Showing posts with label pelancongan. Show all posts
Showing posts with label pelancongan. Show all posts

Thursday, August 3, 2023

2024 Tahun Melawat Melaka

Dengan slogan "Mana lagi? Melaka ler...!" bakal menggamit kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara ke Melaka pada tahun hadapan. Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Melaka telah pun melancarkan Tahun Melawat Melaka 2024 dengan menyasarkan kunjungan pelancong seramai 19.7 juta orang.

Sebagai rakyat Melaka dan bertugas di dalam sektor pelancongan, aku amat mengalu-alukan kedatangan para pelancong ke negeri Hang Tuah ini.

Sebenarnya, jika dilihat keadaan sektor pelancongan di negeri Melaka sekarang, pada pemerhatian aku ia sudah kembali rancak seperti era sebelum pandemik covid-19. Bukan sahaja pada hujung minggu atau cuti umum, pada hari biasa pun, Melaka khususnya di Bandar Hilir dipenuhi oleh pelancong dari dalam dan luar negara. Kadangkala terfikir juga aku, mereka ni tak bekerja ke? 🤔



Risau akan jalan raya sesak? Usah bimbang sangat. Ia adalah perkara biasa bagi lokasi pelancongan. Bukan di Melaka sahaja, negeri-negeri lain pun sama sesak di kawasan tumpuan pelancong.

Justeru, jangan serik datang ke Melaka. Orang Melaka sentiasa menanti kehadiran anda semua. Dan jangan lupa, kunjungilah muzium. 😊

Kapal dagang dari seberang, 
sarat muatan kayu meranti;
dari jauh tuan puan datang, 
orang Melaka sedia menanti. 

Thursday, June 9, 2022

Melaka Mula Rancak Tetapi Tak Berdosa

Gambar sekadar hiasan

Mana-mana ranciakkkk, berdosa! 

Sesak dan padat.. Begitulah gambaran tempat pelancongan di negeri Melaka apabila tiba musim cuti sekolah. Alhamdulillah, sektor pelancongan di negeri Melaka kembali bernafas. Para peniaga jalanan, kedai makan, restoran, peniaga kraftangan, taman tema,  pusat pelancongan, pengayuh beca, hotel bajet, hotel mewah dan lain-lain pemain indutri pelancongan tentunya mendapat laba daripada musim cuti sekolah ini.

Tidak ketinggalan tempat aku bekerja. Ramai yang berkunjung. Walaupun segelintir orang berkata bahawa muzium merupakan destinasi pilihan terakhir, namun kehadiran ramai pelawat ke rangkaian muzium-muzium di Melaka membuktikan bahawa masyarakat masih lagi memandang muzium sebagai destinasi yang wajib dikunjungi. 

Sudah tentu sahaja apabila mengunjungi muzium, pengunjung dapat membawa pulang ilmu dan pengetahuan yang berguna, tidak hanya keseronokan semata-mata. Ibu bapa perlu galakkan anak-anak untuk mengunjungi muzium agar terbuka sedikit minda mereka untuk mengetahui sejarah, warisan dan kebudayaan yang terdapat khususnya di dalam negara kita Malaysia.

Jom, kunjungilah muzium.

Thursday, June 25, 2015

CERTIFICATE OF EXCELLENCE BY TRIPADVISOR

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Buat pertama kalinya, muzium tempat aku bertugas mendapat Certificate of Exellence dari Tripadvisor bagi tahun 2015. Kadang pelik juga, belum habis tahun 2015 tapi dah dapat sijil. Tapi oklah tu, orang dah nak beri penghargaan, terima sajalah.


Muzium yang dimaksudkan ialah Muzium Istana Kesultanan Melaka yang terletak di Banda Hilir, Melaka.

Kalau sesiapa yang pernah melawat ke muzium ini, bolehlah masukkan pandangan dan komen dalam Tripadvisor. Jangan lupa beri komen yang baik-baik dan beri rating yang tinggi tau? Terima kasih semua. 

Tuesday, July 23, 2013

GALERI GOLF MELAKA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Lengkapkan percutian anda ke Melaka dengan melawat ke Galeri Golf Melaka yang terletak di Banda Kaba (berhadapan IPK Melaka Tengah). 

Galeri ni memaparkan sejarah perkembangan Golf di Melaka serta koleksi-koleksi alatan Golf milik TYT Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob serta lain-lain individu.

Antara bahan yang dipamerkan ialah kayu-kayu Golf, pakaian-pakaian seperti baju, seluar dan topi, piala-piala dan sebagainya. Pastinya yang lebih menarik apabila dapat bermain simulator permainan Golf dengan menggunakan PS3 di mana anda boleh merasa sendiri memukul bola Golf dengan hanyunan mengikut kehendak anda di padang-padang Golf seantero dunia.

