Showing posts with label qoa. Show all posts
Showing posts with label qoa. Show all posts

Friday, February 16, 2024

Akibat Tidak Menghafal Doa Qunut

Gambar sekadar hiasan 


"Qunut pendek ke qunut panjang?".

"Qunut pendek macam mana? Qunut panjang macam mana?"

"Qunut pendek bacaannya, qunut!, qunut panjang pula, bacaannya qunuuuuuuttttt...."

Inilah antara ungkapan tentang doa qunut yang menjadi bahan gurauan sejak dahulu hingga kini. Berulang-ulang tidak ditelan zaman. Baik yang muda, mahupun berusia masih menjadikan ia sebagai senda gurauan. 

Perihal doa qunut amat terkesan pada diri aku. Ia tersimpan rapi dalam lipatan sejarah hidupku. Walaupun perit dan memalukan namun aku bersyukur dan amat berterima kasih.

Aku amat berterima kasih kepada seorang ustazah yang membuka jalan untuk aku menghafal doa qunut. Andai tidak silap, nama ustazah tersebut adalah Zakiah. Ya betul, ustazah Zakiah namanya. 

Beliaulah mengajar aku mata pelajaran Pendidikan Islam. Namun aku terlupa, pada darjah berapa beliau mengajarku. Yang pastinya, ia berlaku ketika aku bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Lereh, Melaka. 

Masih aku teringat, ustazah Zakiah mengajar kami sekelas untuk menghafal doa qunut. Ustazah memberikan masa beberapa hari untuk setiap murid menghafal doa tersebut. 

Ustazah Zakiah merupakan seorang cikgu yang garang. Aku antara murid yang takut kepadanya, apatah lagi, subjek Pendidikan Islam antara kelemahan aku. Bukan aku seorang sahaja yang takut kepadanya, murid-murid  lain pun mempunyai perasaan yang serupa. 

Setelah tiba pada hari ustazah Zakiah menguji hafalan doa qunut oleh semua murid, terasa menggigil satu badan aku kerana masih tidak menghafal doa tersebut. Satu persatu murid diminta melafazkan doa qunut. Ramai yang dapat menghafal, dan yang pastinya aku antara murid yang tidak dapat menghafal doa qunut. 

Maka, terjadinya satu kaedah denda yang dikenakan kepada aku dan murid-murid lain senasib. Apa dendanya? Dendanya ialah kami perlu merangkak mengelilingi sebuah blok sekolah sambil diekori oleh ustazah. Sambil merangkak, perlu membaca doa qunut. 

Walaupun bloknya tidak besar, tetapi melibatkan beberapa buah bilik darjah dan bilik cikgu. Saat itu, betapa malunya diri ini hanya tuhan saja yang tahu. Perasaan marah kepada diri sendiri pun ada kerana gagal untuk menghafal doa qunut. 

Malu. Malu kerana murid-murid lain melihat dari tingkap nako sambil tersenyum dan tersengih dengan ekspresi muka yang sinis. Cikgu-cikgu yang turut melihat, juga menggelengkan kepala. 

Hari bersilih ganti, minggu bertukar minggu, akhirnya aku berjaya menghafal doa qunut. Alhamdulillah... Tidak lagi dikenakan denda yang tidak terjangkau dek akal iaitu merangkak sambil membaca doa qunut. Serik. Cukuplah sekali didenda merangkak. 

Walaupun ia merupakan satu denda yang amat memalukan, namun aku amat berterima kasih kepada Ustazah Zakiah. Dengan didikan Ustazah Zakiah lah aku mampu menghafal doa qunut. Barangkali, jika tidak didenda sebegitu rupa, kemungkinan lagi lambat aku untuk menghafal doa qunut. 

Terima kasih ustazah. Jasa baktimu akanku kenang selama-selamanya. Semoga ilmu yang bermanfaat yang telah dicurahkan menjadi bekalan yang baik di akhirat nanti.