Showing posts with label muzium. Show all posts
Showing posts with label muzium. Show all posts

Saturday, October 15, 2022

Berkelana ke Pekan, Pahang

Bukan berkelana mana pun.. Sekadar bermusafir menghadiri majlis ilmu yang dianjurkan oleh Muzium Negeri Pahang. Kebetulan big boss perlu ke Jakarta, jadi beliau meminta aku mewakilinya ke majlis ini. 

Majlis yang dianjurkan ini bertajuk Kolukium Al-Asar "Mengembalikan Makna Diri Bangsa". Sangat bagus tajuknya, para pembentang pun terdiri daripada para ilmuwan yang hebat-hebat. Kolukium ini diadakan di Muzium Sultan Abu Bakar.

Semasa mendapat arahan untuk menghadiri majlis ini, masanya agak suntuk. Tidak dapat jabatan menyediakan pesanan kerajaan (LO) untuk menyediakan kemudahan penginapan untuk aku. Justeru aku cuba menempah hotel melalui laman-laman tempahan hotel, namun tiada banyak hotel yang tersenarai di kawasan Pekan, jika ada pun telah penuh ditempah.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk tidak menempah mana-mana hotel. Aku memperjudikan nasib untuk mencari sendiri hotel setibanya di sana kelak. Kebetulan aku bertolak lewat dari Melaka kerana ada beberapa program yang perlu dilakukan sebelum bertolak. Akhirnya, selepas solat Jumaat baru dapat bertolak ke Pekan, Pahang.

Sebelum ke Pekan, Pahang sempat memenuhi jemputan untuk memberi taklimat

Bukan mengajar, sekadar berkongsi pengalaman dalam bidang ekskavasi arkeologi



Tiba di Pekan, Pahang kira-kira jam 8.00 malam. Hari pun sudah gelap. Misi pertama ialah mencari tempat penginapan. Hotel yang pertama yang aku tujui ialah Inderapura Lake Resort. Alhamdulillah, ada pula kekosongan. Semasa hendak menempah secara laman maya menyatakan tidak kekosongan. Mungkin aku bernasib baik. Tak perlulah lagi mencari-cari tempat, penginapan lain.

Hotel biasa-biasa saja. Murah. Hanya RM90.00 semalaman. Oklah tu, untuk buat, tidur sebentar saja. Esok pagi-pagi sudah hendak daftar keluar (check out). Aku membayarnya secara tunai. Resitnya aku simpan untuk membuat tuntutan di jabatan nanti. 

Tiada ke mana pun malam tu. Lepas daftar masuk (check in), bergolek-golek sebentar di atas katil kemudian terus keluar mencari benda untuk dimakan. Lepas balik dari menikmati makan malam, terus lena hingga keesokkan harinya.

Esok, pagi-pagi sekitar jam 6 sudah bangun. Solat subuh dan terus ke belakang resort untuk melihat keindahan tasik yang tidak dapat aku lihat secara jelas pada malam semalam. Berikut beberapa hasil tangkapan pemandangan tasik di resort tersebut.

Subhanallah.. indahnya ciptaan Allah yang Maha Esa

Alhamdulillah.. Masih diberi peluang untuk menghirup udara segar

Allahuakbar.. Kejadian alam menunjukkan kehebatan Allah SWT





Thursday, September 15, 2022

Sejarah Lisan : Merungkai Kisah Penting Yang Tidak Dicanang

Bertugas di Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi membuatkan aku dapat belajar banyak perkara. Antara yang aku gemari ialah berjumpa dan menemuramah individu-individu yang hidup pada zaman sebelum merdeka. Banyak kisah yang boleh dirungkai dari individu-individu ini yang memberi gambaran pada zaman sebelum merdeka.

Menemuramah pakcik Rosalle, bekas Rejimen Askar Melayu Diraja dan Komando

Pakcik Dengan pernah berpengalaman menaiki keretapi lama Melaka


Sekarang ini, individu yang hidup pada era 30 hingga 40-an sudah agak berkurangan. Mereka inilah yang merasai hidup di zaman penjajahan sama ada British, Jepun bahkan semasa pemberontakan Komunis. 

Alangkah ruginya jika tidak direkod dan didokumentasikan pengalaman dan peristiwa-peristiwa penting yang pernah dialami oleh mereka. Setiap orang mempunyai ceritanya yang tersendiri dan kisah ini memungkinkan menjadi sebuah kisah sejarah yang tidak dicanang atau ditulis di mana-mana media.