Beberapa gambar ditonjolkan untuk memberikan keterujaan untuk anda bertandang ke sini. Jom layan... :) 









Datanglah ke sini ye.. Datanglah...... (Perghh.. Siap merayu lagi ni.)

Saturday, September 15, 2012

BANGUNAN STADTHUYS

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin menyatakan bahawa, entri ini ditulis sebagai sedikit rujukan dan panduan kepada para pengkaji dan pelajar-pelajar yang memerlukan maklumat berkaitan Stadthuys. Saya juga mendapat maklumat ini melalui rujukan dan pembacaan. Jadinya, sama-samalah kita saling berkongsi ilmu.

------------------------------------------

Apabila ke negeri Melaka, pastinya ada teringatkan Bangunan Merah di Bandar Hilir, Melaka. Bangunan Merah ini sebenarnya ialah sebuah bangunan muzium di mana ia dikenali sebagai Muzium Sejarah dan Ethnografi.

Pada awalnya, ia merupakan sebuah Dewan Bandaran semasa pemerintahan Belanda di Melaka. Nama asal bangunan ini ialah Stadthuys. Bangunan ini telah dibina sekitar tahun 1650-an setelah Belanda mengambil alih Melaka daripada tangan Portugis pada tahun 1641.

Dengan mengikut teres Bukit St. Paul, bangunan Stadthuys ini mempunyai 4 tingkat. Keluasan bangunan ini pula adalah 49,200 kaki persegi.



Bangunan Stadthuys ini pernah menjadi tempat kediaman Gabenor Belanda sehingga awal kurun ke-18. Selain itu, ia juga merupakan pusat pentadbiran Belanda sehingga tahun 1824.

Pada zaman pemerintahan Inggeris, bangunan Stadthuys ini terus digunakan oleh pihak British sebagai pusat pentadbirannya. Terdapat juga penambahan struktur bangunan yang dilakukan oleh pentadbiran British, namun ia tetap mengekalkan seni bina Belanda seperti dinding batu yang tebal serta pintu-pintu dan tingkap-tingkap yang besar. Fungsi pintu-pintu dan tingkap-tingkap yang besar ini adalah untuk memberikan pengudaraan yang lebih kepada bangunan yang besar ini.

Selepas zaman kolonial, bangunan Stadthuys terus dijadikan pusat pentadbiran oleh kerajaan negeri Melaka sehinggalah ke tahun 1979. Warna asal bangunan ini ialah warna putih namun ia telah dicat warna merah sehinggalah kini bangunan ini dikenali sebagai Bangunan Merah. Adalah dipercayai bahawa bangunan ini mula dicat dengan warna merah pada tahun 1920-an.

Antara ruang yang terdapat di dalam bangunan Stadthuys ini ialah pejabat Gabenor Belanda di mana di bahagian siling bilik ini terdapat hiasan ukiran kayu keras berbentuk bunga yang tidak terdapat di ruang-ruang lain di dalam bangunan ini. 

Selain itu, terdapat juga kilang Roti Belanda yang berfungsi untuk menghasilkan bekalan makanan berupa roti kepada Gabenor Belanda dan juga kepada para pegawai-pegawai. Dikatakan bahawa roti yang disajikan kepada Gabenor merupakan roti putih. Manakala roti coklat (terlebih masak) barulah diberikan kepada yang lainnya dan dijual.

Semasa kerja-kerja konservasi dijalankan di bangunan Stadthuys pada tahun 1985 yang mengambil masa 4 tahun, terdapat beberapa komponen dan jumpaan baru telah ditemui. Antaranya ialah sistem perparitan zaman Belanda di mana ia terletak di dalam bawah bangunan ini. Sekiranya dahulu, hanya dapat dilihat sistem perparitan zaman British di luar bangunan ini, setelah kerja-kerja konservasi dijalankan, barulah dijumpai sistem perparitan Belanda. Ia dipercayai berlingkaran di bawah bangunan ini hingga ke penghujung bangunan dan air terus disalurkan ke Sungai Melaka.

Terdapat juga jumpaan 2 buah perigi Portugis dan Perigi Belanda yang terletak di bahagian halaman bahagian dalam. Ia mungkin telah dikambus oleh pihak Belanda/British semasa kerja-kerja membina bangunan Stadthuys dan proses pengubahsuaian bangunan.Perigi ini dibina dengan menggunakan batu laterit yang sememangnya sinonim dengan binaan Portugis sepertimana mereka mendirikan Fortaleza De Malaca (Kota Melaka). Kini perigi ini dapat dilihat setelah kerja-kerja konservasi tersebut dijalankan. Namun, perigi ini telah kering dan tidak digunakan lagi.

