Tuesday, January 29, 2019

DONDANG SAYANG

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam nuat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Dondang Sayang atau juga dikenali sebagai Dendang Sayang merupakan lagu tradisi orang Melaka yang didendangkan sejak 500 tahun dahulu. Terdapat dua pendapat tentang kewujudan Dondang Sayang iaitu berasal dari Pulau Penyengat, Riau dan Melaka iaitu di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ini dapat dirujuk daripada nyanyian berpantun yang diiringi alatan muzik seperti rebana dan kecapi seperti yang tertulis di Hikayat Hang Tuah dan Tuhfat Al-Nafis. 

Perkataan dondang atau dendang bermaksud bernyanyi untuk bersuka-suka atau menghiburkan hati manakala sayang membawa maksud kasih iaitu melakukan geraklaku yang lembut dan penuh mesra. Dari dua pengertian perkataan ini maka Dondang Sayang membawa maksud sebagai lagu kasih atau nyanyian kasih. 

Alat-alat muzik tradisi yang digunakan untuk menghasilkan irama Dondang Sayang ialah biola, rebana dan tetawak atau gong kecil. 

Biola adalah salah satu alat muzik yang digunakan dalam Dondang Sayang

Dondang Sayang secara tradisinya mempunyai empat orang pemuzik yang terdiri daripada seorang pemukul tetawak atau gong kecil, dua orang pemain rebana dan seorang pemain biola yang juga berperanan sebagai penyanyi. 

Pantun merupakan nadi utama dalam Dondang Sayang. Bait-bait pantun yang dinyanyikan merupakan pelengkap kepada irama ini. Kebiasaannya pantun dinyanyikan dalam keadaan spontan, bersahaja dan juga mencuit hati serta menyeronokkan baik bagi penyanyi mahupun pendengar. 

Irama Dondang Sayang begitu unik di negeri Melaka kerana bukan sahaja dinyanyikan oleh masyarakat Melayu malahan menjadi kesukaan oleh orang Portugis seterusnya irama tradisi ini turut dinyanyikan oleh masyarakat Chetti dan Baba Nyonya di mana masing-masing sangat fasih berbahasa Melayu. 

Kini Dondang Sayang telah mulai kembali menjadi bualan dan mendapat tempat di mata dunia apabila telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara. 

Pengiktirafan ini telah berikan pada 29 November 2018 semasa persidangan UNESCO di Mauritius di bawah Konvensyen Lindungi Warisan Budaya Tidak Ketara (Convention for the Safeguarding Intangible Cultural Heritage 2003).