Thursday, October 20, 2022

Tarikh-Tarikh Penting Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-15


Tarikh yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Bulatkan tekad anda untuk memilih wakil rakyat di kawasan anda. Pilihlah dengan bijak, jangan asyik kena kelentong 24 jam dengan ahli-ahli politik yang sebenarnya tidak banyak membantu menyelesaikan pelbagai perkara.

Kalau betul-betul nak mengundi, undilah calon seperti di atas. Terbukti telah banyak kelentong orang. Hahaha... Ahhh.. Gasak koranglah nak undi siapa pun.

Terima Hadiah Cermin Muka dari Mamapipie


Sebenarnya sudah lama juga tak sertai segmen hadiah percuma (giveaway). Sekali sertai, tup-tup terpilih pula sebagai salah seorang penerima hadiah. Baru-baru ini, aku telah dipilih sebagai pemenang saguhati daripada blogger Mamapipie sempena segmen hadiah percuma (giveaway) yang beliau laksanakan. Alhamdulillah. 

Hadiahnya ialah cermin. Ya, cermin muka. Barangkali Mamapipie minta aku "kau tengok muka kau dalam cermin!!!" Pasal tu aku dapat cermin kot. Hahaha. Gurau saja.

Apa-apa pun, terima kasih diucapkan kepada Mampipie atas pemberian ini. Aku amat menghargainya. Cermin ni pun telah berjasa buatku. Disebabkan ia mudah dibawa ke mana sahaja, aku menggunakannya untuk merapikan misai, jambang dan janggut di belakang rumah. Barulah rileks sahaja. Buat kerja sambil duduk. Kalau di bilik air perlu berdiri sambil merapi. 

Ops! Sebenarnya cermin ini berlampu disekelilingnya. Tapi aku belum cuba lagi kerana belum beli bateri. Balik kerja nanti nak beli bateri. Barangkali apabila cermin ini berlampu, muka akan lebih kelihatan lebih kacak. hahaha.. Gurau lagi.

Tuesday, October 18, 2022

Peranan Masjid Kepada Masyarakat Yang Mungkin Kita Tidak Tahu

Dulu-dulu sering juga kedengaran bahawa terdapat individu muslim yang kesempitan hidup pergi ke rumah ibadat agama lain yang menawarkan sumbangan sama ada berbentuk kewangan atau barangan keperluan. Sejauhmana kebenarannya, wallahua'lam. Moga ia hanyalah sekadar khabar angin yang tidak berasas. Sekiranya benar, maka ia merupakan satu tamparan hebat buat institusi masjid.

Namun sebenarnya, telah banyak masjid di dalam negara kita ini memberikan sumbangan kepada mereka-mereka yang memerlukan. Cuma barangkali kita kurang perasan kerana berkemungkinan pihak masjid tidak mewar-warkan secara meluas contohnya di media sosial.

Alhamdulillah.. di masjid kawasan kejiranan aku cukup prihatin dengan masyarakat sekitar atau lebih tepat lagi ahli kariah. Pihak masjid mempunyai data ahli kariah yang telah dikumpulkan dan dari data tersebut pihak masjid dapat mengenalpasti siapa yang perlu dibantu.

Awalnya dahulu, di masjid menyediakan gerobok rezeki di mana barang-barang keperluan yang disumbangkan oleh orang ramai ditempatkan di satu rak di masjid. Mereka yang memerlukan boleh mengambilnya dalam kadar yang diperlukan. Namun, kaedah tersebut kurang mendapat sambutan. Terdapat makanan yang rosak akibat melepasi tarikh luput. 

Justeru, pihak masjid telah mengambil inisiatif untuk menghantar sendiri barangan keperluan kepada golongan sasaran. Program ini dinamakan Ziarah Kasih Gerobok Rezeki Masjid Al-Aminin. Ia mula diperkenalkan pada era Covid-19 fasa kedua dan sehingga kini ia terus dilaksanakan.

