Showing posts with label fotografi. Show all posts
Showing posts with label fotografi. Show all posts

Friday, September 3, 2021

Oh! Teratai Bunga Indah


Aku bukanlah orang bandar. Orang kampung. Walaupun orang kampung, masa aku kecil-kecil tidak pernah ke sawah padi. Mungkin kerana tiada ahli keluarga yang terlibat secara langsung dengan kerja-kerja di sawah. Lantaran itu, aku tidak pernah masuk ke sawah untuk bermain lumpur dan selut.

Walaupun begitu, bukan bererti aku tidak pernah langsung pergi ke bendang di masa kecil. Ya pernah, tapi cuma berlalu saja. Memancing di sawah pun tidak pernah. Dulu lebih suka memancing di pantai, kerana rumah mak pun berhampiran pantai. Cuma sekarang ini sahaja apabila berpindah di kawasan perumahan yang begitu hampir dengan sawah padi, aktiviti memancing di tali air telah menjadi kebiasaan aku.

Baru-baru ini aku berbasikal. Kayuh berseorangan melalui laluan kampung, tali air dan sawah padi yang terbentang luas. Ya Allah! Dalam hati aku kenapa aku tak pernah merasakan perasaan dan pemandangan yang begitu indah sekali sebelum ini. Kawasan ini dekat sahaja di kawasan perumahan aku, namun ia kelihatan asing bagiku kerana memang aku tak pernah melalui kawasan tersebut.

Beberapa kali dalam hati ini terdetik perasaan malang bagiku. Umur sudah melepasi 4 siri tetapi baru tahu ada tempat yang aman damai seperti ini. Kayuh basikal petang-petang walaupun berseorangan tidak merasa penat dan lelah. Ramai orang memancing di situ. Barangkali orang-orang kampung berdekatan. Sesekali berhenti mengayuh menyapa orang-orang yang sedang memancing. Ada yang muda, ada yang berusia.

Mungkin ini saja catatan aku pada kali ini. Benarlah kata orang-orang terdahulu, jauh perjalanan luas pemandangan. Maaf jika ada sedikit perubahan pada kata ganti nama diri. Awalnya dulu, memang menggunakan 'aku', kemudian tukar kepada 'saya'. Kini kembali menggunakan AKU kerana aku rasa ia lebih selesa bagiku menulis demikian. 

Monday, July 26, 2021

CUBAAN MENANGKAP GAMBAR BINTANG DI ANGKASA

Nampak tak bintang? Jangan sampai juling mata. hehe

Ada sesiapa nampak bintang-bintang yang berkelipan pada gambar di atas? Kalau ada yang rabun, pasti tidak akan nampak. Inilah kali pertama saya cuba mengambil gambar bintang di langit pada waktu malam yang gelap. Sekiranya ada cahaya galaksi berwarna kebiru-biruan lagi cantik rasanya. Saya guna kamera telefon bimbit sahaja. Kurang jelaslah jawabnya.

Sebenarnya masih belajar lagi cara nak ambil gambar bintang-bintang di langit. Tapi memang boleh ambil gambar bintang-bintang dengan telefon bimbit. Saya lihat di dalam kumpulan Facebook yang berkisar fotografi, ramai yang mengambil gambar bintang-bintang dengan cantik hanya menggunakan telefon bimbit. Gambar bulan pun ada yang merakam dengan telefon bimbit, cantik pula tu. Saya puas cuba beberapa kali nak ambil gambar bulan, tapi hasilnya kurang memuaskan.

Saya belajar pun hanya berpandukan pada sifu-sifu di Facebook dan YouTube. Bukan belajar sangat pun, belajar yang asas-asas saja. Belajar kerana minat dan bukan untuk jadi profesional. Cukup sekadar untuk melihat gambar yang diambil, cantik dari pandangan mata sendiri tu dah cukup baik. Saya juga minat melihat gambar-gambar yang cantik. 

Tuesday, July 13, 2021

MINAT AMBIL GAMBAR

Saya minat mengambil gambar tapi bukanlah seorang profesional. Saya suka gambar kerana gambar ada seninya yang tersendiri, namun saya bukanlah orang seni, cuma meminati seni.

Pelbagai aplikasi yang terdapat di telefon pintar, membolehkan saya mengedit gambar-gambar yang saya ambil untuk dilihat lebih menarik dari pandangan mata saya. Tak pastilah dari pandangan mata orang lain, mungkin tak berapa cantik.

