Showing posts with label lawatan. Show all posts
Showing posts with label lawatan. Show all posts

Tuesday, July 6, 2021

LAWATAN MAYA @ MUZIUM SEJARAH & ETNOGRAFI

Musim-musim PKP ini tidak banyak yang dapat dilakukan. Tidak boleh rentas daerah, negeri, malah banyak sektor yang ditutup termasuklah muzium. Muzium Melaka antara yang menerima kesan daripada pandemik covid-19.

Sebelum ini, Muzium Melaka merupakan muzium teramai pelawat berbanding muzium-muzium lain di Malaysia. Dengan jumlah pelawat menghampiri 1,000,000 pengunjung setahun, pandemik covid-19 sedikit sebanyak telah mengurangkan kedatangan pelawat ke muzium. 

Selain itu, program-program permuziuman pun tidak dapat dilakukan. Kerja-kerja cari gali yang baru saya laksanakan pun terpaksa ditangguhkan dan macam-macam lagi perancangan tahunan tidak dapat dilaksanakan.

Namun begitu, ia bukan bererti pihak kami harus berpeluk tubuh melihat sahaja pandemik ini datang dan pergi. Aktiviti dan program bersifat norma baharu khususnya melibatkan aktiviti dalam talian telah diatur bagi memastikan institusi permuziuman khususnya di negeri Melaka terus berjalan seiring dengan perkembangan semasa.

Terbaru, Muzium Melaka telah memperkenalkan program Lawatan Maya. Buat kali pertama ini akan melibatkan lawatan ke Muzium Sejarah & Etnografi. Sesi lawatan maya ini dijalankan secara dalam talian menggunakan platform Google Meet.



Muzium Sejarah & Etnografi merupakan muzium utama negeri Melaka. Memaparkan artifak dan bahan sejarah sejak dari zaman kesultanan Melayu Melaka hinggalah ke zaman penjajahan Portugis, Belanda, Jepun dan British. Jika ke Melaka, tidak sempurna lawatan sekiranya tidak ke muzium ini.

Bayaran yang dikenakan adalah sangat murah iaitu RM5.00 sahaja. Sekiranya sekeluarga nak mengikutinya di dalam satu komputer atau telefon pintar tetap dengan harga RM5.00. Murah kan? Seisi keluarga boleh tengok.

Justeru, di kesempatan ini, suka saya mempromosikan program lawatan maya ini yang akan dilaksanakan pada ketentuan yang dinyatakan di dalam poster di atas. Semoga ramai yang akan mengikuti lawatan maya ini yang tentunya akan memberikan ilmu dan maklumat yang bermanfaat.

Jika berminat, sila daftar di sini 👉🏼 KLIK

Tuesday, April 9, 2013

EKSPLORASI KEILMUAN GUA BEWAH, TASIK KENYIR


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Sudah beberapa hari blog ini tidak disentuh, almaklumlah pemiliknya sedang berjimba-jimba di Tasik Kenyir, Terengganu selama 4 hari bermula 5 hingga 8 April 2013.

Program ini adalah anjuran Persatuan Muzium Malaysia dan Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu. Ia disertai oleh wakil kakitangan-kakitangan muzium seluruh negara dari utara hingga ke selatan, namun dari Sabah dan Sarawak tiada pula wakilnya. Melaka diwakili oleh 4 orang peserta termasuk aku.



Dalam entri ini aku tak mahu menulis banyak, cuma aku mahu berkongsi secara ringkas antara acara yang telah diadakan sepanjang program ini dijalankan :

:: Lawatan ke Gua Bewah
:: Sembang-sembang Muzium
:: Memancing
:: Merentas Hutan (Jungle Tracking)
:: Karaoke
:: Lawatan ke pusat Santuari Ikan Kelah
:: Lawatan ke Taman Herba

Okay.. Setakat sini sahaja. Nanti aku keluarkan satu lagi entri yang akan memaparkan gambar-gambar sekitar program. Tunggu sajalah..