Penghantaran sumbangan dari rumah ke rumah telah dilaksanakan pada setiap minggu. Pada awal pelaksanaan dahulu, setiap minggu hampir 20 rumah dilawati dan diberikan sumbangan berupa barangan keperluan. Kini, hanya 10 buah rumah saja dilawati setiap minggu. 

Walaupun hanya 10 rumah sahaja setiap minggu, namun boleh dikatakan setiap 2 ke 3 bulan mereka akan kembali menerima sumbangan kerana kaedah penggiliran dibuat setelah kesemua penerima telah dilakukan. Selagi ada penginfaq, selagi itu program ini akan berjalan. Alhamdulillah, pada ketika ini, sumbangan dari penginfaq amat menggalakkan.

Apa peranan aku? Sebenarnya aku tiada apa-apa jawatan di masjid. Cuma aku secara sukarela menawarkan diri untuk mengambil gambar dan video serta mengeditnya untuk diwar-warkan kepada masyarakat khususnya di dalam kariah kami. Aku pun bukanlah seorang profesional dalam pembikinan video, cuma minat dan berbekalkan sedikit bakat yang terpendam. Semoga dengan video ini menjadi sebab kepada lebih ramai masyarakat berbuat kebaikan dan kebajikan.

Akhir kata, sama-samalah kita mengejar untuk membuat kebaikan dari apa yang termampu kita lakukan. Mohon juga kepada rakan-rakan untuk subscribe, like dan share video kami ini agar lebih ramai lagi masyarakat mengetahui peranan masjid dalam masyarakat.

Klik video YouTube Gerobok Rezeki Masjid Al-Aminin di SINI.

Anda ingin turut menyumbang?

Saturday, October 15, 2022

Berkelana ke Pekan, Pahang

Bukan berkelana mana pun.. Sekadar bermusafir menghadiri majlis ilmu yang dianjurkan oleh Muzium Negeri Pahang. Kebetulan big boss perlu ke Jakarta, jadi beliau meminta aku mewakilinya ke majlis ini. 

Majlis yang dianjurkan ini bertajuk Kolukium Al-Asar "Mengembalikan Makna Diri Bangsa". Sangat bagus tajuknya, para pembentang pun terdiri daripada para ilmuwan yang hebat-hebat. Kolukium ini diadakan di Muzium Sultan Abu Bakar.

Semasa mendapat arahan untuk menghadiri majlis ini, masanya agak suntuk. Tidak dapat jabatan menyediakan pesanan kerajaan (LO) untuk menyediakan kemudahan penginapan untuk aku. Justeru aku cuba menempah hotel melalui laman-laman tempahan hotel, namun tiada banyak hotel yang tersenarai di kawasan Pekan, jika ada pun telah penuh ditempah.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk tidak menempah mana-mana hotel. Aku memperjudikan nasib untuk mencari sendiri hotel setibanya di sana kelak. Kebetulan aku bertolak lewat dari Melaka kerana ada beberapa program yang perlu dilakukan sebelum bertolak. Akhirnya, selepas solat Jumaat baru dapat bertolak ke Pekan, Pahang.

Sebelum ke Pekan, Pahang sempat memenuhi jemputan untuk memberi taklimat

Bukan mengajar, sekadar berkongsi pengalaman dalam bidang ekskavasi arkeologi



Tiba di Pekan, Pahang kira-kira jam 8.00 malam. Hari pun sudah gelap. Misi pertama ialah mencari tempat penginapan. Hotel yang pertama yang aku tujui ialah Inderapura Lake Resort. Alhamdulillah, ada pula kekosongan. Semasa hendak menempah secara laman maya menyatakan tidak kekosongan. Mungkin aku bernasib baik. Tak perlulah lagi mencari-cari tempat, penginapan lain.

Hotel biasa-biasa saja. Murah. Hanya RM90.00 semalaman. Oklah tu, untuk buat, tidur sebentar saja. Esok pagi-pagi sudah hendak daftar keluar (check out). Aku membayarnya secara tunai. Resitnya aku simpan untuk membuat tuntutan di jabatan nanti. 