Untuk memasuki kompleks Stadthuys ini para pelawat dikenakan bayaran sebanyak RM 10.00 untuk dewasa manakala RM 4.00 untuk kanak-kanak. Pelawat yang mempunyai Mykad (pelawat Malaysia) diberikan diskaun 50% menjadikan bayaran tiket hanya RM 5.00 untuk dewasa dan RM 2.00 untuk kanak-kanak. Bayaran tiket ke kompleks ini bersekali dengan kemasukan ke Muzium Sastera, Muzium Pendidikan, Muzium Pemerintahan Demokrasi, Muzium Tuan Yang Terutama dan juga Galeri Laksamana Cheng Ho.

Like Facebook ini untuk maklumat lanjut >> KLIK <<

Thursday, September 13, 2012

MARI MELAWAT MUZIUM TUAN YANG TERUTAMA (MUZIUM TYT)


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Negeri Melaka telah dikenali sejak sekian lama sebagai negeri bersejarah. Banyak tinggalan sejarah dan monumen yang masih berdiri teguh di negeri ini tinggalan kuasa-kuasa besar seperti Portugis, Belanda dan British.

Melaka juga merupakan sebuah negeri yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Bandaraya Warisan Dunia sejak 7 Julai 2008. Sejak dari pengiktirafan itu, negeri Melaka terus mencatatkan peningkatan jumlah kedatangan pelancong dari tahun ke tahun.

Antara aspek yang ditekankan dalam pengiktirafan oleh UNESCO ini ialah terdapatnya bangunan dan monumen kolonial yang masih dikekalkan sehingga kini. Kesedaran untuk mengekalkan bangunan dan monumen kolonial ini melalui proses pemuliharaan dan pemugaran membawa erti besar pada negeri Melaka. Sekiranya dahulu Melaka dijajah oleh kuasa-kuasa besar, namun sekarang tinggalan mereka menjadi tarikan pelancong seantero dunia untuk melihat sejarah yang ditinggalkan ini. 

Salah satu monumen yang masih tersergam indah di atas Bukit St. Paul, Bandar Hilir ialah Muzium Yang Di-Pertua Negeri Melaka atau lebih dikenali sebagai Muzium Tuan Yang Terutama (Muzium TYT). Bangunan muzium ini pada mulanya merupakan kediaman rasmi dan pejabat Gabenor Belanda di Melaka pada kurun ke 17.

Pada zaman pemerintahan Inggeris hinggalah selepas kemerdekaan, bangunan ini masih digunakan lagi sehinggalah pada September 1996, kediaman rasmi dan pejabat TYT berpindah dari Bukit St. Paul ke Istana Melaka di Bukit Beruang, Melaka.

Muzium ini memaparkan fungsi Institusi TYT sebagai Pemerintah Tertinggi Negeri, Sejarah Ringkas Institusi Kesultanan, Penubuhan Gabenor Negeri-Negeri hinggalah kepada Peranan dan Institusi TYT. Ia dipamerkan bagi mengimbas kembali kewujudan TYT sebagai pemerintah. Secara umumnya, turut dipamerkan ialah peranan Ketua Menteri Melaka yang mentadbir negeri ini sepanjang melaksanakan tugas bersama TYT. 

Tumpuan utama diberikan kepada Gabenor / Tuan Yang Terutama telah berkhidmat di Melaka iaitu bermula dari Tun Leong Yew Koh (Gabenor Pertama), Tun Haji Abdul Malek bin Haji Yusuf (Gabenor Kedua), Tun Haji Abdul Aziz bin Abdul Majid (Gabenor Ketiga), Tun Syed Zahiruddin bin Syed Hassan (Gabenor Keempat), Tun Syed Ahmad Al-Haj bin Syed Mahmud Shahabudin (TYT Kelima) dan Tun Mohd Khalil bin Yaakob (TYT Keenam hingga kini) dengan menampilkan pelbagai koleksi peribadi milik mereka. 

Pameran di muzium ini juga mengekalkan sebahagian daripada kegunaan ruang asal bangunan. Antara ruang-ruang dipamerkan ialah ruang makan, ruang pejabat, ruang keluarga, sudut ilham dan banyak lagi.

