Sunday, July 18, 2021

35 TAHUN MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA

Semalam 17 Julai 2021 merupakan ulang tahun ke-35 penubuhan Muzium Istana Kesultanan Melaka. Saya mengambil inisiatif untuk mengarang sebuah artikel berkaitan muzium tersebut untuk dimuatnaik ke laman Facebook Muzium & Galeri Melaka. Saya bertugas di Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi memang berperanan untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat tentang institusi permuziuman serta maklumat berkaitan sejarah, kebudayaan dan warisan khususnya di Melaka.

Artikel ini sedikit bersifat ilmiah, jadi luangkanlah sedikit masa untuk membacanya. Selamat membaca. Jangan lupa juga untuk LIKE  Facebook Muzium & Galeri Melaka.

*****

1986 merupakan merupakan tahun Kerajaan Negeri Melaka di zaman YAB Tan Sri Abdul Rahim bin Tamby Chik sebagai Ketua Menteri Melaka telah melaksanakan beberapa projek mega dan muzium merupakan salah satu projek dibangunkan antaranya ialah projek Istana Kesultanan Melayu Melaka. Muzium ini dibina di lereng Bukit Melaka (kini Bukit St. Paul) iaitu bersebelahan dengan Kawasan perkuburan Belanda dan pintu gerbang Santiago (Porta Da Santiago).

Bangunan muzium ini ini telah dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM). Pembinaan bangunan ini mengambil masa dua tahun iaitu bermula 27 Oktober 1984 dan siap sepenuhnya pada 15 April 1986. Keseluruhan kos pembinaan adalah sebanyak RM1.4 juta.

Pada 17 Julai 1986 Muzium Istana Kesultanan Melaka telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan mula dibuka kepada lawatan orang ramai. Pada awal penubuhan muzium ini ia dinamakan sebagai Muzium Budaya. Pada tahun 1988, muzium ini telah dinaiktaraf keseluruhan ruang pameran dengan menelan belanja sebanyak RM3.08 juta.

Muzium Istana Kesultanan Melaka merupakan replika Istana Kesultanan Melayu di Zaman Sultan Mansur Syah (1456-1477). Rekabentuk bangunan istana ini adalah berpandukan kepada penelitian Buku Sejarah Melayu dan juga berdasarkan pandangan Persatuan Pelukis Melaka serta Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka.

Bangunan yang berkeluasan 240 kaki panjang dan 40 kaki lebar ini mempunyai keunikkan tersendiri dari segi senibinanya kerana menggunakan sistem pasak dan tanggam. Manakala struktur bangunan menggunakan kayu-kayu tempatan seperti atap yang diperbuat daripada Kayu Berlian yang dibawa dari Sarawak, tiang seri menggunakan Kayu Cengal serta lantai menggunakan Kayu Resak. Di permukaan dindingnya pula dihiasi dengan ukiran-ukiran yang indah-indah antaranya ukiran Ketam Buri.

Bangunan ini dibina dengan enam anjung yang dijadikan galeri pameran dan sebuah anjung utama sebagai laluan naik ke istana. Pada zaman Sultan Mansur Syah, anjung-anjung ini digunakan sebagai tempat tetamu yang datang bertemu dengan Sultan.

Institusi Kesultanan Melayu yang telah wujud di negara ini sejak lebih lima kurun yang lalu merupakan teras sistem berkerajaan dan masih kukuh dipertahankan sebagai lambang kepada tunggak kedaulatan dan keunggulan nusa dan bangsa.

Perkembangan dan pergolakan sejarah yang dirakamkan di negara ini boleh dikatakan sentiasa bergerak seiring atau dikaitkan dengan istana dan institusi kesultanan. Kesultanan Melayu juga boleh boleh disifatkan sebagai nadi dalam pembentukan tamadun, kebudayaan, sikap, norma dan sistem nilai bangsa Melayu.

Sesungguhnya terdapat perubahan yang ketara dalam sistem pemerintahan demokrasi yang dipraktikkan oleh kerajaan sekarang tetapi kedudukan dan fungsi Raja-Raja Melayu masih terus dikekalkan sebagai payung negara, sumber inspirasi kesetiaan dan perpaduan rakyat dan lambang kedaulatan negara.

Kesultanan Melayu mempunyai ciri-ciri keunikan dan dan keistimewaan tersendiri yang jauh berbeza dengan sistem pemerintahan beraja di negara-negara lain. Berdasarkan kepada hakikat inilah, kedaulatannya diletakkan di puncak pemerintahan demokrasi dan pentadbiran negara apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Walaupun baru 35 tahun Muzium Istana Kesultanan Melaka ini bertapak di lereng Bukit Melaka namun ia jelas mengambarkan kehebatan Kesultanan Melayu Melaka yang pernah wujud di sekitar bukit ini pada abad ke-15. Muzium ini memaparkan beberapa aspek penting yang perlu diketahui mengenai Kesultanan Melayu dan kaitannya dengan kesinambungan perkembangan sejarah negara. Bahan yang dipamer merupakan hakikat sejarah yang diharap dapat memberi gambaran terhadap kegemilangan takhta pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka.

