Showing posts with label Fortaleza de Malaca. Show all posts
Showing posts with label Fortaleza de Malaca. Show all posts

Tuesday, May 18, 2021

A FAMOSA ADALAH MASJID?



Menara jam ini didirikan pada tahun 1886 hasil sumbangan Tan Jiak Kim sebagai penghormatan kepada mendiang ayahnya Tan Beng Swee. 

Di sini dahulu terdirinya A Famosa yang dibina Alfonso de Albuquerque bermula pada Ogos 1511 dan siap pada Januari 1512. Cepat siapnya bukan? Mana tidaknya, seramai 1500 buruh (hamba raja) dipaksa untuk menyiapkan kubu yang mempunyai menara 5 tingkat ini. 

Sebelum terbina A Famosa, dahulu terdapat sebuah masjid yang dipercayai Masjid Agong Melaka. Menurut catatan Tome Pires di dalam Suma Oriental, kubu A Famosa dibina di atas runtuhan Masjid Agong Melaka (the great mosque). 

"...the famous fortress which was built on the side of the great mosque, with wall of great width and a tower of five storey. He states that on one side the sea washes against it, and on the other the river."

Terdapat juga catatan mengenai A Famosa dalam Portuguese Document on Malacca yang memerihalkan :

"At the foot of the hill, in a comparatively short time he built a noble fortress. Do that the hill should not overlook it the keep was built height of a five-storey building with a spire covered with lead. It had apartments commensurate with its majesty. It was so imposing and was situated in a place so remote (from Portugal) that it deserved the name A Famosa which was given to it." (183)

"The plunder was brought to Afonso D' Albuquerque who by now was already engaged in building a fortress where the mosque once stood which he named Famosa. In order to built it, he made use of the stones from the numerous tombs of important persons of the state.... " (393)

Namun apabila terlihat pada menara jam ini, terbayang di benak fikiran adakah ini simbolik kepada kewujudan menara A Famosa yang dibina Portugis atau mungkin simbolik kepada menara Masjid Agong Melaka yang dipercayai tapaknya di situ.

Menurut penyelidikan yang dibuat oleh Institut Alam & Tamadun Melayu (ATMA UKM), kebarangkalian A Famosa itu dahulu merupakan masjid yang telah diubahsuai. Mungkin disebabkan itu Alfonso de Albuquerque hanya memerlukan 5 bulan untuk menyiapkan pembinaannya. 

Ini dapat dibuktikan melalui hipotesis :

1. A Famosa mempunyai sebuah ruang kelihatan seperti mihrab masjid.

2. Kedudukan A Famosa menghadap ke arah kiblat.

Bagi mengukuhkan hipotesis ini maka kajian melalui kaedah ekskavasi arkeologi perlu dilaksanakan bagi menelusuri kembali jajaran-jajaran lama kota zaman kesultanan Melayu Melaka. Jika ini dapat dilaksanakan dan ditemui, ia merupakan satu kejayaan besar bagi sejarah Melaka yang sememangnya sudah terkenal seantero dunia.

Sunday, May 9, 2021

INI BUKAN A FAMOSA

Tolong sematkan di dalam hati masing-masing bahawa gambar di bawah ini nama sebenarnya ialah PINTU GERBANG SANTIAGO atau PORTA DA SANTIAGO bukan A FAMOSA. 

Ini PINTU GERBANG SANTIAGO bukan A FAMOSA

A Famosa terletak di bahagian lain iaitu di hadapan bangunan merah (Stadthuys). Harap selepas ini tiada kekeliruan lagi. Jejak Rasul 2021 yang mengisahkan tentang Masjid Agong Melaka di Kota A Famosa memang benar tapi bukan di pintu gerbang Santiago yang netizen bayangkan. 

Kekhilafan netizen disebabkan kerana pintu gerbang Santiago ini telah sekian lama dikenali A Famosa sedangkan itu bukanlah namanya yang sebenar.

Berikut adalah dapatan saya yang menyatakan bahawa Masjid Agong Melaka bukan di Pintu Gerbang Santiago :

1. Masjid Agong Melaka terletak berhadapan sungai dan berdekatan jambatan. 

A Famosa : Ya - Hadapannya Sungai Melaka dan ada jambatan menghubungkan kawasan pasar Melaka pada ketika itu (kini Jonker Street)

Kawasan ini meliputi A Famosa hingga ke bulatan kancil (roundabout)


Pintu Gerbang Santiago : Tidak - Dahulu pintu gerbang ini berhadapan pantai (Sekarang telah ditambak dan berhadapan Dataran Pahlawan Megamall)


2. Mengikut arah kiblat.

A Famosa : Ya, mengikut kiblat

Pintu Gerbang Santiago : Tidak mengikut kiblat.


Dilampirkan paparan video di mana pengacara Jejak Rasul 2021, Fedtri Yahya berdiri dan menunjukkan lokasi A Famosa sebenar yang dipercayai tapak Masjid Agong Melaka.


Lihat video penuh di YouTube TV3 Malaysia Official

Semoga pendedahan ini bermanfaat untuk semua sekaligus memperbetulkan kekeliruan berkaitan kedudukan A Famosa yang sebenar.