Muzium ini juga mengetengahkan sumbangan TYT terhadap pembangunan negeri seperti perindustrian, pertanian, pelancongan, pentadbiran, keagamaan dan sebagainya yang berkembang dari masa ke semasa sambil dibantu oleh setiap Ketua Menteri di bawah pimpinannya dalam membangunkan Negeri Melaka.

Pelajar-pelajar yang membuat kajian tentang institusi pentadbiran negeri Melaka adalah digalakkan untuk membuat kajian di sini kerana terdapat banyak sumber yang boleh membantu mereka menyediakan kajian. Selain pelajar, masyarakat setempat dan warga Malaysia juga boleh melawat muzium ini kerana ia mempunyai banyak ilmu pengetahuan yang boleh diperolehi selain ianya menarik.

Tiket masuk ke Muzium ini ialah RM 10.00 bagi dewasa dan RM 4.00 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun. Namun bagi pemegang MyKad potongan diskaun 50 peratus akan diberikan menjadikannya RM 5.00 bagi dewasa dan RM 2.00 bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun. Dengan tiket ini pelawat turut boleh melawati Muzium Sejarah dan Ethnografi, Muzium Sastera, Muzium Pendidikan, Muzium Pemerintahan Demokrasi dan Galeri Laksamana Cheng Ho.

 Mari layan gambar-gambar Muzium Tuan Yang Terutama :

Muzium Tuan Yang Terutama

Jemput masuk.....

Ruang Keluarga

Ruang Makan

Sudut Ilham

Ruang pameran

Antara bahan yang dipamerkan

Sunday, December 18, 2011

# 10 LENSA KAMERA CABUK - SEPETANG DI SUNGAI MELAKA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Memang indah sungguh berjalan-jalan di Sungai Melaka. Kalau dahulu, Sungai Melaka sangat kotor. Tetapi dengan keprihatinan Kerajaan Negeri untuk membangunkan Sungai Melaka sebagai produk pelancongan di Melaka, ianya kini dilihat amat bersih sekali. Petang-petang ramai yang berjoging di pesisir sungai, bawa anak-anak berjalan, melihat bot "Melaka River Cruise" dan melihat matahari petang. Sungguh mendamaikan.








LAWATAN PEMANTAUAN PRODUK PELANCONGAN DI MELAKA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada 7 Disember yang lalu saya telah diwakilkan oleh jabatan saya untuk mengikuti lawatan pemantauan produk pelancongan yang turut disertai oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri Melaka iaitu YB. Datuk Wira Latiff Tamby Chik. Inilah kali pertama saya mewakili jabatan saya untuk lawatan seperti ini yang sememangnya kerap dilakukan.

Tujuan lawatan seperti ini ialah untuk memastikan setiap tapak atau produk pelancongan yang terdapat di negeri Melaka dalam keadaan terbaik iaitu bersih, selamat, selesa dan sebagainya. Pada waktu yang saya sertai ini, tempat yang dilawati ialah Inap Desa Ayer Limau, Masjid Lama Masjid Tanah, Pantai Tanjung Bidara dan juga Inap Desa Seri Tanjung. Penyertaan saya adalah bertujuan untuk memberikan penerangan dan seterusnya tindakan yang perlu diambil untuk produk Masjid Lama Masjid Tanah kerana ia adalah monumen warisan yang diwartakan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Budaya Negeri Melaka.

Sebelum melawat di masjid tersebut, saya diberitahu keadaannya semuanya okey, namun semasa kedatangan saya dan YB. Exco, beliau agak dukacita dengan keadaan dan persekitaran masjid tersebut seperti kurang penjagaan. Kena 'bantai' lah juga saya masa tu. Apabila melihat keadaan masjid tersebut sayapun agak terkilan juga. Lantas selepas tamat lawatan dan kembali ke pejabat, saya terus membuat laporan tentang segala komen YB. Exco dan tindakan yang perlu diambil.

Di bawah ini disertakan gambar-gambar sekitar lawatan diadakan :



Tuesday, November 15, 2011

# 07 LENSA KAMERA CABUK - BALAI SENI LUKIS MELAKA





Seni Mengalir Dalam Darah,
Darah Merah Pekat Belaka,
Kalau Tuan Ke Rumah Merah,
Singgah Sebentar Ke Balai Seni Lukis Melaka.

Wednesday, August 17, 2011

BAGUS KE PELANCONGAN?

Apabila kita membicarakan tentang pelancongan, pasti ia mendatangkan keuntungan pada sesebuah negara. Keuntungan daripada pembelian dan perbelanjaan oleh warga negara asing yang melancong ke negara kita. Hasil ini termasuklah, bayaran hotel, perbelanjaan membeli belah, makan minum dan sebagainya.

