Showing posts with label hospital. Show all posts
Showing posts with label hospital. Show all posts

Thursday, October 6, 2022

Rezeki Jangan Ditolak, Musuh Jangan Dicari

Satu persatu aku membaca senarai barangan yang dipesan oleh isteriku untuk dibawa ke hospital. Satu senarai yang panjang merangkumi pakaian, lampin, pengecas telefon, sebotol air, cawan, sudu dan pelbagai lagi. Naik berpinar biji mata melihatnya. Harap-harap tiada yang tertinggal.

Oh ya, pagi tadi telah aku bawa isteri dan anakku Muhammad Fiq Farrel yang baru berusia 6 bulan ke hospital. Sudah masuk minggu ketiga anakku tidak sihat. Batuk berkahak, selsema dan demam. Demamnya sekejap sembuh sekejap kebah. Pemeriksaan x-ray menunjukkan ada sesuatu di bahagian dadanya yang berkemungkinan dijangkiti kuman. Jadi anakku ditahan di wad sambil ditemani isteriku.

Sedang mahu bertolak ke hospital, masuk lagi pesanan dari isteri agar membawa Milo. Macamana nak bawa Milo, elok beli saja Milo 3 in 1 di kedai. Senang nak dibancuh nanti.

Sampai di kedai, segera aku mendapatkan Milo 3 in 1. Sempat juga aku menyambar coklat snicker untuk dijadikan habuan mulut semasa perjalanan ke hospital. 

Semasa hendak membayar, ada 2 orang di hadapanku. Seorang yang berada di hadapan aku seorang wanita kemungkinan berusia lewat 40 tahun. Banyak juga barang beliau beli. 

Apabila telah tiba gilirannya, beliau menyuruh aku kehadapan untuk membayar dahulu dengan alasan barangnya banyak. Kebetulan, hanya satu sahaja kaunter bayaran yang dibuka. Awalnya aku menolak, tidak kisah untuk menunggu tetapi dia minta juga aku memotong gilirannya. Lantaran itu, aku pun kehadapan.

Selesai juruwang mengimbas harga barangan yang aku beli, aku menghulurkan kad debit untuk membayar. Namun tanpa disangka, wanita tersebut berkata bahawa beliau akan membayar barangan yang aku beli. Aku menolaknya namun beliau terus berkata " takpe-takpe saya bayar". Aku cuma mampu mengucapkan terima kasih lalu keluar dari kedai tersebut.

Dalam hatiku berkata agar wanita tersebut terus dimurahkan rezeki dan senantiasa membantu insan-insan yang memerlukan. 



Thursday, April 7, 2022

Hadirmu di Bulan Mulia


Alhamdulillah... Pada 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadan 1443 Hijrah lahirnya seorang anak lelaki buah hati pengarang jantung keluarga aku. Ini merupakan anak kelima kami dan rasanya cukuplah lima orang anak. Umur pun dah awal empat puluh siri, nanti bila dah bersara, ramai anak masih bersekolah payah juga nanti.

Isteri pun telah pulang ke rumah. Duduk wad sehari sahaja selepas bersalin. Di kala menaip entri pun terdengar suara bayi menangis. Apa lagi kalau bukan mahu menyusu. Terasa hilang rindu mendengar suara bayi menangis. 

Nama belum beri lagi. Sebelum bersalin lagi sudah mencari-cari nama yang sesuai, namun tidak dapat lagi. Iyalah, nama anak aku semua bermula dengan huruf "F" sepertimana nama aku. Huruf "F" ni macam kurang saja pilihan nama. Banyak nama orang lain dah ambil. 

Sekarang ni ada juga beberapa nama yang aku fikirkan. Cuma belum dimuktamadkan lagi. Tunggulah nanti, apabila pergi ke pejabat Jabatan  Pendaftaran Negara, nama yang dicatat, itulah namanya nanti 

Ada idea tak nama anak lelaki yang bermula dari huruf "F"?