Sunday, March 30, 2025

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1446H



Alhamdulillah, setelah sebulan kita menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan, kini Syawal menjelang sebagai hari kemenangan bagi seluruh umat Islam. Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar satu perayaan, tetapi juga waktu terbaik untuk kita mensyukuri nikmat Allah, mengeratkan silaturahim dan memohon kemaafan antara satu sama lain. Semoga segala amalan yang telah kita lakukan sepanjang Ramadan diterima dan menjadikan kita insan yang lebih bertakwa.

Di hari yang mulia ini, marilah kita menyambut Syawal dengan penuh kesederhanaan dan keinsafan. Raikan bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai dengan penuh kegembiraan tanpa melupakan mereka yang kurang bernasib baik. Janganlah kerana kesibukan dengan juadah dan persiapan, kita lupa akan makna sebenar Aidilfitri yang menuntut kita untuk memperbanyakkan doa, sedekah dan kasih sayang sesama insan.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua. Semoga Syawal ini membawa keberkatan, kebahagiaan dan kedamaian kepada kita semua. Kepada yang pulang ke kampung halaman, semoga perjalanan anda selamat dan sentiasa dalam lindungan Allah. Taqabbalallahu minna wa minkum, semoga Allah menerima segala amal ibadah kita.

Baju Raya Tahun Ini: Gaya Rakyat yang Penuh Tradisi

Hari Raya Aidilfitri tahun ini sudah semakin dekat dan persiapan pakaian raya aku sudah pun siap. Seperti tahun-tahun sebelumnya, aku suka memilih tema tertentu untuk pakaian raya dan kali ini aku memilih tema "Baju Rakyat" iaitu gaya yang mencerminkan warisan dan budaya kita. Untuk raya tahun ini, aku akan mengenakan Baju Melayu Teluk Belanga, potongan klasik yang terkenal dengan kesederhanaannya tetapi tetap penuh dengan nilai tradisional. Warna baju ini melambangkan keanggunan dan kesopanan dipadankan dengan seluar hitam untuk tampak lebih kemas dan bergaya.


Tidak lengkap penampilan tanpa samping songket yang akan aku lilit kemas di pinggang. Samping songket bukan sekadar aksesori tetapi lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang kaya dengan motif dan corak. Sebagai pelengkap, aku akan mengenakan tanjak, penutup kepala yang sinonim dengan kegagahan dan identiti Melayu. Namun, mengikut kebiasaan aku, tanjak ini hanya akan dipakai selepas solat sunat Aidilfitri. Untuk ke masjid, aku lebih selesa mengenakan songkok yang lebih praktikal dan kemas.

Dengan busana ini, aku berharap dapat menghidupkan kembali semangat tradisi dan menghayati keindahan warisan Melayu dalam suasana Hari Raya yang penuh makna. Semoga Aidilfitri kali ini membawa kegembiraan dan keberkatan buat kita semua. Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Friday, March 28, 2025

Kasut Raya Baharu: Adidas Grand Court Base 2.0

Haha, baru-baru ini aku ada menulis tentang Beraya Biar Bijak, Jangan Pokai, tapi akhirnya aku sendiri yang berbelanja. Kali ini, aku membeli kasut raya baharu iaitu Adidas Grand Court Base 2.0. Beli di Al-Ikhsan, satu jenama yang memang terkenal dengan koleksi sukan dan kasut berkualiti. Memang dah lama aku tak beli kasut baharu, jadi bila ada rezeki lebih tahun ini, aku rasa tak salah untuk menghadiahkan diri sendiri sesuatu yang tahan lama dan berguna.


Sejujurnya, aku bukan jenis yang selalu beli kasut mahal. Biasanya, aku lebih memilih kasut yang praktikal dan berpatutan. Tapi sekali sekala, apa salahnya, kan? Adidas Grand Court Base 2.0 ini memang selesa, dengan rekaan klasik yang sesuai untuk pelbagai gaya. Warnanya nampak kemas, senang dipadankan dengan apa saja pakaian. Lagipun, kasut ini boleh dipakai bukan hanya untuk raya, tetapi juga untuk kegunaan harian.

Alhamdulillah, tahun ini rezeki lebih baik, jadi dapatlah sedikit berbelanja untuk diri sendiri dan keluarga. Bukan selalu pun. Yang penting, masih dalam kawalan dan tidak membazir. Semoga kasut ini membawa langkah yang lebih baik dan bermakna untuk tahun ini.