Showing posts with label muzium istana kesultanan melaka. Show all posts
Showing posts with label muzium istana kesultanan melaka. Show all posts

Monday, March 11, 2013

PENGAWAL DIRAJA KESULTANAN MELAYU MELAKA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Kesultanan Melayu Melaka kembali wujud? Oh, tidaklah. Sebenarnya aku hanya mahu memaparkan kakitangan Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka yang mengenakan pakaian seperti 'orang dulu-dulu'.


Hulubalang Istana..


Kakitangan ini akan memakai pakaian seperti ini pada hari hujung minggu iaitu hari Sabtu dan Ahad dan berperanan sebagai penyambut tamu di pintu masuk muzium ini.


Nasib koranglah.. Aku dah pasang pengawal...

Bukan sahaja berperanan sebagai penyambut tamu, mereka juga menjadi mangsa model untuk ditangkap gambar bersama, lebih-lebih lagi para pelancong asing yang begitu teruja untuk bergambar.

Ada sesiapa yang agak teruja nak bergambar bersama dua orang pengawal diRaja ni, jomlah melawat ke Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka. (hehe.. kuat promote).

Keluar tajuk sekejab... Melaka dahulu terkenal dengan zaman kesultanannya. Negerinya masyur seantero Nusantara dan Timur, Barat. Namun kini, kesultanannya sudah tiada dan lupus. Tetapi ingat, masih ada yang mengakui dirinya adalah pewaris Kesultanan Melayu Melaka.

Cuba kita berimaginasi sekejab, adakah pada suatu hari nanti yang dikatakan pewaris Kesultanan Melayu Melaka akan menyerang Melaka bagi mendapatkan kembali kekuasaan dan wilayahnya di Melaka sepertimana yang dilakukan oleh Kesultanan Sulu yang menceroboh Lahad Datu, Sabah? Huh, harap-harap tiadalah, negeri Melaka ni sudahlah kecil, mana mahu menyorok kalau diserang. (sekadar gurauan, anggaplah ia sebagai angin lalu sahaja)

Thursday, February 14, 2013

INSTAGRAM ON BLOG : PROGRAM MELUKIS KARIKATUR @ MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAYU MELAKA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada 9 hingga 12 Februari 2013 yang lalu di Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka ada membuat program sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina. Programnya ialah MELUKIS KARIKATUR.

Ia bukanlah satu program yang besar, cuma ia program bagi memeriahkan lagi cuti sekolah. Iyalah.., pelawat bukan sahaja boleh melawat ke muzium, mereka juga boleh mengabadikan kenangan mereka dengan lukisan karikatur yang dilukis oleh seorang pelukis profesional.

Jom layan saja gambar instagram ni...


Pelawat tempatan dan luar amat teruja dengan lukisan karikatur ini

Pelukis sedang tekun melukis

Ramai yang menunjukan minat 

Tak lupa juga pada peminat cilik

Antara lukisan karikatur yang telah disiapkan
Ini pula lukisan karikatur hitam dan putih

Thursday, September 22, 2011

JOM KE FESTIVAL HANG TUAH






Buat julung-julung kalinya Kementerian Pelancongan Malaysia, Kementerian Komunikasi, Penerangan dan Kebudayaan Malaysia serta Kerajaan Negeri Melaka akan mengadakan satu festival yang dinamakan Festival Hang Tuah yang akan diadakan di Muzium Istana Kesultanan Melaka. Festival ini akan diadakan pada 23 hingga 25 September ini bakal mengadakan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik bagi tontonan pelancong dari dalam dan luar negara.

Seperti yang sedia maklum, Hang Tuah merupakan ikon kepahlawanan di zaman Kesultanan Melayu Melaka yang gah di sepelusuk nusantara. Dengan sikapnya yang taat tanpa berbelah bahagi kepada perintah sultan, Hang Tuah dilihat sebagai seorang yang wira sejati yang boleh dicontohi. Demikian juga dengan kata-kata hikmahnya iaitu "Tak Kan Melayu Hilang Di Dunia"

Antara acara-acara yang bakal diadakan ialah seperti Pameran, Demonstrasi Silat, Permainan Rakyat, Persembahan Pentas, Tayangan Filem, Demonstrasi Membuat Kraf dan lain-lain aktiviti menarik.

