Showing posts with label sultan. Show all posts
Showing posts with label sultan. Show all posts

Thursday, June 7, 2012

MASING-MASING MEMPUNYAI KEGILAAN SENDIRI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sebenarnya, kegilaan yang saya maksudkan ialah minat atau kegemaran. Orang yang minat dalam sesuatu benda pastinya akan tergila-gilakan benda tersebut.

Seseorang yang minat kenderaan klasik seperti kereta Morris Minor misalnya, pasti telah banyak wang ringgit dikeluarkan untuk menjaga dan memulihara kenderaan tersebut supaya terus boleh dinaiki dan dibawa meluncuri jalan raya. Selagi kenderaan tersebut boleh digunakan, selagi itulah kepuasan jelas terpancar di dalam diri si pemunya.

Begitu juga dengan pengumpul. Tidak kiralah pengumpul barang antik, barang yang boleh dikumpul (collectable item), matawang, setem dan sebagainya juga terdiri daripada orang yang "gila-gila". Bukan gila apa, cuma gilakan barang yang dikumpulkannya. Kalau ada ternampak sesuatu barang yang masih belum dikumpul pastinya akan berusaha untuk mendapatkannya. Kalau yang berduit, pastinya tidak kisah berapa saja harga untuk mendapatkan sesuatu barang. Bagi yang kurang berduit tu, mungkin ada sedikit main "tarik tali" untuk mendapatkan barang tersebut.

Jadi, isu Sultan Johor membida nombor pendaftaran WWW 1 bukanlah sesuatu yang menghairankan. Sudah saya katakan, masing-masing ada minat dan kegemaran sendiri, jadi apa salahnya baginda berbuat sedemikian. Lagipun sememangnya baginda minat dalam aktiviti automobil dan motorkar.

Satria Neo Milik Sultan Johor
Harap lepas ini tiadalah isu seperti ini diperbesar-besarkan. Iyalah, masing-masing manusia, masing-masing punyai minat dan kegilaan tersendiri, jadi biarlah mereka-mereka dengan minatnya. Mereka tidak kacau kamu pun. Macam saya misalnya, suka mengumpul barangan Milo, jangan ada yang kata "membazirlah engkau ni beli barang-barang Milo ni". Kalau ada yang kata begitu, saya akan jawab, "suka hati akulah, aku bukan guna duit kau".

(ps : Sila baca dengan perasaan dan hati yang neutral)   

Sumber gambar : Google Image

Wednesday, May 30, 2012

WAJARKAH SEORANG SULTAN TERPAKSA TURUT SAMA MEMBIDA (VERSI KEDUA)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Terpanggil sama untuk memberi sekata dua terhadap isu hangat berkaitan kemenangan Sultan Johor dalam membida nombor pendaftaran WWW 1 dengan harga RM 520,000.00. Saya namakan ini versi kedua setelah membaca ulasan versi asal di blog Wadah Panglima bertajuk Wajarkah Seorang Sultan Terpaksa Turut Sama Membida?

Satria Neo WWW1
Saya agak bersependapat dengan Wadah Panglima, sebenarnya pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) harus menilai kembali sistem pembidaan nombor pendaftaran kenderaan yang sedia ada.

Mengapa perlu Sultan malahan DYMM YDP Agong turut membida bagi mendapatkan sesuatu nombor pendaftaran kenderaan? Tidakkah baginda merupakan ketua negeri dan negara? Malahan tempat mereka adalah tertinggi dalam negeri dan negara. Sepatutnya mereka ini diberikan keistimewaan sepertimana mereka mempertahankan keistimewaan orang-orang Melayu dalam Perlembagaan.

Bernasib baik baginda-baginda memang dalam bidaan. Sekiranya kalah, bukankah satu penderhakaan terhadap Sultan dan DYMM YDP Agong telah berlaku di mana hanya rakyat biasa yang kaya raya mengalahkan bidaan baginda.

Sehubungan dengan itu, saya sarankan agar pihak JPJ menyemak kembali sistem pembidaan ini. Elok rasanya, nombor-nombor yang dimahukan oleh DYMM YDP Agong dan Sultan-sultan tidak dibuka untuk dibida.

