Showing posts with label cucuk tanam. Show all posts
Showing posts with label cucuk tanam. Show all posts

Friday, June 11, 2021

UBI REBUS DAN BOKO UBI

Pokok ubi kayu di belakang rumah pokoknya telah meninggi. Tak ingat pula bila ditanam, tapi saya agak pokoknya sudah berusia lebih lima bulan. Ada beberapa batang pokok ubi kayu saya tanam.

Pagi tadi, merajinkan diri mengemas dan membersihkan bahagian belakang rumah. Pokok daun kari dan pokok kunyit yang dibeli dari minggu lepas baru sempat hari meluangkan masa untuk dipindahkan ke dalam pasu. Semoga hidup dengan segar agar dapat digunakan di kemudian hari.

Kemudian, saya mencabut dua batang pokok ubi kayu di telah meninggi. Alhamdulillah, ada ubinya. Dalam fikiran telah terbayang ubi rebus cicah sambal dan boko ubi. Isteri saya memang pandai buat boko ubi. Kalau ubi rebus tu, biasa saja, semua orang boleh membuatnya.

Selepas mencabut sebatang pokok, lumayan juga ubinya


Petang menjelma, isteri membuatkan ubi rebus. Lembut dan empuk ubinya. Sedap. Makan pula dengan mencicah Sambal Bilis Pedas d' SAMBAL licious, bertambah sedap jadinya. Gambar ubi rebus di bawah ni lupa pula disertakan dengan sambalnya. 

Gambar diambil selepas makan, tinggal tiga ketul saja untuk sesi fotografi. Hehe


Malam pula isteri buat boko ubi. Buat makan sedikit sahaja, selebihnya akan disedekahkan kepada kakitangan tempat isteri bekerja di salah sebuah klinik kesihatan di Melaka.

Benda ini dibuat tidak dirancang pun, benda dah ada, elok juga dapat berkongsi rezeki dengan orang lain. 

Awalnya ingatkan sudah siap pasal tu ambil gambar begini

Ini selepas diletakkan santan di atasnya. Ha, ni barulah dah siap dan sedia untuk dimakan

Inilah saja tanaman yang boleh hidup di belakang rumah saya. Tanam pisang tak menjadi, pokok tak membesar, tapi anak pokok pisang banyak pula yang tumbuh, akhirnya pokok-pokok pisang saya tebang. Saya tinggalkan 2, 3 batang. Bertahun-tahun tanam tak membesar, mungkin tanah tak sesuai.

Saturday, May 22, 2021

DURIAN BELANDA BERBUAH SULUNG

Alhamdulillah.. Sudah lebih 2 tahun menanam pokok durian Belanda ini, akhirnya berbuah juga. Bagaikan menunggu bulan jatuh ke riba, akhirnya tidak lari gunung dikejar.



Sebelum ini memang banyak kali pokok durian Belanda ini berbunga, akan tetapi bunganya tidak lekat untuk menjadi buah. Ada kalanya kecewa juga melihatkan bunga-bunga pokok durian Belanda jatuh berguguran di tanah. Mungkin belum ada rezeki.

Ada juga amalkan beberapa petua untuk pokok durian Belanda berbuah, antaranya menggoyangkan pokok yang sedang berbunga selepas jam 10 malam. Ini adalah untuk membantu proses pendebungaan. Beberapa kali jugalah saya malam-malam ke belakang rumah untuk menggoyangkan pokok durian Belanda. Rasa lucu pun ada, sehingga kawan-kawan di Facebook siap beritahu, kasi goyang kuat-kuat. πŸ˜†πŸ˜†πŸ˜†

Baja juga memainkan peranan penting. Dulu guna pelbagai baja. Baja biji-biji yang dibeli di kedai pokok bunga. Kemudian tukar ke baja tahi ayam. Terkini guna baja mahal sedikit iaitu baja Milagro.

Tak sabar rasanya nak merasai keenakan buah durian Belanda yang ditanam sendiri. Harap-harap buah tersebut membesar dengan sempurna dan menghasilkan isi yang baik. Apa-apapun, ini semua rezeki Allah SWT. Ada rezeki, adalah, kalau tiada rezeki maka tiadalah.