Majlis perasmian festival ini akan diadakan pada 23 September 2011 pada pukul 8.30 malam di Muzium Istana Kesultanan Melaka, Bandar Hilir, Melaka. Apa yang menarik dalam majlis perasmian ini, ia akan mengimbau kembali sepertimana acara sambutan dan keraian pembesar negeri Melaka bersama-sama rakyat.

Sesiapa yang ingin menghadiri majlis peramian ini disarankan memakai baju tradisional pada zaman dahulu kata. Bagi lelaki bolehlah memakai baju Melayu bersampin dan memakai tengkolok / setanjak.

Jom beramai-ramai raikannya. Anda pasti akan melihat suatu kelainan. :)

Thursday, March 10, 2011

MARI MELAWAT KE MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Hari ini aku mahu mempromosikan sedikit tempat aku bekerja, mana lagi kalau bukan di Muzium Istana Kesultanan Melaka. Kepada sesiapa yang berhasrat ke Melaka tu, rajin-rajinlah datang melawat ke muzium ini. Harga tiketnya tidaklah mahal mana. Bagi dewasa cuma RM 2,00 manakala kanak-kanak bawah 12 tahun RM 0.50. Tak mahal bukan?

Di bawah ni aku pertontonkan sedikit video muzium ini. Tak bolehlah kalau aku nak papar semua. Kalau nak tengok lebih lanjut, datanglah melawat ke muzium ini.



Macam mana, menarik tak? Apa lagi, cuti-cuti sekolah dan cuti hari minggu tu bawalah anak-anak datang ke sini. Kita bukan sahaja suka-suka nak papar barang-barang lama, tapi ia merupakan satu aspek pendidikan tidak formal. Mengenali sejarah. Mengenali sesuatu yang mungkin kita tidak tahu. Dari membiarkan anak-anak dari tak tentu hala, apa kata bawa dia ke muzium. Kalau dah datang ke muzium tu, janganlah pulak hanyak tengok-tengok saja, bacalah juga setiap penceritaan yang dipamerkan. Pastinya akan menambah ilmu untuk semua.

Bagi sahabat-sahabat bloggers, kalau nak datang ke muzium ni bolehlah cari aku. Sekurang-kurangnya kita boleh berkenalan dan aku pun boleh menjadi "guide" korang. Tapi bayar tetap kena bayar ek.. Tak boleh percuma.. :)

Wednesday, December 22, 2010

KE MANA PERGINYA WARIS KESULTANAN MELAYU MELAKA

Agak begitu pelik sekiranya Kesultanan Melayu Melaka yang dahulunya gah dengan empayarnya yang tersendiri tidak lagi mempunyai sultan. Jika kita selidiki sejarah Melayu iaitu Sulalatus Salatin, kita dapat membaca tentang betapa hebatnya Melaka sehinggakan seluruh negeri (Semenanjung Tanah Melayu) termasuk sebahagian di Indonesia merupakan Kerajaan Melaka.

Di sini aku ingin huraikan kemana perginya waris Kesultanan Melaka setelah membuat pembacaan dari kertas kerja Prof. Dr. Abdullah Zakaria Ghazali bertajuk Raja dan Kerajaan : Tinjauan Ringkas Perspektif Sejarah yang telah beliau sampaikan dalam semasa Seminar Keris : Warisan Bangsa Melayu di Shah Alam baru-baru ini.

Mengikut Sulalatus Salatin, kerajaan Melaka telah diasaskan oleh Raja Iskandar Shah iaitu Raja Singapura yang telah berundur ke Melaka dan telah mengasaskan kerajaan Melaka pada tahun 1262. Kerajaan Melaka telah berkembang pesat pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mansur Shah dan Sultan Alauddin Riaayat Shah.

Ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah, putera baginda, Sultan Muhammad telah dihantar ke Pahang untuk menduduki takhta kerajaan Pahang. Kemudiannya, ketika pemerintahan Sultan Ahmad (putera Sultan Mahmud) angkatan Portugis telah menyerang dan menduduki Melaka pada tahun 1511. Sultan Ahmad dan ayahandanya, Sultan Mahmud telah berundur hingga akhirnya mendirikan kerajaan Melaka di Bintan. Apabila Sultan Ahmad mangkat di Bintan, teraju pemerintahan disandang kembali oleh Sultan Mahmud.

