Saturday, June 7, 2025

Salam Aidiladha 1446H


Bukan semua pengorbanan disambut dengan tepukan. Bukan semua keikhlasan dilihat dengan mata. Namun Allah tahu dan itu lebih dari cukup.

Aidiladha bukan hanya tentang darah yang tumpah di bumi tetapi air mata yang gugur kerana menahan rasa. Tentang melepaskan sesuatu yang kita cinta kerana cinta yang lebih agung menanti di sisi Allah SWT. 

Kita semua diuji dengan cara berbeza, ada yang diuji dengan kehilangan, ada yang diuji dengan kesabaran, ada pula yang diuji dengan rezeki yang tak seberapa namun masih memilih untuk memberi.

Hari ini, kita bukan hanya menyambut hari raya, tetapi menyambut sebuah peringatan bahawa hidup ini bukan untuk memiliki segalanya, tetapi untuk belajar merelakan dan terus bersyukur.

Selamat Hari Raya Aidiladha 1446H. Semoga setiap pengorbanan kita meski kecil di mata manusia besar nilainya di sisi Allah SWT.

Monday, June 2, 2025

Menjejak Sejarah Awal Masjid Kampung Keling Berdasarkan Pelan François Froger 1698

Masjid merupakan lambang penting dalam masyarakat Islam, bukan sahaja sebagai tempat ibadah, malah sebagai pusat komuniti, pendidikan dan penyatuan umat. Di bandar Melaka, Masjid Kampung Keling ialah antara masjid tertua dan bersejarah yang masih kekal hingga ke hari ini. Menurut sumber yang terdapat pada penerangan di masjid ini, ia dibina pada tahun 1748. Berikut merupakan keterangan yang terdapat di situ :

"Masjid Kampung Keling terletak di Jalan Tukang Emas yang dikenali juga sebagai Jalan Harmoni kerana bersebelahan dengan kuil Sri Poyatha Viyanagar Moorthi dan berhampiran dengan tokong Cheng Hoon Teng. Masjid asal merupakan bangunan kayu yang dibina pada tahun 1748 dan ditukar kepada binaan batu pada tahun 1872.

Ianya merupakan salah sebuah masjid tradisional negeri Melaka yang masih kekal dalam bentuk asal. Binaannya merupakan seni bina campuran di antara Sumatera, China dan Melayu Melaka. Menara, kolah dan pintu gerbang dibina sezaman dengan bangunan masjid.
 
Kerja-kerja konservasi dilakukan oleh Jabatan Muzium & Antikuiti pada tahun 1999." 

Namun begitu, penemuan sebuah pelan lama telah menimbulkan kemungkinan bahawa masjid ini telah wujud lebih awal daripada tarikh tersebut. Pelan yang dimaksudkan ialah “Plan de la ville et forteresse de Malaca”, yang dihasilkan oleh pelayar dan kartografer Perancis, François Froger pada tahun 1698. Dalam pelan tersebut, sebuah masjid telah ditandakan dengan huruf “O” dan dinamakan “Mosquée des Malais” (Masjid orang Melayu). Lokasinya adalah berhampiran dengan kawasan yang menempatkan Masjid Kampung Keling hari ini. Penemuan ini menimbulkan persoalan sama ada masjid tersebut ialah struktur awal Masjid Kampung Keling.

“Plan de la ville et forteresse de Malaca, 1689"

Namun begitu, kedudukan masjid dalam pelan Froger tidak sepenuhnya sepadan dengan lokasi masjid sekarang. Dalam pelan tersebut, masjid digambarkan berada di sebelah kiri jalan, manakala Masjid Kampung Keling hari ini terletak di sebelah kanan jalan. Perbezaan ini boleh dijelaskan melalui beberapa kemungkinan :
 
Pertama : mungkin François Froger telah tersilap dalam meletakkan kedudukan sebenar masjid dalam lukisannya. 

Kedua : jalan yang wujud ketika itu mungkin telah diubah kedudukannya atau diubah hala selepas pelan ini diterbitkan. 

Ketiga : tidak mustahil juga bahawa masjid itu sendiri telah dipindahkan atau dibina semula di sebelah jalan yang bertentangan selepas tahun 1698.

Semua kemungkinan ini menunjukkan bahawa kajian lanjut melalui kaedah arkeologi dan sejarah tempatan amat diperlukan untuk memahami sejarah asal tapak ini.

 

Huruf bertanda 'O' adalah masjid (Mosquée des Malais)

Pelan Masjid Kampung Keling terkini melalui Google Maps


Walau apa pun, kewujudan masjid dalam pelan ini tetap menunjukkan bahawa masyarakat Islam telah pun bertapak di kawasan tersebut sejak abad ke-17. Masjid yang dirakam dalam pelan Froger bukan sekadar tempat solat, tetapi menjadi bukti kewujudan komuniti Melayu yang tersusun dan aktif dalam kehidupan bandar Melaka pada zaman penjajahan Belanda.

