Showing posts with label kurator. Show all posts
Showing posts with label kurator. Show all posts

Thursday, March 31, 2022

Pernah Dulu Bercita-Cita Menjadi Guru Tapi Tak Lulus Peperiksaan Untuk Jadi Guru

Perkongsian ilmu bersempena lawatan akademik pelajar UKM

Pernah satu ketika dahulu aku bercita-cita untuk menjadi guru. Dalam ahli keluarga aku, abang sulong aku merupakan seorang guru. Bapa dan emak saudara, sepupu sepapat aku ramai yang bekerjaya sebagai guru. Jadi, terdetik dalam sanubari aku keinginan menjadi seorang guru seperti mereka.

Tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aku pernah memohon maktab perguruan. Telah duduki peperiksaan, namun gagal. Gagal. Tak pasti di mana silapnya. Mungkin dahulu otak aku belum cukup bergeliga sehingga boleh dibuat batu cincin. Walaupun pada hakikatnya, ramai yang menyatakan negara kekurangan guru lelaki. Kenapa aku tak terpilih? (Huk aloh... Sebab gagal ujian nak jadi cikgu le tu). 

Aku sambung ambil Ijazah Pertama setelah tamat tingkatan 6. Akan tetapi selepas itu tidak pula aku mencuba untuk mengambil Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) sebab mungkin kerana selepas beberapa bulan graduasi, aku telah mendapat kerja. jadi, impian aku untuk menjadi guru, aku sendiri yang kuburkan.

Sekarang, sudah 15 tahun aku bertugas dalam bidang pemuziuman. Dalam 15 tahun ni telah banyak bahagian dan unit telah aku bertugas. Dari unit pendaftaran, operasi muzium, konservasi, pemasaran dan kini di seksyen penyelidikan. Alhamdulillah, banyak juga pengalaman yang telah aku timba dalam dunia pemuziuman. Namun aku sedar, aku bukanlah hebat, aku sekadar pekerja biasa-biasa sahaja. Tiada yang istimewanya.

Bagusnya di sini, aku berpeluang untuk menyampaikan sesuatu kepada masyarakat. Bukan mengajar, namun berkongsi ilmu. Sedikit ilmu yang aku ada, aku kongsikan agar dapat memberikan manfaat kepada yang ingin menerimanya. Jadi, aku boleh merasa juga diri ini sebagai guru. Menyampaikan ilmu kepada masyarakat dari peringkat tadika, sekolah rendah hinggalah ke pelajar yang mengambil PhD yang hadir ke muzium untuk mendapatkan maklumat.