dengan sejarah kesultanan Melayu Melaka.

Pada 26 Mac 2021 aku telah berpeluang untuk menyertai kerja-kerja servei dan penyelamatan artifak di dua lokasi di negeri ini iaitu sekitar Pulau Melaka dan Kota Syahbandar. Kerja-kerja ini melibatkan beberapa ahli yang terdiri daripada Jabatan Warisan Negara (JWN), Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan penyelidik bebas.

Memang banyak... Memang banyak artifak yang ditemui sekitar dua lokasi tersebut. Antara jumpaan ialah tempayan, pecahan tembikar dan seramik serta duit syiling zaman Kesultanan Melayu Melaka seperti syiling Sultan Muzaffar Syah dan Sultan Mahmud Syah. Turut dijumpai syiling era Portugis dan Belanda.

Kawasan tempat kami jumpa artifak tersebut merupakan kawasan tambak laut. Sekiranya tidak ditambak, sebenarnya ia terletak di tengah-tengah laut. Umum mengetahui, Melaka merupakan empayar maritim yang mempunyai pelabuhan entrepot yang menghubungkan dagangan Timur dan Barat. Justeru, secara hipotesisnya, kebarangkalian artifak yang dijumpai itu adalah dari kapal karam di kawasan perairan ini. Ini diperkuatkan lagi dengan jumpaan kayu-kayu yang dipercayai merupakan kayu kapal yang berkemungkinan telah karam suatu masa dahulu.

Semoga dengan jumpaan-jumpaan artifak ini memperkuatkan lagi bukti dan hujah bahawa Melaka merupakan empayar yang penuh gilang gemilang pada zaman dahulu dan mempunyai pelabuhan yang hebat. Ini bertepatan dengan catatan Tome Pires yang menyatakan bahawa barang siapa yang dapat menguasai pelabuhan Melaka, maka dia sedang mencekik leher Venice.





Gambar-gambar di atas merupakan kerja-kerja ekskavasi arkeologi yang dijalankan. Nampak seperti mudah, tetapi ia tidak semudah yang disangka. Atas dasarnya kelihatan pasir, namun apabila dikorek, maka bermainlah kami dengan lumpur dan selut. Nak jumpa artifak pun sukar.




Gambar-gambar ini pula antara artifak yang ditemui. Kebanyakan tempayan, tembikar dan ceramik yang ditemui hampir tidak lengkap kerana telah pecah semasa ditemui.





Dan gambar-gambar yang terakhir ini merupakan gambar yang diambil oleh jurugambar. Semasa ini kami sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan jumpaan artifak sebelum direkod setiap artifak yang ditemui.

Sunday, March 28, 2021

KUBU FEDERIK HENDRIK








Tapak kubu Federik Hendrik merupakan sebahagian dari bekas tapak Kota Melaka yang dibina oleh Portugis di atas kota empayar Kesultanan Melayu Melaka. Kubu ini dipercayai berhampiran dengan kawasan bekas Istana Sultan Melaka dan penempatan pembesar-pembesar kerajaan Melayu Melaka. Semasa zaman keagungan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka sebahagian besar aktiviti pemantauan kapal dagang dan perdagangan dunia yang melalui Selat Melaka dan muara Sungai Melaka telah dikendalikan di kawasan ini.

Semasa pemerintahan Portugis, Kota Melaka dilengkapi dengan pembinaan kubu pada setiap penjuru. Kubu Courassa menjadi kubu pertahanan utama Portugis yang menghadap ke arah Selat Melaka. Apabila Melaka ditakluki oleh Belanda pada 1641, kubu ini telah diperbaiki dan dinamakan kubu Frederik Hendrik sempena nama Raja Hendrik yang memerintah Belanda pada tahun 1642 hingga 1647. Pada 1640 dan 1678, kubu ini telah diperkukuh semula dengan diperbesarkan ukuran dan ketinggian dan menjadi kompleks utama pertahanan Belanda.

