Tuesday, September 18, 2012

MUDAHNYA BERNIAGA SECARA DALAM TALIAN


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Zaman sekarang ramai orang suka meniaga. Meniaga sama ada secara konvensional mahupun secara dalam talian. Di dalam Muka Buku Facebook misalnya, pastinya kita dapat melihat kenalan-kenalan kita berniaga dalam talian seperti menjual tudung, pakaian wanita dan pakaian lelaki, jersi bola sepak dan sebagainya.
 
Bagi saya, tidak mengapalah rakan-rakan kita di Muka Buku Facebook itu hendak menjual apapun, sepertimana kita sering mengatakan ingin melihat Melayu maju, maka kita pun kenalah sokong rakan-rakan kita berniaga kecil-kecilan. Walaupun kita tidak membeli, sekurang-kurangnya apa yang mereka iklankan turut terpapar pada Dinding Muka Buku Facebook kita. Secara tidak langsung, kita turut mempromosikan apa yang rakan-rakan kita jual.
 
Melalui pengalaman dan pengamatan saya secara peribadi, saya lihat berniaga di dalam talian ini juga membolehkan sesuatu barang terjual dengan cepat. Pada suatu masa dahulu, saya ada meletakan satu barang terpakai berupa bluetooth headset dan headphone. Saya iklanlah di Mudah.my. Apa yang menariknya, tidak sampai satu hari, sudah ada orang yang membeli barang yang saya jual.
 
Ada satu lagi pengalaman, ada satu ketika dahulu saya ada menjual sebuah tin Milo lama keluaran 1960-an yang saya iklankan juga di Mudah.my. Sama juga, saya menyiarkan di Mudah.my pada sebelah siangnya kemudian disebelah malam sudah ada yang membelinya. Nampak begitu mudahkan berurusniaga di dalam talian?
 
Dan baru ini sahaja, seorang kenalan Muka Buku Facebook ada mengiklankan 6 buah Van Mini Milo dengan harga RM 300 ++. Saya lihat tidak sampai 1 jam ia sudah terjual. Lumayan bukan? Tidak sampai sejam mengiklankan sesuatu barang, ia sudah terjual.
 
Saya bukanlah seorang peniaga secara talian yang tegar. Sekiranya ada barang sahaja saya akan mengiklankan di Muka Buku Facebook atau di Mudah.my. Bagi mereka yang sememangnya berniaga di dalam talian, teruskanlah usaha anda, jangan putus asa. Bagi rakan-rakan lain, berilah sokongan pada rakan anda yang meniaga di dalam talian. Janganlah pula kita sekat mereka di dalam Muka Buku Facebook, kerana iklannya memenuhi Dinding Muka Buku Facebook  kita. Kata sokong Melayu meniaga tetapi rakan baik kita meniaga dalam talianpun kita sudah irihati. Macam manalah Melayu mahu maju... 
 
Apa-apapun, bagi yang bekerja, sekiranya sudah meniaga secara dalam talian, jadikanlah ianya sebagai pendapatan sampingan. Janganlah sampai kerja sampingan ini menjadikan kita terlupa yang kita mempunyai kerja yang hakiki. Jangan sampai ia menganggu masa bekerja kita.

I'M MUSLIM AND WHY ALWAYS ME!!!




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.
 
Terlebih dahulu ingin dinyatakan bahawa entri ini menggunakan Bahasa Melayu, hanya tajuknya sahaja dari Bahasa Inggeris supaya kononya ia boleh dibaca oleh Mat Saleh terutamanya dari Amerika.
 
Innocence of Muslims. Inilah provokasi terbaru pihak kafir latnatullah dalam memperkecilkan Islam. Filem Innocence of Muslims ini digambar benar-benar menghina Islam dan Nabi Muhammad S.A.W dengan mengambarkan Nabi junjungan kita ini sebagai seorang yang bodoh, kaki perempuan, menipu agama dan sebagainya. Jelas, ini amat bertentangan dengan kefahaman kita dan ia sememangnya perlu ditolak dan dibantah dengan lantang.

Sejak dari peristiwa serangan 11 September 2001 lagi masyarakat Islam disalahkan kononnya ia berpunca dari kumpulan jihad Islam iaitu Al-Qaeda yang telah melakukan serangan terbabit. Kumpulan ini diketuai oleh Osama bin Laden dan beliau dikatakan bertanggungjawab di atas serangan di World Trade Center (WTC) dan juga di Pentagon. Selepas itu usaha memburu Osama bin Laden dijadikan lesen bagi Amerika Syarikat untuk mengebom Afganistan dengan amat dahsyat sekali.