>> Bahagian 2 << 

Friday, May 18, 2012

HARI INI 18 MEI 2012, SEMUANYA PERCUMA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Apa yang percuma? Sebenarnya tarikh 18 Mei pada setiap tahun merupakan Sambutan Hari Muzium Antarabangsa. Pada tarikh berikut seluruh muzium di seluruh dunia yang mempunyai bayaran tiket tidak akan mengenakan bayaran pada satu hari tersebut iaitu pada 18 Mei. Jadinya, bagi sesiapa yang susah nak keluarkan duit tu, bolehlah pergi ke muzium secara percuma.

Sedikit maklumat mengenai Sambutan Hari Muzium :

Hari Muzium Antarabangsa diraikan oleh muzium-muzium seluruh dunia pada 18 Mei setiap tahun adalah hasil resolusi Persidangan Majlis Muzium Antarabangsa ke-12 pada tahun 1977. Perayaan tahunan ini merupakan hari yang memberi pengertian besar kepada dunia permuziuman sejagat dalam usaha untuk menarik perhatian umum terhadap program dan aktiviti permuziuman.

Perayaan yang diilhamkan oleh International Council of Museums (ICOM) ternyata mendapat sambutan yang baik apabila 102 buah negara telah mengiktiraf dan mengambil inisiatif untuk memartabatkan perayaan Hari Muzium Antarabangsa ini.

Berdasarkan tema Hari Muzium Antarabangsa 2012 iaitu "Museums In A Changing World. New Challenges, New Inspirations" antara objektif penganjuran program ini adalah sepertimana berikut :

1. Untuk menyedarkan masyarakat tentang pentingnya peranan muzium di dalam kehidupan. 

2. Sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap sumbangan serta peranan yang dimainkan oleh muzium.

3. Untuk memberi peluang dan kesempatan kepada orang ramai untuk mengunjungi dan mengenali muzium dengan lebih dekat dan menyertai perbagai aktiviti muzium.

4. Menarik minat masyarakat bersama-sama melindungi warisan budaya bangsa yang menjadi kebanggaan kita.

5. Pendedahan kepada kakitangan muzium bagi mengubah corak pemikiran ke arah yang lebih positif, proaktif dan inovatif bagi melahirkan sebuah muzium yang dapat memenuhi keperluan dan cita rasa masyarakat semasa.

6. Mewujudkan perpaduan serta jaringan kerjasama yang erat di kalangan muzium.

Sedikit tambahan dari saya, kita di muzium ini sering dipandang sepi oleh masyarakat. Kita tidak diingat seperti Hari Guru, Hari Jururawat, Hari Ibu dan lain-lain lagi sedangkan tugas kita ini juga mempunyai elemen kenegaraan yang sangat penting iaitu menjaga khazanah warisan negara dan mengekalkan warisan budaya nenek moyang kita terdahulu.

Apa-apapun, Selamat Menyambut Hari Muzium kepada semua anggota Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan juga rakan-rakan muzium dari Utara hingga ke Selatan dan tak lupa juga di Sabah dan Sarawak. Semoga kita sama-sama berazam menjadikan muzium sebagai institusi terunggul yang harus dilawati oleh segenap lapisan masyarakat.

Sunday, March 18, 2012

BUKAN SEKADAR MUZIUM





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sekiranya kita ditanyakan apa itu muzium pasti yang bermain di fikiran kita ialah patung, barang lama dan membosankan. Sampai bila? Sampai bila "orang kita" terus berfikiran sebegini. Kita seharusnya sudah mula mengetahui bahawa fungsi muzium bukanlah sekadar mempamerkan barang-barang lama sahaja.

Secara ringkasnya, definisi muzium ialah; sebuah organisasi yang tidak berorientasikan keuntungan yang berfungsi untuk mengumpul, memulihara, menyelidik, mendokumentasi dan mempamer perihal bukti material kewujudan manusia dan persekitarannya bagi tujuan pendidikan.

