Thursday, May 8, 2025

Penemuan Serpihan Seramik Societe Ceramique di Pulau Melaka

Pada tahun 2021, satu kerja ekskavasi penyelamatan artifak telah dijalankan di kawasan tambak laut Pulau Melaka selama kira-kira dua bulan. Ekskavasi ini dilaksanakan oleh saya bersama beberapa orang lagi kakitangan daripada Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) sebagai langkah awal bagi menyelamatkan tinggalan sejarah yang mungkin tertanam di kawasan tersebut sebelum projek pembangunan dijalankan.

Mencari bukti sejarah melalui sumber utama, artifak

Kawasan tambak laut ini mempunyai potensi tinggi dari sudut arkeologi memandangkan lokasinya yang berhampiran dengan kawasan pesisir pantai dan laluan perdagangan lama Melaka yang menghubungkan perdagangan Timur dan Barat.

Sepanjang tempoh ekskavasi, pelbagai jenis serpihan artifak telah ditemui, termasuk tembikar, seramik (akhir Ming - awal Qing), syiling zaman Kesultanan Melayu Melaka dan lain-lain jumpaan. 

Antara penemuan yang lain ialah satu serpihan seramik yang mengandungi cap bertulis “Societe Ceramique – Maastricht – Made in Holland” bersama imej seekor singa. Penemuan ini menimbulkan minat untuk mengetahui lebih lanjut tentang asal usul serpihan ini serta kaitannya dengan sejarah perdagangan Melaka.


Societe Ceramique ialah sebuah syarikat pengeluar seramik yang terletak di Maastricht, Belanda dan yang beroperasi sejak abad ke-19. Syarikat ini terkenal dengan penghasilan barangan seperti pinggan, mangkuk, teko dan barangan dapur lain yang berkualiti tinggi.


Produk mereka bukan sahaja digunakan di Eropah, tetapi turut dieksport ke pelbagai negara termasuk Asia Tenggara. Cap rasmi syarikat ini sering memaparkan nama syarikat bersama imej singa iaitu lambang negara Belanda yang juga menjadi identiti yang mudah dikenali dalam kalangan pengumpul artifak seramik.

Pada tahun 1958, Societe Ceramique telah bergabung dengan sebuah lagi syarikat Belanda terkenal, De Sphinx. Selepas penggabungan tersebut, cap asal Societe Ceramique tidak lagi digunakan. Oleh itu, penemuan serpihan seramik yang masih memaparkan cap ini menunjukkan bahawa ia merupakan produk yang dihasilkan sebelum tahun 1958. Ini menjadikan serpihan tersebut sebagai artifak antik yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi.

Penemuan ini membuktikan bahawa kawasan Pulau Melaka suatu ketika dahulu telah terlibat secara langsung dalam jaringan perdagangan antarabangsa. Kehadiran seramik dari Eropah, khususnya dari Belanda, menunjukkan bahawa Melaka bukan sahaja menjadi tumpuan pedagang dari Asia, malah turut menerima kunjungan pedagang dari benua Eropah. 

Ekskavasi seperti ini penting dalam usaha kita untuk mengenal pasti, melindungi dan memulihara warisan sejarah negara. Penemuan serpihan seramik Societe Ceramique ini menjadi bukti fizikal kepada hubungan perdagangan antarabangsa yang pernah berlaku di Melaka dan memberikan kita ruang untuk meneroka lebih jauh kaitan antara artifak dan sejarah pelabuhan Melaka yang terkenal suatu ketika dahulu.

* Pulau Melaka terdapat beberapa nama lama seperti Pulau Jawa dan ilha De Naos, kini setelah ditambak menjadi Pulau Melaka (Pelan lama ada tertulis Pulo Melaka). Tidak jauh dari pulau ini, terdapat sebuah lagi pulau yang penting iaitu Pulau Upeh yang turut terkenal dengan panggilan Ilha de Pedra. Di antara kedua-dua pulau ini, terdapatnya pelabuhan lama Melaka di mana kapal-kapal dagang berlabuh di situ sebelum kapal-kapal lebih kecil mengangkut barang dari kapal dan memasuki muara sungai. 

2 comments:

  1. Nampaknya bro cukup keletihan tetapi puas...artifak jika tidak diselamatkan akan terus hilang dimamah bumi

    ReplyDelete
  2. menarik ni..penjajahan Belanda di Melaka (1941-1824), Societe Ceramique ditubuhkan pada 1863, maknanya barang seramik tu wujud selepas jajahan Belanda di Melaka...mungkin ada kapal2 pedagang yg tenggelam di Selat Melaka..

    ReplyDelete

Sila lah komen. Segala komen adalah dihargai.