Saturday, September 15, 2012

BANGUNAN STADTHUYS

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin menyatakan bahawa, entri ini ditulis sebagai sedikit rujukan dan panduan kepada para pengkaji dan pelajar-pelajar yang memerlukan maklumat berkaitan Stadthuys. Saya juga mendapat maklumat ini melalui rujukan dan pembacaan. Jadinya, sama-samalah kita saling berkongsi ilmu.

------------------------------------------

Apabila ke negeri Melaka, pastinya ada teringatkan Bangunan Merah di Bandar Hilir, Melaka. Bangunan Merah ini sebenarnya ialah sebuah bangunan muzium di mana ia dikenali sebagai Muzium Sejarah dan Ethnografi.

Pada awalnya, ia merupakan sebuah Dewan Bandaran semasa pemerintahan Belanda di Melaka. Nama asal bangunan ini ialah Stadthuys. Bangunan ini telah dibina sekitar tahun 1650-an setelah Belanda mengambil alih Melaka daripada tangan Portugis pada tahun 1641.

    Baca juga :
    Rumah Merah @ Stadthuys

Dengan mengikut teres Bukit St. Paul, bangunan Stadthuys ini mempunyai 4 tingkat. Keluasan bangunan ini pula adalah 49,200 kaki persegi.



Bangunan Stadthuys ini pernah menjadi tempat kediaman Gabenor Belanda sehingga awal kurun ke-18. Selain itu, ia juga merupakan pusat pentadbiran Belanda sehingga tahun 1824.

Pada zaman pemerintahan Inggeris, bangunan Stadthuys ini terus digunakan oleh pihak British sebagai pusat pentadbirannya. Terdapat juga penambahan struktur bangunan yang dilakukan oleh pentadbiran British, namun ia tetap mengekalkan seni bina Belanda seperti dinding batu yang tebal serta pintu-pintu dan tingkap-tingkap yang besar. Fungsi pintu-pintu dan tingkap-tingkap yang besar ini adalah untuk memberikan pengudaraan yang lebih kepada bangunan yang besar ini.

Selepas zaman kolonial, bangunan Stadthuys terus dijadikan pusat pentadbiran oleh kerajaan negeri Melaka sehinggalah ke tahun 1979. Warna asal bangunan ini ialah warna putih namun ia telah dicat warna merah sehinggalah kini bangunan ini dikenali sebagai Bangunan Merah. Adalah dipercayai bahawa bangunan ini mula dicat dengan warna merah pada tahun 1920-an.

Semasa kerja-kerja konservasi dijalankan di bangunan Stadthuys pada tahun 1985 yang mengambil masa 4 tahun, terdapat beberapa komponen dan jumpaan baru telah ditemui. Antaranya ialah sistem perparitan zaman Belanda di mana ia terletak di dalam bawah bangunan ini. Sekiranya dahulu, hanya dapat dilihat sistem perparitan zaman British di luar bangunan ini, setelah kerja-kerja konservasi dijalankan, barulah dijumpai sistem perparitan Belanda. Ia dipercayai berlingkaran di bawah bangunan ini hingga ke penghujung bangunan dan air terus disalurkan ke Sungai Melaka.

Terdapat juga jumpaan 2 buah perigi Portugis dan Perigi Belanda yang terletak di bahagian halaman bahagian dalam. Ia mungkin telah dikambus oleh pihak Belanda/British semasa kerja-kerja membina bangunan Stadthuys dan proses pengubahsuaian bangunan.Perigi ini dibina dengan menggunakan batu laterit yang sememangnya sinonim dengan binaan Portugis sepertimana mereka mendirikan Fortaleza De Malaca (Kota Melaka). Kini perigi ini dapat dilihat setelah kerja-kerja konservasi tersebut dijalankan. Namun, perigi ini telah kering dan tidak digunakan lagi.

Untuk memasuki kompleks Stadthuys ini para pelawat dikenakan bayaran sebanyak RM20.00 untuk dewasa manakala RM10.00 untuk kanak-kanak. Pelawat yang mempunyai Mykad (pelawat Malaysia) diberikan diskaun 50% menjadikan bayaran tiket hanya RM10.00 untuk dewasa dan RM5.00 untuk kanak-kanak. Bayaran tiket ke kompleks ini bersekali dengan kemasukan ke Muzium Sastera, Muzium Pendidikan, Muzium Pemerintahan Demokrasi, Muzium Tuan Yang Terutama dan juga Galeri Laksamana Cheng Ho.

Like Facebook ini untuk maklumat lanjut >> KLIK <<

Friday, September 14, 2012

LAYAKKAH TELEFON BIMBIT DIGELAR TELEFON???

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Teknologi telefon bimbit bergerak semakin laju. Bagi yang gilakan teknologi, pastinya akan kerap menukar telefon bimbitnya supaya sehaluan dengan teknologi terkini. Bagi yang tidak menitikberatkan teknologi seperti saya ini, gunalah saja telefon cabuk yang hanya boleh membuat panggilan sahaja.

Sekiranya dulu saya mula menggunakan telefon bimbit Erickson T10, hahahaha yang hanya boleh membuat panggilan dan beberapa aplikasi ringkas. Tetapi kini telefon bimbit sudah bukan sekadar telefon bimbit. Pelbagai aplikasi yang terdapat dalam telefon bimbit sekarang seperti kamera, video, internet, muzik, kalkulator, kalender, permainan, jam loceng dan pelbagai aplikasi yang kita tidak sangka ianya boleh berada di dalam telefon bimbit. Kadang terfikir, layakkah ia dinamakan telefon bimbit lagi sedangkan di dalamnya pelbagai aplikasi yang ada hingga menenggelamkan fungsinya sebagai telefon.