Sebenarnya, aku sedang membuat kajian untuk menulis tentang kewujudan keretapi lama Melaka yang dibina pada tahun 1903 dan telah dibongkar landasannya pada zaman pendudukan Jepun. 

Dahulu Melaka pernah mempunyai sistem keretapi dari Tampin (sebenarnya Pulau Sebang) dan berakhir di Bandar Melaka. Namun kini landasannya sudah tiada lagi, hanya terdapat beberapa struktur saja yang masih kelihatan seperti tembok batu di sekitar kawasan parit atau sungai dan juga jambatan besi.

Nantikan saja kemunculan buku ini nanti. Harap-harap buku ini dapat diterbitkan pada penghujung tahun ini. 

Tuesday, July 5, 2022

Festival Masakan Warisan Melaka 2022

Festival Masakan Warisan Melaka kini kembali setelah dua tahun tidak dapat dilaksanakan akibat pendemik Covid-19. Festival ini merupakan acara yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat Melaka dan para pelancong yang mengunjungi negeri Melaka. Di festival ini, menyajikan pelbagai makanan dan juadah dari etnik dan suku kaum yang terdapat di negeri Melaka seperti Melayu, Cina, India, Orang Asli, masyarakat Portugis, Baba Nyonya, Chetti dan Punjabi.



Turut terdapat penyertaan daripada negeri-negeri lain seperti Johor, Terengganu dan lain-lain negeri lagi. Antara acara-acara yang dirancang ialah demonstrasi dan jualan masakan, food truck, pameran, pertandingan masakan, persembahan kebudayaan dan artis jemputan, kuiz, caabutan bertuah dan palbagai lagi acara yang menarik.

Jadi, jangan ketinggalan untuk mengunjungi festival ini yang bakal berlangsung pada 22 hingga 24 Julai 2022. Lokasi festival ialah di sepanjang Jalan Kota di Bandar Hilir, Melaka. Acara bermula dari jam 9.00 pagi hingga ke jam 6.00 petang.

Thursday, June 9, 2022

Melaka Mula Rancak Tetapi Tak Berdosa

Gambar sekadar hiasan

Mana-mana ranciakkkk, berdosa! 

Sesak dan padat.. Begitulah gambaran tempat pelancongan di negeri Melaka apabila tiba musim cuti sekolah. Alhamdulillah, sektor pelancongan di negeri Melaka kembali bernafas. Para peniaga jalanan, kedai makan, restoran, peniaga kraftangan, taman tema,  pusat pelancongan, pengayuh beca, hotel bajet, hotel mewah dan lain-lain pemain indutri pelancongan tentunya mendapat laba daripada musim cuti sekolah ini.

Tidak ketinggalan tempat aku bekerja. Ramai yang berkunjung. Walaupun segelintir orang berkata bahawa muzium merupakan destinasi pilihan terakhir, namun kehadiran ramai pelawat ke rangkaian muzium-muzium di Melaka membuktikan bahawa masyarakat masih lagi memandang muzium sebagai destinasi yang wajib dikunjungi. 

Sudah tentu sahaja apabila mengunjungi muzium, pengunjung dapat membawa pulang ilmu dan pengetahuan yang berguna, tidak hanya keseronokan semata-mata. Ibu bapa perlu galakkan anak-anak untuk mengunjungi muzium agar terbuka sedikit minda mereka untuk mengetahui sejarah, warisan dan kebudayaan yang terdapat khususnya di dalam negara kita Malaysia.

Jom, kunjungilah muzium.

Thursday, March 31, 2022

Pernah Dulu Bercita-Cita Menjadi Guru Tapi Tak Lulus Peperiksaan Untuk Jadi Guru

Perkongsian ilmu bersempena lawatan akademik pelajar UKM

Pernah satu ketika dahulu aku bercita-cita untuk menjadi guru. Dalam ahli keluarga aku, abang sulong aku merupakan seorang guru. Bapa dan emak saudara, sepupu sepapat aku ramai yang bekerjaya sebagai guru. Jadi, terdetik dalam sanubari aku keinginan menjadi seorang guru seperti mereka.

Tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aku pernah memohon maktab perguruan. Telah duduki peperiksaan, namun gagal. Gagal. Tak pasti di mana silapnya. Mungkin dahulu otak aku belum cukup bergeliga sehingga boleh dibuat batu cincin. Walaupun pada hakikatnya, ramai yang menyatakan negara kekurangan guru lelaki. Kenapa aku tak terpilih? (Huk aloh... Sebab gagal ujian nak jadi cikgu le tu). 

Aku sambung ambil Ijazah Pertama setelah tamat tingkatan 6. Akan tetapi selepas itu tidak pula aku mencuba untuk mengambil Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) sebab mungkin kerana selepas beberapa bulan graduasi, aku telah mendapat kerja. jadi, impian aku untuk menjadi guru, aku sendiri yang kuburkan.

Sekarang, sudah 15 tahun aku bertugas dalam bidang pemuziuman. Dalam 15 tahun ni telah banyak bahagian dan unit telah aku bertugas. Dari unit pendaftaran, operasi muzium, konservasi, pemasaran dan kini di seksyen penyelidikan. Alhamdulillah, banyak juga pengalaman yang telah aku timba dalam dunia pemuziuman. Namun aku sedar, aku bukanlah hebat, aku sekadar pekerja biasa-biasa sahaja. Tiada yang istimewanya.

Bagusnya di sini, aku berpeluang untuk menyampaikan sesuatu kepada masyarakat. Bukan mengajar, namun berkongsi ilmu. Sedikit ilmu yang aku ada, aku kongsikan agar dapat memberikan manfaat kepada yang ingin menerimanya. Jadi, aku boleh merasa juga diri ini sebagai guru. Menyampaikan ilmu kepada masyarakat dari peringkat tadika, sekolah rendah hinggalah ke pelajar yang mengambil PhD yang hadir ke muzium untuk mendapatkan maklumat.

Friday, March 25, 2022

Masa Untuk Menelaah Buku


Inilah antara tugasan aku. Ada kalanya meja kosong, tapi selalunya dipenuhi oleh buku-buku. Sekali tengok sudah seperti seorang pelajar PhD sedang menelaah buku-buku. Tapi aku bukan pelajar, hanya bekerja. Membaca untuk menyiapkan tugasan.

Membuat dan menyampaikan maklumat adalah antara tugas aku di jabatan. Ada kalanya perlu membuat tinjauan serta kajian-kajian literasi mahupun kajian di lapangan yang kebiasaannya tertumpu kepada bidang sejarah, warisan, budaya, pemuziuman dan lain-lain yang berkaitan. Membuat kajian untuk tujuan-tujuan rujukan pihak jabatan, negeri dan pihak-pihak yang memerlukan maklumat seperti pelajar sekolah, kolej dan universiti.

Itulah antara fungsi utama muzium. Bukan sekadar mempamerkan artifak dan bahan bersejarah, namun perlu menyedia dan menyampaikan maklumat, pendidikan kepada masyarakat agar memahami sejarah, warisan dan kebudayaan negara.

Tahun ini juga ada beberapa buku, buletin dan laporan yang akan diterbitkan. Harap-harap aku dapat selesaikan sebelum menjelang akhir tahun ini. Insyaallah, bulan Ramadan ini boleh terus fokus menulis.

Berseronoklah Dengan Apa Jua Pekerjaan Yang Kita Lakukan


Ada kalanya bekerja di pejabat yang dingin, sejuk bak air batu yang enak dicampurkan bersama sirap Bandung. Teringat air Bandung, tak sangka tak lama lagi Ramadan bakal muncul kembali. Alhamdulillah. Namun, ada kalanya bekerja di luar pejabat, berjemur di bawah terik matahari. Bekerja umpama buruh kasar, kerja berat, anggota badan berpeluh dan kotor.

Itu semua tak pernah menjadi satu masalah bagiku. Aku tak pernah mengeluh. Sebagai seorang yang sukakan cabaran dan boleh bertugas dan bekerja dalam apa jua keadaan, aku seronok melalui semua ini. Semakin banyak aku melakukan sesuatu, semakin banyak juga aku dapat menimba ilmu, pengetahuan dan pengalaman.

Aku sedar, hidup ini hanya sementara, jadi selagi mata belum tertutup dan badan belum dikafankan maka aku harus mencari sebanyak mana ilmu dan pengalaman untuk aku rasai. Apabila kita mempunyai ilmu dan pengalaman, kita tidak kekok untuk menyampaikan maklumat tentang apa yang kita tahu kepada sesiapa sahaja.