Secara kasarnya, ia memang baik. Pelancongan memang baik kerana memberikan pulangan kepada negara. Ini boleh dilihat, sewaktu industri pelancongan belum pesat membangun, banyak negara Eropah tidak mementingkan pelancongan sebagai sumber pendapatan negara, sebaliknya lebih menumpukan kepada bidang industri. Tapi kini, dilihat seluruh dunia telah mengakui bahawa bidang pelancongan merupakan industri yang besar dan boleh menyumbangkan banyak pendapatan kepada negara.

Begitu juga dengan Malaysia, kita tidak lari daripada membangunkan negara sebagai salah satu pusat pelancongan yang harus dilawati. Kerajaan membelanjakan sejumlah wang yang banyak bagi mempromosikan Malaysia ke serata dunia, dengan impian ia akan memberikan pulangan yang lebih berlipat ganda kepada pendapatan negara.

Di Melaka juga sama. Sejak diiktiraf sebagai Bandaraya Warisan Dunia oleh UNESCO pada 7 Julai 2008, dilihat Melaka menjadi tumpuan pelancong. Setiap tahun bilangan pelancong ke Melaka kian bertambah dari tahun ke setahun. Ini memang tidak boleh dinafikan. Lihatlah sahaja Bandar Hilir pada waktu cuti hujung minggu dan cuti umum, jalan raya akan sesak dan dipenuhi oleh pelancong dari dalam dan luar negara.

Dalam membicarakan tentang pelancongan, tembiasnya pastinya dapat dirasai oleh pengusaha-pengusaha kedai makan, kedai cenderahati, pusat membeli belah dan sebagainya. Malahan si pengayuh beca juga gembira dengan kehadiran ramai pelancong kerana mereka mampu mendapat ratusan ringgit dalam masa sehari.

Namun begitu, dalam satu perhatian secara rawak yang telah dilakukan, sebenarnya ada juga keburukan dan ianya merunsingkan penduduk tempatan berkenaan pembangunan pelancongan yang pesat. Menurut beberapa individu tempatan yang telah ditemuramah, mereka tidak berpuas hati dengan harga makanan di tempat mereka yang melambung begitu tinggi.

Harga makanan ini menjadi begitu tinggi kerana kawasan itu sekarang telah menjadi kawasan tumpuan pelancong. Memang sangat ramai, sehingga bersesak-sesak pelancong di kawasan ini semasa hujung minggu. Menurut apa yang dikatakan oleh individu tersebut, mereka ini adalah rakyat tempatan, mereka sudah lama tinggal di situ, tapi sejak kerajaan membangunkan kawasan tersebut sebagai kawasan pelancongan, peniaga-peniaga mula menaikkan harga makanan yang rata-rata memang dihadiri oleh pelancong sedangkan mereka yang sudah lama tinggal di situ terpaksa juga membeli makanan dengan harga yang tinggi.

Apabila difikirkan, memang tak patutpun peniaga-peniaga mengambil kesempatan sedemikian rupa. Oleh kerana pelancongan, harga makanan naik. Bagi pelancong, ia tidak mengapa kerana mereka datang mungkin hanya sekali, tetapi bagi penduduk tetap di kawasan itu yang hidup bertahun-tahun terpaksa menanggung beban kos makanan.

Sebenarnya bukan mahu memenangkan sangat kata-kata orang tersebut, tetapi mungkin ada benarnya. Berkali-kali dia beritahu agar kerajaan patut membuat pemantauan terhadap harga makanan di kawasan pelancongan kerana ianya terlalu mahal.

Sekiranya benar bagai di kata, pihak yang bertanggungjawab haruslah mengambil berat pasal hal ini. Jangan hanya nila setitik rosak susu sebelangan dan jangan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.




Thursday, March 10, 2011

MARI MELAWAT KE MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Hari ini aku mahu mempromosikan sedikit tempat aku bekerja, mana lagi kalau bukan di Muzium Istana Kesultanan Melaka. Kepada sesiapa yang berhasrat ke Melaka tu, rajin-rajinlah datang melawat ke muzium ini. Harga tiketnya tidaklah mahal mana. Bagi dewasa cuma RM 2,00 manakala kanak-kanak bawah 12 tahun RM 0.50. Tak mahal bukan?

Di bawah ni aku pertontonkan sedikit video muzium ini. Tak bolehlah kalau aku nak papar semua. Kalau nak tengok lebih lanjut, datanglah melawat ke muzium ini.