Gambaran Istana zaman Kesultanan Melayu Melaka


Pada tahun 1526, pusat kerajaan Melaka di Bintan telah dikalahkan oleh Portugis. Kota Kara dan Kota Kopak telah dimusnahkan lalu sultan Mahmud berundur ke Kampar. Dengan itu pusat kerajaan Melaka kini adalah di Kampar.

Pada tahun 1528, sultan keturunan Melaka masih memerintah Pahang. Setelah sultan Mahmud mangkat, putera baginda, Raja Ali telah dilantik sebagai penganti. Baginda bergerak ke Pahang dan seterusnya ke Johor dan mengasaskan kerajaan Johor pada tahun 1528. Raja Ali bergelar Sultan Alauddin Riaayat Shah. Manakala kekanda baginda, Raja Muzaffar dibawa oleh Tun Shaban ke Tanah Abang, Perak dan ditabalkan sebagai Raja Perak bergelar Sultan Muzaffar Shah.

Kerajaan Johor yang diasaskan oleh Sultan Alauddin Riaayat Shah mencapai kemuncak ketika pemerintahan Sultan Abdul Jalil Shah III. Ketika dalam pemerintahan baginda, Pahang menjadi sebahagian daripada kerajaan Johor dan Pahang tidak lagi mempunyai sultan yang memerintah negeri lagi kerana Sultan Abdul Jalil Shah merupakan sultan bagi Johor dan Pahang.

Kerajaan Johor kemudiannya mengalami kemerosotan dan membawa kemunculan kerajaan Melayu baru yang terdapat sehingga kini.

Dalam pemahaman aku melalui keterangan yang diberikan jelaslah menyatakan keturunan kesultanan Melaka telah tersebar ke Perak, Pahang dan Johor. Namun mengikut ahli sejarah, keturunan kesultanan Melayu Melaka yang benar-benar adalah di Perak. Jadinya, tidak hairanlah bahawa Keris Taming Sari sekarang berada di Istana Sultan Perak. Wallahuaklam.

Kesimpulan yang boleh aku buat ialah, kesultanan Melayu Melaka tidak pernah mati walaupun Melaka tidak bersultan, kerana pewaris-pewarisnya tetap ada memerintah negeri-negeri yang dahulunya adalah empayar kerajaan Melaka juga.

Wednesday, December 1, 2010

SENIBINA MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA

Gambar di bawah muzium

Batu pengalas tiang

Papan lantai dari pandangan bawah

Pandangan bumbung

Pandangan bumbung

Pandangan bumbung

Bumbung, pandangan dari dalam

Ukiran di bumbung

Kepingan kayu berlian yang dibuat atap muzium

Lantai kayu

Pandangan tangga

Tangga

Pasak dan tanggam

Ukiran di tiang luar

pandangan tingkap

Tingkap

Ukiran di dinding Muzium Istana Kesultanan Melaka

Ukiran di dinding

Ukiran-ukiran

Ukiran di tangga

Ukiran di pintu masuk

Ukiran di dinding

Saturday, November 20, 2010

PANGGILAN TELEFON DARI SULTAN MELAKA

Sebagaimana semua orang tahu, negeri Melaka merupakan sebuah negeri yang tidak bersultan. Tetapi yang memeningkan kepala aku dalam minggu ini ialah menerima panggilan telefon dari seseorang yang mendakwa dirinya sebagai "Sultan Melaka". Dalam minggu ini sahaja lebih dari 7 kali aku menerima panggilan telefon dari "baginda".





Sebenarnya, orang tersebut dikatakan sebagai "something wrong". Dia telefon aku untuk tinggal "bersemayam" di Muzium Istana Kesultanan Melaka, tempat aku bekerja sekarang. Tak cukup dengan membuat panggilan telefon pejabat, handphone aku juga ditelefonnya. Siapalah yang memberikan nombor telefon aku padanya.

Dia minta aku bagi kebenaran untuk tinggal di dalam Muzium Istana Kesultanan Melaka. Aku yang tahu dirinya sebagai "something wrong", aku pun melayan sajalah. Aku beritahu padanya Muzium Istana Kesultanan Melaka tidak boleh tinggal kerana banyak patung-patung. Lepas itu dia suruh aku cari istana lain untuk dirinya. Aduhai... Macam-macam. Dia siap bahasa dirinya sebagai "beta". Nasib baik aku tak bahasakan diri aku sebagai "patik".