Gambar di atas ini merupakan kerja-kerja kajian struktur bangunan Masjid Lama Belimbing Dalam. Ini adalah bengkel kajian, jadi bagi kajian struktur yang melibatkan kerja-kerja ekskavasi arkeologi tidak dilaksanakan secara menyeluruh, hanya tiga petak ekskavasi dibuka. Namun, lain-lain kajian antaranya lukisan terukur (measured drawing) dilaksanakan sehingga selesai oleh pihak lain.

Tuesday, January 4, 2022

Ada Yang Rindu Ke?

Ada yang rindu ke? Hehehe...

Minta maaf banyak-banyak kepada rakan bloggers kerana saya tidak aktif berblog seperti dahulu. Bak kata orang tua-tua, daun palas sudah melekat di belakang badan. Aduh.. Malas betul dah sekarang nak kemaskini blog. Jangan kata nak kemaskini, nak buka blog sendiri pun dah malas. Huk aloh.

Nak dikatakan tugasan banyak di pejabat, ya juga. Bukan setakat tugasan di pejabat, bermula Oktober hingga Disember 2021 yang lepas aku banyak berada di tapak ekskavasi bagi meneruskan usaha penyelamatan dan mencari artifak di sekitar kawasan tambak laut di Pulau Melaka. Hari-hari pakaian dan anggota badan dipenuhi lumpur dan kotoran dari tanah. Balik rumah, badan pun sudah penat. Jadi bermula Oktober tahun lepas jugalah aku mula perlahan dan terus tidak mengemaskini blog.

Rehat tengah hari. Nampak benar penatnya. Hehehe


Alhamdulillah, kerja-kerja penggalian ekskavasi penyelamatan artifak pada masa tersebut telah banyak menaikkan artifak-artifak seusia zaman Kesultanan Melayu Melaka. Antara artifak yang paling banyak ditemui ialah porselin dan serpihan-serpihan porselin (biru-putih) dari zaman Dinasti Ming. 

Terdapat juga lebih 200 keping syiling timah bercetak Sultan Muzaffar Syah. Lain-lain jumpaan seperti syiling Portugis, serpihan-serpihan tembikar tanah dan batu serta lain-lain lagi. Sebahagian artifak ini yang masih dalam keadaan baik ada dipamerkan di Kompleks Muzium Rakyat. 

Selain itu, selepas kerja-kerja ekskavasi tamat, aku bersama bahagian aku telah melaksanakan sesi bicara warisan dengan menjemput 3 orang pakar dalam bidang arkeologi dan maritim untuk membentangkan kertas kerja masing-masing berkaitan penemuan artifak-artifak tersebut.

Sebenarnya, kerja-kerja ekskavasi tersebut belum selesai sepenuhnya cuma lesen penggalian dari Jabatan Warisan Negara (JWN) telah tamat. Kerja-kerja sebegini sebenarnya memerlukan kos yang agak besar juga, jadi kami dalam usaha untuk meneruskan lagi dan akan memohon kembali lesen penggalian. 

Nak lihat beberapa artifak yang ditemui boleh lihat di SINI.

Sunday, July 18, 2021

35 TAHUN MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA

Semalam 17 Julai 2021 merupakan ulang tahun ke-35 penubuhan Muzium Istana Kesultanan Melaka. Saya mengambil inisiatif untuk mengarang sebuah artikel berkaitan muzium tersebut untuk dimuatnaik ke laman Facebook Muzium & Galeri Melaka. Saya bertugas di Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi memang berperanan untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat tentang institusi permuziuman serta maklumat berkaitan sejarah, kebudayaan dan warisan khususnya di Melaka.

Artikel ini sedikit bersifat ilmiah, jadi luangkanlah sedikit masa untuk membacanya. Selamat membaca. Jangan lupa juga untuk LIKE  Facebook Muzium & Galeri Melaka.

*****

1986 merupakan merupakan tahun Kerajaan Negeri Melaka di zaman YAB Tan Sri Abdul Rahim bin Tamby Chik sebagai Ketua Menteri Melaka telah melaksanakan beberapa projek mega dan muzium merupakan salah satu projek dibangunkan antaranya ialah projek Istana Kesultanan Melayu Melaka. Muzium ini dibina di lereng Bukit Melaka (kini Bukit St. Paul) iaitu bersebelahan dengan Kawasan perkuburan Belanda dan pintu gerbang Santiago (Porta Da Santiago).

