Masjid merupakan lambang penting dalam masyarakat Islam, bukan sahaja sebagai tempat ibadah, malah sebagai pusat komuniti, pendidikan dan penyatuan umat. Di bandar Melaka, Masjid Kampung Keling ialah antara masjid tertua dan bersejarah yang masih kekal hingga ke hari ini. Menurut sumber yang terdapat pada penerangan di masjid ini, ia dibina pada tahun 1748. Berikut merupakan keterangan yang terdapat di situ :
"Masjid Kampung Keling terletak di Jalan Tukang Emas yang dikenali juga sebagai Jalan Harmoni kerana bersebelahan dengan kuil Sri Poyatha Viyanagar Moorthi dan berhampiran dengan tokong Cheng Hoon Teng. Masjid asal merupakan bangunan kayu yang dibina pada tahun 1748 dan ditukar kepada binaan batu pada tahun 1872.
Ianya merupakan salah sebuah masjid tradisional negeri Melaka yang masih kekal dalam bentuk asal. Binaannya merupakan seni bina campuran di antara Sumatera, China dan Melayu Melaka. Menara, kolah dan pintu gerbang dibina sezaman dengan bangunan masjid.
Kerja-kerja konservasi dilakukan oleh Jabatan Muzium & Antikuiti pada tahun 1999."
Namun begitu, penemuan sebuah pelan lama telah menimbulkan kemungkinan bahawa masjid ini telah wujud lebih awal daripada tarikh tersebut. Pelan yang dimaksudkan ialah “Plan de la ville et forteresse de Malaca”, yang dihasilkan oleh pelayar dan kartografer Perancis, François Froger pada tahun 1698. Dalam pelan tersebut, sebuah masjid telah ditandakan dengan huruf “O” dan dinamakan “Mosquée des Malais” (Masjid orang Melayu). Lokasinya adalah berhampiran dengan kawasan yang menempatkan Masjid Kampung Keling hari ini. Penemuan ini menimbulkan persoalan sama ada masjid tersebut ialah struktur awal Masjid Kampung Keling.
Namun begitu, kedudukan masjid dalam pelan Froger tidak sepenuhnya sepadan dengan lokasi masjid sekarang. Dalam pelan tersebut, masjid digambarkan berada di sebelah kiri jalan, manakala Masjid Kampung Keling hari ini terletak di sebelah kanan jalan. Perbezaan ini boleh dijelaskan melalui beberapa kemungkinan :
Pertama : mungkin François Froger telah tersilap dalam meletakkan kedudukan sebenar masjid dalam lukisannya.
Kedua : jalan yang wujud ketika itu mungkin telah diubah kedudukannya atau diubah hala selepas pelan ini diterbitkan.
Ketiga : tidak mustahil juga bahawa masjid itu sendiri telah dipindahkan atau dibina semula di sebelah jalan yang bertentangan selepas tahun 1698.
Semua kemungkinan ini menunjukkan bahawa kajian lanjut melalui kaedah arkeologi dan sejarah tempatan amat diperlukan untuk memahami sejarah asal tapak ini.
![]() |
Huruf bertanda 'O' adalah masjid (Mosquée des Malais) |
Walau apa pun, kewujudan masjid dalam pelan ini tetap menunjukkan bahawa masyarakat Islam telah pun bertapak di kawasan tersebut sejak abad ke-17. Masjid yang dirakam dalam pelan Froger bukan sekadar tempat solat, tetapi menjadi bukti kewujudan komuniti Melayu yang tersusun dan aktif dalam kehidupan bandar Melaka pada zaman penjajahan Belanda.
Kewujudan Masjid Kampung Keling sejak dari zaman Belanda di Melaka diperkuatkan lagi dengan catatan Munsyi Abdullah di dalam karyanya Hikayat Abdullah. Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi atau lebih dikenali sebagai Abdullah Munsyi merupakan anak watan Melaka yang lahir pada pada 12 Ogos 1796 (7 Safar 1211). Beliau berasal dari keluarga berketurunan India Muslim dan Arab (Yaman). Beliau dilahirkan di Kampung Pali (sekarang Kampung Ketek) sepertimana yang tercatat di dalam Hikayat Abdullah :
"Shahadan ada-lah nama kampong yang tempat aku di-per-anakkan itu Kampong Pali, ia'itu dengan bahasa Keling, maka erti-nya Kampong Mesjid."
Sebagai tambahan, pelan tersebut turut menunjukkan adanya sebuah tokong Cina bertanda “P”, dikenali sebagai “Pagode des Chinois”, yang besar kemungkinan ialah Tokong Cheng Hoon Teng yang terletak berdekatan Masjid Kampung Keling hari ini. Walaupun hanya disebut secara ringkas, kewujudan dua rumah ibadat yang berdekatan membuktikan bahawa kehidupan berbilang kaum dan agama telah lama diamalkan di Melaka.
Justeru, pelan François Froger tahun 1698 ini menjadi bukti penting dalam menelusuri sejarah awal Masjid Kampung Keling. Walaupun terdapat sedikit perbezaan dari segi kedudukan, pelan ini tetap membayangkan bahawa masjid tersebut atau bentuk asalnya telah wujud sebelum tahun 1748. Oleh itu, kajian mendalam sangat diperlukan bagi merungkai sejarah sebenar masjid ini yang menjadi lambang keteguhan budaya dan agama masyarakat Islam di Melaka.
Umur masjid ni mungkin lebih tua dari pelan froger tu
ReplyDeleteterima kasih kerana berkongsi ilmu...baru tahu ni....mantap...
ReplyDeleteSalam kenal dari New Follower..jemput singgah di teratak yang tidak seberapa.
Hanya yang buat plan ni jer yg tahu cerita yang betulnya, kan.
ReplyDeleteBanyak juga dia punya kebarangkalian tu. Kajian kena diteruskan lagi bagi merungkai sejarahnya.
ReplyDeletedari dulu lagi kita dah duduk berbilang kaum...
ReplyDeletesemoga terus aman damai, tiada persengketaan
good sharing. belajar benda baru hari ni
ReplyDelete