Apa yang saya mahu tekankan di sini ialah PENDIDIKAN. Kita perlu menanamkan dalam hati masing-masing bahawa muzium itu adalah satu pusat pendidikan. Iaitu pendidikan tidak formal. Sekiranya di sekolah, para pelajar mendapat pelajaran formal dengan diajar oleh guru-guru melalui silibus pendidikan, dan di muzium juga pelajar boleh menimba ilmu dengan cara melihat secara realiti artifak dan bahan pameran yang dipamerkan di dalam muzium.

Tidak hanya terhad kepada melihat artifak dan bahan pameran yang dipamerkan, para pelajar juga boleh membaca setiap keterangan yang disediakan bagi mendapatkan info yang lebih mendalam. Di muzium, kita bukan hanya dapat mengetahui sesuatu bahan pameran, malahan penceritaan dan sejarahnya juga kita akan ketahui.

Bagi rombongan sekolah-sekolah, IPT dan sebagainya misalnya, jika hendak mengetahui lebih lanjut dan menjadikan lawatan ke muzium lebih bermakna, bolehlah memohon disediakan juru pandu ke dalam muzium. Juru pandu ini boleh terdiri daripada juru pandu persendirian (swasta) ataupun juru pandu dalaman iaitu terdiri daripada kakitangan muzium itu sendiri. Bagi lawatan tetamu VVIP biasanya memang wajib disediakan juru pandu sama ada dari luar atau kakitangan muzium sendiri. Ini bagi memberikan penjelasan dengan lebih jelas dan tepat kepada setiap tetamu mahupun pengunjung.

Kebiasaan juru pandu ini akan membawa lawatan dengan memberikan penjelasan bermula dari sejarah bangunan, artifak dan bahan pameran yang dipamerkan, sejarah dan lain-lain penceritaan mengikut setiap ruang pameran yang ada. Setiap lawatan berpandu ini mengambil masa dalam 1 jam hingga ke 2 jam bergantung kepada pemintaan pelawat. Ada kalanya pelawat tidak mempunyai banyak masa, jadi lawatan akan disingkatkan kepada ruang-ruang pameran yang tertentu sahaja.

Sebagai organisasi yang berfungsi untuk menyampaikan pendidikan tidak formal, muzium dilihat terus relevan. Kini situasi kian berubah, sekiranya dahulu muzium lebih dikenali sebagai "sekolah gambar", kini ia bukan setakat mempamerkan gambar. Kita dapat memperoleh pelbagai ilmu di dalam muzium baik dari aspek seni bina, sejarah, artifak, kesenian dan warisan, peragaan pameran dan banyak lagi.

Akhir sekali, marilah beramai-ramai kunjungi muzium kerana di muzium terdapat banyak ilmu yang boleh kita perolehi.


Semasa membawa lawatan berpandu kepada Timbalan Perdana Menteri, Thailand

Pelajar IPT dibawa lawatan secara berpandu di Muzium Sejarah, Melaka


Ketika membawa Sultan Solo, Indonesia melawat Muzium Istana Kesultanan Melaka


Salah satu contoh lawatan dari delegasi luar, dari Oman.


* Gambar-gambar di atas menunjukan kesungguhan pihak muzium untuk menyampaikan ilmu dan pendidikan secara tidak formal kepada tetamu dan pelawat yang hadir melawat ke muzium. Oleh itu, ingat! Muzium juga merupakan pusat pendidikan dan penyelidikan yang boleh memberikan maklumat dan ilmu pengetahuan kepada pelawatnya.

Thursday, November 25, 2010

MELAWAT KE MUZIUM TENTERA DARAT

Bergambar kenangan






Leftenan Adnan Saidi

Pakaian tentera United Nation

Bilik Bedah Komunis

Komunis sedang tidur

Komunis jaga terowong

Perbincangan antara komunis

Chainsaw. 3 orang diperlukan untuk mengangkat peralatan ini.

Zaman Belanda

Basikal digunakan untuk mengecas bateri telefon