Ini nampak seolah-oleh berat sebelah bagi mereka yang tidak bersetuju dengan saya. Tetapi haruslah kita ingat, DYMM YDP Agong dan Sultan-sultan adalah payung bagi negara dan negeri. Lebih-lebih lagi kita yang berbangsa Melayu. Siapa lagi yang mahu menunjukkan taat setia kita kepada DYMM YDP Agong dan Sultan-sultan kalau bukan kita.

* Tiba-tiba darah Tuah yang taat setia mengalir dalam badan

Wednesday, January 5, 2011

APABILA MELAYU SUDAH DERHAKA

Kalau dahulu sebelum merdeka, kita sanjung, taat dan sanggup bermatian untuk mempertahankan institusi beraja. Tapi sekarang keadaan begitu amat sedih apabila orang Melayu sendiri ingkar dan tidak taat kepada titah sultan.

Kita perlu ingat, sultan merupakan payung kepada rakyat, kalau tiada sultan siapalah Melayu tanpa raja. Cubalah pertahankan institusi ini. Inilah saja warisan zaman berzaman yang tinggal dan seterusnya tempat kita berteduh.

Lihat sahaja dahulu semasa pemerintah British memperkenalkan Malayan Union di Tanah Melayu, sultan-sultan telah tidak diberikan kuasa. Dan selepas itu barulah nampak Melayu bersatu menentang Malayan Union dan akhirnya kuasa sultan-sultan kembali seperti biasa.

Kini kita lupa dan alpa. Kuasa sultan kita tidakkan. Lupakah kita akan sejarah? Lupakah kita akan wasiat-wasiat raja Melayu? Atau kita sendiri memang tak pernah tahu?





Oleh itu, jadilah Hang Tuah yang taat setia tidak belah bahagi kepada sultan, jangan jadi Hang Jebat yang derhaka. Kalau nak jadi Hang Jebat, boleh.. Tapi pastinya akan mati dibunuh Hang Tuah yang digelarnya sahabat sendiri.

Ps: Aku yang duduk di negeri yang tidak bersultan ni amat cemburu dengan negeri yang mempunyai sultan. Jadi, kalau korang yang mempunyai sultan tu, taatlah pada titah sultan.

Wednesday, December 22, 2010

KE MANA PERGINYA WARIS KESULTANAN MELAYU MELAKA

Agak begitu pelik sekiranya Kesultanan Melayu Melaka yang dahulunya gah dengan empayarnya yang tersendiri tidak lagi mempunyai sultan. Jika kita selidiki sejarah Melayu iaitu Sulalatus Salatin, kita dapat membaca tentang betapa hebatnya Melaka sehinggakan seluruh negeri (Semenanjung Tanah Melayu) termasuk sebahagian di Indonesia merupakan Kerajaan Melaka.

Di sini aku ingin huraikan kemana perginya waris Kesultanan Melaka setelah membuat pembacaan dari kertas kerja Prof. Dr. Abdullah Zakaria Ghazali bertajuk Raja dan Kerajaan : Tinjauan Ringkas Perspektif Sejarah yang telah beliau sampaikan dalam semasa Seminar Keris : Warisan Bangsa Melayu di Shah Alam baru-baru ini.

Mengikut Sulalatus Salatin, kerajaan Melaka telah diasaskan oleh Raja Iskandar Shah iaitu Raja Singapura yang telah berundur ke Melaka dan telah mengasaskan kerajaan Melaka pada tahun 1262. Kerajaan Melaka telah berkembang pesat pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mansur Shah dan Sultan Alauddin Riaayat Shah.

Ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah, putera baginda, Sultan Muhammad telah dihantar ke Pahang untuk menduduki takhta kerajaan Pahang. Kemudiannya, ketika pemerintahan Sultan Ahmad (putera Sultan Mahmud) angkatan Portugis telah menyerang dan menduduki Melaka pada tahun 1511. Sultan Ahmad dan ayahandanya, Sultan Mahmud telah berundur hingga akhirnya mendirikan kerajaan Melaka di Bintan. Apabila Sultan Ahmad mangkat di Bintan, teraju pemerintahan disandang kembali oleh Sultan Mahmud.

