Monday, March 10, 2025

Kayu Penunjuk Al-Quran Hadiah Bermakna Daripada Saudara Abd. Jalil

Pagi tadi, aku dan rakan-rakan tadarus Al-Quran di jabatan menerima satu hadiah istimewa iaitu kayu penunjuk Al-Quran yang dihasilkan oleh saudara Abd. Jalil, seorang pesara dari jabatan kami.


Saudara Jalil bukan sahaja seorang yang mahir dalam ukiran kayu, tetapi juga seorang yang suka berkongsi hasil tangannya untuk manfaat orang lain. Kayu penunjuk ini bukan sekadar alat untuk memudahkan bacaan tetapi juga satu simbol dorongan untuk kami terus istiqamah dalam tadarus sepanjang Ramadan ini.

Baca juga :

Menyemarakkan Ramadan dengan Tadarus Al-Quran di Jabatan


Terima kasih, saudara Jalil, atas pemberian yang penuh makna ini. Semoga pahala pembelian dan penggunaan kayu penunjuk ini terus mengalir selagi ia digunakan oleh para penerimanya. Moga Allah merahmati usaha dan kebaikanmu.

Resmi Padi, Makin Berisi Makin Tunduk

Peribahasa Melayu "Resmi padi, makin berisi makin tunduk" membawa maksud bahawa semakin tinggi ilmu, pengalaman atau pangkat seseorang, semakin ia perlu bersikap rendah hati. Padi yang berisi melambangkan orang yang memiliki banyak ilmu dan kebijaksanaan, manakala tunduknya padi menggambarkan sifat merendah diri yang patut ada dalam diri seseorang.


Sebagai individu yang bekerja dalam bidang muzium, peribahasa ini mengingatkan aku untuk terus bersikap sederhana walaupun memperoleh pengalaman luas dan ilmu lebih 17 tahun dalam dunia permuziuman. Dalam kehidupan seharian, aku bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat dari pelajar hingga tokoh-tokoh penting dan peribahasa ini mengajar aku untuk tidak sombong dengan ilmu yang ada.

Kejayaan dan pengalaman bukan alasan untuk berbangga diri tetapi peluang untuk memberi manfaat kepada orang lain. Seperti padi yang memberi rezeki kepada manusia, ilmu dan pengalaman juga harus dikongsi agar lebih bermakna. Semoga aku sentiasa mengamalkan sifat rendah hati dalam setiap langkah kehidupan.

Sunday, March 9, 2025

Buah Nangka Pokok Tua di Rumah Mak

Semalam di rumah mak, aku perasan sebiji nangka sudah masak. Tanpa berlengah, aku petik dan potong. Isinya kuning dan manis. Masa aku potong buah ni, dua orang anak aku Muhammad Firman dan Muhammad Fiq Farrel turut menikmatinya. Mereka suka. Dua, tiga ulas mereka makan. Sesudah potong emak agihkan kepada adik-beradik dan saudara-mara yang tinggal berdekatan.


Pokok nangka ini pokok lama, lebih tua dariku. Aku lupa nak tanya mak siapa yang menanamnya. Sejak dulu, aku yang menjaganya dengan mencantas dahan dan membalut buah dengan guni tepung. Sekarang, buahnya lebat. Lebih 20 biji sudah dibalut, menunggu masa untuk dinikmati.

Semoga pokok ini terus berbuah dan menjadi rezeki yang dikongsi bersama.