Tuesday, December 3, 2024

Fish and Chip atau Asam Pedas



Malaysia merupakan salah sebuah negara yang aktif dan konsisten dalam mempromosikan negara dalam sektor pelancongan. Ini bagi menarik lebih ramai pelancong dari luar negara ke negara ini. Terdapat pelbagai usaha dijalankan antaranya di peringkat negeri sebagai contoh pada tahun 2017 merupakan Tahun Melawat Perak, 2019 adalah Tahun Melawat Melaka manakala di peringkat pusat pula pada tahun 2020 merupakan Tahun Melawat Malaysia. Walau bagaimanapun, akibat daripada pandemik Covid-19 yang mula menular di dalam negara bermula Mac 2020, Tahun Melawat Malaysia terpaksa dibatalkan.

Pada tahun 2018, sektor pelancongan Malaysia telah menyumbang RM84.1 billion kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan jumlah kehadiran pelancong antarabangsa seramai 25.8 juta orang. Walau bagaimanapun, pada tahun 2019 Malaysia hanya menerima 20.1 juta orang pelancong antarabangsa dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM66.14 billion.

Namun, zaman terus berubah. Industri-industri tertentu yang berkait rapat dengan kehendak perubahan masa dan zaman perlu berubah dalam memastikan kelangsungan dalam industri berkekalan dan terus relevan termasuk industri pelancongan.

Meskipun perbelanjaan pelancong tertumpu kepada segmen membeli belah, penginapan dan makan minum, namun perlu diketahui apakah faktor utama yang mendorong pelancong antarabangsa mengunjungi Malaysia. Faktor tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah kebudayaan dan warisan. Pada tahun 2019 pendapatan sektor kebudayaan mencatatkan sebanyak RM423 juta.

Tidak boleh dinafikan bahawa faktor budaya dan warisan merupakan salah satu faktor yang mendorong pelancong antarabangsa mengunjungi negara ini. Justeru, apabila membangunkan satu-satu produk pelancongan, elemen kebudayaan dan warisan wajib dititikberatkan dan diambil perhatian yang serius.

Sebagai seorang pelancong yang ingin melawat ke negara luar, apakah faktor yang menarik minat kita hendak ke sana? Pastinya kita tidak mahu melihat apa yang terdapat di sana, sama sahaja di Malaysia. Sudah pasti kita mahu melihat bangunan-bangunan bersejarah, tapak-tapak warisan, makanan dan pakaian tradisi serta kebudayaan mereka.

Begitu juga di Malaysia, elemen kebudayaan dan warisan perlu ditonjolkan. Tidak perlu malu untuk memperlihatkan kebudayaan dan warisan yang kita miliki. Lebih menyedihkan apabila terdapat pihak yang tergamak untuk menutupi dan melenyapkan warisan yang dimiliki atas nama pembangunan dan keuntungan semata-mata.

Adalah suatu kelaziman sebagai pelancong inginkan sesuatu yang baharu selain apa yang terdapat di negara mereka. Selalunya kita beranggapan mereka gemar untuk menikmati beefsteak atau fish and chip walhal mereka sangat teruja ingin mencuba dan merasai asam pedas, nasi lemak, sambal belacan, roti canai dan lain-lain menu tradisi Malaysia.

Kita juga sering menganggap mereka suka berhibur di kelab malam sambil minum minuman beralkohol, sebaliknya mereka berkeinginan untuk menyaksikan kebudayaan dan persembahan tradisional sambil dihidangkan dengan minuman citarasa tempatan seperti air kelapa muda, air nira, sirap selasih, cendol dan sebagainya.

Di Jepun misalnya, terdapat sebuah perkampungan budaya dinamakan Iyashi No Sato yang masih mengekalkan struktur bangunan-bangunan lama yang turut menyediakan perkhidmatan menyewa pakaian untuk pelancong bergambar. Biarpun harga sewaannya menjangkau 1,000.00 Yen (RM38.00) bagi setiap pakaian yang dikenakan namun ramai pelancong yang mencuba kerana keinginan yang tinggi untuk mengenali pakaian tradisi masyarakat di sana.

Di Malaysia, kita juga seharusnya menonjolkan pakaian tradisi kita seperti baju Melayu, kurung, kebaya, busana tradisional dan sebagainya untuk dicuba dan dipakai oleh pelancong asing bagi memperkenalkan tradisi kita. Ini secara tidak langsung dapat mempromosikan tradisi dan kebudayaan Malaysia di serata dunia.