Kewujudan Masjid Kampung Keling sejak dari zaman Belanda di Melaka diperkuatkan lagi dengan catatan Munsyi Abdullah di dalam karyanya Hikayat Abdullah. Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi atau lebih dikenali sebagai Abdullah Munsyi merupakan anak watan Melaka yang lahir pada pada 12 Ogos 1796 (7 Safar 1211). Beliau berasal dari keluarga berketurunan India Muslim dan Arab (Yaman). Beliau dilahirkan di Kampung Pali (sekarang Kampung Ketek) sepertimana yang tercatat di dalam Hikayat Abdullah :

"Shahadan ada-lah nama kampong yang tempat aku di-per-anakkan itu Kampong Pali, ia'itu dengan bahasa Keling, maka erti-nya Kampong Mesjid."

Sebagai tambahan, pelan tersebut turut menunjukkan adanya sebuah tokong Cina bertanda “P”, dikenali sebagai “Pagode des Chinois”, yang besar kemungkinan ialah Tokong Cheng Hoon Teng yang terletak berdekatan Masjid Kampung Keling hari ini. Walaupun hanya disebut secara ringkas, kewujudan dua rumah ibadat yang berdekatan membuktikan bahawa kehidupan berbilang kaum dan agama telah lama diamalkan di Melaka.

Justeru, pelan François Froger tahun 1698 ini menjadi bukti penting dalam menelusuri sejarah awal Masjid Kampung Keling. Walaupun terdapat sedikit perbezaan dari segi kedudukan, pelan ini tetap membayangkan bahawa masjid tersebut atau bentuk asalnya telah wujud sebelum tahun 1748. Oleh itu, kajian mendalam sangat diperlukan bagi merungkai sejarah sebenar masjid ini yang menjadi lambang keteguhan budaya dan agama masyarakat Islam di Melaka.

Wednesday, May 21, 2025

Masjid Agung Melaka: Saksi Bisu Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah "masjid" merujuk kepada sebuah bangunan yang berfungsi sebagai tempat umat Islam melaksanakan ibadah kepada Allah, khususnya solat. Selain daripada fungsi utamanya sebagai tempat solat berjemaah, masjid turut memainkan peranan penting sebagai pusat aktiviti keagamaan, sosial, pendidikan dan kemasyarakatan dalam sesebuah komuniti Islam.

Perkataan "agung" pula ditakrifkan sebagai besar, mulia, tinggi martabatnya atau amat dihormati. Dalam konteks lain, ia turut membawa makna hebat atau luar biasa. Perkataan ini sering kali digunakan untuk merujuk kepada sesuatu yang mempunyai nilai simbolik, berprestij serta mencerminkan ketinggian darjat atau kedudukan sesuatu entiti.

Institusi masjid bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Hal ini dapat dilihat menerusi catatan dalam Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) yang antara lainnya menggambarkan keberadaan masjid sebagai tempat ibadah bagi golongan pemerintah. Antara catatan yang signifikan ialah keberangkatan raja dan para pembesar dalam solat tarawih, solat jenazah Sultan Muhammad Syah di masjid serta pembangunan masjid pada era pemerintahan Sultan Mansur Syah dan Sultan Alauddin Riayat Syah.

Masjid Agung Melaka di dalam teks Portugis dirujuk sebagai The Great Mosque boleh ditafsirkan sebagai sebuah institusi keagamaan yang besar serta mempunyai kedudukan yang penting. Dalam Suma Oriental, Tome Pires mencatatkan bahawa Sultan Mansur Syah telah mendirikan sebuah masjid yang indah yang tapaknya didirikan kubu A' Famosa (Yang Termasyhur)Masjid ini digambarkan sebagai struktur paling mengagumkan di wilayah Melaka.

Jika catatan tersebut dijadikan rujukan yang sahih, maka dapat dirumuskan bahawa Masjid Agung Melaka telah dibina sekurang-kurangnya tiga dekad sebelum kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511, iaitu sewaktu pemerintahan Sultan Mansur Syah (1456–1477).

Masjid Agung Melaka dikatakan dibina menggunakan pelbagai bahan binaan seperti bongkah batu, kayu dan atap yang diperbuat daripada jerami daun kelapa. Dari segi struktur, masjid ini dipercayai kukuh dan tersergam indah. Lokasinya pula amat strategik, terletak berhampiran dengan istana di atas bukit, muara sungai dan jambatan yang menghubungkan kedua-dua bahagian kota Melaka. 

Serangan Portugis terhadap Melaka pada 25 Julai 1511 (hari St. James) menunjukkan bahawa Masjid Agung merupakan antara struktur penting yang menjadi sasaran utama penjajah. Portugis telah menawan jambatan yang menghubungkan pusat pemerintahan Melaka dan kawasan seberang dengan membina kubu di kedua-dua hujung jambatan. Strategi ini bertujuan untuk memisahkan pasukan tentera Kesultanan Melaka dan menyekat bantuan dari kawasan Upeh (kini Jalan Jonker membawa ke Tengkera). 

