Friday, March 21, 2025

Mencari Lailatul Qadar: Amalan di 10 Malam Terakhir Ramadan

Ramadan semakin menghampiri penghujungnya, dan kita kini berada di 10 malam terakhir iaitu fasa yang penuh keberkatan dan peluang untuk mendapatkan malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatul Qadar. Inilah waktu terbaik untuk menggandakan ibadah, memohon keampunan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

    Baca juga :


Dalam malam-malam terakhir ini, amalan yang boleh dilakukan termasuk qiyamullail dan solat sunat, memperbanyakkan bacaan Al-Quran, berzikir dan beristighfar serta meningkatkan sedekah dan infaq kepada mereka yang memerlukan. Rasulullah SWT. mengajarkan satu doa yang sangat dianjurkan untuk dibaca pada malam-malam ini:

"Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni."

Maksudnya 

Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Engkau menyukai keampunan, maka ampunilah aku.

Lailatul Qadar adalah rahsia Allah dan tiada siapa yang mengetahui dengan tepat bila ia berlaku. Oleh itu, setiap malam dalam 10 malam terakhir ini wajar diisi dengan ibadah dan doa agar kita tidak terlepas daripada keberkatannya. Semoga kita semua diberikan kekuatan dan keikhlasan dalam beribadah serta dianugerahkan keampunan dan rahmat oleh Allah SWT. 

Aamiin Ya Rabbal Alamin.

Tips Mengurangkan Bil Elektrik Setiap Bulan

Semoga bulan ini bil terus kurang. Hehe

Salah satu faktor utama yang menyebabkan bil elektrik melambung tinggi setiap bulan ialah penggunaan penyaman udara. Aku sendiri perasan perkara ini apabila melihat jumlah bil yang perlu dibayar setiap bulan. Sebelum ini, bil elektrik aku mencecah hampir RM400 sebulan dan aku sedar sebahagian besar penggunaan tenaga datang daripada penyaman udara yang sering digunakan siang dan malam.

Untuk mengurangkan perbelanjaan bil elektrik, aku mula mengawal penggunaan penyaman udara. Antaranya, aku hanya menggunakannya pada waktu tertentu sahaja, seperti ketika cuaca terlalu panas atau pada waktu tidur selama beberapa jam sebelum mematikannya. Aku juga menggantikan penggunaan penyaman udara dengan kipas angin dan memastikan pengudaraan rumah lebih baik dengan membuka tingkap pada waktu siang. Langkah mudah ini memberi impak yang besar terhadap bil elektrik bulanan aku.

Dalam beberapa bulan, aku dapat lihat penurunan ketara pada bil elektrik. Daripada hampir RM400 sebulan, kini hanya sekitar RM150. Penjimatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah, tetapi juga lebih mesra alam kerana mengurangkan penggunaan tenaga secara berlebihan. Ternyata, dengan sedikit perubahan dalam penggunaan elektrik, kita dapat menjimatkan wang tanpa perlu berasa terlalu tidak selesa.

Thursday, March 20, 2025

Berbuka Puasa di Masjid Al-Aminin Bersama Imam Mohammad Sharif

Semalam, aku berpeluang berbuka puasa di Masjid Al-Aminin, masjid kariah tempat tinggalku. Suasana di masjid begitu meriah dengan kehadiran ramai jemaah yang bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa yang telah disediakan oleh pihak masjid. Hidangan yang disusun rapi membolehkan kami berbuka dengan selesa. Namun, apa yang lebih istimewa pada malam itu ialah kehadiran seorang tetamu, Al-Fadhil Sheikh Al-Hafiz Imam Mohammad Sharif Mohammad Imrani, seorang Imam Masjid Al-Abbad di Mekah.

Imam Mohammad Sharif bukanlah nama asing di Melaka kerana beliau telah bernikah dengan orang tempatan dan sering dijemput mengimamkan solat di masjid-masjid sekitar negeri ini. Pada malam itu, beliau mengimamkan solat Maghrib, Isyak serta solat sunat Tarawih. Bacaan Al-Qurannya begitu merdu dan memberikan ketenangan yang sukar diungkap dengan kata-kata. Seusai solat, beliau turut menyampaikan tazkirah ringkas tentang keistimewaan Ramadan. 


Selesai solat, ramai jemaah mengambil peluang untuk bergambar bersama Imam Mohammad Sharif, termasuk aku sendiri. Detik ini menjadi kenangan berharga kerana dapat bertemu dan bersolat di belakang seorang imam dari tanah suci. Malam itu bukan sekadar berbuka puasa, tetapi juga pengalaman bermakna yang menambahkan rasa syukur dan semangat untuk terus beribadah dengan penuh keikhlasan.