Macam mana, menarik tak? Apa lagi, cuti-cuti sekolah dan cuti hari minggu tu bawalah anak-anak datang ke sini. Kita bukan sahaja suka-suka nak papar barang-barang lama, tapi ia merupakan satu aspek pendidikan tidak formal. Mengenali sejarah. Mengenali sesuatu yang mungkin kita tidak tahu. Dari membiarkan anak-anak dari tak tentu hala, apa kata bawa dia ke muzium. Kalau dah datang ke muzium tu, janganlah pulak hanyak tengok-tengok saja, bacalah juga setiap penceritaan yang dipamerkan. Pastinya akan menambah ilmu untuk semua.

Bagi sahabat-sahabat bloggers, kalau nak datang ke muzium ni bolehlah cari aku. Sekurang-kurangnya kita boleh berkenalan dan aku pun boleh menjadi "guide" korang. Tapi bayar tetap kena bayar ek.. Tak boleh percuma.. :)

Wednesday, February 16, 2011

SHAH RUKH KHAN BUAT PENGAMBARAN FILEM DON 2 DI MELAKA

Siapa yang tak kenal Shah Rukh Khan? Pelakon terkenal Bollywood yang mempunyai lakonan yang mantap. Selain berlakon, beliau juga merupakan seorang pengarah. Dulu, terdapat kontroversi yang melibatkan kerajaan negeri Melaka kerana memberikan gelaran "Datuk" kepada Shah Rukh Khan. Tetapi adakah anda tahu cerita disebaliknya?

Melaka adalah sebuah negeri yang menjana ekonomi berdasarkan pelancongan. Dalam usaha mempertingkatkan kedatangan pelancong asing, promosi secara besaran adalah satu cara yang terbaik. Namun, belanja untuk membuat promosi di peringkat antarabangsa bukanlah suatu yang murah. Oleh itu, langkah kerajaan negeri Melaka memberikan gelaran "Datuk" kepada Shah Rukh Khan merupakan satu usaha promosi yang cukup bijak, selain mengiktiraf Shah Rukh Khan sebagai ikon dunia yang berjaya dalam bidang lakonan.

Gambar : Pakcik Google

Sekarang ini, Shah Rukh Khan sedang membuat pengambaran filem Don 2 di Melaka. Apa yang bagusnya? Yang bagusnya ialah, dengan membuat pengambaran di Melaka, dengan secara tidak langsung akan mempromosikan negeri Melaka yang bersejarah ini di merata dunia. Dengan adanya promosi melalui pengambaran filem seperti ini, sudah tentu ianya bakal memberikan banyak manfaat kepada negeri Melaka yang terkenal sebagai negeri pelancongan serta akan memacu ekonomi negeri.

Bijakkan kerajaan negeri Melaka? Oleh itu, bagi mereka yang kurang faham terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Melaka dapat memahami apa sebenarnya yang tersirat di sebalik pemberian gelaran "Datuk" kepda Shah Rukh Khan.




Monday, January 24, 2011

BERSANTAI DI KOLAM AIR PANAS BEMBAN, JASIN, MELAKA

Pintu gebang selamat datang...

100 % air panas mineral tulen.. Bukan tipu punya..

Sejak tahun 1884? Wah lamanya...

Kawasan kanak-kanak ribena..

Kawasan rendaman kaki.. Nak rendam badan pun boleh..

Untuk rendaman kaki...

Ni boleh berendam sampai kepala...





Papan petunjuk cara-cara rendaman...

Ni panas punya.. Kalau nak rasa rendam kaki, datanglah ke sini..

Ni lagi panas.. Tak boleh nak rendam.. Telur pun boleh masak.. Orang katalah..

Ni kawasan kanak-kanak. Tidak panas..

Inilah tempat yang sempat aku kunjung masa aku ambil cuti 2 hari. Tak jauh pun.. Kat Melaka jugak.. Saja bawak emak dan orang rumah aku jenjalan kat sini.. Harga masuk dia RM 5.00 dewasa, RM 2.00 kanak-kanak. Best juga lepak kat sini. Boleh rilekskan badan..

Monday, December 27, 2010

MELAWAT KE MELAKA

Di Melaka hujung tahun ni penuh sesak dengan kenderaan berpusu-pusu masuk ke Melaka. Bayangkanlah, dari pintu masuk dari lebuhraya Simpang Ampat dan Ayer Keroh sudah sesak akibat banyaknya kenderaan yang ingin memasuki Melaka. Destinasinya, apa lagi kalau bukan ke Bandar Hilir. Kawasan yang banyak terdapat bangunan bersejarah, pusat membeli belah dan kawasan pelancongan.

Bagi sesiapa yang ingin melawat Melaka aku ingin sarankan beberapa kawasan tarikan pelancong yang boleh dilawati mengikut ketegori.

