Showing posts with label tertidur dalam kereta. Show all posts
Showing posts with label tertidur dalam kereta. Show all posts

Friday, October 7, 2022

Tertidur Ketika Lampu Isyarat Merah

Sebenarnya, kisah ini bersambung pada hari yang sama berlakunya kejadian INI.

Selepas singgah di kedai, aku terus meneruskan perjalanan ke hospital. Kedudukan rumah ke hospital, tidaklah terlalu jauh. Anggaran dalam 10 kilometer sahaja.

Setibanya di persimpangan berdekatan hospital, lampu isyarat berwarna merah. Jadi tunggulah seketika sebelum lampu bertukar kepada warna hijau. Lama juga menunggu kerana di situ merupakan satu persimpangan empat arah yang juga jalan utama ke pusat bandar.

Gambar sekadar hiasan


Apabila lampu bertukar kepada warna hijau, semua kenderaan mulai bergerak. Namun, di lorong aku kelihatan sedikit perlahan seolah ada kenderaan rosak di hadapan. Kenderaan mula belok ke kiri dan kanan bagi mengelakkan sebuah kereta yang berhenti di tengah-tengah jalan. Kenderaan pun mula membunyikan hon.

Apabila aku sampai di belakang kereta tersebut, aku membelok sedikit ke kiri. Semasa membelok, sempat aku menoleh ke arah kereta itu dan aku terlihat pemandunya ada di dalam kereta dalam keadaan tertutup mata.

Dalam hati aku sudah terfikir macam-macam. Mungkinkah pemandu tersebut terkena serangan jantung, pengsan atau meninggal dunia? Segera aku memberhentikan kereta berdekatan lampu isyarat dan segera turun mendapatkan kenderaan tersebut.

Aku merupakan orang pertama yang datang untuk membantu. Aku lihat di cermin kereta seorang lelaki dengan mata tertutup tersandar di kerusi pemandu. Lantas, aku ketuk cermin dengan kuat dengan harapan beliau sedar. Akhirnya, beliau membuka mata.

Aku menunjukkan isyarat jari ibu kepadanya bagi memastikan beliau dalam keadaan baik atau sebaliknya. Beliau balas dengan isyarat jari ibu juga menandakan semuanya dalam keadaan baik. Alhamdulillah.

Rupa-rupanya beliau tertidur semasa menunggu lampu isyarat bertukar kepada warna hijau. Mujurlah tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

Kepada para pemandu, sekiranya mengantuk, berhentilah memandu dan cari lokasi yang sesuai untuk rehat seketika sebelum meneruskan perjalanan. Jangan pertaruhkan nyawa mengambil risiko memandu dalam keadaan mengantuk kerana kecelakaan mungkin boleh berlaku.