Thursday, March 25, 2021

TAMBAK LAUT, TERKAMBUS ARTIFAK

Kawasan tambak laut di Kota Syahbandar. Banyak artifak telah ditemui di sini


Pantai ditambak atas dasar pembangunan memusnahkan ekologi lantas hidupan laut semakin kurang sama kurangnya dengan pendapatan nelayan pantai.

Dahulunya lautan ini menjadi laluan utama kapal-kapal dagang pada zaman kesultanan Melayu Melaka, kini ia dikambus dan tertanam terus artifak dari kapal karam zaman tersebut.

Melaka dahulu merupakan kerajaan maritim, laut adalah nadi utama membawa pedagang dari timur dan barat. Melaka tempat berpusat segala dagang, bertukar-tukar barangan di sini. Sistem barter, pelabuhan entrepot, semua itu adalah Melaka. 

Kita hanya mampu menyelamatkan artifak mana yang sempat, sebelum tanah tambak dibangunkan, artifak akan terkubur di bawah bangunan-bangunan yang bakal didirikan.

Di kawasan tambak laut ini telah dijumpai beberapa artifak dipercayai sezaman dengan kesultanan Melayu Melaka. Antara yang dijumpai adalah kepingan kayu kapal, celadon, martaban, ceramik dan matawang kesultanan Melayu Melaka iaitu matawang Sultan Muzaffar Syah, selain turut ditemui matawang Portugis.

25 hingga 31 Mac 2021, aku mewakili jabatan (Perbadanan Muzium Melaka) bersama-sama pasukan yang terdiri daripada Jabatan Warisan Negara (JWN), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan pasukan penyelidik bebas menjalankan kerja-kerja penyelamatan artifak di sekitar Pulau Melaka dan Kota Syahbandar.

Semoga kami dapat menyelamatkan seberapa banyak artifak yang terdapat di situ sebelum kawasan tersebut dibangunkan oleh pemaju. Jumpaan-jumpaan ini sudah pastinya menjadi bukti kegemilangan zaman kesultanan Melayu Melaka pada suatu masa dahulu.

Hendak melihat monumen zaman kesultanan Melayu Melaka, sudah tiada, kerana Melaka telah melalui zaman penjajahan begitu lama. Portugis, Belanda dan British menjajah Melaka lebih 500 tahun. Banyak yang musnah malah tiada satu pun monumen berkaitan kesultanan Melayu Melaka yang dapat dilihat melainkan replika istana kesultanan Melayu Melaka. Artifak yang ditinggalkan ini saja yang menjadi bukti bahawa kesultanan ini pernah wujud dan sangat gah dan hebat satu masa dahulu.


KERETA LEMBU MELAKA

Kereta Lembu amat sinonim dengan negeri Melaka. Walaupun pada masa zaman dahulu sudah ada terdapat kereta lembu di negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu/Malaysia namun kereta lembu terus menjadi ikon negeri Melaka sehingga kini. Malah terdapat lagu Kereta Lembu yang dinyanyikan oleh Helen Velu sekitar tahun 1969 yang liriknya mengkhususkan kereta lembu dari Melaka.

Kereta lembu,
dari Melaka,
ditarik pula oleh,
lembu perkasa.

Kereta lembu,
rodanya dua,
jalannya tak laju,
sejam sebatu,

Mari oh mari,
kita naik beramai-ramai,
pergi bertemasya,
mandi Safar di pantai.
 
Hah.. Itulah dia,
pusaka datuk ku,
pastikan ku jaga,
setiap waktu.

Terdapat beberapa pendapat tentang asal usul kedatangan kereta lembu di Melaka. Ada teori yang menyatakan bahawa ia telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi yang dibawa oleh pedagang-pedagang dari benua India. Kereta lembu ini digunakan dipelabuhan untuk mengangkut barang-barang dagangan.

Terdapat juga teori yang menyatakan bahawa kereta lembu dibawa masuk ke Melaka di zaman British iaitu pada tahun 1831 semasa Perang Naning. Catatan Munsyi Abdullah ada menyatakan askar India dibawa masuk ke Melaka untuk membantu menentang Dol Said di Naning, di pelabuhan kelihatan kereta lembu telah digunakan untuk mengangkut senjata.

Di Melaka kini kereta lembu tidak lagi dapat beroperasi di Padang Pahlawan akibat larangan dari pihak berkuasa. Penguasa-penguasa kereta lembu hanya menjalankan aktiviti di kampung-kampung dan sesekali ke kawasan bandar apabila dijemput untuk dijadikan pengangkutan dalam sesuatu program.

Nak cerita pasal kereta lembu ni memang panjang. Kebetulan memang aku sedang dalam usaha menyiapkan sebuah buku berkaitan kereta lembu Melaka. Insyaallah, tak lama lagi akan diterbitkan. 








Sebenarnya inilah kali pertama aku naik kereta lembu. Ini pun duduk sahaja, kereta lembu tak berjalan.

Monday, March 1, 2021

MAHKOTA MASJID WARISAN MELAKA

Apabila ke negeri Melaka, pastinya terjumpa reka bentuk masjid-masjid yang unik. Keunikan ini terserlah baik dari aspek seni bina bumbung, menara, ukiran dan sebagainya.

Antara reka bentuk yang paling unik ialah mahkota yang terdapat di bumbung masjid. Mahkota dikenali dengan beberapa nama seperti mahkota atap, som atau hiasan kemuncak. Pembinaan mahkota masjid terutama pada masjid-masjid lama adalah diperbuat daripada karang laut dan dicampurkan dengan putih telur (penganti simen) kemudian diukir dalam bentuk bertingkat-tingkat seperti stupa.

Mahkota yang terdapat di masjid-masjid lama di dalam negeri Melaka dikatakan mempunyai pengaruh Hindu-Buddha, sebagai contoh, penggunaan motif bunga teratai. Selain itu, dalam pembinaan masjid lama terdapat motif-motif haiwan atau anggota-anggota haiwan namun telah diabstrakkan agar tidak kelihatan jelas seperti haiwan. Antara contohnya ialah motif naga yang dijadikan motif sulur bayung agar ia selari dengan ajaran dan kesenian islam. Terdapat juga motif-motif lain seperti geometri dan awan larat.

Menara Masjid Parit Melana

Walaupun dikatakan mempunyai pengaruh Hindu-Buddha, ianya hanya sekadar perlambangan sahaja yang mengambarkan keharmonian dan kesejahteraan kehidupan masyarakat majmuk pada ketika itu yang disematkan dalam keindahan seni bina. Ia tidak pernah diniat untuk diagung-agung atau dijadikan simbol penyembahan, sebaliknya hanyalah kesenian semata-mata. 

Terdapat empat ciri utama yang terdapat pada mahkota masjid lama Melaka iaitu :

1. Terletak di bahagian yang paling tinggi.

2. Asasnya berbentuk segi empat sama.

3. Mempunyai hiasan-hiasan di setiap sudut.

4. Bertingkat-tingkat antara 2-4 tingkat.

Namun kini, masjid-masjid baharu di Melaka tidak lagi mengunakan reka bentuk lama pada bahagian mahkota. Kini kebanyakkan masjid dibina kubah dan diletakkan simbol bulan dan bintang. Selain itu terdapat juga rekaan kontemporari yang melambangkan agama Islam. 

Rujukan : Warisan Ketara Seni Islam Tempatan : Mahkota Atap Masjid Tradisional Melaka (Ros Mahwati Ahmad Zakaria, Siti Nor Azhani Mohd Tohar & Rabiah Abdul Rahman)