Bangunan muzium ini ini telah dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM). Pembinaan bangunan ini mengambil masa dua tahun iaitu bermula 27 Oktober 1984 dan siap sepenuhnya pada 15 April 1986. Keseluruhan kos pembinaan adalah sebanyak RM1.4 juta.

Pada 17 Julai 1986 Muzium Istana Kesultanan Melaka telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan mula dibuka kepada lawatan orang ramai. Pada awal penubuhan muzium ini ia dinamakan sebagai Muzium Budaya. Pada tahun 1988, muzium ini telah dinaiktaraf keseluruhan ruang pameran dengan menelan belanja sebanyak RM3.08 juta.

Muzium Istana Kesultanan Melaka merupakan replika Istana Kesultanan Melayu di Zaman Sultan Mansur Syah (1456-1477). Rekabentuk bangunan istana ini adalah berpandukan kepada penelitian Buku Sejarah Melayu dan juga berdasarkan pandangan Persatuan Pelukis Melaka serta Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka.

Bangunan yang berkeluasan 240 kaki panjang dan 40 kaki lebar ini mempunyai keunikkan tersendiri dari segi senibinanya kerana menggunakan sistem pasak dan tanggam. Manakala struktur bangunan menggunakan kayu-kayu tempatan seperti atap yang diperbuat daripada Kayu Berlian yang dibawa dari Sarawak, tiang seri menggunakan Kayu Cengal serta lantai menggunakan Kayu Resak. Di permukaan dindingnya pula dihiasi dengan ukiran-ukiran yang indah-indah antaranya ukiran Ketam Buri.

Bangunan ini dibina dengan enam anjung yang dijadikan galeri pameran dan sebuah anjung utama sebagai laluan naik ke istana. Pada zaman Sultan Mansur Syah, anjung-anjung ini digunakan sebagai tempat tetamu yang datang bertemu dengan Sultan.

Institusi Kesultanan Melayu yang telah wujud di negara ini sejak lebih lima kurun yang lalu merupakan teras sistem berkerajaan dan masih kukuh dipertahankan sebagai lambang kepada tunggak kedaulatan dan keunggulan nusa dan bangsa.

Perkembangan dan pergolakan sejarah yang dirakamkan di negara ini boleh dikatakan sentiasa bergerak seiring atau dikaitkan dengan istana dan institusi kesultanan. Kesultanan Melayu juga boleh boleh disifatkan sebagai nadi dalam pembentukan tamadun, kebudayaan, sikap, norma dan sistem nilai bangsa Melayu.

Sesungguhnya terdapat perubahan yang ketara dalam sistem pemerintahan demokrasi yang dipraktikkan oleh kerajaan sekarang tetapi kedudukan dan fungsi Raja-Raja Melayu masih terus dikekalkan sebagai payung negara, sumber inspirasi kesetiaan dan perpaduan rakyat dan lambang kedaulatan negara.

Kesultanan Melayu mempunyai ciri-ciri keunikan dan dan keistimewaan tersendiri yang jauh berbeza dengan sistem pemerintahan beraja di negara-negara lain. Berdasarkan kepada hakikat inilah, kedaulatannya diletakkan di puncak pemerintahan demokrasi dan pentadbiran negara apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Walaupun baru 35 tahun Muzium Istana Kesultanan Melaka ini bertapak di lereng Bukit Melaka namun ia jelas mengambarkan kehebatan Kesultanan Melayu Melaka yang pernah wujud di sekitar bukit ini pada abad ke-15. Muzium ini memaparkan beberapa aspek penting yang perlu diketahui mengenai Kesultanan Melayu dan kaitannya dengan kesinambungan perkembangan sejarah negara. Bahan yang dipamer merupakan hakikat sejarah yang diharap dapat memberi gambaran terhadap kegemilangan takhta pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka.

Semoga pameran ini dapat memberi kesedaran kepada generasi kini dan akan datang berhubung akar umbi sejarah dan ketamadunan bangsa Melayu serta menyedari betapa pentingnya mereka memelihara kedaulatan Kesultananan Melayu yang telah sekian lama bertakhta memayungi negara ini.