Serangan ini menyaksikan pertempuran hebat antara tentera Portugis dan tentera Kesultanan Melayu Melaka yang mempertahankan masjid dan kubu berhampiran. Masjid akhirnya berjaya ditawan oleh Portugis setelah mereka mara dari arah pantai.

Setelah berjaya menguasai kawasan strategik, Albuquerque mengarahkan pembakaran masjid dan istana sebagai sebahagian daripada usaha menundukkan kerajaan Melaka. Namun begitu, akibat keletihan dan kekurangan bekalan makanan, pasukan Portugis terpaksa berundur ke kapal yang kemudiannya memberi ruang kepada tentera Kesultanan Melaka untuk memperkukuh pertahanan dan menguasai semula kawasan tersebut.

Pada 10 Ogos 1511 di hari Jumaat (sesetengah sumber menyatakan 8 Ogos 1511), serangan kedua Portugis dilancarkan pada waktu subuh dengan tumpuan utama terhadap jambatan utama dan Masjid Agung. Masjid dipertahankan oleh Sultan dan menantunya bersama 3,000 orang, namun akhirnya jatuh ke tangan Portugis selepas benteng kayu (palisad) dimusnahkan. 

Arahan Albuquerque untuk membunuh semua penduduk yang ditemui telah menyebabkan pertumpahan darah besar-besaran. Serangan ini menandakan berakhirnya pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka di situ dengan Sultan dan para pengikutnya berundur. Masjid dan jambatan kekal sebagai lokasi strategik dalam pertempuran tersebut.

Bagi memperkukuh penguasaan mereka, Portugis telah membina kubu A' Famosa di tapak bekas Masjid Agung. Pembinaan ini menggunakan batu-batan dari Pulau Upeh dan kubur-kubur lama sultan Melaka. A' Famosa siap sepenuhnya pada Januari 1514. Tindakan ini bukan sahaja bersifat strategik, tetapi juga simbolik bagi menggantikan institusi keagamaan umat Islam dengan struktur ketenteraan penjajah.

Tome Pires mencatatkan Kubu A' Famosa ini dibina dengan kukuh, mempunyai dua perigi air tawar di dalam menara dan dua atau tiga lagi di bahagian benteng. Sebelah kubu ini menghadap laut, manakala sebelah lagi menghadap sungai. Dinding kubu sangat tebal. Menara utamanya berketinggian 5 tingkat.

Menurut Fernao Lopes de Castanheda pula, kubu ini siap dibina pada awal Januari 1512 di tapak bekas Masjid Agung. Ia dikelilingi tembok batu setebal lapan kaki  dan mengikut bentuk muka bumi. Di salah satu sudut, terdapat menara empat tingkat berwarna merah gelap yang menghadap laut. Semasa air pasang kapal tanpa muatan seberat 200 tan boleh berlabuh di sebelah menara ini. Di bahagian menghadap bukit, setiap sudut tembok mempunyai dua menara dengan meriam untuk pertahanan. Di dalam kubu pula terdapat dua perigi dengan air minuman yang bersih. 

Manuel Godinho de Erédia memberikan gambaran tentang kubu A' Famosa  berbentuk segi empat dan setiap sisinya sepanjang 10 fathoms. Tingginya pula 40 fathoms. Di sebelah timur terdapat satu kawasan bulat yang dikelilingi dinding batu dan mortar. Di tengah-tengah kawasan itu ada sebuah perigi. Jadi, jika berlaku kekacauan atau peperangan, orang ramai bersama bekalan mereka boleh berlindung di dalam kawasan berdinding itu. Kubu ini mempunyai menara setinggi bukit.

Jadi di manakah lokasi Masjid Agung Melaka?

Gambar 1 merupakan lakaran Kota Melaka zaman pemerintahan Portugis yang dilakarkan oleh Gaspar Correira dalam catatannya Lendas de India bertarikh 1550-an Gambar 2 pula menunjukkan pandangan jarak dekat Kubu A' Famosa di mana di tapak inilah lokasi Masjid Agung Melaka. 

Gambar 1 : Kota Melaka zaman Portugis

Gambar 2 : Pandangan dekat Kubu A' Famosa

Gambar 3 pula menunjukkan pelan lantai Kubu A' Famosa yang dilakarkan oleh Manuel Godinho de Erédia bertajuk Planta da Fortaleza de Malaca dalam catatannya Declaraçam de Malaca e da India Meridional com Cathay pada tahun 1613. Berikut adalah ruang-ruang yang terdapat di dalam kubu A' Famosa seperti tercatat dalam pelan ini :

i. Fortaleza - Kubu utama 
ii. Almazem - Setor penyimpanan
iii. Tronco - Barak/ kediaman 
iv. Poco - Perigi
v. Salvarte - Pondok pengawal
vi. Porta - Pintu
 
Gambar 3 : Pelan lantai Kubu A' Famosa

Di gambar 4 ini adalah pelan Kota Melaka zaman Belanda yang dilakar pada tahun 1656 oleh pelukis pelan yang tidak diketahui (anonymous) bertajuk Plan van alle de bolwerken ofte punten, ooock alle andere principale plaetsen en Packhuysen binnen de stadt en fortresse Malacca enz.. Dapat dilihat Kubu A' Famosa bertanda huruf 'K' yang ditulis sebagai 't oud fort (Kota Lama) yang merujuk sebagai Kubu A' Famosa. Di sebelahnya terdapat Een Packhuys (gudang) bertanda 'S' merupakan binaan tambahan baharu di zaman Belanda.