Semoga pameran ini dapat memberi kesedaran kepada generasi kini dan akan datang berhubung akar umbi sejarah dan ketamadunan bangsa Melayu serta menyedari betapa pentingnya mereka memelihara kedaulatan Kesultananan Melayu yang telah sekian lama bertakhta memayungi negara ini.

Muzium ini boleh dilawati dengan tiket berharga RM6.00 (dewasa) dan RM3.00 (kanak-kanak). Bagi bukan warganegara pula tiket adalah berharga RM12.00 (dewasa) dan RM6.00 (kanak-kanak). Namun buat masa ini, rangkaian muzium di bawah pentadbiran Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) masih lagi ditutup sehinggalah mendapat arahan pembukaan semula oleh pihak berkuasa.

Tapak Muzium Budaya (Muzium Istana Kesultanan Melaka)

Kerja-kerja pembinaan bermula 1984

Majlis perasmian oleh Tun M pada 17 Julai 1986

Tun M meninjau dari tingkat atas

Lawatan presiden Palestin, Yaseer Arafat pada tahun 1986

Antara pakar rujuk pembinaan Muzium Budaya

Muzium Budaya pada tahun 1986

32 comments:

  1. suka baca artikel macam ni..
    sbb dulu mlas baca buku..now baru sedar diri nak tahu sejarah hehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kamu memang seorang pembaca. Saya yakin kamu membacanya. Terima kasih kerana sudi membaca.

      Delete
  2. Kos pembinaan dia tak macam kos ratusan juta sekarang kan. Kagum dengan senibina dulu dulu guna tanggam dan pasak je. Macam sistem senibina orang jepun buat istana dulu dulu. Hebatnya seni bina zaman dulu dengan seni ukiran dan juga kayu jati, kayu resak yang utuh. Terima kasih untuk perkongsian penulisan ni :)

    ReplyDelete
  3. tak pernah explore pun muzium istana kesultanan melaka ni..bila baca2 dalam blog fairus dapat skit pengetahuan dan ilmu :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nanti selepas sudah bebas, datanglah ke Melaka dan kunjungi muzium ini.

      Delete
  4. Dah lama tak melawat muzium. Last lawat muzium masa praktikal dekat Kedah.Muzium Melaka masih belum ada kesempatan nak jejak lagi.Harap adalah rezeki suatu hari nanti kalau turun ke Melaka.

    ReplyDelete
  5. Menarik setelah tahu latar belakang Muzium Istana Kesultanan Melaka.
    Bangunan aspirasi istana itu yang akan menarik pelancong.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya.. kalau tak dicerita, ada yang tidak tahu..

      Delete
  6. kalau tak silap muzium melaka penah skali masuk masa anak2 sek rendah.
    dulu kerap ke Melaka umah ipar duai
    ni dah masuk 2 thn x g melaka

    ReplyDelete
  7. Saya kagum dengan PERZIM sebab begitu jaga nilai sejarah berbanding negeri lain. Tengok Johor jelah, makam sultan dalam kebun sawit. Rindu zaman kerja arkib dulu. Sedih bila teringat dipaksa pindah unit iklan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kami memang sangat komited menjaga sejarah, kebudayaan dan warisan negeri.

      Delete
  8. Replies
    1. Belum ke tahap tu lagi uncle..Jauhhhhhh.. Sangat jauh.

      Delete
  9. Dulu masa pergi Melaka, anak kecik-kecik lagi, tak sempat nak ke muzium tu. Harap covid hilang segera, boleh ke sana lagi.

    ReplyDelete
  10. dah beberapa kali ke Bandar Melaka, tapi tak pernah lawat muzium2 di sana..sebab Bandar Hilir tu pun is an open museum..suka jalan2 kwsn ni..

    ReplyDelete
  11. Boleh tahu tak kat Malaysia ada berapa jenis muzium?

    Yang saya tahu ada Muzium Negara, Muzium Negeri dan Muzium Diraja.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Melaka di bawah pentadbiran Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) saja ada lebih 20 buah muzium dan galeri.

      Delete
  12. Salam Aidil Adha Fairus sekeluarga :)

    ReplyDelete
  13. Seronok baca entri ini. Dapat tambah ilmu. Terima kasih kerana berkongsi.

    ReplyDelete
  14. Teringin nak pergi sebab memang minat, tapi buat masa sekarang tak boleh lagi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ok.. tunggu masa dah boleh merentas negeri nanti.

      Delete
  15. Nak melawat Melaka lagi jika ada kesempatan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Insyaalah.. Lepas-lepas ni boleh datang bila covid dah tamat.

      Delete
  16. sy suka dgn kayu yg digunakan utk muzium ni sbb nampak sgt kukuh. kalau istana dulu entah mcm mn agaknya kan? tentu lg hebat binaannya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sudah tentu, mengikut beberapa catatan menyatakan bahawa Istana Kesultanan Melaka dahulu diperbuat daripada batu dan kayu.

      Delete

Komen saja... Jangan segan-segan.