Muzium ini boleh dilawati dengan tiket berharga RM6.00 (dewasa) dan RM3.00 (kanak-kanak). Bagi bukan warganegara pula tiket adalah berharga RM12.00 (dewasa) dan RM6.00 (kanak-kanak). Namun buat masa ini, rangkaian muzium di bawah pentadbiran Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) masih lagi ditutup sehinggalah mendapat arahan pembukaan semula oleh pihak berkuasa.

Tapak Muzium Budaya (Muzium Istana Kesultanan Melaka)

Kerja-kerja pembinaan bermula 1984

Majlis perasmian oleh Tun M pada 17 Julai 1986

Tun M meninjau dari tingkat atas

Lawatan presiden Palestin, Yaseer Arafat pada tahun 1986

Antara pakar rujuk pembinaan Muzium Budaya

Muzium Budaya pada tahun 1986

Tuesday, July 6, 2021

LAWATAN MAYA @ MUZIUM SEJARAH & ETNOGRAFI

Musim-musim PKP ini tidak banyak yang dapat dilakukan. Tidak boleh rentas daerah, negeri, malah banyak sektor yang ditutup termasuklah muzium. Muzium Melaka antara yang menerima kesan daripada pandemik covid-19.

Sebelum ini, Muzium Melaka merupakan muzium teramai pelawat berbanding muzium-muzium lain di Malaysia. Dengan jumlah pelawat menghampiri 1,000,000 pengunjung setahun, pandemik covid-19 sedikit sebanyak telah mengurangkan kedatangan pelawat ke muzium. 

Selain itu, program-program permuziuman pun tidak dapat dilakukan. Kerja-kerja cari gali yang baru saya laksanakan pun terpaksa ditangguhkan dan macam-macam lagi perancangan tahunan tidak dapat dilaksanakan.

Namun begitu, ia bukan bererti pihak kami harus berpeluk tubuh melihat sahaja pandemik ini datang dan pergi. Aktiviti dan program bersifat norma baharu khususnya melibatkan aktiviti dalam talian telah diatur bagi memastikan institusi permuziuman khususnya di negeri Melaka terus berjalan seiring dengan perkembangan semasa.

Terbaru, Muzium Melaka telah memperkenalkan program Lawatan Maya. Buat kali pertama ini akan melibatkan lawatan ke Muzium Sejarah & Etnografi. Sesi lawatan maya ini dijalankan secara dalam talian menggunakan platform Google Meet.



Muzium Sejarah & Etnografi merupakan muzium utama negeri Melaka. Memaparkan artifak dan bahan sejarah sejak dari zaman kesultanan Melayu Melaka hinggalah ke zaman penjajahan Portugis, Belanda, Jepun dan British. Jika ke Melaka, tidak sempurna lawatan sekiranya tidak ke muzium ini.

Bayaran yang dikenakan adalah sangat murah iaitu RM5.00 sahaja. Sekiranya sekeluarga nak mengikutinya di dalam satu komputer atau telefon pintar tetap dengan harga RM5.00. Murah kan? Seisi keluarga boleh tengok.

Justeru, di kesempatan ini, suka saya mempromosikan program lawatan maya ini yang akan dilaksanakan pada ketentuan yang dinyatakan di dalam poster di atas. Semoga ramai yang akan mengikuti lawatan maya ini yang tentunya akan memberikan ilmu dan maklumat yang bermanfaat.

Jika berminat, sila daftar di sini 👉🏼 KLIK

Tuesday, June 22, 2021

DENGAULER CERITAKU @ MUZIUM MELAKA : PERCAYA ATAU TIDAK, PENGALAMAN KU DI MUZIUM MELAKA


Ada ke yang berminat nak tahu pasal bidang permuziuman, sejarah, warisan dan kebudayaan? Jika ada yang berminat, bolehlah menonton siaran langsung program Dengauler Ceritaku @ Muzium Melaka bertajuk Percaya atau Tidak, Pengalamanku di Muzium Melaka.

Program ini akan diadakan pada hari esok iaitu 23 Jun 2021 (Rabu) pada jam 10.00 pagi. Ia boleh ditonton secara langsung di Facebook rasmi Muzium & Galeri Melaka. Sesiapa yang berminat, boleh kunjungi halaman Facebook ini dan jangan lupa like sekali ye.