Tapak-tapak sejarah dan warisan juga perlu dijaga rapi. Adalah tidak lagi relevan untuk membangunkan sesebuah kompleks yang besar dan moden seperti pusat membeli belah atau perumahan di suatu lokasi yang telah diketahui status warisannya. Kita seharusnya akur, jika hendak dibandingkan dengan pusat membeli belah di negara Eropah, sudah pasti kita masih belum mampu menyaingi mereka kerana mereka telah melangkah jauh ke hadapan. Jangan biarkan tapak-tapak warisan ini terus tersepit dan lenyap di tengah-tengah pembangunan.

Andainya perlu juga membina kompleks seperti ini, hendaklah ia dibina di luar kawasan warisan agar tapak-tapak bersejarah ini terjaga seterusnya dapat disaksikan dan dirasai oleh generasi kini dan generasi akan datang, juga para pelancong dari dalam dan luar negara. Usahlah pelabur memperoleh keuntungan daripada warisan yang kita ada, namun kita menangis di kemudian hari akibat kehilangan tapak warisan yang sangat berharga yang telah diwarisi dari zaman berzaman. Pada ketika itu, menangis air mata darah pun tidak berguna lagi.

Justeru, apabila membangunkan sesuatu produk pelancongan, usah diabaikan aspek-aspek kebudayaan dan warisan. Produk pelancongan perlu dibina dengan acuan kita sendiri dan digarapkan bersama unsur-unsur tempatan yang sememangnya mempunyai nilai serta harga yang tinggi. Kita harus yakin dan percaya bahawa pelancong asing akan berasa lebih gembira apabila disajikan dengan sesuatu yang asli dari negara ini.

* Artikel yang aku tulis ini telah dimuatkan ke dalam buletin jabatan aku iaitu TINTA edisi 2/2022 yang lalu.

Monday, December 2, 2024

Rezeki di Kongsi Bersama di Warung

Pagi tadi lepas hantar Muhammad Firas Faiq ke latihan bola sepak, aku singgah warung tepi jalan sebelah stesen Petronas di Lorong Pandan. Warung ni tak besar, tapi ramai orang sebab makanannya banyak pilihan. Aku duduk seorang sambil menunggu roti telur dan roti kosong dengan teh tarik yang aku pesan.

Warung tepi jalan sebelah stesen Petronas Lorong Pandan, Melaka

Tengah syok menelaah scroll Facebook tiba-tiba ada seorang pakcik tua datang. Dia memberi salam, menghulur tangan untuk disalam dan angkat tangan sikit tanda nak duduk. Aku angguk, “Duduklah, pakcik.” Dia pun tarik kerusi dan duduk satu meja dengan aku.

Kami berbual ringan. Pakcik ni nampak sederhana, mungkin dalam usia awal 60-an. Sedikit nampak kurang terurus. 

Bila makanan aku sampai, aku pandang dia, “Pakcik tak makan ke?” Dia senyum sikit, “Takpelah, saya minum je. Advance saya tak dapat lagi.” Aku terdiam sekejap. Dalam hati, aku rasa serba salah biarkan dia macam tu.

“Pakcik, takpe, nak makan apa, order je. Saya belanja,” aku cakap. Mula-mula dia segan, tapi bila aku yakinkan, dia akhirnya pesan roti telur. 

Bila roti telur dia sampai, kami makan sama-sama. Dia bercerita tentang hidup dia, yang katanya dulu macam-macam kerja. Anak-anak dia pun ada keluarga sendiri, tapi hidup masing-masing tak senang. Aku dengar je, hanya mengangguk. 

Lepas habis makan, aku terus bayar semua. Sebelum pergi, pakcik tu sempat salam aku. Dia ucap terima kasih.

Kadang-kadang Allah SWT hadirkan orang macam ni dalam hidup kita untuk ingatkan bahawa rezeki yang kita ada bukan semua milik kita. Aku balik dari warung tu dengan hati yang lapang, lebih sedar tentang pentingnya kongsi apa yang kita mampu.

Rezeki ni, walaupun sikit, kalau dikongsi, boleh jadi nikmat yang besar. Pagi tadi aku belajar satu benda, kebaikan kecil yang kita buat, mungkin jadi sesuatu yang besar untuk orang lain.