Friday, July 10, 2015

PERUTUSAN KHAS HARI RAYA AIDILFITRI 2015 / 1436 HIJRAH

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah SWT,

Bersempena hari yang baik, bulan yang baik ini, saya Fairus bin Haji Mamat, penulis blog fairus dot com menyusun 10 jari, memohon sejuta keampunan seandainya, selama saya berkarya, menulis, ada kata-kata, perkataan, ayat atau gambar yang menyinggung perasaan tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Justeru, adalah diharapkan tuan-tuan dan puan-puan sekalian dapat memaafkan saya seadanya. Tuan-tuan dan puan-puan usah risau, sekiranya tuan-tuan dan puan-puan ada melakukan kesalahan pada saya, sudah lama saya maafkan. Memang menjadi tradisi saya memaafkan semua orang sebelum saya tidur.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Bagi mereka yang pulang ke kampung halaman, memandulah dengan berhati-hati. Pastikan segala peraturan jalan raya dipatuhi. Semua sedia maklum, di hari raya pastinya kenderaan banyak di jalan raya, jadi bersabarlah ketika memandu kenderaan dan jangan pentingkan diri sendiri semasa di jalan raya. 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Dalam aspek keselamatan rumah juga janganlah diabaikan. Sekiranya ingin pulang ke kampung, pastikan pintu rumah dan pagar telah dikunci dengan selamat. Janganlah kita cuai. Takut-takut nanti, sekembalinya kita dari kampung, habis kosong rumah disamun penyamun tarbus.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Akhir kata, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Jika ada yang berkelapangan silalah bertandang ke rumah saya di Melaka.

8 comments:

Komen saja... Jangan segan-segan.