Thursday, July 1, 2021

CUCUKAN PERTAMA

Alhamdulillah. Setelah menunggu agak lama juga, akhirnya dapat cucukan pertama vaksin. Pada hari ini bertarikh 1 Julai 2021 saya dicucuk dengan vaksin Sinovac.



Sebenarnya saya ni bukanlah takut dicucuk dengan jarum, tapi hari ni sebelum dicucuk saya rasa seram sejuk sahaja.  Perut pun rasa kecut saja. Dengan cerita-cerita pasal vaksin, collapse selepas vaksin, meninggal dunia, masuk cip dalam tubuh, bermain-main pada pemikiran. Rasa risau pula.

Tapi semua itu dapat diatasi apabila saya telah tiba di pusat vaksinasi. Tiba di pusat vaksinasi sudah tidak merasa apa-apa lagi. Mungkin pada awalnya saya telah berfikiran yang bukan-bukan, mungkin itulah yang menyebabkan sedikit risau.

Pada yang belum divaksin, jangan risau. Tiada apa-apa pun. Suntikannya pun tidak sakit. Pada saat saya menulis ini, tiada kesan sampingan yang saya alami. Semuanya baik-baik sahaja.



Sebenarnya tadi ada juga niat nak bergambar pada plakad "saya telah divaksinasi" tapi apakan daya, bateri telefon habis. 😆😆😆 Balik naik Grab pun pinjam pinjam telefon seseorang untuk menempah Grab. 🤦🏻‍♂️

Sunday, June 27, 2021

ANAK BURUNG DALAM SARANG



Ini anak burung. Ada dua ekor. Baru saja menetas. Lahirnya di dalam sarang di atas dahan pokok jambu air di belakang rumah saya. Hari-hari kedengaran kicauan anak burung ini, mungkin menunggu ibunya mencari makanan.

Ya, ibunya bertanggungjawab. Saya perhatikan memang ibunya mencari makan dan memberikan anak-anak burung ini makan. Malah sekali sekala saya ternampak ada 2 ekor burung dewasa, mungkin seekor lagi itu bapa kepada anak burung tersebut.

Ketika saya hendak mengambil gambar anak-anak burung ini, dua ekor burung dewasa menghampiri dan berkicau begitu riuh sekali. Mungkin kerana tidak mahu anak-anaknya diganggu. Saya tak pegang pun anak-anak burung tersebut, hanya mengambil gambar dan video saja.

Apabila saya melihat anak-anak burung ini, saya cuba gambarkan dengan keadaan kini. Anak-anak burung ini masih belum boleh mencari makanan kerana tidak berupaya lagi, justeru memerlukan pertolongan ibunya yang mempunyai kebolehan mencari makanan dan sememangnya tanggungjawab si ibu memberi anak-anaknya makan. 

Sebaliknya, pada ketika ini, ramai insan-insan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak berpenghujung. Ada yang kehilangan pekerjaan, peniaga yang terpaksa menutup kedai, pelanggan berkurangan, sedikit sebanyak menjejaskan mata pencarian untuk diri dan keluarga. 

Justeru, pihak berkuasa sewajarnya bertindak seperti 'ibu burung' bagi menyalurkan bantuan kepada mereka-mereka yang terjejas ini. Apa salahnya diteruskan program seperti moratorium, i-sinar dan segala macam bentuk bantuan untuk memastikan golongan ini terjaga dan diberi perhatian. Jangan jadi seperti anak burung yang tidak diberikan makanan yang akhirnya mati kekeringan di dalam sangkar buatan ibunya.

SOKONG ITALI

Kitakan orang Malaysia, kenapa perlu menyokong negara lain? Saya tidak tahu jawapannya, rata-rata orang ada pasukan bola sepak kegemaran.  Tapi tak pasti pula sama ada orang Eropah, Asia Tengah, Amerika Latin dan lain-lain negara ada menyokong bola sepak Malaysia. Kita saja loghat nak sokong pasukan bola sepak mereka.

Jersi warna biru sudah ada, sedang tunggu kiriman jersi away warna putih yang baru dibeli

Persoalannya boleh ke tak menyokong negara lain? Iyalah kan, Malaysia mana sertai Piala Dunia atau Piala Eropah. Kalau Malaysia sertai, sudah pasti kita akan menyokongnya. Semasa kelayakan Piala Dunia yang lalu kan sudah menyokong Harimau Malaya, malah semasa awal-awal perlawanan iaitu sebelum covid-19, saya turut turun ke stadium Bukit Jalil tanda sokongan kepada pasukan negara.

Nak dijadikan cerita, saya mula meminati pasukan Itali semasa Piala Dunia 1994 yang diadakan di USA. Semasa itu Itali layak ke pertandingan akhir bertemu pasukan Brazil. Brazil memang salah satu pasukan yang menjadi pilihan ramai, namun saya memilih untuk menyokong Itali.

Ada gaya orang Itali tak? Hahaha

Pada perlawanan akhir tersebut berkesudahan dengan 0 - 0 yang akhirnya membawa ke penentuan sepakan penalti. Nasib tidak menyebelahi Itali apabila tewas 3 - 2 dalam sepakan penalti. Pemain kegemaran saya Roberto Baggio, pemain penyerang Itali antara yang gagal menjaringkan gol ketika sepakan penalti. Masih terngiang-ngiang di fikiran saya melihat kesedihannya.

Saya ni nak kata pandai sangat bermain bola sepak, tak juga. Masa sekolah dulu ada juga mewakili sekolah dalam bola sepak. Peringkat tertinggi yang pernah saya wakili ialah peringkat daerah. Peringkat negeri tak layak lagi, sebab ramai lagi yang hebat. Haha.. 

Dulu saya bermain bola sepak pada posisi bek kanan. Ada kalanya menjadi bek tengah selaku stopper.  Masa main bersama kelab di kampung, saya kebiasaannya tak diberikan peluang bermain, asyik menjadi pemain simpanan saja. Dapatlah juga sekali sekala diturunkan. Sedih.. 😢😢😢

Tapi sekarang sudah lama tak bermain bola sepak. Kadang kala rasa rindu nak bermain bola sepak. Tapi tak tahulah sama ada masih larat atau tidak. Sebelum ni, sekiranya jabatan memasuki pertandingan atau mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak, biasanya saya akan turut bermain. Tapi tu lah, banyak dah jadi veteran. Main pun ala kadar saja, suka-suka.

* Entri ini dibuat sementara menunggu perlawanan Euro 2020 pada awal pagi ini antara Itali vs Austria. Semoga kemenangan berpihak kepada Itali. 😎🤙🏼

#TheAzzurri
#ForzaItalia