Showing posts with label kriteria. Show all posts
Showing posts with label kriteria. Show all posts

Monday, June 6, 2011

Kriteria Melaka diiktiraf Sebagai Bandaraya Warisan Dunia

Pada 7 Julai 2008, Melaka dan Geogtown, Pulau Pinang telah menerima pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Bandaraya Warisan Dunia di bawah nama “Melaka dan George Town : Bandaraya Bersejarah di Selat Melaka”. Melaka dipilih kerana memiliki ciri-ciri keunggulan sejagat melalui criteria berikut :

Kriteria II
Melaka dan George Town, Malaysia, merupakan contoh bandar kolonial bersejarah yang cukup menarik di Selat Melaka, yang memaparkan pengaruh budaya dan pensejarahan yang berturutan hasil daripada fungsi kedua-dua bandar itu sebagai pelabuhan perdagangan yang menyambungkan dunia Timur dengan Barat.

Kedua-duanya merupakan pusat bandar bersejarah di selat Melaka yang paling sempurna, dengan warisan kepelbagaian budaya yang masih hidup, yang asalnya bermula dengan jalan perdagangan dari Great Britain dan Eropah, melalui Timur-Tengah, benua kecil India dan gugusan Kepulauan Melayu, sehinggalah ke China.

Kedua-dua bandar ini memaparkan bukti sahih warisan kepelbagaian budaya dan tradisi Asia yang masih hidup, tempat pertemuan berbagai-bagai agama dan budaya; dan wujud seiring jalan hingga ke hari ini. Kepelbagaian ini mencerminkan penyatuan ciri-ciri budaya dari gugusan Kepulauan Melayu, India dan China dengan ciri Eropah, seperti digambarkan pada keunikan senibina, budaya dan latar belakang.

Kriteria III
Melaka dan George Town mewakili contoh bandar dagangan pelbagai budaya dunia Timur dan Asia Tenggara yang terbina sebagai hasil asimilasi budaya Melayu, Cina, India dengan tiga kuasa kolonial Eropah secara berturutan selama hampir 500 tahun, setiap satunya dengan peninggalan kesan terhadap seni bina dan rangka bentuk bandar, teknologi dan seni agung.

Kedua-dua buah bandar menunjukkan juga tahap pembangunan yang berbeza dan perubahan berturutan melalui jangkamasa yang panjang. Oleh itu, kedua-dua buah bandar ini saling menyokong antara satu sama lain.

Kriteria IV
Melaka dan George Town mempunyai bukti sahih yang masih kekal tentang warisan hasil daripada asimilasi pelbagai budaya dan tradisi Asia dengan pengaruh kolonial Eropah. Warisan kepelbagaian budaya yang ketara dan tidak ketara ini dipaparkan pada bangunan-bangunan ibadat dari pelbagai agama, masyarakat etnik, bahasa yang berbagai-bagai, perayaan penganut agama, tarian, busana, seni dan muzik, makanan dan cara hidup seharian.

Unsur kewibawaan kawasan yang dicalonkan bagi kedua-dua buah bandar ini berkaitan dengan keberadaan kesemua unsur yang diperlukan bagi menyuarakan Nilai Keunggulan Sejagat. Harta tersebut telah berpegang teguh kepada ciri-ciri keasliannya; tugu-tugu dan tapak-tapak yang disenaraikan telah dipulihara dengan kaedah yang sepatutnya dari segi reka bentuk, bahan-bahan binaan, gaya caranya, teknik dan hasil pertukangan tangan, dengan menurut peraturan dan prinsip pemuliharaan. Langkah perlindungan bagi harta tersebut adalah mencukupi.

Kedua-dua bandar mempamerkan keadaan pemuliharaan yang dapat diterima secara amnya, walaupun usaha masih diperlukan bagi pemuliharaan rumah-rumah kedai. pelan dan struktur pengurusannya mencukupi, dan boleh diperbaik melalui program pemuliharaan pihak negara wakil.


Pelan kawasan pemuliharaan utama (core zone) dan kawasan penampan (buffer zone) di Melaka