Program ini akan mengetengahkan dua orang tokoh Perbadanan Muzium Melaka iaitu Drs. Mohd Nasruddin Rahman dan Encik Nurman Mohd Baroldin. Manakala moderatornya adalah saya, Fairus bin Haji Mamat. 😀😀😀

Ok jangan lupa menonton esok tau... Banyak benda yang tersurat dan tersirat akan dikupas. 


Monday, March 29, 2021

JUMPAAN ARTIFAK DI PULAU MELAKA DAN KOTA SYAHBANDAR

Negeri Melaka dikenali sebagai negeri bersejarah sejak sekian lama. Tidak hanya bersejarah, negeri ini juga telah mendapat pengiktirafan dari UNESCO sebagai tapak warisan dunia.

Sebagai warga Melaka, secara peribadi aku sangat bangga dilahirkan di tanah bertuah ini. Bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan sejarah, budaya dan warisan membuatkan aku lebih menyanjungi negeri ini kerana kesultanan Melayu Melaka dahulu masyhur seantero dunia.

Boleh dikatakan tiada kawasan di Melaka tiada sejarah. Lebih-lebih lagi di kota Melaka yang dahulunya merupakan kawasan pentadbiran kesultanan Melayu Melaka dan kemudiannya Portugis, Belanda dan Inggeris turut mentadbir negeri di lokasi yang sama iaitu di Bukit Melaka yang kini dikenali sebagai bukit St. Paul.

Kesultanan Melayu Melaka dahulu sangat gah. Sayangnya, disebabkan Melaka mengalami zaman penjajahan yang begitu lama, hampir tidak kelihatan bekas bangunan atau monumen yang bercirikan kesultanan Melayu Melaka. Hanya yang ada ialah replika Istana Kesultanan Melaka.

Walaupun sejarah kesultanan Melayu Melaka kurang dapat dibuktikan dalam bentuk monumen, namun banyak penulisan dari dalam negara dan juga catatan dari China, Portugis, Belanda, Inggeris dan lain-lain ada menyebut mengenai kemasyhuran Melaka pada sekitar abad ke-13 hingga zaman kejatuhan Melaka. Tidak hanya catatan, pembuktian kehebatan kesultanan Melayu Melaka juga boleh dilihat dari artifak-artifak yang berkaitan dengan sejarah kesultanan Melayu Melaka.

Pada 26 Mac 2021 aku telah berpeluang untuk menyertai kerja-kerja servei dan penyelamatan artifak di dua lokasi di negeri ini iaitu sekitar Pulau Melaka dan Kota Syahbandar. Kerja-kerja ini melibatkan beberapa ahli yang terdiri daripada Jabatan Warisan Negara (JWN), Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan penyelidik bebas.

Memang banyak... Memang banyak artifak yang ditemui sekitar dua lokasi tersebut. Antara jumpaan ialah tempayan, pecahan tembikar dan seramik serta duit syiling zaman Kesultanan Melayu Melaka seperti syiling Sultan Muzaffar Syah dan Sultan Mahmud Syah. Turut dijumpai syiling era Portugis dan Belanda.

Kawasan tempat kami jumpa artifak tersebut merupakan kawasan tambak laut. Sekiranya tidak ditambak, sebenarnya ia terletak di tengah-tengah laut. Umum mengetahui, Melaka merupakan empayar maritim yang mempunyai pelabuhan entrepot yang menghubungkan dagangan Timur dan Barat. Justeru, secara hipotesisnya, kebarangkalian artifak yang dijumpai itu adalah dari kapal karam di kawasan perairan ini. Ini diperkuatkan lagi dengan jumpaan kayu-kayu yang dipercayai merupakan kayu kapal yang berkemungkinan telah karam suatu masa dahulu.

Semoga dengan jumpaan-jumpaan artifak ini memperkuatkan lagi bukti dan hujah bahawa Melaka merupakan empayar yang penuh gilang gemilang pada zaman dahulu dan mempunyai pelabuhan yang hebat. Ini bertepatan dengan catatan Tome Pires yang menyatakan bahawa barang siapa yang dapat menguasai pelabuhan Melaka, maka dia sedang mencekik leher Venice.