Bangunan yang bertanda huruf 'L' ialah Heer Gouverneurs Huys (rumah Gabenor) iaitu tapak Stadthuys sekarang. Struktur yang bertanda 'B' pula merupakan Bastion Middleburg.

Apabila dibuat tindihan gambar pelan kubu A' Famosa ke atas pelan zaman Belanda ini (rujuk gambar 5), jelas di situlah merupakan kedudukan kubu A' Famosa. Perlu dijelaskan sekali lagi, A' Famosa didirikan oleh Portugis betul-betul di tapak Masjid Agung Melaka.

Gambar 4 : Pelan Kota Melaka zaman Belanda (VOC) 

Gambar 5 : Tindihan pelan lantai Kubu A' Famosa ke atas pelan zaman Belanda

Berdasarkan Google Maps iaitu gambaran terkini (rujuk gambar 6) kawasan yang diyakini tapak kubu A' Famosa seterusnya menjawab persoalan di manakah kedudukan Masjid Agung Melaka. Kewujudan Surau Warisan Dunia di hadapan Bastion Middleburg sebenarnya merupakan simbolik pada kewujudan Masjid Agung Melaka di sekitar kawasan itu. 

Gambar 6 : Anggaran kedudukan Kubu A' Famosa ke atas Google Maps zaman kini

Justeru, berdasarkan analisis kedudukan A' Famosa yang didokumentasikan melalui catatan, pelan dan lakaran oleh penulis-penulis Portugis, Belanda dan lain-lain dapat dirumuskan bahawa tapak Masjid Agung Melaka adalah terletak berdekatan kawasan parkir di bangunan Muzium Sejarah dan Etnografi (Stadthuys) dan di hadapannya terdapat Bastion Middleburg dan Galeri Warisan Kota Melaka yang wujud pada hari ini. Gambar-gambar 7 - 11 merupakan lokasi sebenar Masjid Agung Melaka.

Gambar 7 : Kawasan lereng bukit ini termasuk di bawahnya adalah tapak Masjid Agung Melaka

Gambar 8 : Lokasi Masjid Agung Melaka, di kawasan parkir Stadthuys

Gambar 9 : Lokasi tapak Masjid Agung Melaka

Gambar 10 : Lokasi tapak Masjid Agung Melaka, berdekatan Stadthuys

Gambar 11 : Sebahagian tapak Masjid Agung Melaka.

Gambar 11 : Lokasi tapak masjid Agung Melaka yang didirikan A' Famosa di sini

Rujukan :

Mons. Manuel Teixeira. The Portuguese Missions in Malacca and Singapore (1511-1958). Volume I - Malacca. 1986

Mons. Manuel Teixeira. The Portuguese Missions in Malacca and Singapore (1511-1958). Volume II - Malacca. 1986

A. Samad Ahmad. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).1997

Universiti Malaya. Albuquerque Caesar Timur - Teks-teks Pilihan daripada Afonso de Albuquerque dan Anaknya. 1995

Luis Filipe F. Reis Thomaz. Early Portuguese Malacca. 2000

Armando Cortesao (ed.). The Suma Oriental of Tome Pires: An Account of The East From the Red Sea to China - Written in Malaccca and India 1512 - 1515. 2005

Mohd Jamil Mukmin. Melaka Pusat Penyebaran Islam di Nusantara. 2004

Hasanudin Yusof. Teknologi Kesultanan Melaka: Membongkar Keagungannya Berdasarkan Catatan Portugis. 2020

Sunday, May 18, 2025

Selamat Hari Muzium Antarabangsa 2025: Warisan Terus Hidup Dalam Komuniti Moden

Tahun ini, kita sambut dengan tema “Masa Depan Muzium Dalam Komuniti Yang Berubah Pantas”, merupakan satu peringatan bahawa muzium bukan sekadar tempat simpanan artifak lama, tapi juga ruang hidup yang terus berkembang bersama masyarakat. Dunia kita berubah dengan sangat cepat dan muzium perlu bergerak seiring, jadi lebih inklusif, interaktif dan relevan dengan generasi sekarang.


Bayangkan muzium sebagai tempat semua orang boleh belajar, berkongsi dan berhubung, bukan sahaja tentang sejarah, tapi juga isu semasa, teknologi, seni dan budaya. Muzium masa depan bukan lagi tempat yang senyap dan formal semata-mata, tapi jadi ‘port lepak’ yang penuh aktiviti, pameran kreatif, bengkel dan program komuniti. Ia tempat di mana generasi muda boleh terinspirasi dan rasa bangga dengan warisan mereka.