Gambar-gambar ini saya simpan. Kalau berkesempatan nanti, terasa ingin juga dicetak untuk dijadikan koleksi yang boleh dijadikan kenangan pada masa akan datang. 

Muhammad Firman merajuksl sambil duduk di sebalik dinding

Pokok betik yang tertanam di hadapan rumah emak saya

Beting buat sarang di atas dahan pokok buah nangka di belakang rumah emak saya

Kuih tat yang dibuat oleh emak dan kakak saya untuk menyambut Aidiladha

Daun pokok jambu di belakang rumah saya sesudah hujan

Pemandangan senja di belakang rumah saya

Ainnur Afiah, anak perempuan yang saya tinggalkan bersama abangnya di rumah emak bermula PKP lalu

Gambar langit dan awan merupakan antara yang saya gemar ambil

Saja suka-suka mengedit gambar yang diambil di sebalik tingkap rumah

Nanti-nanti jika berkesempatan akan saya letakkan lagi gambar-gambar terkini. Juga saya akan menerangkan aplikasi-aplikasi yang saya gunakan untuk mengedit gambar.

Sunday, May 2, 2021

GENGGAM BARA

Baru-baru ini bahagian pejabat saya telah membuat sesi fotografi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Gambar-gambar ini diambil untuk kenang-kenangan untuk dimuatkan ke media sosial jabatan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Saya ada memuatnaik sekeping gambar di laman Facebook dengan kapsyen "Berikan ku arang, akan ku genggam menjadi bara yang menyala". 


Ada jugalah rakan-rakan yang komen mengatakan peribahasa saya salah. Sepatutnya peribahasa itu "genggam bara api hingga menjadi abu". Ya, saya tahu peribahasa itu. Maksud peribahasa ini ialah membuat sesuatu dengan bersungguh-sungguh hingga peroleh kejayaan.

Namun dalam aspek "semangat", genggam bara hingga menjadi abu membawa maksud semangat yang hilang. Awal-awal sahaja bersemangat, namun akhirnya semangat itu lenyap dan hancur berderai. Itulah yang sering terjadi pada diri kita. Mula-mula semangat berkobar-kobar untuk mengecapi sesuatu tapi akhirnya hilang begitu sahaja.

Justeru, saya ubah sedikit peribahasa tersebut menjadi sepotong frasa iaitu "genggam arang hingga menjadi bara yang menyala". Mungkin ada yang beranggapan bahawa adalah mustahil untuk menggenggam arang untuk menjadi bara. Tetapi itulah keistimewaannya, sesuatu yang LUAR BIASA, ajaib, di luar pemikiran namun tidak mustahil ia boleh terjadi.

Menjadi bara yang menyala pula membawa pengertian semangat yang berterusan, istiqamah, membara dan terus membara dalam pelaksanaan.  Sesuatu pelaksanaan atau semangat tidak sepatutnya terhenti lalu hilang, bara yang menyala akan terus membara dan berkekalan agar tidak dikata orang sebagai hangat-hangat tahi ayam. Lihat, berapa ramai orang kita sebegini, akhirnya kecundang.

Akhir kalam, bukan niat saya untuk mengubah peribahasa, itu hanyalah pandangan peribadi dan falsafah serta metafora yang dapat saya hurai dan kaitkan dalam kehidupan seharian manusia terutama kita yang berbangsa Melayu.

Gambar bonus bersama dayang-dayang kakitangan bahagian saya

Turut kelihatan di nombor 3 dari kiri ialah blogger Julia Ali yang juga merupakan seorang kakitangan di bahagian saya. 😎🤙🏼



Sunday, April 25, 2021

VIDEO PROMO HARI RAYA AIDILFITRI

Hai.. Raya lama lagi, tapi lagu raya sudah keluar. Ini semua gara-gara gatal tangan nak edit-edit video, maka terhasillah video hari raya yang menarik tak seberapa ini.




Sebenarnya saya bukanlah pro, cuma saya suka mengedit gambar dan video. Ia kini menjadi hobi saya. Dengan adanya aplikasi-aplikasi yang berlambak di Google play dan sebagainya, kita yang biasa-biasa ini pun dah boleh mengedit bagaikan seorang profesional. 😅

Dikesempatan ini juga, suka saya menyarankan aplikasi yang biasa saya gunakan untuk mengedit gambar dan video yang boleh anda cari di Google Play.

Edit fotografi

1. Snapseed

2. PicsArt

Edit videografi

1. Inshot

2. Quik

3. Video Cutter