Sunday, October 26, 2025

Cerita di Ladang Kelapa

Pagi itu di Pengkalan Perigi datang seperti biasa, perlahan, lembut, sejuk. Embun masih enggan meninggalkan helaian rumput dan udara membawa aroma kelapa muda yang basah oleh sisa malam.

Di atas jalan tanah merah yang masih lembik, seorang lelaki tua melangkah tenang. Bajunya lusuh, topinya sudah pudar warnanya. Namun langkahnya penuh yakin, seperti dia tahu ke mana takdir ingin membawanya.

Gambar sekadar hiasan

Dialah Itam bin Haji Hamid, 65 tahun. Bukan sekadar pemetik kelapa, tetapi legenda kampung. Orang mengenalinya bukan kerana suaranya, dia jarang bercakap tetapi kerana monyet kecil yang sentiasa berada di sisinya, diikat dengan tali usang yang tidak pernah berganti.

Nama monyet itu tidak pernah diketahui dengan pasti. Orang kampung hanya menyebutnya sebagai “monyet Pak Itam.”

Anak-anak kampung sering berlari mengejar dari jauh setiap kali kelibat mereka muncul. “Kalau Pak Itam dah sampai dengan monyet dia,” kata mereka sambil ketawa kecil, “kelapa atas pokok tu tak sempat nak tua.”

Tanggal 25 Disember 1940. Pagi itu, seperti pagi-pagi sebelumnya, biasa, damai. Itam menerima pesanan daripada seorang penduduk kampung untuk memetik kelapa di kebunnya di Pengkalan Perigi. Dia tidak pernah menolak rezeki, walaupun kecil.

Setibanya di kebun, pohon-pohon kelapa menjulang tinggi seolah-olah menyambut kedatangannya. Itam berdiri di bawah salah satu pohon, menarik nafas panjang. Dengan satu isyarat kecil melalui sentapan lembut pada tali, monyet itu bergerak naik, lincah, patuh, seolah-olah memahami setiap denyut hati tuannya.

Buah kelapa mula jatuh satu demi satu, menghempas tanah dengan bunyi berat. Itam hanya melihat dalam diam, bibirnya terangkat sedikit. Mungkin itu caranya bersyukur.

Namun takdir tidak pernah mengetuk pintu terlebih dahulu. Dalam sekelip mata, sebiji kelapa jatuh lebih laju dari biasa. Bunyi hentakannya tidak sempat ditafsirkan oleh akal. Itam tidak sempat menepis atau mengelak. Buah itu mengenai tepat ke kepalanya dan dunianya gelap serta-merta. Dia rebah di pangkal pohon, masih menggenggam tali seolah-olah tugas itu belum selesai.

Orang kampung yang kebetulan melalui kawasan itu berlari mendapatkan bantuan. Itam dibawa ke hospital, namun takdir telah lebih dahulu menandatangani pengakhirannya. Pada hari yang sama, lelaki yang hidup sebahagian besar hidupnya di bawah pohon kelapa itu disahkan meninggal dunia akibat tengkorak retak dan pendarahan otak.

Beberapa hari kemudian, inkues diadakan dalam sebuah bilik. Suasana sunyi seolah-olah setiap nafas pun takut keluar terlalu kuat. Pegawai rasmi yang mengetuai penyiasatan, Tuan A. E. Mills, membaca keputusan dengan nada tenang namun tegas, “Kematian Itam adalah akibat kemalangan, death by misadventure.”

Tiada yang menyanggah. Tiada yang menangis kuat. Hanya ada keluhan yang tinggal dalam diam dan anggukan yang terasa berat seperti duka yang belum sempat diucapkan.

Hari-hari berlalu. Pohon kelapa masih bergerak ditiup angin, namun sesuatu terasa hilang. Jalan tanah merah kini terasa lebih sunyi tanpa langkah perlahan seorang lelaki tua dan monyetnya.

Di waktu senja, ketika kopi panas mengepul di pangkin kayu dan bayang malam mula menjalar, nama Itam kembali disebut. Dalam cerita. Dalam ingatan. Dalam nada rindu yang tidak diakui.

“Pak Itam tu tak pernah marah monyet dia,” ujar salah seorang orang tua kampung perlahan. “Dia selalu cakap… rezeki tu datang bila kita sabar.”

Kini, lelaki itu hidup bukan lagi sebagai pemetik kelapa, tetapi sebagai kisah yang ditutur dengan perlahan agar tidak pecah nilai kesederhanaannya.

Dan barangkali, jika suatu pagi seseorang berdiri di ladang kelapa itu ketika matahari baru mula muncul dan bayang pohon masih panjang menyentuh tanah, mereka mungkin terasa seakan ada seseorang yang masih berdiri di situ dengan topi lusuh, tali di tangan, menunggu buah jatuh untuk rezeki yang tidak lagi sempat dikutip.