Gambar-gambar di atas merupakan kerja-kerja ekskavasi arkeologi yang dijalankan. Nampak seperti mudah, tetapi ia tidak semudah yang disangka. Atas dasarnya kelihatan pasir, namun apabila dikorek, maka bermainlah kami dengan lumpur dan selut. Nak jumpa artifak pun sukar.




Gambar-gambar ini pula antara artifak yang ditemui. Kebanyakan tempayan, tembikar dan ceramik yang ditemui hampir tidak lengkap kerana telah pecah semasa ditemui.





Dan gambar-gambar yang terakhir ini merupakan gambar yang diambil oleh jurugambar. Semasa ini kami sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan jumpaan artifak sebelum direkod setiap artifak yang ditemui.

Thursday, March 25, 2021

TAMBAK LAUT, TERKAMBUS ARTIFAK

Kawasan tambak laut di Kota Syahbandar. Banyak artifak telah ditemui di sini


Pantai ditambak atas dasar pembangunan memusnahkan ekologi lantas hidupan laut semakin kurang sama kurangnya dengan pendapatan nelayan pantai.

Dahulunya lautan ini menjadi laluan utama kapal-kapal dagang pada zaman kesultanan Melayu Melaka, kini ia dikambus dan tertanam terus artifak dari kapal karam zaman tersebut.

Melaka dahulu merupakan kerajaan maritim, laut adalah nadi utama membawa pedagang dari timur dan barat. Melaka tempat berpusat segala dagang, bertukar-tukar barangan di sini. Sistem barter, pelabuhan entrepot, semua itu adalah Melaka. 

Kita hanya mampu menyelamatkan artifak mana yang sempat, sebelum tanah tambak dibangunkan, artifak akan terkubur di bawah bangunan-bangunan yang bakal didirikan.

Di kawasan tambak laut ini telah dijumpai beberapa artifak dipercayai sezaman dengan kesultanan Melayu Melaka. Antara yang dijumpai adalah kepingan kayu kapal, celadon, martaban, ceramik dan matawang kesultanan Melayu Melaka iaitu matawang Sultan Muzaffar Syah, selain turut ditemui matawang Portugis.

25 hingga 31 Mac 2021, aku mewakili jabatan (Perbadanan Muzium Melaka) bersama-sama pasukan yang terdiri daripada Jabatan Warisan Negara (JWN), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan pasukan penyelidik bebas menjalankan kerja-kerja penyelamatan artifak di sekitar Pulau Melaka dan Kota Syahbandar.

Semoga kami dapat menyelamatkan seberapa banyak artifak yang terdapat di situ sebelum kawasan tersebut dibangunkan oleh pemaju. Jumpaan-jumpaan ini sudah pastinya menjadi bukti kegemilangan zaman kesultanan Melayu Melaka pada suatu masa dahulu.

Hendak melihat monumen zaman kesultanan Melayu Melaka, sudah tiada, kerana Melaka telah melalui zaman penjajahan begitu lama. Portugis, Belanda dan British menjajah Melaka lebih 500 tahun. Banyak yang musnah malah tiada satu pun monumen berkaitan kesultanan Melayu Melaka yang dapat dilihat melainkan replika istana kesultanan Melayu Melaka. Artifak yang ditinggalkan ini saja yang menjadi bukti bahawa kesultanan ini pernah wujud dan sangat gah dan hebat satu masa dahulu.


Sunday, September 6, 2020

MENARA JAM BERDEKATAN STADTHUYS


 

Wednesday, February 1, 2017

TANDA-TANDA LARANGAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Mesyuarat dengan anak-anak buah, mereka minta buatkan papan tanda larangan, kerana ada pelawat yang mungkin kurang mengerti apa yang boleh dan apa yang tidak boleh ketika hendak masuk muzium.

Atas tanggungjawab, aku merajinkan diri nak buat papan tanda tu yang ringkas-ringkas saja. Cari-cari bahan dalam google, tak dapat pula logo-logo larangan yang sekata. Ada memang ada, tapi warna-warna pula berbeza, ada yang merahnya pekat, ada pula merah cair. Bulatannya juga ada yang besar, ada yang kecil. Macam-macam ada.

Jadi, sekali lagi aku merajinkan diri untuk mereka bentuk logo-logo dengan kaedah copy and paste gambar-gambar dari dalam internet dan jadilah seperti gambar-gambar di bawah.

Dah tu saja nak cerita...