Wednesday, July 23, 2025

Pemandangan Pagi dari Hotel Grand Alora, Alor Setar

Tangkapan dari aras 11 Hotel Grand Alora

Ini merupakan kali kedua aku menginap di Hotel Grand Alora, Alor Setar. Boleh baca ulasan pertama aku tentang hotel ini di entri ini. Kali ini, aku berada di sini bermula 22 sehingga 29 Julai 2025 bagi mengikuti Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025.

Pagi tadi, aku sempat menikmati pemandangan dari bilik hotel yang menghadap ke arah bandar. Suasana pagi di Alor Setar memang mendamaikan, langit cerah dengan warna lembut, sedikit kabus di kaki langit dan sinar matahari yang perlahan-lahan menyinari bumi.

Dari sini, aku dapat lihat deretan bangunan kedai, jalan raya yang masih tenang dan kawasan sawah serta hijau alam yang luas terbentang. Di kejauhan pula, kelihatan barisan bukit dan gunung yang samar-samar, seolah-olah masih diselubungi kabus pagi.

Inilah keistimewaan Alor Setar, bandar yang membangun tapi masih kaya dengan suasana desa dan kehijauan. Tak hairanlah negeri Kedah dikenali sebagai "Jelapang Padi Malaysia".

Bagi aku, pagi seperti ini sangat sesuai untuk memulakan hari dengan semangat baru, lebih-lebih lagi bila terlibat dengan program kebudayaan dan permuziuman yang mengangkat warisan negara.

Tuesday, July 22, 2025

Singgah Makan di Sg. Dua Char Koay Teow



Petang tadi, aku bersama dua orang rakan sekerja singgah makan di Sg. Dua Char Koay Teow yang terletak di Sungai Dua, Butterworth. Ketika itu, kami dalam perjalanan ke Alor Setar. Apabila mula berasa lapar, kami memutuskan untuk berhenti sebentar untuk makan.

Aku memesan kuey teow goreng udang dan air teh o limau. Hidangannya nampak menarik dengan kuey teow yang kering dan udang yang sederhana besar. Rasanya sedap dan memuaskan. Harga pula berpatutan dengan kuantiti yang diberikan.


Selepas makan, kami meneruskan perjalanan ke Alor Setar. Tujuan aku ke sana adalah untuk menghadiri Festival Hari Muzium Antarabangsa peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung dari 23 hingga 29 Julai 2025. Tahun ini, Kedah menjadi tuan rumah bagi festival tersebut.

Friday, June 27, 2025

Selamat Tahun Baharu 1447 Hijrah



Alhamdulillah, kita diberi kesempatan menjejak tahun baharu dalam takwim Hijrah, satu ruang yang sangat bermakna untuk muhasabah dan perubahan.

Hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal, tetapi juga perubahan hati, pemikiran dan amal. Marilah kita mula tahun ini dengan tekad memperbaiki diri, memperbanyakkan amal soleh dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah Ar-Ra’d, ayat 11)

Semoga Muharam ini menjadi titik tolak untuk kita berhijrah daripada kelalaian kepada kesedaran, daripada leka kepada istiqamah.

Didoakan semoga tahun ini membawa rahmat, kesejahteraan dan keberkatan buat seluruh umat Islam.

Salam Maal Hijrah 1447H.