Gambaran Istana zaman Kesultanan Melayu Melaka


Pada tahun 1526, pusat kerajaan Melaka di Bintan telah dikalahkan oleh Portugis. Kota Kara dan Kota Kopak telah dimusnahkan lalu sultan Mahmud berundur ke Kampar. Dengan itu pusat kerajaan Melaka kini adalah di Kampar.

Pada tahun 1528, sultan keturunan Melaka masih memerintah Pahang. Setelah sultan Mahmud mangkat, putera baginda, Raja Ali telah dilantik sebagai penganti. Baginda bergerak ke Pahang dan seterusnya ke Johor dan mengasaskan kerajaan Johor pada tahun 1528. Raja Ali bergelar Sultan Alauddin Riaayat Shah. Manakala kekanda baginda, Raja Muzaffar dibawa oleh Tun Shaban ke Tanah Abang, Perak dan ditabalkan sebagai Raja Perak bergelar Sultan Muzaffar Shah.

Kerajaan Johor yang diasaskan oleh Sultan Alauddin Riaayat Shah mencapai kemuncak ketika pemerintahan Sultan Abdul Jalil Shah III. Ketika dalam pemerintahan baginda, Pahang menjadi sebahagian daripada kerajaan Johor dan Pahang tidak lagi mempunyai sultan yang memerintah negeri lagi kerana Sultan Abdul Jalil Shah merupakan sultan bagi Johor dan Pahang.

Kerajaan Johor kemudiannya mengalami kemerosotan dan membawa kemunculan kerajaan Melayu baru yang terdapat sehingga kini.

Dalam pemahaman aku melalui keterangan yang diberikan jelaslah menyatakan keturunan kesultanan Melaka telah tersebar ke Perak, Pahang dan Johor. Namun mengikut ahli sejarah, keturunan kesultanan Melayu Melaka yang benar-benar adalah di Perak. Jadinya, tidak hairanlah bahawa Keris Taming Sari sekarang berada di Istana Sultan Perak. Wallahuaklam.

Kesimpulan yang boleh aku buat ialah, kesultanan Melayu Melaka tidak pernah mati walaupun Melaka tidak bersultan, kerana pewaris-pewarisnya tetap ada memerintah negeri-negeri yang dahulunya adalah empayar kerajaan Melaka juga.

Saturday, November 20, 2010

PANGGILAN TELEFON DARI SULTAN MELAKA

Sebagaimana semua orang tahu, negeri Melaka merupakan sebuah negeri yang tidak bersultan. Tetapi yang memeningkan kepala aku dalam minggu ini ialah menerima panggilan telefon dari seseorang yang mendakwa dirinya sebagai "Sultan Melaka". Dalam minggu ini sahaja lebih dari 7 kali aku menerima panggilan telefon dari "baginda".





Sebenarnya, orang tersebut dikatakan sebagai "something wrong". Dia telefon aku untuk tinggal "bersemayam" di Muzium Istana Kesultanan Melaka, tempat aku bekerja sekarang. Tak cukup dengan membuat panggilan telefon pejabat, handphone aku juga ditelefonnya. Siapalah yang memberikan nombor telefon aku padanya.

Dia minta aku bagi kebenaran untuk tinggal di dalam Muzium Istana Kesultanan Melaka. Aku yang tahu dirinya sebagai "something wrong", aku pun melayan sajalah. Aku beritahu padanya Muzium Istana Kesultanan Melaka tidak boleh tinggal kerana banyak patung-patung. Lepas itu dia suruh aku cari istana lain untuk dirinya. Aduhai... Macam-macam. Dia siap bahasa dirinya sebagai "beta". Nasib baik aku tak bahasakan diri aku sebagai "patik".

Baru lepas tadi "baginda" telefon lagi. Puas aku melayannya. Sudahlah, malas nak cerita pasal "sultan" ni lagi.