Tiada ke mana pun malam tu. Lepas daftar masuk (check in), bergolek-golek sebentar di atas katil kemudian terus keluar mencari benda untuk dimakan. Lepas balik dari menikmati makan malam, terus lena hingga keesokkan harinya.

Esok, pagi-pagi sekitar jam 6 sudah bangun. Solat subuh dan terus ke belakang resort untuk melihat keindahan tasik yang tidak dapat aku lihat secara jelas pada malam semalam. Berikut beberapa hasil tangkapan pemandangan tasik di resort tersebut.

Subhanallah.. indahnya ciptaan Allah yang Maha Esa

Alhamdulillah.. Masih diberi peluang untuk menghirup udara segar

Allahuakbar.. Kejadian alam menunjukkan kehebatan Allah SWT





Wednesday, October 12, 2022

WW : Lempeng Bawang


Semakan Daftar Pemilih


Tak lama lagi dah nak pilihanraya umum. Kalau masih tertanya-tanya dekat mana nak mengundi, boleh semak di SINI. Jangan risau, pautan ini terus ke laman rasmi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), bukannya laman scammer. Manalah tahu kan.. Tiba-tiba ada pertukaran tempat mengundi.

Dah, tu saja nak dikongsikan. Selamat mengundi. Mengundilah dengan bijak. Terpulang pada kehendak dan pilihan masing-masing. 

Monday, October 10, 2022

Parlimen Malaysia Dibubarkan

Sebenarnya, hari ini merupakan hari yang sedikit meletihkan. Semalam berarak Maulidur Rasul peringkat negeri Melaka, malamnya pula melepak di rumah kawan hingga lewat 1 pagi.  Ditambah dengan cuaca yang sejuk, memang sesuai untuk beradu di kamar. 

Dalam sedang diulit mimpi yang indah, kedengaran isteri memaklumkan, "bang.. parlimen dah dibubarkan". Dalam keadaan mamai aku menjawab, "arggh, biarkan le". 

Bangun dari tidur baru le aku melihat telefon bimbit untuk membaca berita perihal pembubaran parlimen Malaysia. Oh, ya! Parlimen telah dibubarkan. Bukanlah aku bermimpi tadi. Justeru, pada tarikh 10 Oktober 2022, sudah sahlah bahawa Parlimen Malaysia telah dibubarkan.



Jadi, tak lama lagi tibalah masa untuk mengundi. Pilihlah dengan bijak. Pilihlah calon yang mana anda sendiri suka, terpulanglah, jangan gaduh-gaduh pasal politik ni.  Kita tetap macam ni, mereka di atas yang kenyang sambil tersandar. Kalau rasanya semua tak layak, pilihlah undi rosak.. Hahaha... 

Giveaway Contengan Cuya

Sebenarnya aku baru saja ternampak blog ini di dalam dunia maya. Ternampak apabila beberapa rakan bloggers menaikkan entri berkaitan giveaway yang dianjurkan oleh Cuya. Secara personal, Cuya juga telah komen di entri aku menjemput aku untuk turut sama menyertai giveaway ini.

Jadi, sebagai sokongan kepada rakan-rakan bloggers, aku menyahut seruan dengan menyertai giveaway ini. Bagi rakan-rakan bloggers lain yang ingin menyertai giveaway ini, sila klik gambar di bawah ini.


Cuya ni adalah pelukis digital yang turut menjual karya di shoppe. Jadi, jika sesiapa berkenan untuk memotretkan diri dalam bentuk digital, bolehlah tempah dengan Cuya. 

Lukisan di bawah ini antara lukisan digital yang dilakar Cuya yang menarik. Walaupun nampak ringkas, namun penggunaan warna hitam dan putih menyerlahkan lagi lukisan tersebut. Sekiranya dipilih sebagai pemenang, aku ingin memilih lukisan sebegini sebagai hadiahnya. Kalau menang le kan.... Haha.