Sejarah / Warisan :

1. Muzium (ada 23 muzium dan 5 galeri)
2. Kota A' Famosa
3. Bukit St. Paul
4. Bangunan Merah (Studhuys)
5. Jonker Street (Jonker Walk)
6. Perigi Hang Tuah
7. Makan Hang Tuah / Hang Jebat
8. Masjid Kampung Hulu / Kampung Keling
9. Bukit St. John (Bukit Senjuang)
10. Rumah Api Tanjung Tuan
11. Kincir Air Kesultanan Melayu Melaka
12. Rumah-rumah tradisional (Pengkalan Batu / Bukit Sebukor / Merlimau
13. Bastion Middleburg

Taman / Zoo / Taman Tema Air





1. Melaka Wonderland (Ayer Keroh)
2. A' Famosa Water World (Alor Gajah)
3. Taman Buaya
4. Taman Mini Malaysia
5. Taman Rama-rama
6. Air Panas Gadek
7. Air Panas Bemban

Taman Bunga / Buah-Buahan

1. Taman Botanikal
2. Taman Seribu Bunga
3. Melaka Tropical Fruit Farm
4. Dusun De Paradise

Reakrasi / Hiburan Keluarga

1. Menara Taming Sari
2. Melaka River Cruise
3. Eye On Melaka dan Pirate Park
4. Melaka Monorel
5. Tasik Ayer Keroh
6. Melaka International Bowling Centre
7. Planetrium Melaka
8. Beca Melaka
9. Kereta Lembu Melaka

Pantai

1. Pantai Puteri
2. Pantai Klebang
3. Pantai Tanjung Bidara
4. Pantai Pengkalan Balak

Hotel

1. Hotel Majestic
2. Hotel Renaissance
3. Hotel Equatorial
4. Hotel Holiday Inn
5. Hotel Seri Costa
6. Hotel Naza Talya

Pusat Membeli Belah

1. Mahkota Parade
2. Dataran Pahlawan Melaka Megamall
3. Mydin
4. Tesco
5. Giant
6. Jusco

Makan-Makan

1. Ikan Bakar Umbai / Alai / Serkam
2. Asam Pedas Pasar Borong / Taman Kota Laksamana / Bukit Cina
3. Satay Celup Capitol

Ni lah yang dapat aku berikan. Sebenarnya banyak lagi dan tak mampu aku nak beritahu. Bak kata orang dekat Melaka ni, mana-mana pun best-best belaka.

Satu lagi, kalau nak pergi Bandar Hilir, pada hujung minggu memang tersangatlah sesak. Jadinya, kalau korang pandai, sebenarnya banyak jalan yang menuju dan menghubungkan ke Bandar Hilir. Kalau semua tidak hanya menggunakan satu jalan, ia mampu mengurangkan kesesakan jalan raya di Bandar Hilir.

So, marilah melawat Melaka kerana Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia.

Wednesday, September 15, 2010

MELAKA MAJU 2010

Negeri Melaka negeri bersejarah juga merupakan Bandaraya Warisan Dunia yang telah diiktiraf oleh UNESCO. Melaka merupakan antara negeri terkecil di Malaysia. Pada 20.10.2010 jam 2010 (tarikh : 20 Oktober 2010, masa : 8.10 malam) negeri Melaka akan diisytiharkan sebagai negeri maju.


Maju ke Melaka? Sebagai rakyat Melaka, aku telah merasai betapa majunya Melaka jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Dengan wawasan kepimpinan negeri yang nyata dan jauh, rakyat Melaka yang dahagakan kemajuan serta kemudahan yang disediakan amatlah dibanggakan.


Dari segi kebersihan, dilihat kerajaan negeri Melaka bersama-sama PBT bertungkus lumus bagi memastikan negeri Melaka sebagai negeri yang terbersih. Lihat sahajalah lanskap-lanskap yang menghijaukan negeri Melaka, dengan bunga-bungaan yang kembang dan segar, susunan lanskap yang cantik dan menarik. Rasanya kita akan berbohong pada diri sendiri kalau mengatakan ia tidak menarik. Dengan lanskap yang indah-indah ini akan memberikan ketenangan, serta membuat perang psikologi kepada para pelancong ke Melaka, supaya di dalam hati dan minda mereka akan memahatkan perasaan betapa indahnya Melaka.