Friday, October 1, 2010

SULTAN-SULTAN MELAKA


PARAMESWARA / ISKANDAR SYAH (T.M 1403-1424)

Parameswara adalah seorang anak raja dari Palembang iaitu jajahan takluk Majapahit yang telah terlibat dalam peperangan merebur takhta kerajaan pada akhir abad ke-14. beliau telah berundur mencari perlindungan ke temasik yang pada masa itu di bawah kuasa Siam. Parameswara telah mebunuh Temagi, wakil Siam di Temasik dan akibatnya beliau telah dipaksa keluar dari Temasik. Parameswara telah berundur ke Muar dan kemudiannya membuka Melaka yang pada masa itu merupakan sebuah penempatan kecil. Sejarah melayu ada menyatakan bahawa Parameswara telah memeluk Islam melalui seorang ulama dari Jeddah pada tahun 1414 dan nama baginda telah ditukar kepada Megat Iskandar Syah. Peristiwa ini bermula pada satu malam apabila baginda telah diajar mengucap kalimah Syahadah. Pada keesokan harinya serombongan pedagang dari Jeddah singgah di Melaka dan mereka iniah yang telah mengislamkan para pembesar Melaka. Semasa pemerintahannya, baginda telah berjaya meletakkan asas kemajuan negara Melaka sebagai pusat perdagangan dan pengembangan agama islam di rantau ini.

SULTAN MUHAMMAD SYAH / SERI MAHARAJA (T.M 1424-1444)

Nama Sultan Muhammad Syah sebelum memeluk agama Islam ialah Raja Kecil Besar. Metos pengislaman Sultan Muhammad Syah menggambarkan bagaimana baginda telah diajar mengucap dua kalimah syahadah dan baginda dikhatankan dalam mimpinya. Baginda merupakan seorang yang alim serta amat patuh kepada ajaran Islam. Selain itu, baginda juga adalah seorang yang beretika dan berdisiplin tinggi. Ini dapat dilihat daripada pembaharuan adat istiadat yang telah diperkenalkan dan cara baginda memuliakan para tetamunya yang datang dengan penuh adat istiadat kebesaran diraja. Disebabkan sikapnya, baginda telah dapat membentuk hubungan diplomasi dengan beberapa buah kerajaan di Nusantara. Walau bagaimanapun, Sultan Muhammad Syah juga mempunyai beberapa sifat negatif seperti bersikap pilih kasih terhadap kedua anaknya, iaitu Raja Kasim dan Raja Ibrahim. Baginda lebih menyayangi Raja Ibrahim kerana berasal dari keturunan puteri raja. Manakala Raja Kasim hanya dari keturunan bangsawan.

Gambar hiasan.. Ini bukan sultan Melaka sebenar


SRI PARAMESWARA DEWA SYAH (T.M 1444-1446)

Baginda merupakan anak kepada Sultan Muhammad Syah hasil perkahwinannya dengan Puteri Raja Rokan. Nama sebenarnya ialah Raja Ibrahim dan merupakan adik kepada Raja Kasim. Tidak banyak yang diperkatakan tentang diri dan perwatakan baginda. Ini kerana usia kerajaannya terlalu singkat iaitu hanya selama 1 tahun 5 bulan. Baginda menaiki takhta dalam usia yang muda selepas kematian ayahandanya. Berdasarkan fakta di dalam Sejarah Melayu, usia baginda dianggarkan dalam lingkungan bawah 20 tahun. Disebabkan usia yang terlalu muda, baginda tidak dapat menguruskan takhta kerajaan Melaka dengan sebaiknya. Oleh itu, kedudukannya sebagai sultan hanyalah sebagai boneka sahaja. Kesultanan Melaka sebenarnya dikuasai oleh bapa saudaranya dimanjakan oleh ibunya. Pemerintahan baginda tidak lama kerana telah dibunuh oleh Raja Rokan dalam peristiwa perebutan takhta dengan Raja Kasim.

