Showing posts with label Hukum Kanun Melaka. Show all posts
Showing posts with label Hukum Kanun Melaka. Show all posts

Tuesday, August 2, 2011

SEPINTAS LALU SISTEM PERUNDANGAN ZAMAN KESULTANAN MELAYU MELAKA

Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka merupakan dokumen tertua dan terpenting sekali. Kanun ini mengandungi beberapa fasa. Berikutan penerimaan Islam di Melaka peruntukan kanun ini bertambah menjadi 44 fasal. Undang-Undang ini wujud sejak Melaka dibuka dan dikemaskinikan oleh pemerintah terkemudian. Kerajaan Melaka merupakan kerajaan Melayu pertama mengubal kanun negeri dan peraturan pelayaran. 

Hukum Kanun Melaka mengambarkan susun lapis kepercayaan Melayu Lama, adat istiadat, peraturan istana, pantang larang, hukuman tentang jenayah dan sivil, sistem protokol, pemilikan tanah, peraturan mengenai pertanian dan penternakan turut dimuatkan. Peruntukan undang-undang di Melaka turut dipengaruhi hukum syarak. Kesalahan seperti penzinaan, murtad, mencuri, membunuh, minum arak, fitnah, tuduh menuduh dan juga perkara seperti ikrar, jualbeli, perjanjian, hutang piutang, syarat-syarat saksi di samping pernikahan dan undang-undang kekeluargaan mencontohi peruntukan syarak.

Undang-undang Laut Melaka pula adalah warisan bertulis yang unik, digubal bertujuan melicinkan perdagangan dan perkapalan. Isi kandungannya yang disempurnakan semasa pemerintahan Sultan Mansur Syah mengandungi 20 fasal. Peraturan pelayaran, gelaran pegawai dan tugas serta bidang kuasa bertugas dalam kapal diperlicinkan.

Peraturan mengenai kebencanaan di laut, kapal karam dan lain-lain turut terungkap nakhoda mempunyai kuasa mutlak sehingga boleh menjatuhkan dan melaksanakan hukuman bunuh. Sebuah kapal di dalam pelayaran diumpama sebagai sebuah kerajaan. Undang-undang ini juga menyentuh mengenai kesalahan dan denda. Nakhoda merupakan peagawai utama yakni raja di dalam kapal. Jurumudi (malim) bertindak menjaga arah haluan pelayaran. Juru Batu memastikan keselamatan kapal, jawatan lain seperti tukang kanan, tukang kiri, tukang agung, senawi, awak-awak dan sebagainya berperanan menentukan kelicinan dan keselamatan pelayaran.

Friday, October 1, 2010

SISTEM PERUNDANGAN NEGERI MELAKA

Pada zaman kesultanan Melayu Melaka terdapat 2 buah teks undang-undang tradisional di Melaka. Undang-undang tersebut ialah Hukum Kanun Melaka dan undang-undang Laut Melaka. Hukum Kanun melaka merupakan buku undang-undang Melayu yang terawal sekali dalam sejarah perundangan tanahair. Sistem undang-undang yang sedia ada membuktikan kepada dunia bahawa betapa suatu masa dahulu Melaka adalah sebuah kerajaan yang makmur, lengkap dengan segala peraturan-peraturan yang telah sedia ada. Kewujudan undang-undang ini dapat dijadikan pemangkin kepada kekuatan politik kerajaan Melayu Melaka suatu masa dahulu. Melaka mempunyai empayar yang luas dan mempunyai banayak jajahan takluk. Kebanyakan negeri yang di bawah taklukan empayar Melaka seperti Johor dan Kedah banyak menerima pengaruh daripada undang-undang Melaka. Negeri-negeri ini mengamalkan undang-undang yang hampir sama seperti di Melaka.



1. Undang-undang Melaka (Hukum Kanun Melaka)

Hukum Kanun kesultanan Melaka merupakan sebuah teks undang-undang yang dipakai di zaman kesultanan Melayu Melaka. Teks ini dapat memperlihatkan nilai kekuasaan yang ada pada raja-raja melaka. Menurut sumber Sejarah Melayu, pada peringkat awal, Hukum Kanun Melaka telah ditulis pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah. Kemudian teks ini telah dijadikan sebagai satu undang-undang yang lengkap pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Secara keseluruhannya, Hukum kanun Melaka membincangkan tentang perkara yang berkaitan dengan undang-undang jenayah, muamalah dan munakahat serta sistem dan peraturan pentadbiran negara. Penulisan Hukum Kanun Melaka tidak dilakukan secara sistematik, di mana terdapat campur aduk antara undang-undang Islam dan undang-undang Hindu. Namun, kebanyakannya Hukum kanun Melaka jelas kelihatan dalam undang-undang perkahwinan dan juga undang-undang jual beli serta prosedurnya.

2. Undang-undang Laut Melaka

Undang-undang laut Melaka merupakan satu ketetapan peraturan yang dibuat bagi sesuatu pelayaran. Ia juga dikenali sebagai adat pelayaran Melaka. Kitab peraturan Pelayaran dan Hukum Undang-undang Laut. Undang-undang Laut Melaka adalah sangat penting kerana melaka sememangnya terlibat secara langsung dengan pelayaran antarabangsa yang melibatkan pedagang asing. Dengan adanya Undang-undang laut Melaka ini, dapat memastikan segala masalah yang berlaku di kawasan perairan dapat di atasi dengan mudah dan berlandaskan Undang-Undang. Undang-Undang ini mengandungi tatacara jual beli di atas kapal, peraturan pelayaran, bidang kuasa nakhoda dan tanggungjawab pegawai-pegawai kapal. Selain itu, ia juga mengandungi hal ehwal peraturan dan sistem perkastaman, cukai dan tanggungjawab serta bidang kuasa Syahbandar.