Friday, October 7, 2022

Tertidur Ketika Lampu Isyarat Merah

Sebenarnya, kisah ini bersambung pada hari yang sama berlakunya kejadian INI.

Selepas singgah di kedai, aku terus meneruskan perjalanan ke hospital. Kedudukan rumah ke hospital, tidaklah terlalu jauh. Anggaran dalam 10 kilometer sahaja.

Setibanya di persimpangan berdekatan hospital, lampu isyarat berwarna merah. Jadi tunggulah seketika sebelum lampu bertukar kepada warna hijau. Lama juga menunggu kerana di situ merupakan satu persimpangan empat arah yang juga jalan utama ke pusat bandar.

Gambar sekadar hiasan


Apabila lampu bertukar kepada warna hijau, semua kenderaan mulai bergerak. Namun, di lorong aku kelihatan sedikit perlahan seolah ada kenderaan rosak di hadapan. Kenderaan mula belok ke kiri dan kanan bagi mengelakkan sebuah kereta yang berhenti di tengah-tengah jalan. Kenderaan pun mula membunyikan hon.

Apabila aku sampai di belakang kereta tersebut, aku membelok sedikit ke kiri. Semasa membelok, sempat aku menoleh ke arah kereta itu dan aku terlihat pemandunya ada di dalam kereta dalam keadaan tertutup mata.

Dalam hati aku sudah terfikir macam-macam. Mungkinkah pemandu tersebut terkena serangan jantung, pengsan atau meninggal dunia? Segera aku memberhentikan kereta berdekatan lampu isyarat dan segera turun mendapatkan kenderaan tersebut.

Aku merupakan orang pertama yang datang untuk membantu. Aku lihat di cermin kereta seorang lelaki dengan mata tertutup tersandar di kerusi pemandu. Lantas, aku ketuk cermin dengan kuat dengan harapan beliau sedar. Akhirnya, beliau membuka mata.

Aku menunjukkan isyarat jari ibu kepadanya bagi memastikan beliau dalam keadaan baik atau sebaliknya. Beliau balas dengan isyarat jari ibu juga menandakan semuanya dalam keadaan baik. Alhamdulillah.

Rupa-rupanya beliau tertidur semasa menunggu lampu isyarat bertukar kepada warna hijau. Mujurlah tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

Kepada para pemandu, sekiranya mengantuk, berhentilah memandu dan cari lokasi yang sesuai untuk rehat seketika sebelum meneruskan perjalanan. Jangan pertaruhkan nyawa mengambil risiko memandu dalam keadaan mengantuk kerana kecelakaan mungkin boleh berlaku.

7 comments:

  1. Huish...sib baik awak tergerak hati nak check keadaan pemandu tu....bagus..masyarakat kena lebih alert macam ni

    ReplyDelete
  2. Penat sangat tu sampai boleh terlena. Mujur juga stop dan melihat pemandu tu. Masyarakat prihatin, thumbs up! Alhamdulillah dia sekadar terlena bukan sakit atau pengsan. Sebelum memandu kena cukup rehat dan tidur. Risau jika microsleep.

    ReplyDelete
  3. sampai begitu sekali. bahaya ni. baik berhenti sekejap di bahu jalan n tdo kejap..

    ReplyDelete
  4. Allahu…bahayanya. Syukur awak boleh berhenti tolong kejutkan.
    Saya pernah jumpa di plaza tol, ada sebuah lori tak bergerak. Bila lalu, nampaklah pemandunya macam sedang tidur.

    ReplyDelete
  5. Takutnya saya baca kisah pemandu yang tertidur. Memang kalau letih sangat, boleh terlelap ketika menunggu lampu isyarat bertukar warna!

    ReplyDelete
  6. Allahu. Nasib baik tak apa-apa. Penat sangat tu. Lagipun traffic light di Melaka memang lama merahnya

    ReplyDelete
  7. Mujur tiada apa-apa yang buruk berlaku. Bahaya kalau memandu dalam keadaan penat dan hilang tumpuan.

    ReplyDelete

Komen saja... Jangan segan-segan.