Jadi sempena Hari Muzium Antarabangsa ni, jom kita hargai peranan muzium dalam hidup kita. Bawalah keluarga dan kawan-kawan ke muzium, sokong program tempatan dan sama-sama jadikan muzium sebagai nadi komuniti yang hidup dan bertenaga. Selamat menyambut Hari Muzium, semoga terus maju dan relevan, walau zaman berubah.

Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kerani Muzium

Saturday, May 17, 2025

Fairus Meninggal Dunia 1981 - 2025

Pada petang 15 Mei 2025, lebih kurang jam 6, aku terima berita sedih dari group whatsapp. Seorang rakan sebaya aku, Mohd Saiful Fairus, telah meninggal dunia di Hospital Putrajaya. Nama kami sama. Rasa terkejut, sedih dan pilu sangat masa tu.

Bersemadilah duhai sahabat di alam baqa

Arwah sebenarnya sudah lama sakit dan terlantar di Hospital Putrajaya. Aku tahu keadaannya tidak begitu baik sejak beberapa waktu lalu, tapi tak sangka Allah lebih sayangkan dia. 

Nak kata kami rapat, memang rapat juga. Kami sekolah sama dari sekolah menengah sampai ke tingkatan 6. Selalu dapat kelas yang sama. Lepas habis sekolah, kami kerja di kilang yang sama pula. Masa tu, aku selalu tumpangkan dia naik motor ke tempat kerja. Banyak masa kami habiskan bersama. 

Pada 16 Mei 2025, aku bersama empat orang rakan sebaya dari Melaka pergi ke Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan untuk ziarah jenazah. Kami sampai lepas solat jenazah selesai. Tapi syukur, kami masih sempat bantu angkat jenazah masuk ke dalam van jenazah.

Waktu tengok jenazah kawan sendiri yang dulu sama-sama membesar, rasa sebak sangat. Terasa cepatnya masa berlalu. Dulu sama-sama hidup, kini dia dah pergi selamanya.

Pemergian arwah juga buat kami lima orang sahabat lama bertemu semula walaupun semuanya duduk berdekatan di dalam negeri Melaka tapi jarang juga bertemu. Walau dalam suasana sedih, kami bersyukur dapat beri penghormatan terakhir untuk kawan kami.

Mewakili rakan-rakan group whatsapp menyampaikan sumbangan kepada anak tunggalnya 

Al-Fatihah buat Mohd Saiful Fairus. Ya Allah, Kau ampunkanlah segala dosanya, Kau luaskan kuburnya, Kau tempatkan dia bersama orang-orang yang beriman dan Kau jadikanlah kuburnya sebagai taman-taman syurga. 

* Sebak aku menaip entri ini.

Sejarah dan Tema Hari Guru di Malaysia


Hari Guru di Malaysia disambut setiap tahun pada 16 Mei sejak tahun 1972 dengan tema pertama “Peranan Guru dalam Pembangunan Negara”. Sambutan ini diraikan di semua peringkat sama ada kebangsaan, negeri, daerah dan sekolah. Antara aktiviti utama termasuk bacaan amanat Menteri Pendidikan, ikrar Hari Guru, nyanyian lagu tema dan penganugerahan Tokoh Guru. Sambutan ini turut diserikan dengan pertandingan dan acara menarik lain.

Pemilihan tarikh 16 Mei bukanlah secara kebetulan, sebaliknya membawa nilai sejarah penting. Pada tarikh tersebut pada tahun 1956, Laporan Razak telah diterima oleh Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu. Laporan ini menjadi asas kepada pembentukan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Ia merupakan tonggak utama dalam membina sistem pendidikan Malaysia yang menyeluruh dan menyatupadukan rakyat.

Tujuan utama Hari Guru adalah untuk mengiktiraf jasa dan peranan penting guru dalam pembangunan negara. Ia juga bertujuan menyedarkan masyarakat tentang pentingnya peranan guru dalam pembinaan negara bangsa. Di samping itu, sambutan ini memupuk semangat perpaduan, kerjasama dan muhibah dalam kalangan warga pendidik seluruh negara.

Hari Guru turut menjadi wadah untuk mengangkat martabat profesion perguruan di mata masyarakat. Ia membuka ruang untuk guru menyertai seminar dan persidangan yang boleh meningkatkan kecekapan profesional mereka. Selain itu, sambutan ini menjadi platform untuk menilai sumbangan guru secara objektif dalam konteks pembangunan negara dan generasi masa depan.