Jom... Apa lagi rakan-rakan. Mari kita sokong dan memeriahkan lagi giveaway ini. 😀👍🏼

Saturday, October 8, 2022

Salam Maulidur Rasul 1444 Hijrah/2022 Masihi

Selawat dan salam buat nabi junjungan nabi Muhammad S.A.W. Marilah kita sama-sama memperbanyakkan selawat atas nabi, semoga kita memperoleh syafaat baginda di akhirat kelak.

Selamat menyambut Maulidur Rasul 1444 hijrah dengan tema yang dipilih pada tahun ini ialah "Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran".



Friday, October 7, 2022

Tertidur Ketika Lampu Isyarat Merah

Sebenarnya, kisah ini bersambung pada hari yang sama berlakunya kejadian INI.

Selepas singgah di kedai, aku terus meneruskan perjalanan ke hospital. Kedudukan rumah ke hospital, tidaklah terlalu jauh. Anggaran dalam 10 kilometer sahaja.

Setibanya di persimpangan berdekatan hospital, lampu isyarat berwarna merah. Jadi tunggulah seketika sebelum lampu bertukar kepada warna hijau. Lama juga menunggu kerana di situ merupakan satu persimpangan empat arah yang juga jalan utama ke pusat bandar.

Gambar sekadar hiasan


Apabila lampu bertukar kepada warna hijau, semua kenderaan mulai bergerak. Namun, di lorong aku kelihatan sedikit perlahan seolah ada kenderaan rosak di hadapan. Kenderaan mula belok ke kiri dan kanan bagi mengelakkan sebuah kereta yang berhenti di tengah-tengah jalan. Kenderaan pun mula membunyikan hon.

Apabila aku sampai di belakang kereta tersebut, aku membelok sedikit ke kiri. Semasa membelok, sempat aku menoleh ke arah kereta itu dan aku terlihat pemandunya ada di dalam kereta dalam keadaan tertutup mata.

Dalam hati aku sudah terfikir macam-macam. Mungkinkah pemandu tersebut terkena serangan jantung, pengsan atau meninggal dunia? Segera aku memberhentikan kereta berdekatan lampu isyarat dan segera turun mendapatkan kenderaan tersebut.

Aku merupakan orang pertama yang datang untuk membantu. Aku lihat di cermin kereta seorang lelaki dengan mata tertutup tersandar di kerusi pemandu. Lantas, aku ketuk cermin dengan kuat dengan harapan beliau sedar. Akhirnya, beliau membuka mata.

Aku menunjukkan isyarat jari ibu kepadanya bagi memastikan beliau dalam keadaan baik atau sebaliknya. Beliau balas dengan isyarat jari ibu juga menandakan semuanya dalam keadaan baik. Alhamdulillah.

Rupa-rupanya beliau tertidur semasa menunggu lampu isyarat bertukar kepada warna hijau. Mujurlah tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

Kepada para pemandu, sekiranya mengantuk, berhentilah memandu dan cari lokasi yang sesuai untuk rehat seketika sebelum meneruskan perjalanan. Jangan pertaruhkan nyawa mengambil risiko memandu dalam keadaan mengantuk kerana kecelakaan mungkin boleh berlaku.

Thursday, October 6, 2022

Rezeki Jangan Ditolak, Musuh Jangan Dicari

Satu persatu aku membaca senarai barangan yang dipesan oleh isteriku untuk dibawa ke hospital. Satu senarai yang panjang merangkumi pakaian, lampin, pengecas telefon, sebotol air, cawan, sudu dan pelbagai lagi. Naik berpinar biji mata melihatnya. Harap-harap tiada yang tertinggal.

Oh ya, pagi tadi telah aku bawa isteri dan anakku Muhammad Fiq Farrel yang baru berusia 6 bulan ke hospital. Sudah masuk minggu ketiga anakku tidak sihat. Batuk berkahak, selsema dan demam. Demamnya sekejap sembuh sekejap kebah. Pemeriksaan x-ray menunjukkan ada sesuatu di bahagian dadanya yang berkemungkinan dijangkiti kuman. Jadi anakku ditahan di wad sambil ditemani isteriku.