Begitulah hebatnya teknologi, kalau di zaman Nokia 3210 dan Erickson T10 dahulu, kita mungkin tidak menyangka bahawa telefon bimbit akan menjadi inovasi yang begitu hebat seperti sekarang. Sekarang ini pula, heboh orang berkata tentang iPhone 5. Kalau saya ni, setakat tahu begitu-begitu saja, tidak terlalu mengikuti teknologi, pasal iPhone 5yang hangat diperkatakan ini saya tidak peduli sangat.


Namun, saya tetap menaruh hati juga pada iPhone 5. Dalam diam-diam saya duduk menggosok-gosok telefon bimbit saya yang INI supaya ia bertukar kepada iPhone 5. :)

Seperti di awal perenggan saya katakan tadi, telefon bimbit sekarang sudah pelbagai aplikasi di dalamnya sehingga tidak tahu ianya masih boleh digelar telefon. Apatah lagi jika dikaitkan dengan iPhone 5, lagilah pening. Nak kata telefon, pelbagai aplikasi yang terdapat di dalamnya. Nak kata ianya PC / laptop tak boleh kerana ia mempunyai fungsi sebagai telefon. Jadi terpulanglah pada masing-masing menafsirkannya.

(Ps : Siapa yang belum tahu spesifikasi iPhone 5, bolehlah klik di SINI.)

Thursday, September 13, 2012

BANTULAH DIRIMU WAHAI MAHASISWA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Bantulah dirimu wahai mahasiswa. Wah, nampak serius sahajakan tajuk entri saya pada hari ini. Ya, memang saya serius, lebih-lebih lagi yang melibatkan mahasiswa berbangsa Melayu.

Saya bertugas di muzium. Di muzium terdapat ramai pelajar universiti yang hendak membuat kajian dan tugasan yang telah diarahkan oleh pensyarah masing-masing. Di kompleks Stadthuys ini saya banyak menerima pelajar untuk membuat kajian berkenaan sejarah, senibina dan pelbagai lagi.

Selain suka menjadi pemandu pelancong di dalam muzium, saya juga memang gemar membantu para pelajar yang datang membuat kajian di muzium tempat saya bertugas. Terdapat mahasiswa pelbagai pusat pengajian tinggi dari politeknik hinggalah ke UPM, UiTM, UKM dan pelbagai 'U' lagi pernah datang bertandang dan saya sebolehnya memberikan maklumat yang cukup bagi mereka menyiapkan tugasan yang diberikan.

Ada yang datang dari jauh semata-mata untuk membuat kajian. Ada yang datang secara berkumpulan, dan ada juga secara individu. Ada yang menemuramah saya, ada yang menemuramah sambil merakam percakapan malahan ada yang merakam percakapan saya dengan video. Itu semua saya tidak kisah asalkan mereka mendapat maklumat secukupnya.

Namun, ada segelintir yang datang membuat kajian / tugasan seperti tidak bersungguh-sungguh. Ada yang datang menemuramah saya tidak sampai 5 minit lepas itu sudah selesai. Kadang saya bertanya juga, "berapa muka surat pensyarah awak surat buat assignment ini, sedikit saja tanya?" Lepas itu ada pula di kalangan mereka menjawab, "alaa, lecturer suruh buat assignment yang biasa-biasa sahaja..." Apakah maksud assignment yang biasa-biasa sahaja sedangkan mahasiswa tersebut merupakan mahasiswa peringkat Ijazah pertama.

Ada pula yang memberikan soalan yang entah apa-apa, lepas itu sekejab saja menanya sehingga saya berkata "dah, tu saja! Betul tu saja?" Mereka pula menjawab, "tidak mengapa, yang lain-lain ada di website kan, nanti kitorang copy kat situ saja". Oh, sekadar merujuk pada laman sesawang, pada hemat saya kalau merujuk pada laman sesawang maka banyaklah terjadinya plagiat iaitu copy and paste. Begitu mudah mahasiswa membuat tugasan sekarang. Tidak perlu work hard, hanya perlu work smart. I really hate orang yang work smart!!!

Kesungguhan para pelajar ini untuk mendapatkan maklumat semasa menemuramah boleh dilihat jelas dari memek muka mereka. Ada yang begitu teruja, bersungguh-sungguh dan ada sambil lewa bagai melepaskan batok di tangga.

Tolonglah wahai mahasiswa, bersungguh-sungguhlah dalam membuat apa-apa tugas sekalipun. Walaupun ianya sekadar tugasan biasa, namun ianya perlulah dilakukan dengan sempurna mengikut tahap pemikiran dan kewarasan seorang pelajar peringkat Ijazah pertama. Bantulah dirimu sendiri untuk mencapai satu tahap kejayaan yanag tertinggi, jangan sekadar ala kadar atau cukup-cukup makan.
 
Lebih-lebih lagi bagi peminjam wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), jika anda tidak mahu menanggung hutang selepas belajar, silalah belajar dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan. Dengan memperoleh ijazah kelas pertama, maka anda tidak perlu membayar walau sesen pun. Namun jika gagal, anda perlulah melunaskan hutang PTPTN tersebut.
 
Akhir kata WAHAI MAHASISWA BANTULAH DIRIMU KE ARAH KECEMERLANGAN, BUKAN UNTUK SAYA TETAPI UNTUK DIRIMU SENDIRI.