SULTAN MUZAFFAR SYAH (T.M 1446-1456)

Baginda merupakan anak kepada sultan Muhammad Syah dengan isterinya,Tun Wati. Nama sebenarnya ialah Raja Kassim dan abang kepada Sri parameswara Dewa Syah. Sewajarnya Bagindalah selaku yang sulong yang menaiki takhta kerajaan melaka selepas kemangkatan ayahandanya. Namun disebabkan sikap pilih kasih ayahandanya, baginda telah disisihkan daripada istana. Semasa dalam buangan, baginda telah menjadi nelayan sehingga berjaya merampas takhta daripada Raja Ibrahim. Sultan Muzaffar Syah digambarkan sebagai seorang yang berjiwa rakyat sehinggakan mereka amat mengasihinya. Selain itu, sejarah melayu juga menerangkan tentang sifat Sultan Muzaffar Syah yang amat baik perangainya, adil, pemurah dan saksama. Pada zaman pemerintahannya juga, kekuasaan politik Melaka mula berkembang. Empayar Melaka tersebar sehingga ke Dinding, Selangor,Muar, Singapura,bertam dan Pahang. Baginda adalah pemerintah melaka yang pertama menguasai kedua-dua Pantai Selat Melaka apabila berjaya menawan Inderagiri, kampar (di Sumatera) yang mengawal pengeluaran lada hitam dan emas dari pendalaman Minangkabau. Di zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah selama 10 tahun dapat dilihat keunggulan Melaka sebagai pusat perkembangan agama Islam. Agama Islam telah disebarkan ke negeri jajahan takluk Melaka. Baginda juga menggalakkan mubaligh-mubaligh dari Melaka berhijrah ke negeri-negeri jaajhan Melaka untuk menyebarkan agama Islam.

SULTAN MANSUR SYAH / RAJA ABDULLAH (T.M 1456-1477)

Sultan Mansur Syah atau nama sebenarnya, Raja Abdullah merupakan putera tunggal Sultan Muzaffar Syah . Baginda menaiki takhta selepas kemangkatan ayahandanya pada usia 27 tahun. Sifat fizikalnya digambarkan sebagai seorang yang kacak sehingga tidak ada tolok bandingnya, gagah perkasa dan mempunyai susuk badan yang menarik. Baginda amat mengambil berat dalam soal keagamaan dan merupakan seorang yang amat berhati-hati dalam membuat membuat sebarang keputusan. Baginda juga amat menghormati sesiapa sahaja dan dibuktikan melalui layanannya yang baik terhadap Dewa Sura yang yang menjadi tawanannya. Dalam teks Sejarah Melayu, digambarkan bahawa baginda mempunyai darjat kebesaran yang amat tinggi . ini terbukti melalui peristiwa Raja China yang terkena penyakit kedal akibat menerima sembah dan salam baginda. Untuk mengubati penyakit itu Raja China terpaksa meminum air basuh kaki Sultan Mansur Syah. Sultan Mansur Syah amat mementingkan ajaran Islam hinggakan sebelum mangkat baginda telah menasihati puteranya supaya beriman, mempunyai pekerti yang baik dan mentadbir negeri dengan adil dan saksama.

SULTAN ALAUDIN RIAYAT SYAH / RAJA HUSIN (T.M 1477-1488)

Baginda adalah putera kepada Sultan Mansur Syah. Sejarah melayu mencatatkan bahawa Sultan Alaudin masih muda belia sewaktu memerintah Melaka. Menurut Prof. Dr. Mohd. Yusoff Hashim, menerusi bukunya ” kesultanan Melayu Melaka” Sultan Alaudin merupakan seorang Raja yang gagah perkasa dan bijaksana. Di awal pemerintahannya, baginda memberi perhatian terhadap kemakmuran dalam negeri. Baginda seorang yang amat tegas dan berani. Keberaniannya terbukti apabila pada suatu malam baginda sendiri bersama dua orang pengiring. Hang Isap dan Hang Siak telah keluar untuk menangkap pencuri. Dua dari tiga pencuri tersebut berjaya dibunuh. Tindakannya itu mempunyai persamaan dengan cara pemerintahan yang dilakukan oleh Saidina Umar al-khatab, khalifah Islam yang kedua selepas Rasulullah wafat. Di bawah pemerintahan baginda, empayar Melaka menjadi makmur. Undang-undang Islam diamalkan di mana sehingga baginda mengeluarkan perintah barangsiapa yang didapati mencuri, tangannya akan dipotong. Dengan pelaksanaan undang-undang Islam ini, Melaka telah menjadi aman dan makmur.