Lihat juga : Kedudukan A Famosa Yang Sebenar

Saturday, May 8, 2021

KEDUDUKAN KUBU A FAMOSA YANG SEBENAR

Saya cuba ringkas dan padatkan agar masyarakat tidak lagi keliru tentang lokasi dan apakah kubu A Famosa yang SEBENAR.

Lakaran Kota Melaka oleh Gaspar Correia. Turut kelihatan kubu A Famosa

Bangunan yang dikenali A Famosa yang dibina Portugis merupakan kubu bermenara 5 tingkat dibina sebaik sahaja Portugis menawan Melaka. Seramai kira-kira 1500 hamba Melaka dipaksa membina kubu ini. Bangunan A Famosa TELAH TIADA kerana dimusnahkan oleh Belanda. Lokasinya kini di BULATAN KANCIL (roundabout) hadapan bangunan merah (Stadthuys). Di sinilah dikatakan terdirinya Masjid Agong Melaka.

A Famosa yang sebenar telah musnah

Di hadapan bulatan tersebut di bangunkan surau dan dinamakan Surau Warisan Dunia sebagai simbolik telah wujud masjid Agong Melaka di kawasan tersebut.

Gambaran artis menunjukkan terdapatnya masjid diyakini adalah Masjid Agong Melaka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka menurut catatan sejarah

A Famosa yang kita kenali sekarang yang terdapat di Bandar Hilir tempat pelawat melancong itu nama sebenarnya PINTU GERBANG SANTIAGO @ Porta Da Santiago merupakan salah sebuah pintu masuk ke Kota Melaka (Fortaleza de Malaca).

Ini pintu gerbang Santiago @ Porta Da Santiago

Maka benarlah apa yang disampaikan oleh Fedtri Yahya, pengacara merangkap penerbit Jejak Rasul 2021 : Ulama Pewaris Rasul yang memberi gambaran kewujudan Masjid Agong Melaka di kubu A Famosa.

Nak salahkan netizen tidak boleh juga, kerana kota itu sejak sekian lama dikenali sebagai A Famosa. Juga kesilapan bermula dari zaman penjajahan British lagi apabila mereka menamakan pintu gerbang ini sebagai A Famosa. Diharap masyarakat mendapat pencerahan. πŸ™πŸΌπŸ™πŸΌπŸ™πŸΌ

Ps : Nanti tengoklah Jejak Rasul 2021 pada 9 Mei ini (Ahad). Manalah tahu muka saya ada dalam rakaman tersebut. πŸ˜ƒπŸ˜ƒπŸ˜ƒ

Lihat juga : Ini Bukan A Famosa

Sunday, March 28, 2021

KUBU FEDERIK HENDRIK








Tapak kubu Federik Hendrik merupakan sebahagian dari bekas tapak Kota Melaka yang dibina oleh Portugis di atas kota empayar Kesultanan Melayu Melaka. Kubu ini dipercayai berhampiran dengan kawasan bekas Istana Sultan Melaka dan penempatan pembesar-pembesar kerajaan Melayu Melaka. Semasa zaman keagungan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka sebahagian besar aktiviti pemantauan kapal dagang dan perdagangan dunia yang melalui Selat Melaka dan muara Sungai Melaka telah dikendalikan di kawasan ini.

Semasa pemerintahan Portugis, Kota Melaka dilengkapi dengan pembinaan kubu pada setiap penjuru. Kubu Courassa menjadi kubu pertahanan utama Portugis yang menghadap ke arah Selat Melaka. Apabila Melaka ditakluki oleh Belanda pada 1641, kubu ini telah diperbaiki dan dinamakan kubu Frederik Hendrik sempena nama Raja Hendrik yang memerintah Belanda pada tahun 1642 hingga 1647. Pada 1640 dan 1678, kubu ini telah diperkukuh semula dengan diperbesarkan ukuran dan ketinggian dan menjadi kompleks utama pertahanan Belanda.

Kubu ini amat penting kepada pertahanan Kota Melaka dan bandar pelabuhan Melaka. Dari atas kubu yang kukuh dan tinggi ini dapat memberikan gambaran dan panorama sepenuhnya yang berlaku di Selat Melaka dan juga pelaburan Melaka. Tentera yang berkawal di atas kubu ini dapat melihat segala ancaman yang datang dari Selat Melaka dan akan memberikan tindak balas dalam masa yang singkat.

Kubu ini dilengkapi dengan meriam, peralatan peperangan dan penempatan tentera, pos utama kawalan tentera, bilik simpanan senjata peperangan dan meriam. Di tapak kubu ini juga tersimpan banyak khazanah sejarah lama tentang peperangan dan kekuatan yang dimiliki oleh kerajaan Melayu Melaka, Portugis dan Belanda.

Pada tahun 2006 dan 2007, Jabatan Warisan Negara (JWN) telah melaksanakan ekskavasi arkeologi di tapak ini. Penyelidikan ini berjaya mendedahkan struktur tembok kota, kubu Frederik Hendrik dan menjumpai 4 rangka manusia. Selain itu terdapat jumpaan lain seperti manik kaca, peluru meriam dan syiling lama yang tertanam di kawasan ini.