Sunday, May 28, 2023

Cerita Seorang Suami Yang Suka Membasuh, Menjemur dan Melipat Pakaian

Tugas-tugas di dalam rumah tangga tidak terikat pada mana-mana sama ada suami, isteri mahupun anak-anak. Tugasan di rumah adalah tanggungjawab bersama. Tidak ada peraturan yang menyatakan suami tidak boleh membantu isteri membasuh, menjemur atau melipat pakaian. Walaupun berperanan sebagai ketua keluarga, suami masih perlu membantu hal-hal lain di rumah. 

Gambar sekadar hiasan 😄


Perlu kita fahami bahawa peranan isi rumah adalah sering berubah seiring dengan perubahan zaman. Zaman sekarang bukan suami sahaja yang bekerja, namun isteri juga bekerja untuk sama-sama membantu keluarga. Justeru, kerja-kerja di rumah perlu dibahagi-bahagikan secara adil mengikut kesepakatan bersama dan kelapangan masa pasangan masing-masing. 

Adalah penting untuk kita sering berkomunikasi dengan baik sesama pasangan bagi pembahagian tugas-tugas di rumah. Ini perlu bagi mewujudkan kerjasama, kesepakatan dan kemampuan masing-masing bagi memastikan keadaan di dalam rumah dan persekitaran dalam keadaan teratur seterusnya mewujudkan suasana yang damai.

Aku secara peribadi memang dilahirkan dengan suka atau gemar mengemas. Dari kecil aku dilatih oleh emak dan sememangnya aku tidak kekok untuk melaksanakan segala tugasan sehinggalah perangai tersebut terbawa-bawa sampai sekarang walaupun sudah berumah tangga.

Membasuh, menjemur dan melipat pakaian bukan asing bagi aku. Dan aku sendiri tak suka melihat pakaian yang bersepah-sepah. Jadi, tanpa perlu menyuruh sesiapa, aku sendiri yang akan mengemas sendiri. Menjadi rutin aku, duduk di belakang rumah, mengangkat baju yang telah dijemur terus dilipat dan disusun di almari atau rak pakaian.

Sekian, cerita seorang suami yang suka membasuh, menjemur dan melipat pakaian. 😊😊😊