Sunday, April 27, 2025

Cara Terbaik Untuk Bakar Lemang Dengan Sempurna

Semalam, aku ikut serta dalam aktiviti membakar lemang sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan oleh persatuan penduduk di taman perumahan aku. Awal pagi lagi kami dah berkumpul di untuk buat persiapan.


Aku ditugaskan jaga lemang. Dalam gambar ni, aku tengah susun buluh lemang supaya masaknya sekata dengan bara api. Nak bakar lemang ni memang kena sabar, api tak boleh terlalu besar atau kecil. Kalau tak jaga, lemang boleh hangit atau tak masak. Walaupun berpeluh dan panas, rasa seronok sebab buat sama-sama dengan penduduk taman.

Lemang yang dibakar perlu sentiasa dipusingkan setiap sepuluh hingga lima belas minit supaya masaknya sekata dan tidak hangit di sebelah satu lagi. Buluh yang digunakan mesti diletakkan pada jarak yang sesuai daripada bara supaya kulit buluh tidak cepat terbakar. 

Selain itu, daun pisang digunakan untuk melapik bahagian dalam buluh bagi mengelakkan pulut melekat dan memudahkan proses mengeluarkan lemang apabila sudah masak. Santan pula mesti dipilih yang segar dan pekat supaya menghasilkan rasa lemang yang lebih lemak dan wangi.

Malamnya, kami adakan jamuan Hari Raya. Macam-macam makanan ada nasi beriani, ketupat, rendang, lemang yang kami bakar tengah hari tadi membawa ke petang dan kuih-muih raya. Ramai juga yang datang, meriah suasana.

Lepas makan, terus sambung dengan Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk. Salah satu agenda malam tu ialah pemilihan jawatankuasa baharu. Sebenarnya, aku dah plan nak bersara dari jawatan setiausaha. Tapi bila undian dibuat, aku tetap dipilih semula. Berat juga nak terima, tapi bila fikir balik, demi membantu persatuan, aku terima juga amanah ni.

Harapnya tahun ni persatuan kami akan lebih aktif dan semua ahli terus beri sokongan. Semangat gotong-royong dan muafakat macam inilah yang buat taman perumahan kita hidup dan harmoni.

Friday, April 25, 2025

Ainnur Afiah Juara 400 Meter


Ini anak kedua aku, Ainnur Afiah. Kini dia sedang menuntut di tingkatan satu di sebuah sekolah berasrama. Dari kecil, perangainya memang saling tak tumpah seperti aku, suka mencuba pelbagai perkara dan pantang nampak peluang, pasti dia akan ambil. Semalam dia memenangi tempat pertama dalam acara 400 meter sempena Kejohanan Olahraga Sekolah.

Aku masih ingat zaman dia di sekolah rendah, betapa aktifnya dia menyertai pelbagai pertandingan. Dari sukan, seni hingga ke akademik, semuanya dia nak cuba. Ada masanya aku terpaksa teman dia ke pertandingan yang diadakan di luar sekolah. Tapi itu semua pengalaman yang indah dan membentuk siapa dirinya hari ini.

     Baca juga :

Melihat dia berdiri megah dengan pingat emas tergantung di leher, aku tahu segala usaha dan sokongan tidak sia-sia. Aku bangga dengan pencapaiannya bukan sekadar kerana dia menang, tetapi kerana semangatnya yang tak pernah luntur. Semoga kejayaan ini menjadi permulaan kepada banyak lagi pencapaian dalam hidupnya, insya-Allah.

Thursday, April 24, 2025

Jangan Putus Asa Walau Gagal SPM

Kegagalan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukanlah penamat kepada segala impian dan cita-cita. Ramai tokoh berjaya dalam kehidupan bukan kerana mereka cemerlang dalam peperiksaan, tetapi kerana mereka bangkit semula selepas kejatuhan. Apa yang penting ialah sikap tidak mudah mengalah dan keazaman untuk terus berusaha. Gagal dalam akademik bukan bererti gagal dalam hidup, malah ia boleh menjadi titik tolak untuk membina jalan kejayaan yang berbeza.


Setiap insan memiliki kelebihan tersendiri. Ada yang cemerlang dalam bidang kemahiran, seni, sukan, keusahawanan dan pelbagai lagi. Dunia hari ini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pencapaian akademik semata-mata. Pelajar yang gagal SPM boleh mengambil langkah bijak seperti mengikuti kursus kemahiran, menyertai program TVET atau memulakan perniagaan kecil-kecilan. Apa yang penting adalah mempunyai semangat untuk belajar sesuatu yang baru dan terus maju ke hadapan.

Akhir sekali, sokongan keluarga dan masyarakat amat penting dalam membantu pelajar yang kecewa. Beri mereka peluang kedua, dengar luahan hati merekadan bimbing mereka mencari hala tuju baharu. Jangan pandang rendah kepada mereka yang gagal, kerana kadangkala daripada merekalah lahirnya kejayaan yang luar biasa. Ingatlah, kegagalan hari ini bukan kegagalan selamanya. Teruskan melangkah dan buktikan bahawa anda mampu berjaya dengan cara anda sendiri.