Usaha Amerika memerangi keganasan di Afganistan bermula sepjak Oktober 2001 namun orang yang paling mereka kehendaki iaitu Osama bin Laden hanya berjaya dibunuh pada tahun 2011. Setelah hancur dibuatnya bumi Afganistan, setelah ramai nyawa muslimin yang terkorban dan mengambil masa hampir 10 tahun berperang akhirnya Osama bin Laden dapat dihapuskan. Mengapakah Amerika yang mempunyai peralatan dan senjata moden dan canggih agak sukar untuk menjejaki Osama bin Laden.

Why Always Me!!!

Tidak cukup dengan Afganistan, pada Mac 2003, negara Islam Iraq pula telah diserang oleh Amerika. Kerana apa? Hanya kerana mereka mengandaikan bahawa negara Iraq mempunyai senjata pemusnah besar-besaran. Namun setelah puas berperang, satu senjata pemusnah pun tidak dapat ditemui dan dikesan. Tiada apa bukti yang diperolehi dan Kumpulan Peninjau Iraq yang diketuai Amerika sendiri membuktikan bahawa Iraq tiada langsung senjata pemusnah. Malah Presiden Iraq yang ditangkap dan telah dihukum gantung sampai mati telah dijatuhkan hukum di atas kesalahan yang lain.

Why Always Me!!!

Berbalik semula kepada pembikinan filem menghina Islam, Innocence of Muslims. Satu dunia sudah kecoh akan hal ini. Demonstrasi membantah filem ini merata-rata negara, baik dalam bentuk aman mahupun dengan kekerasan. Malahan telah ada yang mengorbankan nyawa pihak kedutaan Amerika beserta pegawai-pegawainya. Namun, Amerika hanya berdiam. Tiada usaha untuk mereka menarik semula penayangan filem ini. Malahan di You Tube, thriller filem ini terus dimainkan.

Sekiranya orang dalam berfikiran waras. Apabila melihat bantahan diseluruh dunia yang mengutuk pengeluaran filem ini, mengapa ia tidak dihentikan serta merta? Mereka seperti mahu melihat masyarakat Islam terus marah dan mengambil tindakan yang keras. Adakah ini juga boleh dijadikan modal dan lesen untuk mereka untuk memerangi orang Islam?

Why Always Me!!!

Pelbagai lagilah peperangan terhadap Islam berlaku di muka bumi ini. Baik di dunia Arab dan juga tidak terlepas juga di Asia Tenggara sendiri iaitu di Myanmar. Masyarakat Islam Rohingya dibunuh dengan kejam hingga beribu-ribu orang Islam Rohingya dibunuh. Apa peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam hal ini? Seharusnya, mereka dengan pantas menghantar bantuan askar pengaman untuk mententeramkan keadaan untuk mengelakan pembunuhan terus berlaku. Kini dilihat pembersihan umat Islam di Myanmar sedang dilaksanakan.

Why Always Me!!!

Kita di Malaysia ini harus bersyukur. Kita hanya mendengar perkhabaran peperangan dan keganasan umat Islam ini dari jauh sahaja. Ia tidak terjadi di dalam bumi Malaysia ini. Namun, kita perlu ingat, panas tidak semestinya sampai ke petang, mungkin juga hujan akan turun di tengah hari. Justeru, umat Islam di Malaysia harus bersatu. Tidak kiralah apa lambang sekalipun, kita perlu rapatkan saf. Jangan biarkan ada ruang sekecil zarahpun untuk pihak kafir untuk menjatuhkan kita.

Ingatlah, apabila kita berpecah, ramai yang suka sebenarnya. Orang kafir memang takut apabila Islam bersatu. Apabila kita bersatu, kita akan kuat dan orang kafir sukar untuk menandingi kita. Bak kata perpatah Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh. Ibarat sebatang lidi, senang untuk dipatahkan, tetapi apabila lidi menjadi seberkas, ia amat sukar untuk dipatahkan. Bersatulah wahai muslimin...

Saturday, September 15, 2012

TIPS MENJADI PENGAWAL KESELAMATAN YANG CEMERLANG


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hari ini saya hendak berperanan sebagai Ketua Pengarah Pengawal Keselamatan, pasal itu saya mahu memberikan Tips Menjadi Pengawal Keselamatan Yang Cemerlang. Bukan apa, ada cerita di sebalik tips yang saya mahu berikan ini. Hendak tahu apa ceritanya, bacalah hingga ke akhir perenggan.