Tema-tema Hari Guru (1972 – 2025)

1972
Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

1973
Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan

1974
Peranan Guru Dalam Zaman Sains Dan Teknologi

1975
Guru dan Pembangunan Negara

1976
Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidik

1978
Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan

1979
Guru Pembentuk Generasi Akan Datang

1980
Pendidikan Teras Perpaduan Negara

1981
Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat

1982
Ke Arah Kecekapan Guru dan Pendidikan Bermutu

1983
Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan

1984
Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan

1985
Guru Dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan

1986
Pendidikan Teras Nasionalisme

1987
Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan

1988
Guru Pengasas Budaya Membaca

1989
Guru Pembina Budaya Ilmu

1990
Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera

1991
Ke Arah Pendidikan Cemerlang

1992
Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan

1993
Guru Innovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan

1994
Guru Innovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan

1995
Pemuafakatan dan Perpaduan menjayakan Wawasan

1996
Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia

1997
Guru Bestari Sekolah Bestari

1998
Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama

1999
Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang

2000
Bersatu Memertabatkan Profession Keguruan

2001
Memartabatkan Profession Keguruan Tanggungjawab Bersama

2002
Guru Berkualiti Aspirasi Negara

2003
Guru Berkualiti Aspirasi Negara

2004
Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan

2005
Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan

2006
Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan

2007
Guru Penjana Modal Insan Gemilang

2008
Guru Cemerlang Negara Terbilang

2009
Guru Pembina Negara Bangsa

2010
Guru Pembina Negara Bangsa

2011
Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara

2012
Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara

2013
Guru Malaysia: 1 Aspirasi, 1 Agenda

2014
Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi

2015
Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak

2016
Guru Pembina Negara Bangsa

2017
Guru Pembina Negara Bangsa

2018
Guru Pemacu Transformasi Pendidikan

2019
Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi

2020
Berguru Demi llmu, Bina Generasi Baharu

2021
Berguru Demi llmu, Bina Generasi Baharu

2022
Guru Tunjang Sekolah Sejahtera

2023
Guru Insani Pemangkin Generasi Madani

2024
Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara Madani

2025
Guru Pemacu Reformasi Pendidikan

* maklumat ini aku perolehi daripada Muzium Pendidikan Melaka

Sunday, May 11, 2025

Hari Ibu: Pengajaran Dari Seekor Ibu Gajah

Di sebatang jalan sunyi yang membelah hutan, seekor ibu gajah berdiri kaku. Anaknya yang masih kecil, yang baru mengenal dunia terbaring tidak bernyawa di bawah treler yang besar. Tidak ada raungan. Hanya air mata yang perlahan menitis dari mata seekor ibu yang kehilangan segalanya.


Dia tidak pergi. Dia tetap di sisi. Menunggu. Menanti. Setia.

Hari ini kita menyambut Hari Ibu dan dari alam, kita menerima satu peringatan yang sangat dalam bahawa kasih ibu tidak punya batas, tidak mengenal bahasa dan tidak memerlukan pujian. Ia hidup dalam diam, dalam kesetiaan, dalam keberanian untuk tetap ada saat semua orang telah berlalu pergi.

Saturday, May 10, 2025

Keunikan Geologi Tanjung Balau: Menyingkap Rahsia Alam yang Tersembunyi

Minggu lalu, aku berpeluang ke Tanjung Balau untuk menghadiri mesyuarat di KEJORA. Aku menginap semalaman di sana dan keesokan harinya menghadiri mesyuarat seperti dijadualkan. Selesai mesyuarat, aku meluangkan masa melawat Muzium Nelayan  seterusnya ke Tapak Geologi di Pantai Tanjung Balau yang terletak di belakang muzium tersebut.

Mengikut pembacaan aku pada papan tanda yang terdapat di Tapak Geologi tersebut dapatlah aku rungkaikan geologi ialah kajian saintifik mengenai bumi, termasuk struktur, komposisi dan proses yang membentuk serta mengubahnya. Ia turut melibatkan kajian tentang kehidupan lampau seperti haiwan dan tumbuhan yang pernah wujud di bumi. Geologi membantu kita memahami perubahan bahan, bentuk permukaan dan kehidupan sepanjang sejarah bumi.

Tanjung Balau dikenali sebagai lokasi penting dalam bidang geologi kerana menyimpan pelbagai jenis batuan purba. Kawasan ini mempunyai batu metasedimen berusia berjuta-juta tahun yang merekodkan sejarah pergerakan kerak bumi di Semenanjung Malaysia. Antara batuan utama yang ditemui ialah metakuarzit, filit dan sabak yang berusia sekitar 300 juta tahun.

Batuan di Tanjung Balau dipercayai telah terbentuk hasil daripada sekurang-kurangnya tiga peristiwa utama melibatkan tekanan dan pergerakan kerak bumi. Peristiwa ini menghasilkan struktur batuan yang kompleks dan unik. Selain itu, kawasan ini turut menampilkan ciri tiupan angin kuat atau “wind stress-features” pada batuan berusia kira-kira 4,500 tahun yang menunjukkan kawasan tersebut pernah mengalami iklim separa kering. Kesemua unsur ini menjadikan Tanjung Balau tapak kajian penting bagi ahli geologi serta pengunjung yang ingin memahami sejarah perubahan bumi dan keunikan geologi tempatan.

Di bawah ini antara gambar-gambar batuan yang sempat aku ambil.









Thursday, May 8, 2025

Penemuan Serpihan Seramik Societe Ceramique di Pulau Melaka

Pada tahun 2021, satu kerja ekskavasi penyelamatan artifak telah dijalankan di kawasan tambak laut Pulau Melaka selama kira-kira dua bulan. Ekskavasi ini dilaksanakan oleh saya bersama beberapa orang lagi kakitangan daripada Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) sebagai langkah awal bagi menyelamatkan tinggalan sejarah yang mungkin tertanam di kawasan tersebut sebelum projek pembangunan dijalankan.