Kubu ini amat penting kepada pertahanan Kota Melaka dan bandar pelabuhan Melaka. Dari atas kubu yang kukuh dan tinggi ini dapat memberikan gambaran dan panorama sepenuhnya yang berlaku di Selat Melaka dan juga pelaburan Melaka. Tentera yang berkawal di atas kubu ini dapat melihat segala ancaman yang datang dari Selat Melaka dan akan memberikan tindak balas dalam masa yang singkat.

Kubu ini dilengkapi dengan meriam, peralatan peperangan dan penempatan tentera, pos utama kawalan tentera, bilik simpanan senjata peperangan dan meriam. Di tapak kubu ini juga tersimpan banyak khazanah sejarah lama tentang peperangan dan kekuatan yang dimiliki oleh kerajaan Melayu Melaka, Portugis dan Belanda.

Pada tahun 2006 dan 2007, Jabatan Warisan Negara (JWN) telah melaksanakan ekskavasi arkeologi di tapak ini. Penyelidikan ini berjaya mendedahkan struktur tembok kota, kubu Frederik Hendrik dan menjumpai 4 rangka manusia. Selain itu terdapat jumpaan lain seperti manik kaca, peluru meriam dan syiling lama yang tertanam di kawasan ini.

Saturday, March 27, 2021

BATU NISAN BELIMBING KAMPUNG CHOHONG









Dalam beberapa tahun yang lalu gempar apabila penduduk kampung menjumpai perkuburan lama di kampung Chohong, Jasin, Melaka yang memaparkan ciri-ciri yang unik.

Apa yang uniknya ialah di kawasan perkuburan tersebut semua batu nisan di situ adalah diperbuat daripada batu laterit. Batu ini juga dikenali dengan batu merah atau batu lada. Batu-batu jenis ini banyak didapati di pulau-pulau dan juga boleh didapati di kawasan darat.

Apa yang menariknya perihal batu nisan ini, ia diukir atau dipahat dengan sempurna dan cantik berbentuk seperti belimbing buluh, lantas ia disebut batu nisan belimbing.

Terdapat lebih 30 buah kubur di kawasan perkuburan di situ di mana semua nisannya diperbuat daripada batu laterit dan kebanyakan berbentuk belimbing dan ada juga beberapa bentuk yang lain.

Tidak banyak sumber diperolehi untuk memastikan milik siapa kubur-kubur ini walaupun beberapa kajian cuba dijalankan namun belum menemui sebarang klu untuk mengesahkan penemuan perkuburan ini.

Maka, beberapa pengkaji telah membuat hipotesis yang menyatakan kebarangkalian ini merupakan antara perkuburan terawal sezaman dengan era kesultanan Melayu Melaka. Malah ada yang berpendapat kemungkinan ia lebih awal daripada itu dengan mengaitkan dengan sebelum kedatangan Parameswara dan pembukaan Melaka.

Pelbagai andaian ini membuka ruang untuk pengkajian lanjut dilakukan. Satu kajian komprehensif yang dipelopori oleh pakar dan ahli sejarah perlu dilaksanakan untuk merungkai persoalan mengenai batu nisan ini.

Walaupun bagaimanapun, keunikan batu nisan ini harus juga dibincangkan dari aspek teknologi. Penemuan batu nisan ini memberi gambaran bahawa teknologi masyarakat Melayu Islam pada masa dahulu sudah kehadapan. Mereka sudah mampu dan berkemahiran mengukir atau memahat batu laterit dengan sempurna dan cantik. Ini jelas menunjukkan bahawa tamadun Melayu Islam di Melaka telah mempunyai tahap yang amat maju.

Untuk menghasilkan batu nisan yang diperbuat daripada batu laterit dengan ukiran atau pahatan yang sempurna adalah tidak masuk akal jika tidak mempunyai teknologi dan kemahiran tertentu. Walaubagaimanapun, penggunaan batu laterit dalam pembuatan batu nisan adalah sesuatu yang biasa ditemui di perkuburan-perkuburan lama sekitar negeri Melaka, cuma batu nisan belimbing ini sahaja yang unik.