Sedang mahu bertolak ke hospital, masuk lagi pesanan dari isteri agar membawa Milo. Macamana nak bawa Milo, elok beli saja Milo 3 in 1 di kedai. Senang nak dibancuh nanti.

Sampai di kedai, segera aku mendapatkan Milo 3 in 1. Sempat juga aku menyambar coklat snicker untuk dijadikan habuan mulut semasa perjalanan ke hospital. 

Semasa hendak membayar, ada 2 orang di hadapanku. Seorang yang berada di hadapan aku seorang wanita kemungkinan berusia lewat 40 tahun. Banyak juga barang beliau beli. 

Apabila telah tiba gilirannya, beliau menyuruh aku kehadapan untuk membayar dahulu dengan alasan barangnya banyak. Kebetulan, hanya satu sahaja kaunter bayaran yang dibuka. Awalnya aku menolak, tidak kisah untuk menunggu tetapi dia minta juga aku memotong gilirannya. Lantaran itu, aku pun kehadapan.

Selesai juruwang mengimbas harga barangan yang aku beli, aku menghulurkan kad debit untuk membayar. Namun tanpa disangka, wanita tersebut berkata bahawa beliau akan membayar barangan yang aku beli. Aku menolaknya namun beliau terus berkata " takpe-takpe saya bayar". Aku cuma mampu mengucapkan terima kasih lalu keluar dari kedai tersebut.

Dalam hatiku berkata agar wanita tersebut terus dimurahkan rezeki dan senantiasa membantu insan-insan yang memerlukan. 



Tuesday, October 4, 2022

Cara Mudah Menukar Kad ATM Maybank

Sebelum ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib, isteri sudah berpesan supaya belikan beberapa barangan di kedai. Jadi, aku bawalah dompet dan telefon bimbit sekali ke masjid supaya selepas solat boleh terus ke kedai. Biasanya aku tak bawa semua tu semasa ke masjid, hanya membawa diri saja. Masjid dan rumah tak jauh mana. Tak lalu pun jalan besar.

Dompet dibawa dengan tujuan untuk membayar, telefon bimbit pula untuk membaca senarai barangan yang perlu dibeli yang dipesan melalui aplikasi Whatsapp. Kalau bawa diri saja, nak bayar dengan apa... Nak beli apa...?

Awal lagi aku sudah berpesan, malam tersebut balik lewat sedikit pasal ada kuliah Maghrib. Justeru, selepas Isyak baru dapat pergi ke kedai untuk membeli barang. 

Selepas solat aku terus memecut ke kedai. Motorsikal Honda PCX 150 pemberian isteri sempena hari lahir ku dua tahun lalu aku tunggang dengan laju dan bergaya dengan baju kurta, kain pelikat dan ketayap yang hampir-hampir terbang akibat kelajuan motorsikal. 

Setibanya di kedai, dengan penuh keyakinan aku mengangkat satu persatu barangan yang dipesan oleh isteriku. Ada juga barangan yang tidak dapat dibeli kerana ketiadaan stok. Tak mengapa, selepas ini boleh ke kedai runcit sebelah pula, mungkin ada barangan tersebut di kedai itu.

Tiba masa untuk membayar, aku memaklumkan untuk membayar menggunakan kad debit. Aku memang gemar menggunakan kad debit berbanding tunai. Aku juga jarang mempunyai tunai yang banyak di dalam dompet. 

Semasa wave debit kad tiba-tiba mesin tersebut menolak kerana kad debit telah tamat tempoh. Aduhai, payahlah macam ni... Aku sendiri tak perasan kad debit sudah tamat tempoh. Duit dalam dompet tak banyak. Korek punya korek, adalah sedikit duit tapi masih belum mencukupi. Belakang aku pula sudah dua tiga orang berbaris untuk membayar. Aduh, parah.

Aku maklumkan pada juruwang tersebut bahawa duit tidak cukup, aku perlu pulang dahulu ke rumah untuk mengambil duit. Selepas ambil duit di rumah, aku bayarlah kembali jumlah yang kurang. 