Baru lepas tadi "baginda" telefon lagi. Puas aku melayannya. Sudahlah, malas nak cerita pasal "sultan" ni lagi.

Friday, October 1, 2010

SULTAN-SULTAN MELAKA


PARAMESWARA / ISKANDAR SYAH (T.M 1403-1424)

Parameswara adalah seorang anak raja dari Palembang iaitu jajahan takluk Majapahit yang telah terlibat dalam peperangan merebur takhta kerajaan pada akhir abad ke-14. beliau telah berundur mencari perlindungan ke temasik yang pada masa itu di bawah kuasa Siam. Parameswara telah mebunuh Temagi, wakil Siam di Temasik dan akibatnya beliau telah dipaksa keluar dari Temasik. Parameswara telah berundur ke Muar dan kemudiannya membuka Melaka yang pada masa itu merupakan sebuah penempatan kecil. Sejarah melayu ada menyatakan bahawa Parameswara telah memeluk Islam melalui seorang ulama dari Jeddah pada tahun 1414 dan nama baginda telah ditukar kepada Megat Iskandar Syah. Peristiwa ini bermula pada satu malam apabila baginda telah diajar mengucap kalimah Syahadah. Pada keesokan harinya serombongan pedagang dari Jeddah singgah di Melaka dan mereka iniah yang telah mengislamkan para pembesar Melaka. Semasa pemerintahannya, baginda telah berjaya meletakkan asas kemajuan negara Melaka sebagai pusat perdagangan dan pengembangan agama islam di rantau ini.

SULTAN MUHAMMAD SYAH / SERI MAHARAJA (T.M 1424-1444)

Nama Sultan Muhammad Syah sebelum memeluk agama Islam ialah Raja Kecil Besar. Metos pengislaman Sultan Muhammad Syah menggambarkan bagaimana baginda telah diajar mengucap dua kalimah syahadah dan baginda dikhatankan dalam mimpinya. Baginda merupakan seorang yang alim serta amat patuh kepada ajaran Islam. Selain itu, baginda juga adalah seorang yang beretika dan berdisiplin tinggi. Ini dapat dilihat daripada pembaharuan adat istiadat yang telah diperkenalkan dan cara baginda memuliakan para tetamunya yang datang dengan penuh adat istiadat kebesaran diraja. Disebabkan sikapnya, baginda telah dapat membentuk hubungan diplomasi dengan beberapa buah kerajaan di Nusantara. Walau bagaimanapun, Sultan Muhammad Syah juga mempunyai beberapa sifat negatif seperti bersikap pilih kasih terhadap kedua anaknya, iaitu Raja Kasim dan Raja Ibrahim. Baginda lebih menyayangi Raja Ibrahim kerana berasal dari keturunan puteri raja. Manakala Raja Kasim hanya dari keturunan bangsawan.

Gambar hiasan.. Ini bukan sultan Melaka sebenar


SRI PARAMESWARA DEWA SYAH (T.M 1444-1446)

Baginda merupakan anak kepada Sultan Muhammad Syah hasil perkahwinannya dengan Puteri Raja Rokan. Nama sebenarnya ialah Raja Ibrahim dan merupakan adik kepada Raja Kasim. Tidak banyak yang diperkatakan tentang diri dan perwatakan baginda. Ini kerana usia kerajaannya terlalu singkat iaitu hanya selama 1 tahun 5 bulan. Baginda menaiki takhta dalam usia yang muda selepas kematian ayahandanya. Berdasarkan fakta di dalam Sejarah Melayu, usia baginda dianggarkan dalam lingkungan bawah 20 tahun. Disebabkan usia yang terlalu muda, baginda tidak dapat menguruskan takhta kerajaan Melaka dengan sebaiknya. Oleh itu, kedudukannya sebagai sultan hanyalah sebagai boneka sahaja. Kesultanan Melaka sebenarnya dikuasai oleh bapa saudaranya dimanjakan oleh ibunya. Pemerintahan baginda tidak lama kerana telah dibunuh oleh Raja Rokan dalam peristiwa perebutan takhta dengan Raja Kasim.