Satu persoalan yang bermain di fikiran berkenaan penggunaan batu laterit. Batu laterit sering dikaitkan sebagai bahan binaan utama zaman penjajahan Portugis.  Kota Melaka (Fortaleza de Malaca) yang dahulu mengelilingi Bukit Melaka (Bukit St. Paul) dibangunkan dengan bahan batu laterit. Apakah benar kota tersebut adalah teknologi Portugis atau sebenarnya teknologi penggunaan batu laterit sebenarnya telah digunakan awal oleh masyarakat Melayu Melaka? 

Apabila merujuk kepada catatan Portugis, ada menyatakan bahawa terdapat bangunan-bangunan di Melaka diperbuat daripada batu seperti kota, masjid malah istana. Dari bahan runtuhan masjid dan istana ini didirikan Fortaleza de Malaca. Justeru, besar kemungkinan di zaman kesultanan Melayu Melaka telah awal menggunakan bahan binaan daripada batu iaitu batu laterit. 

Batu laterit juga banyak digunakan dalam pembinaan rumah Melayu lama dimana tembok-tembok dikuatkan dengan batu laterit dan disimen. Alas-alas tiang juga menggunakan batu laterit. Justeru, penggunaan batu laterit bagi masyarakat Melayu Melaka pada suatu ketika dahulu bukanlah suatu yang luar biasa, malah penggunaan ia adalah berleluasa.

Apa yang dapat disimpulkan bahawa batu laterit merupakan antara bahan binaan utama yang digunakan oleh masyarakat Melayu Melaka pada zaman dahulu.  Masyarakat Melayu Melaka juga mempunyai kemahiran dan teknologi untuk memotong, memahat dan mengukir batu yang amat baik setanding dengan teknologi tamadun-tamadun lain.

Friday, March 26, 2021

SEJARAH AWAL MUZIUM MELAKA

Logo Muzium Melaka yang digunakan pada tahun 1954 hingga 1971

Institusi pemuziuman di Melaka telah bermula sekitar tahun 1933 apabila Majlis Perundangan Negeri-negeri Selat memberikan kebenaran Persatuan Sejarah Melaka menggunakan sebuah bilik di bangunan Stadthuys (Bangunan Merah).

Pada 2 Jun 1952, Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya British di Tanah Melayu telah mengadakan lawatan ke Melaka beliau telah mengarahkan Pesuruhjaya Residen Melaka agar bangunan-bangunan bercirikan Belanda di Fort Road (Jalan Kota) dijadikan pusat poster dan bahan propaganda British bagi membendung ideologi komunis di Melaka. Penduduk tempatan menyebut pusat ini sebagai 'Sekolah Gambar'.

Pada tanggal 19 Mac 1954, George Evan Cameron Wisdom, Pesuruhjaya Residen bagi negeri Melaka telah mengisytiharkan pembukaan sebuah rumah Belanda di Fort Road (Jalan Kota) sebagai Muzium Melaka dan pada tarikh yang sama Muzium Melaka telah dibuka secara rasmi. Pentadbiran British telah menyusun rancangan dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mentadbir dan menguruskan Muzium Melaka.

Seterusnya pada tahun 1953, pentadbiran British telah mengisytiharkan telah mempunyai sebuah muzium yang diuruskan oleh jawatankuasa yang dilantik oleh kerajaan. Tindakan ini dibuat kerana Persatuan Sejarah Melaka dikatakan tidak mampu untuk menguruskan institusi muzium yang dikelolakan sebelum ini. Perubahan ini menyebabkan bilik muzium yang terdapat di bangunan Stadthuys mula dipindahkan ke di bangunan muzium yang baharu di Fort Road (Jalan Kota). 

Pada 15 Julai 1954, D.C. Macgillivray, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu meluluskan Enakmen Muzium Melaka 1954 bagi membolehkan sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai Lembaga Muzium Melaka ditubuhkan. Pembukaan muzium ini merialisasikan dasar Sir Gerald Templer untuk mengumpul kepelbagaian artifak dan budaya Melaka, termasuk sejarah semula jadi. 

