Showing posts with label kes buli. Show all posts
Showing posts with label kes buli. Show all posts

Thursday, April 11, 2013

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN HUKUMAN BUANG SEKOLAH


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Hari ini masih lagi bersiaran tentang kes buli-membuli di sekolah. Kalau semalam aku ada menceritakan sedikit pengalaman anak buah aku yang menjadi mangsa buli di sekolahnya, tapi hari ini aku hendak memberi sedikit pandangan berkenaan hukuman buang sekolah yang telahpun dijatuhkan kepada pembuli yang telah memukul seorang ketua kelas di sebuah sekolah di Pulau Pinang baru-baru ini.

Sumber : Google Image

Sebenarnya aku bukanlah seorang yang mahir untuk bercakap tentang ini, aku sekadar berfikir tentang apakah nasib pelajar yang dibuang sekolah itu. Adakah mereka boleh terus menyambung pelajaran di sekolah yang lain? Ataupun mereka akan terus dibiarkan tidak bersekolah? Atau ada cara lain untuk mereka merayu semula untuk bersekolah di sekolah yang sama?

Sekiranya mereka dapat menyambung pelajaran di sekolah yang lain, itu adalah cukup bagus bagi mereka, namun adakah sekolah lain yang mahu menerimanya dengan rekod kesalahan yang melampau? Harapnya mereka segera sedar dan menginsafi diri masing-masing. 

Jika tidak dapat menyambung pelajaran di sekolah lain atau mereka tidak diterima di sekolah lain, rasanya mereka perlu merayu bersungguh-sungguh untuk menyambung pelajaran di sekolah yang sama. Rayuan tersebut mestilah bersekali dengan keinsafan dan perasaan yang penuh rasa kesal. Mungkin juga mereka perlu menandatangani satu akujanji yang menyatakan mereka TIDAK AKAN melakukan perkara yang sama. Sekiranya kelakuan yang sama tetap berlaku, memang nampak tiada keinsafan bagi mereka, maka tiada rayuan kedua yang boleh mereka buat selepas itu.

Sumber : KLIK
Namun, apa akan jadi jika mereka terus tidak dapat menyambung pelajaran ke sekolah? Di manakah mereka mahu menuntut ilmu? Bagaimana mereka mahu bekerja kelak sedangkan mahu bekerja sekarang setidak-tidaknya mesti ada kelulusan PMR atau SPM. Kalau beginilah caranya, mungkin mereka tidak akan ke mana-mana, hanya mampu menjadi buruh kasar mahupun sebagai operator di sektor industri, itupun kalau mereka mahu bekerja. Sekiranya ada ibu bapa yang berniaga mungkin boleh menyambung legasi perniagaan, namun itu semua memerlukan ilmu.

Itulah beberapa keburukan yang berlaku apabila seseorang dihukum buang sekolah. Kebaikkannya pula tidaklah dapat aku pastikan. Cuma apa yang baiknya, mereka yang dibuang sekolah tersebut sudah semestinya tidak lagi berada di sekolah dan secara langsung ia tidak akan berlaku lagi kejadian buli daripada pelajar tersebut. Ia juga memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar lain agar tidak melakukan perkara yang sama.

Namun, hanya hukuman buang sekolah kepada pelajar yang bermasalah bukanlah satu tindakan  yang boleh diambil. Mungkin ada cara lain yang terbaik bagi mengatasi masalah ini. Pihak sekolah dan ibu bapa perlu duduk semeja bagi membincangkan strategi dan tindakan yang harus dilaksanakan bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang.

Siri kaunseling, motivasi, didikan agama dan moral oleh guru dan ibu bapa haruslah dipergiatkan lagi bagi mengatasi masalah-masalah pelajar sebegini. Masing-masing perlu memainkan peranan. Tak perlulah kita menuding jari menyalahkan orang itu dan orang ini. Kita seharusnya berkata pada diri kita sendiri, apa didikan yang kita telah beri pada anak-anak, bagaimana kita mengawal anak-anak, bagaimana kita mendidik anak-anak murid kita, apakah betul kaedah kita mendidik anak didik kita.

Kita masing-masing mempunyai anak. Kita pun tak pasti didikan kita ini betul atau tidak. Takut-takut depan kita saja anak-anak bersopan dan berbudi bahasa, di belakang kita, Allah saja yang tahu. Kita hanya mampu berdoa dan menasihat agar anak-anak kita menjadi insan yang soleh / solehah. Mohon dijauhkan pada perkara-perkara yang buruk.

(Ps : Aku sangat mengharapkan mereka yang bersalah itu sedar akan kesalahan diri dan tidak lagi mengulanginya dan mereka dapat semula bersekolah seperti biasa. Sejahat-jahat manusia kalau dilentur dengan betul akhirnya akan menjadi baik dan mungkin terbaik)
 
Wallahuaklam.