Showing posts with label RMT. Show all posts
Showing posts with label RMT. Show all posts

Friday, February 16, 2024

Murid RMT Nikmati Makanan di Tepi Longkang

Gambar sekadar hiasan 


Mengimbau kenangan lalu di zaman persekolahan, masih terngiang-ngiang detik bersama rakan-rakan ketika makan di kantin sekolah. Apabila bunyi loceng menandakan waktu rehat bermula, hati mula berasa tidak sabar untuk ke kantin bagi menikmati juadah yang disediakan oleh makcik kantin.

Saat cikgu membenarkan murid keluar berehat, kami berlari sepantas pelari pecut menuju ke kantin sekolah. Perlu segera ke kantin untuk mendapatkan makanan kerana risau kehabisan makanan yang disediakan. Takut diambil oleh murid lain. 

Aku merupakan murid RMT iaitu murid yang menerima Rancangan Makanan Tambahan. Ia adalah makanan percuma bagi keluarga yang berpendapatan rendah seperti aku. 

Pernah beberapa kali aku tidak dapat menikmati makanan RMT yang disediakan kerana telah kehabisan. Ia diambil oleh murid lain yang tidak layak mendapat RMT. Sepatutnya mereka tidak boleh mengambil makanan itu. 

Kebiasaannya apabila aku dan murid-murid RMT lain lambat dilepaskan oleh cikgu untuk keluar rehat, tiba saja di kantin akan kelihatan murid-murid yang tidak mendapat RMT telah memegang pinggan seperti menandakan makanan tersebut adalah milik mereka. Kononnya jika makanan tersebut tidak diambil oleh murid RMT, maka mereka akan memakannya. Situasi ini memang kerap berlaku. Ia sangat mengecewakan. 

Ada kalanya, geram juga perasaan melihat perangai murid-murid lain yang mengambil hak murid-murid RMT. Nak ditegur, risau bergaduh. Nak ditegur, tiada keberanian. Nak ditegur, kawan sendiri juga. Redha sajalah. 

Walaupun masih bersekolah rendah, tapi otak aku ligat berfikir, mengapa tidak ada cikgu yang mengawal makanan untuk murid RMT? Banyak kali aku tidak dapat makan makanan RMT kerana kehabisan atau diambil oleh murid yang tidak sepatutnya. Sekiranya ada kawalan, pasti situasi ini tidak akan berlaku. 

Berbekalkan wang saku sebanyak lima puluh sen terpaksa aku melupakan niat untuk mendapatkan makanan percuma sebaliknya perlu membeli di kantin. Nilai lima puluh sen zaman 80-an dulu masih boleh dapat lagi sepinggan mee goreng atau nasi lemak dan secawan air sirap. 

Seusai mendapat makanan, biasanya aku bersama rakan-rakan akan mencari 'port' terbaik untuk menikmati makanan. Bukan di meja makan, tetapi di tepi longkang berdekatan kaki lima kantin sekolah. 

Kami duduk di atas lantai sambil kaki di dalam longkang. Bukan longkang besar pun, cuma longkang kecil yang mengalirkan air hujan. Longkang pun tidak kotor dan tidak berair. Jika longkang tersebut berair akibat hujan barulah kami tidak menikmati makanan di situ.

Itulah nikmat, berselera kami menjamu selera di tepi longkang. Sambil makan bergurau senda. Ya, pada zahirnya sudah pasti tempat itu tempat itu tidak bersih. Tapi apa nak dikatakan, kami kan budak-budak.