Keesokan harinya semasa waktu rehat tengah hari, aku ke Maybank untuk menukar debit kad. Sebelum pergi ke bank, aku telah Google dahulu tentang bagaimana untuk menukar debit kad yang telah tamat tempoh. Jadi, yang paling mudah disarankan agar menggunakan Debit Card Replacement Kiosk. 

Melalui pencarian Google tersebut menyatakan bahawa di Melaka hanya terdapat satu sahaja cawangan Maybank yang mempunyai kiosk tersebut iaitu di Maybank Jalan Hang Tuah iaitu merupakan cawangan utamanya di Melaka. Jadinya, aku ke situ untuk menukarkan kad debit.

Inilah Debit Card Replacement Kiosk by Maybank


Mudah sungguh menggunakan kiosk ini. Hanya memerlukan satu hingga dua minit untuk memperoleh kad debit yang baharu. Semua arahan dipaparkan di skrin, kita cuma perlu ikut sahaja satu persatu arahan yang diberikan. Bermula dari memasukkan kad debit lama, kemudian masukkan nombor pin, pengesahan dengan memasukkan kad pengenalan dan pengesahan cap jari. 

Seterusnya kita pilihlah corak kad yang dipaparkan. Ada 4 pilihan. Aku pilih corak yang mempunyai gambar pasukan Manchester United. Walaupun baru kalah 6 - 3 dengan Manchester City, kira oklah tu. Corak tu saja yang lain daripada lain selebihnya hanya gambar buah epal.

Selepas memilih, keluarlah kad debit tersebut dan sudah boleh digunakan seperti biasa. Huh, sekian sahaja perkongsian aku mengenai cara untuk menukar kad debit yang telah tamat tempoh. Semoga bermanfaat.

Monday, October 3, 2022

Permainan Tikam

Tanpa kita sedari, sejak dari kecil kita terjebak dengan satu permainan yang sememangnya berunsurkan perjudian. Permainan Tikam! Inilah permainan pertama yang melibatkan kanak-kanak berjudi sama ada disedari atau tidak. 

Dulu-dulu panggil ni Tikam Dayak

Dengan rasa bersalah, aku mengaku pernah juga bermain permainan ini semasa zaman kecil. Jangan kata kecil, semasa masih bersekolah menengah juga aku pernah bermain permainan tikam. Tapi bukanlah selalu, sekali sekala saja.

Tidak dapat aku pastikan sama ada di zaman ini masih terdapat permainan ini di pasaran. Harap-harapnya tiadalah lagi, agar budak-budak sekarang tidak terjerumus ke dalam aktiviti yang mendorong kepada unsur perjudian. 

Ada sesiapa yang pernah main tikam? Cuba komen pengalaman kalian pula. 

Sunday, October 2, 2022

Kisah Masjid Selat Melaka Yang Mungkin Orang Tak Tahu

Masjid Selat Melaka merupakan sebuah masjid terapung yang terletak di Pulau Melaka. Pulau Melaka pula merupakan sebuah pulau buatan manusia yang telah ditambak. Pulau ini terletak di Selat Melaka, lantaran itu dinamakan sebagai Masjid Selat Melaka.

Masjid Selat Melaka


Pada asalnya, di kawasan Pulau Melaka ini terletak sebuah pulau kecil yang dikenali sebagai Pulau Jawa. Pulau Jawa telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Terdapat catatan menyatakan bahawa di sekitar Pulau Jawa merupakan kawasan kapal-kapal berlabuh sebelum masuk ke pelabuhan Melaka. 

Selat Melaka merupakan selat terpanjang dan tersibuk di dunia. Ia merupakan selat yang menghubungkan jalan laut antara dunia Timur dan Barat.  Apabila berada di tepi pantai Selat Melaka, dengan jelas kelihatan kapal-kapal dagangan melalui selat ini. Aku sendiri pernah ke tengah laut untuk memancing melihat betapa banyaknya kapal-kapal besar di Selat Melaka. Ada kapal kargo, ada juga kapal minyak dan gas.

