Showing posts with label bekerja. Show all posts
Showing posts with label bekerja. Show all posts

Sunday, September 17, 2023

Baliklah Fairus... Dah Malam

Aku penjaga masa.. Waktu bekerja, aku sangat menjaga masa. Tak suka datang lewat kecuali ada hal-hal yang tak dapat dielakkan. Dalam diari seharian aku pun tiada istilah minum pagi jam 10 dan melepak lama di kedai. Kalau nak sarapan pagi, di rumah sahaja atau di kedai sebelum waktu bekerja bermula. Ada kalanya terlajak juga, tapi tidak terlalu lama.

Apabila balik kerja pun sama. Jam 5.00 petang, keluar pejabat dan imbas perakam waktu. Tak suka balik lambat, kerana bagi aku bertugas perlu pada waktu bekerja, selebihnya adalah bersama keluarga. Kita bekerja pun untuk menampung keluarga. Tapi ada kalanya sengaja balik lambat kerana terpaksa menunggu juga untuk ambil anak yang balik sekolah agama jam 6.15 petang.

Ada kalanya hujung minggu pun bekerja juga sekiranya ada program yang perlu diuruskan atau untuk dihadiri. Tak pun diperlukan untuk memantau "anak-anak buah" yang bekerja. 

Beberapa hari ini banyak kerja di pejabat, namun tetap balik jam 5.00. Bagi aku, esok masih ada untuk meneruskan tugasan kerana tidak dikehendaki disiapkan segera.

Namun, Jumaat lalu aku mendapat tugasan yang baru diterima dan perlu diselesaikan segera. Justeru, terpaksa merelakan diri untuk tunggu dan menyiapkan kerja sehingga selesai. Buat kerja seorang sahaja. Syukur tak berapa lama sangat untuk menyiapkan tugasan, selepas Maghrib tugasan pun selesai.

Kebetulan pejabat aku terletak di dalam muzium. Muzium telah ditutup, apabila aku memadamkan lampu pejabat, jadi gelap suasananya. Hanya lampu di luar bangunan yang samar-samar menjadi panduan untuk melangkah, lantas lampu di telefon bimbit dinyalakan. 

Terdapat lampu peti pameran tidak dipadam. Barangkali kakitangan terlupa memadam suis. 


Lama tak balik malam. Rasa seram juga apabila berlalu dari satu ruang ke ruang di dalam muzium. Dengan patung-patung ya lagi. Eh! Jangan buat pasal lah.. 😅