Lembaga ini mempunyai bidang kuasa untuk menguruskan Muzium Melaka termasuk bidang kuasa membeli dan mempamerkan artifak serta koleksi bahan yang dimiliki oleh Muzium Melaka.

Sumber rujukan : 65 tahun Muzium Melaka

Ps: Bila kali terakhir kamu mengunjungi muzium?

Thursday, March 25, 2021

TAMBAK LAUT, TERKAMBUS ARTIFAK

Kawasan tambak laut di Kota Syahbandar. Banyak artifak telah ditemui di sini


Pantai ditambak atas dasar pembangunan memusnahkan ekologi lantas hidupan laut semakin kurang sama kurangnya dengan pendapatan nelayan pantai.

Dahulunya lautan ini menjadi laluan utama kapal-kapal dagang pada zaman kesultanan Melayu Melaka, kini ia dikambus dan tertanam terus artifak dari kapal karam zaman tersebut.

Melaka dahulu merupakan kerajaan maritim, laut adalah nadi utama membawa pedagang dari timur dan barat. Melaka tempat berpusat segala dagang, bertukar-tukar barangan di sini. Sistem barter, pelabuhan entrepot, semua itu adalah Melaka. 

Kita hanya mampu menyelamatkan artifak mana yang sempat, sebelum tanah tambak dibangunkan, artifak akan terkubur di bawah bangunan-bangunan yang bakal didirikan.

Di kawasan tambak laut ini telah dijumpai beberapa artifak dipercayai sezaman dengan kesultanan Melayu Melaka. Antara yang dijumpai adalah kepingan kayu kapal, celadon, martaban, ceramik dan matawang kesultanan Melayu Melaka iaitu matawang Sultan Muzaffar Syah, selain turut ditemui matawang Portugis.

25 hingga 31 Mac 2021, aku mewakili jabatan (Perbadanan Muzium Melaka) bersama-sama pasukan yang terdiri daripada Jabatan Warisan Negara (JWN), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan pasukan penyelidik bebas menjalankan kerja-kerja penyelamatan artifak di sekitar Pulau Melaka dan Kota Syahbandar.

Semoga kami dapat menyelamatkan seberapa banyak artifak yang terdapat di situ sebelum kawasan tersebut dibangunkan oleh pemaju. Jumpaan-jumpaan ini sudah pastinya menjadi bukti kegemilangan zaman kesultanan Melayu Melaka pada suatu masa dahulu.

Hendak melihat monumen zaman kesultanan Melayu Melaka, sudah tiada, kerana Melaka telah melalui zaman penjajahan begitu lama. Portugis, Belanda dan British menjajah Melaka lebih 500 tahun. Banyak yang musnah malah tiada satu pun monumen berkaitan kesultanan Melayu Melaka yang dapat dilihat melainkan replika istana kesultanan Melayu Melaka. Artifak yang ditinggalkan ini saja yang menjadi bukti bahawa kesultanan ini pernah wujud dan sangat gah dan hebat satu masa dahulu.


KERETA LEMBU MELAKA

Kereta Lembu amat sinonim dengan negeri Melaka. Walaupun pada masa zaman dahulu sudah ada terdapat kereta lembu di negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu/Malaysia namun kereta lembu terus menjadi ikon negeri Melaka sehingga kini. Malah terdapat lagu Kereta Lembu yang dinyanyikan oleh Helen Velu sekitar tahun 1969 yang liriknya mengkhususkan kereta lembu dari Melaka.

Kereta lembu,
dari Melaka,
ditarik pula oleh,
lembu perkasa.

Kereta lembu,
rodanya dua,
jalannya tak laju,
sejam sebatu,

Mari oh mari,
kita naik beramai-ramai,
pergi bertemasya,
mandi Safar di pantai.
 
Hah.. Itulah dia,
pusaka datuk ku,
pastikan ku jaga,
setiap waktu.