SULTAN MAHMUD SYAH (T.M 1488-1511)

Baginda adalah putera kepada Sultan Alaudin Riayat Syah dengan Tun Senaja dan menaiki takhta ketika usianya masih muda lagi. Baginda adalah Sultan yang terakhir memerintah Melaka sebelum jatuh ke tangan Portugis pada T.M 1511. Semasa pemerintahan baginda, Melaka berada di dalam keadaan yang tidak stabil. Pembesar-pembesar negeri bertelagah antara satu sama lain, kegiatan rasuah dan penyelewengan berleluasa. Walaupun demikian, sebagaimana pemerintahan terdahulu, Sultan Mahmud juga berjaya meluaskan kekuasaan Melaka ke beberapa daerah. Umpamanya baginda telah mengerahkan Paduka Tuan menyerang dan menakluki Manjong, kelantan dan mempertahankan Pahang daripada serangan Raja Legor. Baginda juga telah menobatkan raja negeri asing seperti Raja Abdul Jamil dari Pahang, Raja Abdullah dari Kampar dan seorang raja dari kedah. Walaupun Sultan mahmud sering digambarkan mempunyai sifat-sifat yang negatif, baginda tetap mengambil berat tentang hal ehwal agama. Baginda sanggup berjalan kaki untuk mempelajari agama dengan maulana Sadar Johar di samping menitik beratkan ajaran Islam kepada kaum kerabatnya.


Tuesday, September 7, 2010

PERSETIAAN RAJA - RAKYAT

“…Supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkan oleh mereka itu, syahdan beroleh faedah ia daripadanya…”

Sebermula, dihikayatkan oleh orang yang empunya hikayat, adapun negeri Palembang itu Palembang yang ada sekarang inilah; dahulukala negeri itu terlalu besar, dan akan Raja Pelembang yang bernama Demang Lebar Daun ada beranak seorang perempuan; maka disuruh pinang oleh Sang Sapurba. Maka sembah Demang Lebar Daun, “Jikalau anak patik Tuanku peristeri, nescaya kedal ia; tetapi jika Tuanku mahu berwaadat dengan patik, maka patik persembahkan anak patik ke bawah Duli Yang Dipertuan.

Adapun Demang Lebar pertama punya bahasa Yang Dipertuan dan Patik.

Maka titah Sang Sapurba, ”Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu?”. maka Sembah Demang Lebar Daun,” Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu Duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh itupun jikalau berlaku pada hukum syarak.”

Maka titah Sang Sapurba, ”akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba”.






Maka sembah Demang Lebar Daun, ”Janji yang mana itu, Tuanku?”

Maka titah Sang Sapurba, ”Hendaklah pada akhir kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat sekalipun”.

Maka sembah Demang Lebar Daun, ”Baiklah, Tuanku tetap jikalau anak buah tuanku dahulu yang mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahlah”.

Maka titah Sang Sapurba, ”Baiklah, kabullah hamba akan waadat itu”.

Maka baginda pun bersumpah-sumpahan barang siapa mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbungannya ke bawah, kaki tiangnya ke atas. Itulah sebabnya dianugerahkan Allah Subhanahu Wataala, pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib pada segala hamba Melayu; jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan digantung dan difadhihatkan dengan kata-kata jahat. Jikalau ada seorang raja memberi aib seorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa. Shahdan, segala anak Melayu pun dianugerahkan Allah Subhanahu Wataala tiada pernah derhaka dan memalingkan muka pada raja, jikalau jahat pekerti sekalipun satu aniaya.

Petikan: Sejarah Melayu