Mencari bukti sejarah melalui sumber utama, artifak

Kawasan tambak laut ini mempunyai potensi tinggi dari sudut arkeologi memandangkan lokasinya yang berhampiran dengan kawasan pesisir pantai dan laluan perdagangan lama Melaka yang menghubungkan perdagangan Timur dan Barat.

Sepanjang tempoh ekskavasi, pelbagai jenis serpihan artifak telah ditemui, termasuk tembikar, seramik (akhir Ming - awal Qing), syiling zaman Kesultanan Melayu Melaka dan lain-lain jumpaan. 

Antara penemuan yang lain ialah satu serpihan seramik yang mengandungi cap bertulis “Societe Ceramique – Maastricht – Made in Holland” bersama imej seekor singa. Penemuan ini menimbulkan minat untuk mengetahui lebih lanjut tentang asal usul serpihan ini serta kaitannya dengan sejarah perdagangan Melaka.


Societe Ceramique ialah sebuah syarikat pengeluar seramik yang terletak di Maastricht, Belanda dan yang beroperasi sejak abad ke-19. Syarikat ini terkenal dengan penghasilan barangan seperti pinggan, mangkuk, teko dan barangan dapur lain yang berkualiti tinggi.


Produk mereka bukan sahaja digunakan di Eropah, tetapi turut dieksport ke pelbagai negara termasuk Asia Tenggara. Cap rasmi syarikat ini sering memaparkan nama syarikat bersama imej singa iaitu lambang negara Belanda yang juga menjadi identiti yang mudah dikenali dalam kalangan pengumpul artifak seramik.

Pada tahun 1958, Societe Ceramique telah bergabung dengan sebuah lagi syarikat Belanda terkenal, De Sphinx. Selepas penggabungan tersebut, cap asal Societe Ceramique tidak lagi digunakan. Oleh itu, penemuan serpihan seramik yang masih memaparkan cap ini menunjukkan bahawa ia merupakan produk yang dihasilkan sebelum tahun 1958. Ini menjadikan serpihan tersebut sebagai artifak antik yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi.

Penemuan ini membuktikan bahawa kawasan Pulau Melaka suatu ketika dahulu telah terlibat secara langsung dalam jaringan perdagangan antarabangsa. Kehadiran seramik dari Eropah, khususnya dari Belanda, menunjukkan bahawa Melaka bukan sahaja menjadi tumpuan pedagang dari Asia, malah turut menerima kunjungan pedagang dari benua Eropah. 

Ekskavasi seperti ini penting dalam usaha kita untuk mengenal pasti, melindungi dan memulihara warisan sejarah negara. Penemuan serpihan seramik Societe Ceramique ini menjadi bukti fizikal kepada hubungan perdagangan antarabangsa yang pernah berlaku di Melaka dan memberikan kita ruang untuk meneroka lebih jauh kaitan antara artifak dan sejarah pelabuhan Melaka yang terkenal suatu ketika dahulu.

* Pulau Melaka terdapat beberapa nama lama seperti Pulau Jawa dan Ilha Das Naus, kini setelah ditambak menjadi Pulau Melaka (Pelan lama ada tertulis Pulo Malacca). Tidak jauh dari pulau ini, terdapat sebuah lagi pulau yang penting iaitu Pulau Upeh yang turut terkenal dengan panggilan Ilha das Pedras. Di antara kedua-dua pulau ini, terdapatnya pelabuhan lama Melaka di mana kapal-kapal dagang berlabuh di situ sebelum kapal-kapal lebih kecil mengangkut barang dari kapal dan memasuki muara sungai. 

Saturday, May 3, 2025

Racun dalam Perang: Senjata Rahsia Tentera Melaka


Dalam ketenteraan Kesultanan Melayu Melaka, penggunaan racun merupakan salah satu strategi perang yang bijak dan berkesan. Tentera Melayu tidak berperang secara tersusun seperti tentera Eropah. Sebaliknya, mereka lebih suka menyerang secara mengejut secara berkumpulan, terutamanya di kawasan sempit seperti jalan kecil, hutan atau semak.

Untuk menjadikan serangan lebih kuat, mereka menyapu racun pada senjata seperti keris, lembing, sumpit dan anak panah. Racun ini sangat berbahaya dan boleh membunuh musuh walaupun hanya terkena luka kecil. Ini membantu mereka menyerang secara senyap dan pantas. Keris yang disapu racun boleh menyebabkan kematian cepat, menjadikannya senjata yang sangat ditakuti.

Selain digunakan pada senjata, racun juga disapu pada kayu tajam yang dipasang dalam perangkap di hadapan kubu. Perangkap ini digali untuk menjatuhkan musuh ke dalam lubang yang dipenuhi kayu beracun. Jika musuh jatuh ke dalamnya, mereka akan cedera parah atau mati. Ini menunjukkan bahawa tentera Melayu sangat bijak menggunakan alam semula jadi untuk mempertahankan kawasan mereka.