Sektor pelancongan juga merupakan sektor yang berkembang maju di Melaka. Dengan memperkenalkan 12 sub sektor pelancongan di negeri ini, Melaka dilihat mampu berdaya saing dengan negeri dan negara yang mempunyai rekod kunjungan pelancong yang ramai. Lihat sajalah pada masa kini, produk-produk pelancongan di Melaka berkembang bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan. Ini di atas inisiatif kerajaan negeri dengan mempermudahkan kerenah-kerenah serta memberikan insentif tertentu bagi pemaju-pemaju yang ingin membuat pelaburan di Melaka bagi sektor pelancongan. Secara tidak langsung, anak-anak Melaka dapat peluang pekerjaan, kerajaan dapat mengecapi cukai dan sebagainya. Contoh produk-produk pelancongan yang terdapat di Melaka; Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Muzium-Muzium, Zoo Melaka, Taman Botanikal, Taman Seribu Bunga dan banyak lagi.


Sektor perhotelan juga semakin rancak berkembang. Terdapat banyak hotel-hotel baru dan yang sedang dalam pembinaan. Pembinaan hotel-hotel ini bagi menampung kebanjiran pelancong yang datang ke negeri Melaka pada masa cuti hujung minggu dan cuti umum di mana, pada masa kini, bilik-bilik hotel banyak yang penuh ditempah pada masa tersebut. Kemajuan perkembangan industri perhotelan juga merupakan pendapatan yang besar bagi negeri ini, ia juga menyumbangkan sumber guna tenaga yang ramai yang boleh dipenuhi oleh rakyat Melaka, dan secara tidak langsung isu pengangguran tidak dapat bertapak di negeri Melaka.


Sektor perindustrian juga merupakan sumber pendapatan yang penting bagi negeri Melaka. Terdapat banyak Zon Perindustrian Bebas diwujudkan demi untuk memenuhi kehendak para pelabur yang mendirikan kilang-kilang mereka di sini. Dengan banyaknya kilang-kilang yang bertapak di negeri ini, banyak juga peluang pekerjaan bagi para profesional, separa profesional dan tukang-tukang mahir dan tidak mahir boleh mendapatkan pekerjaan. Pelaburan terbesar yang terbaru yang bertapak di negeri Melaka ialah pembinaan kilang solar di Alor Gajah. Ia merupakan kilang solar terbesar di Malaysia dan banyak menyediakan peluang pekerjaan pada rakyat Melaka. Selepas ini mungkin kerajaan negeri Melaka boleh memikirkan kegunaan tenaga solar untuk menjana elektrik pula, demi untuk menyahut seruan penggunaan Teknologi Hijau.


Terdapat banyak lagi sektor-sektor di negeri Melaka yang telah ke arah Melaka Maju 2010. Tidak dapat nak diungkapkan satu persatu. Ada ungkapan daripada orang barat yang menyatakan bahawa sesebuah negara dianggap maju sekira rakyatnya merasakan negara tersebut adalah maju.


Justeru itu, sebagai rakyat negeri Melaka kita seharusnya sedar akan kemajuan yang kita kecapi dan bersama-sama pihak kerajaan bekerjasama bagi memastikan negeri Melaka maju dan terus maju. Berbanggalah kita sebagai rakyat negeri Melaka.


Walaubagaimanapun, dalam usaha mengecapi kemajuan, pihak kerajaan negeri juga seharusnya meningkatkan kesedaran moral dan agama kepada rakyat Melaka. Dengan pengetahuan agama dan moral yang tinggi akan menjanjikan kemodenan dan kerohanian berjalan selari dan seimbang.


Kesedaran sivik juga harus terus dipupuk dikalangan generasi dari usia di sekolah rendah lagi. Ini dapat memastikan pertumbuhan minda anak-anak dalam hal-hal keutamaan dan kesedaran sivik dapat dipertingkatkan. Sebagai balasan generasi dan rakyat Melaka akan patuh pada peraturan, menjaga kebersihan, tidak melakukan vendalisma dan lain-lain lagi. Ini adalah baik untuk negeri yang bertaraf negeri maju. Namun kesedaran sivik ini hanya boleh berjaya sekiranya rakyat bersama-sama menyokong garis panduan, peraturan mahupun undang-undang yang sedia dipakai sekarang.


Bagi pembangunan sistem pengangkutan, ada banyak lagi yang perlu diperhalusi. Jalan raya haruslah sistematik. Kurangkan kesesakan terutama di Bandar Hilir semasa cuti hujung minggu dan cuti umum kerana lokasi ini adalah lokasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Berilah keselesaan kepada mereka memandu di atas jalan raya tanpa gangguan kesesakan.


Akhir kata rakyat dan kerajaan mestilah bersama-sama berganding bahu untuk memastikan kemajuan yang bakal dikecapi akan terus menuju ke hadapan dan bukannya ke belakang.