Namun, bukan pasal Selat Melaka yang aku ingin ceritakan. Aku nak bercerita pasal Masjid Selat Melaka. Sekiranya kalian mengetahui bahawa Masjid Selat Melaka, merupakan masjid yang agak unik dari segi seni bina dan lokasinya. Disebabkan itu, ramai pelancong dari luar negara datang mengunjungi masjid ini. 

Masjid ini memang biasa aku kunjungi, sebab ia merupakan masjid di mana aku menunaikan solat Jumaat. Memang ramai pelancong luar yang datang ke sini, walaupun pada hari Jumaat. Ada saja pelancong dari China, Korea dan mat-mat Saleh yang datang untuk melihat keindahannya. 

Yang amat aku kagum adalah pada pengawal keselamatannya. Beberapa kali aku perhatikan pengawalan keselamatan Masjid Selat Melaka agak fasih berbahasa Inggeris. Pelawat-pelawat luar negara yang hadir diberikan penerangan tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di dalam masjid. Semasa khutbah dan solat Jumaat dilaksanakan, pelawat tidak dibenarkan masuk dan perlu menunggu di luar sehingga selesai solat barulah dibenar masuk. 

Masjid Selat Melaka juga merupakan kawasan tumpuan untuk penggemar fotografi untuk menangkap gambar. Suasana dan pemandangan matahari terbenam juga agak indah di sini. Jika di "Google" memang terlalu banyak gambar-gambar yang menarik memaparkan Masjid Selat Melaka.

Jadi, apa lagi... Jika berkesempatan ke Melaka jangan lupa singgah ke masjid ini. Di sekitar masjid ini juga mempunyai tempat rehat dan rawat yang sesuai dijadikan perhentian sementara meneruskan perjalanan atau aktiviti.

Saturday, October 1, 2022

Give Away October By Ainihalim

Buat Aini, rakan blogger yang baru aku kenali semasa berblogwalking, ingin aku ucapkan selamat menyambut hari kelahiran, semoga panjang umur, dimurahkan rezeki dan diberkati Allah SWT akan umurnya.

Klik gambar untuk menyertai giveaway


Ucapan ini adalah bersempena dengan giveaway yang beliau laksanakan. Jadi, sementara ada masa terluang, aku turut serta memeriahkan giveaway ini sebagai sokongan kepada rakan-rakan bloggers.

Rakan-rakan bloggers lain yang terlihat entri ini, jom sama-sama sertai giveaway ini. Syarat-syarat untuk menyertai giveaway ini sila klik pada gambar di atas.

Sabar Itu Separuh Daripada Iman

Sebelum ini aku pernah menulis entri berkaitan pokok pisang yang ditanam tidak membuahkan hasil walaupun telah mengambil masa yang agak lama. Namun, aku tidak berputus asa. Terus menjaga pokok-pokok pisang tersebut dengan mengemburkan tanah dan membajanya. Entri pasal pokok pisang tersebut boleh dibaca di SINI.

Pisang 40 hari


Alhamdulillah.. Setelah beberapa bulan, akhirnya berbuah juga pokok-pokok pisang yang ditanam di belakang rumah yang tanahnya hanyalah sekangkang kera. Pada ketika ini sudah tiga batang pokok telah berbuah. Pisang yang aku tanam itu adalah pisang 40 hari. Comel-comel saja bentuknya. Tak pasti pula sekiranya ada nama lain bagi pisang ini. Kalau sesiapa tahu, silalah komen.

Sebatang lagi pokok yang telah mengeluarkan jantung pisang


Kebetulan anak keempat aku, Muhammad Firman memang suka makan pisang. Dialah yang paling banyak makan berbanding adik beradik yang lain. Kalau duduk di belakang rumah saja, dia akan bertanya, bila buah pisang nak ada lagi. Hihihi.. 

Sekarang ini, di belakang rumah telah aku tanam beberapa batang pokok pisang di tepi-tepi tembok rumah. Anak-anak pokok pisang yang tumbuh, aku alihkan ke tempat sesuai agar ia tidak tumbuh serumpun. Semoga pokok-pokok ini terus mengeluarkan hasil. Insyallah.