Kalau sebut saja pasal pengawal keselamatan, semua orang tahu. Mereka berperanan untuk mengawal keselamatan premis seperti pejabat kerajaan dan swasta, bank, stadium, kawasan pembinaan dan pelbagai lagi. Di kalangan orang-orang biasa ia lebih dikenali sebagai Pak Guard.

Gambar sekadar hiasan

Namun, pengawal keselamatan ini ada yang kerjanya baik dan ada yang sebaliknya. Tetapi dalam pengalaman saya berurusan atau mengenali pengawal keselamatan, kebanyakannya bermasalah. Baik dari masalah disiplin, moral, personaliti diri dan sebagainya. Jadi di sini saya sebagai pemerhati dan terlibat secara langsung bagi memantau aspek-aspek keselamatan ini ingin memberikan beberapa Tips Menjadi Pengawal Keselamatan Yang Cemerlang.

1) Hendaklah selalu berpakaian kemas dan segak.

2) Sentiasa memberikan senyuman kepada pelawat / tetamu.

3) Bertutur dengan tegas tetapi mengekalkan kesopanan dalam pertuturan.

4) Sentiasa menghormati pelawat / tetamu.

5) Tidak tidur semasa dalam bertugas.

6) Kerap melakukan rondaan untuk mengawal keselamatan.

7) Tidak meninggalkan pos kawalan sesuka hati.

8) Sentiasa patuh pada arahan ketua dan kakitangan tempat bertugas.

9) Selalu pastikan keadaan pos kawalan dan persekitarnnya bersih dan teratur.

10) Amalkan sikap memberi salam / hormat kepada pelawat / tetamu dan juga kakitangan tempat bertugas.

11) Melaksanakan segala tugasan di dalam prosedur yang telah ditetapkan.

Inilah sebahagian dari tips yang dapat saya berikan. Saya amat pasti, sekiranya mereka mengikut tips yang diberikan insyaallah profesion pengawal keselamatan akan menjadi lebih profesional dan martabat mereka sebagai pengawal keselamatan dapat diangkat tinggi.

Agaknya, sebab apakah yang membuatkan saya membuat entry mengenai Tips Menjadi Pengawal Keselamatan Yang Cemerlang ini???

Sebenarnya ada sesuatu yang berlaku pada kakak saya baru-baru ini apabila dia dalam proses menguruskan pertukaran sekolah bagi anak-anaknya. Perkara ini berlaku dalam satu hari di dua buah sekolah yang berbeza tetapi mempunyai pengawal-pengawal keselamatan yang seakan sama perangai mereka. Saya akan cerita satu persatu, dan sila gambarkan situasinya.

SEKOLAH A

Kakak dan anaknya pergi ke sebuah sekolah, kemudian dia memasuki ke kawasan sekolah untuk membuat urusan mendaftar anaknya ke sekolah tersebut. Selesai urusan lalu kakak saya keluar. Tiba di pos pengawal keluar seorang pengawal lalu berkata "kau ingat aku ni tunggul ke sesuka hati kau keluar masuk?"

Kakak saya yang awalnya memang tidak perasan adanya pengawal keselamatan di situ terus meminta maaf. Namun, permohonan maafnya dibalas dengan kata-kata yang keluar dari mulut pengawal itu, "sudah.. sudah.. berambus kau semua!!!

SEKOLAH B

Setelah selesai urusan ke sekolah A, kakak saya membawa pula anaknya seorang lagi ke sekolah B juga untuk urusan perpindahan anaknya ke sekolah itu. Kali ini dia lebih berhati-hati. Dia pergi ke pondok pengawal dan minta kebenaran untuk masuk ke pejabat sekolah. Kali ini pengawal keselamatan memberikan borang untuk diisikan dan menyuruh untuk mendapatkan tandatangan pegawai yang dia berurusan.

Hendak dijadikan cerita, setelah selesai berurusan, kakak saya pula terlupa untuk mendapatkan tandatangan pegawai yang dia berurusan bagi memulangkan semula borang yang diberikan oleh pengawal keselamatan. Semasa tiba di pos pengawal, pengawal keselamatan tersebut meminta borang yang telah diberikan pada awal tadi. Akibat terlupa, kakak saya menyuruh anaknya untuk ke pejabat semula untuk mendapatkan tandatangan. Namun, pengawal keselamatan itu berkata "dah.. dah.. tak perlu.." lalu meminta borang tersebut dan dikoyakkan di depan mata kakak saya.

Saya rasa, yang membaca ini juga berasa marah dengan perbuatan 2 orang pengawal keselamatan ini. Nasib baiklah ia berlaku pada kakak saya, sekiranya saya yang terkena begitu mahunya bertikam lidah juga rasanya atau saya terus laporkan kepada pengurusan sekolah itu.