SULTAN MUZAFFAR SYAH (T.M 1446-1456)

Baginda merupakan anak kepada sultan Muhammad Syah dengan isterinya,Tun Wati. Nama sebenarnya ialah Raja Kassim dan abang kepada Sri parameswara Dewa Syah. Sewajarnya Bagindalah selaku yang sulong yang menaiki takhta kerajaan melaka selepas kemangkatan ayahandanya. Namun disebabkan sikap pilih kasih ayahandanya, baginda telah disisihkan daripada istana. Semasa dalam buangan, baginda telah menjadi nelayan sehingga berjaya merampas takhta daripada Raja Ibrahim. Sultan Muzaffar Syah digambarkan sebagai seorang yang berjiwa rakyat sehinggakan mereka amat mengasihinya. Selain itu, sejarah melayu juga menerangkan tentang sifat Sultan Muzaffar Syah yang amat baik perangainya, adil, pemurah dan saksama. Pada zaman pemerintahannya juga, kekuasaan politik Melaka mula berkembang. Empayar Melaka tersebar sehingga ke Dinding, Selangor,Muar, Singapura,bertam dan Pahang. Baginda adalah pemerintah melaka yang pertama menguasai kedua-dua Pantai Selat Melaka apabila berjaya menawan Inderagiri, kampar (di Sumatera) yang mengawal pengeluaran lada hitam dan emas dari pendalaman Minangkabau. Di zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah selama 10 tahun dapat dilihat keunggulan Melaka sebagai pusat perkembangan agama Islam. Agama Islam telah disebarkan ke negeri jajahan takluk Melaka. Baginda juga menggalakkan mubaligh-mubaligh dari Melaka berhijrah ke negeri-negeri jaajhan Melaka untuk menyebarkan agama Islam.

SULTAN MANSUR SYAH / RAJA ABDULLAH (T.M 1456-1477)

Sultan Mansur Syah atau nama sebenarnya, Raja Abdullah merupakan putera tunggal Sultan Muzaffar Syah . Baginda menaiki takhta selepas kemangkatan ayahandanya pada usia 27 tahun. Sifat fizikalnya digambarkan sebagai seorang yang kacak sehingga tidak ada tolok bandingnya, gagah perkasa dan mempunyai susuk badan yang menarik. Baginda amat mengambil berat dalam soal keagamaan dan merupakan seorang yang amat berhati-hati dalam membuat membuat sebarang keputusan. Baginda juga amat menghormati sesiapa sahaja dan dibuktikan melalui layanannya yang baik terhadap Dewa Sura yang yang menjadi tawanannya. Dalam teks Sejarah Melayu, digambarkan bahawa baginda mempunyai darjat kebesaran yang amat tinggi . ini terbukti melalui peristiwa Raja China yang terkena penyakit kedal akibat menerima sembah dan salam baginda. Untuk mengubati penyakit itu Raja China terpaksa meminum air basuh kaki Sultan Mansur Syah. Sultan Mansur Syah amat mementingkan ajaran Islam hinggakan sebelum mangkat baginda telah menasihati puteranya supaya beriman, mempunyai pekerti yang baik dan mentadbir negeri dengan adil dan saksama.

SULTAN ALAUDIN RIAYAT SYAH / RAJA HUSIN (T.M 1477-1488)

Baginda adalah putera kepada Sultan Mansur Syah. Sejarah melayu mencatatkan bahawa Sultan Alaudin masih muda belia sewaktu memerintah Melaka. Menurut Prof. Dr. Mohd. Yusoff Hashim, menerusi bukunya ” kesultanan Melayu Melaka” Sultan Alaudin merupakan seorang Raja yang gagah perkasa dan bijaksana. Di awal pemerintahannya, baginda memberi perhatian terhadap kemakmuran dalam negeri. Baginda seorang yang amat tegas dan berani. Keberaniannya terbukti apabila pada suatu malam baginda sendiri bersama dua orang pengiring. Hang Isap dan Hang Siak telah keluar untuk menangkap pencuri. Dua dari tiga pencuri tersebut berjaya dibunuh. Tindakannya itu mempunyai persamaan dengan cara pemerintahan yang dilakukan oleh Saidina Umar al-khatab, khalifah Islam yang kedua selepas Rasulullah wafat. Di bawah pemerintahan baginda, empayar Melaka menjadi makmur. Undang-undang Islam diamalkan di mana sehingga baginda mengeluarkan perintah barangsiapa yang didapati mencuri, tangannya akan dipotong. Dengan pelaksanaan undang-undang Islam ini, Melaka telah menjadi aman dan makmur.