Racun ini biasanya diperoleh daripada tumbuhan yang ada di sekitar mereka. Selain mencederakan musuh, racun juga menimbulkan rasa takut kerana kecederaannya sangat menyakitkan dan sukar sembuh.

Walaupun pada awalnya kubu-kubu pertahanan Melaka hanya dibuat daripada tanah dan tidak begitu kuat, penggunaan perangkap beracun telah membantu memperkukuh pertahanan. Apabila tentera Melaka mula belajar daripada orang luar dan mula menggunakan senjata api seperti senapang dan meriam, penggunaan racun tetap diteruskan sebagai senjata rahsia.

Mengikut catatan beberapa sumber Portugis, kesan racun menyebabkan luka yang sukar sembuh dan membengkak seperti ketumbuhan. Mangsa yang tidak dirawat lukanya akan mati, manakala yang terselamat tetap menderita. Ada juga menjadi seperti orang gila dan menggigit diri sendiri, menunjukkan racun itu turut memberi kesan kepada minda. Penggunaan racun menjadikan pertempuran lebih kejam dan menyeksakan.

Kesimpulannya, penggunaan racun oleh tentera Kesultanan Melayu Melaka adalah bukti kebijaksanaan mereka dalam strategi perang. Ia membolehkan mereka menyerang dan mempertahankan diri dengan berkesan walaupun berhadapan dengan musuh yang lebih moden.

Rujukan :

J. V. MILLS. Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, Vol. 8, No. 1 (109), EREDIA'S DESCRIPTION OF MALACA, MERIDIONAL INDIA, AND CATHAY (April, 1930), pp. 1-288

Hasanuddin Yusof. Teknologi Kesultanan Melaka. 2017

Thursday, May 1, 2025

Selamat Hari Pekerja 2025: Pekerja Kesuma Bangsa

Selamat menyambut Hari Pekerja 2025 kepada seluruh warga kerja tanah air yang menjadi nadi dan tulang belakang kemajuan negara. Pada hari yang penuh makna ini, marilah kita sama-sama mengangkat penghargaan setinggi-tingginya kepada setiap insan yang gigih berbakti dalam pelbagai bidang, dari sawah ke kilang, dari pejabat ke lautan dan anda semua adalah wira negara yang sebenar. Tema tahun ini, “Pekerja Kesuma Bangsa”, mengangkat martabat pekerja sebagai insan mulia yang menyemai harapan, menyulam kejayaan dan membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang.


Pekerja bukan sekadar menjalankan tugas, tetapi mencurahkan tenaga, masa dan jiwa demi kelangsungan hidup masyarakat dan kemajuan negara. Kecekalan, kesungguhan dan semangat juang yang ditunjukkan oleh para pekerja menjadi asas kepada kestabilan ekonomi dan keharmonian sosial. Dalam menghadapi cabaran zaman seperti kemajuan teknologi, perubahan iklim dan ketidaktentuan global, pekerja tetap teguh berdiri, cekal mengadaptasi dan terus menyumbang demi negara tercinta. Inilah semangat sebenar "kesuma bangsa", indah dari segi budi, gagah dari segi jasa.

Marilah kita memperkukuh solidariti, meningkatkan kecekapan dan menuntut hak secara bijaksana demi kesejahteraan bersama. Semoga Hari Pekerja ini bukan sahaja menjadi simbol penghargaan, tetapi juga pemangkin kepada pembaharuan yang lebih adil dan progresif dalam dunia pekerjaan. 

Selamat Hari Pekerja 2025, semoga terus melangkah dengan gagah, demi Malaysia yang lebih maju, adil dan berperikemanusiaan. 

Tuesday, April 29, 2025

Servis Honda PCX 150

Hari ini aku sempat hantar motor Honda PCX aku untuk servis dekat sebuah kedai Cina berdekatan rumah. Aku pergi servis lepas balik dari kerja, sebab kebetulan ada masa dan kedai tu pun tak jauh.

Dah agak lama juga aku tak servis di pusat servis Honda sebab lokasi dia agak jauh dari rumah aku. Kedai ni pula dekat sangat, jadi senang aku nak uruskan. Lagipun, servis di sini pun boleh tahan cepat dan apek ni pun mesra pelanggan.


Untuk servis kali ini, aku cuma tukar minyak hitam dan minyak gear. Sebenarnya aku nak tukar sekali penapis minyak, tapi sayangnya tak ada stok pula hari ni. Tak mengapa, nanti aku datang semula bila barang tu dah ada. Walaupun tak lengkap semua yang dirancang, tapi dua benda penting tu dah selesai ditukar.

Jumlah keseluruhan yang aku bayar pun agak berpatutan, RM66.00 sahaja. RM43 untuk minyak hitam, RM15 untuk minyak gear dan RM8 sebagai upah kerja. Alhamdulillah, motor pun rasa lebih ringan bila bawa. Servis macam ni memang penting untuk jaga prestasi motor dan elakkan kerosakan yang lebih serius.