Terdapat beberapa pendapat tentang asal usul kedatangan kereta lembu di Melaka. Ada teori yang menyatakan bahawa ia telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi yang dibawa oleh pedagang-pedagang dari benua India. Kereta lembu ini digunakan dipelabuhan untuk mengangkut barang-barang dagangan.

Terdapat juga teori yang menyatakan bahawa kereta lembu dibawa masuk ke Melaka di zaman British iaitu pada tahun 1831 semasa Perang Naning. Catatan Munsyi Abdullah ada menyatakan askar India dibawa masuk ke Melaka untuk membantu menentang Dol Said di Naning, di pelabuhan kelihatan kereta lembu telah digunakan untuk mengangkut senjata.

Di Melaka kini kereta lembu tidak lagi dapat beroperasi di Padang Pahlawan akibat larangan dari pihak berkuasa. Penguasa-penguasa kereta lembu hanya menjalankan aktiviti di kampung-kampung dan sesekali ke kawasan bandar apabila dijemput untuk dijadikan pengangkutan dalam sesuatu program.

Nak cerita pasal kereta lembu ni memang panjang. Kebetulan memang aku sedang dalam usaha menyiapkan sebuah buku berkaitan kereta lembu Melaka. Insyaallah, tak lama lagi akan diterbitkan. 








Sebenarnya inilah kali pertama aku naik kereta lembu. Ini pun duduk sahaja, kereta lembu tak berjalan.

Monday, March 1, 2021

MAHKOTA MASJID WARISAN MELAKA

Apabila ke negeri Melaka, pastinya terjumpa reka bentuk masjid-masjid yang unik. Keunikan ini terserlah baik dari aspek seni bina bumbung, menara, ukiran dan sebagainya.

Antara reka bentuk yang paling unik ialah mahkota yang terdapat di bumbung masjid. Mahkota dikenali dengan beberapa nama seperti mahkota atap, som atau hiasan kemuncak. Pembinaan mahkota masjid terutama pada masjid-masjid lama adalah diperbuat daripada karang laut dan dicampurkan dengan putih telur (penganti simen) kemudian diukir dalam bentuk bertingkat-tingkat seperti stupa.

Mahkota yang terdapat di masjid-masjid lama di dalam negeri Melaka dikatakan mempunyai pengaruh Hindu-Buddha, sebagai contoh, penggunaan motif bunga teratai. Selain itu, dalam pembinaan masjid lama terdapat motif-motif haiwan atau anggota-anggota haiwan namun telah diabstrakkan agar tidak kelihatan jelas seperti haiwan. Antara contohnya ialah motif naga yang dijadikan motif sulur bayung agar ia selari dengan ajaran dan kesenian islam. Terdapat juga motif-motif lain seperti geometri dan awan larat.

Menara Masjid Parit Melana

Walaupun dikatakan mempunyai pengaruh Hindu-Buddha, ianya hanya sekadar perlambangan sahaja yang mengambarkan keharmonian dan kesejahteraan kehidupan masyarakat majmuk pada ketika itu yang disematkan dalam keindahan seni bina. Ia tidak pernah diniat untuk diagung-agung atau dijadikan simbol penyembahan, sebaliknya hanyalah kesenian semata-mata. 

Terdapat empat ciri utama yang terdapat pada mahkota masjid lama Melaka iaitu :

1. Terletak di bahagian yang paling tinggi.

2. Asasnya berbentuk segi empat sama.

3. Mempunyai hiasan-hiasan di setiap sudut.

4. Bertingkat-tingkat antara 2-4 tingkat.

Namun kini, masjid-masjid baharu di Melaka tidak lagi mengunakan reka bentuk lama pada bahagian mahkota. Kini kebanyakkan masjid dibina kubah dan diletakkan simbol bulan dan bintang. Selain itu terdapat juga rekaan kontemporari yang melambangkan agama Islam. 

Rujukan : Warisan Ketara Seni Islam Tempatan : Mahkota Atap Masjid Tradisional Melaka (Ros Mahwati Ahmad Zakaria, Siti Nor Azhani Mohd Tohar & Rabiah Abdul Rahman)