SULTAN MAHMUD SYAH (T.M 1488-1511)

Baginda adalah putera kepada Sultan Alaudin Riayat Syah dengan Tun Senaja dan menaiki takhta ketika usianya masih muda lagi. Baginda adalah Sultan yang terakhir memerintah Melaka sebelum jatuh ke tangan Portugis pada T.M 1511. Semasa pemerintahan baginda, Melaka berada di dalam keadaan yang tidak stabil. Pembesar-pembesar negeri bertelagah antara satu sama lain, kegiatan rasuah dan penyelewengan berleluasa. Walaupun demikian, sebagaimana pemerintahan terdahulu, Sultan Mahmud juga berjaya meluaskan kekuasaan Melaka ke beberapa daerah. Umpamanya baginda telah mengerahkan Paduka Tuan menyerang dan menakluki Manjong, kelantan dan mempertahankan Pahang daripada serangan Raja Legor. Baginda juga telah menobatkan raja negeri asing seperti Raja Abdul Jamil dari Pahang, Raja Abdullah dari Kampar dan seorang raja dari kedah. Walaupun Sultan mahmud sering digambarkan mempunyai sifat-sifat yang negatif, baginda tetap mengambil berat tentang hal ehwal agama. Baginda sanggup berjalan kaki untuk mempelajari agama dengan maulana Sadar Johar di samping menitik beratkan ajaran Islam kepada kaum kerabatnya.


Thursday, September 30, 2010

SLEEPOVER AT MUSEUM









Anda mahukan kelainan? Sanggup menghadapi cabaran ketakutan tidur di dalam muzium dengan artifak-artifak lama berusia ratusan tahun? Anda boleh memilih sama ada mahu tidur di Muzium Samudera (Kapal Flor De La Mar) ataupun Muzium Istana Kesultanan Melaka. Berbagai-bagai acara menarik lagi diadakan. Hubungi saya untuk maklumat lanjut.

P/s : Minimum 20 pax.





Monday, September 27, 2010

Friday, September 17, 2010

NOBAT

Nobat ialah sekumpulan alat-alat bunyian khusus untuk upacara dan majlis-majlis diraja. Nobat berasal dari bahasa Parsi bereti sembilan alat. Alat-alat itu adalah seperti gendang nobat, gendang peningkah, nafiri, serunai dan negara. Upacara nobat akan diketuai oleh seorang Ketua Nobat bergelar Tok Setia Guna yang memegang tongkat Mahaguru.


Pemain-pemain alat nobat digelar Orang Kalur. Ketua Nobat dipanggil Kalur Besar kemudian diikuti penghulu (yang bergelar Tok Setia Indera) dan selepas itu Kalur kecil dan yang lainnya Orang Nobat. Alat perkakas nobat ini boleh dibunyikan oleh Orang Kalur sahaja dan tidak sempurna jika dimainkan oleh orang lain. Lagu Nobat disebut ragam. Ragam yang asal ialah Iskandar Dzulkarnain dan Ibrahim Khalil kemudian ditambah ragam-ragam lain seperti Gendang Berangkat, Puteri Mandi Mayang, Dang Gidang, Rama-Rama Terbang Tinggi, Kumbang Si Kumali dan Pandak.


Nobat hanya dimainkan ketika menyambut sesuatu perayaan dan hari-hari besar seperti pertabalan raja, istiadat menjunjung duli, nikah kawin, berkhatan, memberi gelar, menyambut Ramadhan dan peristiwa besar yang lain. Sungguhpun nobat itu dikhususkan kepada raja sahaja namun di zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu Duli Yang Dipertuan boleh mengurniakannya pada upacara yang lain seperti menyambut dan menghantar utusan diraja dan memberi hormat dalam perarakan jenazah. Hanya alat perkakas yang dikurniakan itu sahaja yang berbeza yakni mengikut taraf atau pangkat.