* Diolah dari kisah sebenar yang pernah berlaku di kampungku, Pengkalan Perigi.

Sumber rujukan : Monkey Kill Owner with a Coconut - Malaya Tibune 25 Januari 1941

Tuesday, September 23, 2025

Menara Jam Melaka Dalam Lintasan Sejarah: Legasi Keluarga Tan Beng Swee


Menara Jam di Melaka bukan sekadar bangunan lama yang berdiri di tengah kota. Ia adalah simbol kasih seorang ayah, tanda jasa sebuah keluarga dan saksi bisu perubahan zaman.

Segalanya bermula pada tahun 1873. Seorang hartawan terkenal, Tan Beng Swee, menghadiahkan sebuah jam besar kepada bandar Melaka dan sebuah menara khas didirikan. Seorang penjaga jam dilantik dengan gaji bulanan $4.50, jumlah yang ketika itu cukup besar semata-mata untuk memastikan jarum jam terus berdetik tepat pada waktunya.

Beberapa tahun kemudian, pada 1878, tugas itu diserahkan kepada Abdul Ghafar. Kawasan sekitarnya pula dirancang sebagai Taman Botani menjadikan menara jam ini bukan hanya tempat melihat waktu, tetapi juga pusat rekreasi dan tumpuan masyarakat.

Keindahan menara ini turut memikat hati orang luar. Pengembara terkenal, Isabella L. Bird, dalam bukunya The Golden Chersonese and the Way Thither (1883), menggambarkannya sebagai "a handsome clock-tower..." (sebuah menara jam yang indah) terletak berdekatan Stadthuys, menara ini menjadi mercu tanda yang mudah dikenali.

Apabila Tan Beng Swee meninggal dunia pada 1884, legasinya tidak berakhir. Anaknya, Tan Jiak Kim meneruskan jasa ayahnya. Pada tahun 1886, beliau membaik pulih menara ini dengan menambah empat muka jam bercahaya yang berkilau di malam yang menjadikannya lebih megah dari sebelumnya. Jam asalnya pula ditempah khas dari London, buatan John Smith & Sons, pengeluar jam terkemuka dunia pada era itu.

Namun, nama Tan Beng Swee tidak hanya terpahat kerana menara jam. Beliau juga dikenang sebagai Presiden Tokong Cina Melaka selama 17 tahun serta pengasas Sekolah Bebas (Free School), membuka peluang pendidikan untuk masyarakat.

Masa terus berjalan. Pada tahun 1982, jam asal dari England akhirnya digantikan dengan jam moden jenama Seiko dari Jepun. Walau begitu, menara ini tetap teguh berdiri, seakan nadi Kota Melaka yang tidak pernah berhenti berdenyut.

Hari ini, Menara Jam Melaka bukan sekadar penunjuk waktu. Ia adalah ikon warisan, dinding merahnya menyimpan kisah berabad lamanya dan setiap detik jarumnya mengingatkan kita bahawa sejarah tidak pernah berhenti, ia terus hidup, bernafas bersama kota Melaka yang bersejarah. 

Wednesday, July 23, 2025

Menjamu Selera di Restoran TOP D' Alor Setar

Selepas selesai taklimat bersama pengurus pasukan dan raptai perasmian Sukan Hari Muzium, aku bersama beberapa rakan mengambil peluang untuk keluar menikmati makan tengah hari. Kami singgah di Restoran TOP D' Alor Setar yang cukup terkenal dengan menu bawal goreng panas dan sotong bakar.


Aku memilih nasi putih bersama ikan cencaru bakar, sambal tempe dan kacang, serta kuah masam manis. Untuk minuman, aku memesan air limau asam boi. Dari segi rasa, hidangan secara keseluruhan boleh dikatakan memuaskan, terutama sambal tempe dan kacang yang enak dan rangup. Namun begitu, ikan cencaru sedikit mengecewakan, mungkin tak kena dengan tekak aku kerana isinya agak keras dan kering. 


Harga bagi set hidangan ini ialah RM16.60 termasuk minuman, agak tinggi jika dibandingkan dengan kebiasaan harga makan tengah hari yang aku nikmati di Melaka, meskipun lauknya hampir serupa.

Di tempat biasa aku makan, lauk seperti ini hanya sekitar RM8.50 dan sudah termasuk minuman. Jarang sekali melebihi RM10.00. Mungkin ini restoran, aku biasa makan di kedai biasa sahaja 

Meskipun begitu, suasana restoran yang selesa dan layanan yang baik menjadikan ia tetap menyenangkan. Yang paling penting, dapat makan bersama rakan-rakan dan memberikan ruang untuk berehat seketika dan berbual santai.